Wednesday 11 December 2013

Rasa terhina tak mampu beli rumah sendiri!

  • Rumah Mampu Milik yang tak mampu dimiliki
    BARU-BARU ini Institut Kefahaman Islam (IKIM) telah mengadakan satu Muzakarah Pakar bertajuk: “Harga Rumah Melambung: Isu dan Penyelesaian" khas bagi membincangkan isu kenaikan harga rumah yang dikatakan tidak munasabah. Isu ini sudah menjadi isu nasional; yakni isu negara yang menyentuh keseluruhan masyarakat.
  • Harga rumah yang tinggi pada hari ini memang telah banyak diperkatakan. Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) misalnya telah tampil ke hadapan dengan satu kajian yang mendapati 60 peratus kakitangan awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah sendiri. Hakikatnya, harga rumah yang tinggi menyukarkan kebanyakan orang untuk membeli sebuah rumah yang merupakan keperluan asas.
  • Pada hari ini kita dapati rata-rata golongan belia terutama yang baru memasuki alam pekerjaan tidak berpeluang untuk memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang meningkat saban waktu. Pendapatan permulaan mereka selalunya hanya sekadar cukup untuk membiayai kos sara hidup seorang diri dan membayar semula pinjaman pendidikan.
  • Keadaan akan menjadi bertambah parah apabila mereka mula berkeluarga dengan kos sara hidup yang tinggi maka bertambah jauhlah harapan untuk memiliki kediaman sendiri. Adakah kita ingin melihat ramai warga kita yang duduk di bawah jambatan kerana mereka tidak mampu membeli sebuah rumah? Atau adakah kita ingin melihat warga muda kita menyewa rumah sepanjang hayat mereka?
  • Perkara ini boleh juga dikaitkan dengan kebahagiaan mental seseorang itu. Adakah seseorang itu boleh dianggap bahagia jika terpaksa duduk di bawah jambatan bersama keluarga kerana tidak mampu untuk memiliki sebuah rumah. Apa akan jadi kepada sebuah negara jika ramai rakyatnya tidak bahagia dalam menjalani kehidupan. Pastinya produktiviti akan berkurangan, negara juga tidak dapat membangun seperti yang sepatutnya.
  • Justeru isu ini menyentuh psikologi manusia serta kepentingan nasional untuk jangka pendek dan jangka panjang. Ada yang mengatakan masalah harga rumah tinggi yang kita hadapi sekarang berpunca daripada kita yang tidak menguruskan perkara ini dengan betul dari dulu lagi.
  • Oleh yang demikian kita harus memperbetulkan keadaan ini dari sekarang agar anak cucu kita tidak perlu lagi menghadapi serta membincangkan masalah yang sama di masa hadapan. Masih belum terlambat untuk kita mengambil langkah-langkah yang sepatutnya agar sejarah tidak akan berulang lagi di masa hadapan.
  • Kita dapati peranan kerajaan adalah sangat penting untuk memantau perkembangan pasaran rumah. Mengambil contoh di Australia, pembeli pertama diberikan subsidi antara AU$5,000 hingga AU$7,000 untuk rumah pertama.
  • Kita tidak menafikan kerajaan berusaha untuk menangani masalah harga rumah ini seperti melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang membina rumah mampu milik terutama kepada golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan.
  • Industri perumahan negara begitu rumit kerana ia melibatkan banyak pihak. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan satu pihak sahaja kerana ia adalah tidak adil. Semua pihak harus memainkan peranan agar masalah ini dapat diatasi. Jika puncanya adalah rasuah, maka kita harus terapkan nilai-nilai murni kepada rakyat Malaysia agar tidak berlaku penganiayaan kepada pembeli rumah.
  • Bagi yang beragama Islam pula, sudah tersedia ada nilai-nilai agama yang perlu diamalkan dan bukan hanya disebut di bibir sahaja. Memang senang untuk memetik ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis Nabi, tetapi apa yang lebih penting adalah setakat mana ia diamalkan.
  • Jika suapan RM20,000 sudah terbentang di depan mata, mungkinkah segala nilai agama yang sering digembar-gemburkan itu akan melayang begitu sahaja. Maka apa yang tinggal hanyalah kata-kata retorik yang tidak memberi apa-apa makna pun.
  • Jika umat Islam mengamalkan nilai-nilai agama sepenuhnya, mungkin banyak masalah di negara ini akan dapat diselesaikan, termasuklah isu perumahan ini. Kita dapati agama Islam sentiasa mementingkan keadilan sosial serta perseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat.
  • Ini adalah supaya setiap individu dapat menikmati taraf hidup yang sempurna sejajar dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Bahkan memenuhi keperluan asasi hidup manusia merupakan sebahagian daripada maqasid syariah.
  • Di dalam Surah al-Hasyr: 7, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu". Ayat ini menerangkan bahawa tidak harus harta kekayaan itu hanya berlegar dalam satu bilangan kecil tanpa kelompok yang lain.
  • Apatah lagi jika kekayaan tersebut menghindarkan orang lain daripada memenuhi keperluan asasi hidup mereka seperti memiliki sebuah rumah yang selesa. Keadaan yang tidak adil dan seimbang ini akan terus menerus menindas dan menzalimi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki sebuah rumah.
  • Bahkan lebih malang lagi apabila sebahagian besar rakyat akan rasa terhina apabila tidak mampu untuk membeli rumah di negara sendiri dan hanya melihat rumah-rumah tersebut dimiliki oleh golongan yang tidak sepatutnya. -- IKIM

No comments:

Post a Comment