Thursday 4 December 2014

Komplot tawan Putrajaya kian agresif

  • SEORANG pakar strategis dan think tank kepada pentadbiran kerajaan sebelum Datuk Seri Najib mendedahkan satu maklumat kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menurutnya perlu dibocorkan sebelum terlambat. Ia membabitkan soal kawasan pilihan raya. Walaupun isu ini bukan baharu atau luar biasa namun ia perlu dimaklumkan supaya nanti nasi tidak menjadi bubur.
  • Pihak pembangkang sekarang bukan macam yang dulu-dulu. Mereka sudah ada duit. Mereka ada dua negeri yang amat kaya iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Ditambah dengan semangat mahu menakluki negara Malaysia ini pada PRU akan datang, tindak-tanduk mereka cukup istiqamah.
  • Konon ceritanya DAP dan pakatan pembangkang lain sedang menjalankan kerja-kerja sulit mereka mendaftarkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain secara agresif sekali. Mereka mengalihkan pengundi tegar mereka dari satu kawasan yang majoriti besar ke satu kawasan lain bagi membolehkan mereka menang di situ.
  • Pengundi itu tidak semestinya akan berpindah secara fizikal. Hanya alamat sahaja yang berubah. Semasa pilihan raya nanti mereka akan mengundi di kawasan alamat baharu itu. Misalnya kita ambil contoh di Parlimen Seputeh yang majoriti DAP cukup besar melebihi 50,000 undi. Kempen dilakukan secara sistematik menukar pendaftaran pengundi dari situ, contohnya ke kawasan yang BN menang terlalu kecil, termasuk di bawah 1,000 undi.
  • Menurut maklumat itu ia sedang dilakukan di mana-mana. Bagi menjaga sensitiviti maka tidak perlulah saya sebut di mana kempen-kempen penerangan dan proses itu dijalankan. Pernah dulu saya mendengar ramai pengundi dari kawasan Kedah bersempadan dengan Pulau Pinang kononnya dipindahkan ke Pulau Pinang bagi memastikan DAP terus memerintah negeri itu.
  • Mereka cukup fokus dalam strategi ini. Tidak pasti apakah parti lawan daripada pembangkang itu sedar mengenai perkara ini? Tidak pasti apakah BN sendiri pun melakukan perkara yang sama?
  • Apakah peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hal ini? Apakah mereka sedar berlakunya lonjakan pengundi yang luar biasa dalam sesuatu kawasan. Jika berlaku apakah tindakan mereka? Ini semua ialah strategi untuk berperang. Siapa bijak dialah yang menang. Siapa lambat dialah yang kena pancung.
  • Pada masa yang sama Jabatan Pendaftaran juga perlu semak pertukaran alamat seseorang individu itu mesti dilakukan secara fizikal bagi mengelakkan berlakunya komplot menipu pada musim pilihan raya umum.
  • Mungkin sudah sampai masa bagi Jabatan Pendaftaran perlu mewajibkan seseorang yang mahu berpindah alamat menyertakan dokumen lebih lengkap termasuk gambar keluarga di kediaman baru dan siasatan perlu dilakukan mengenai status dan lokasi pemilik asal kediaman baru itu.
  • Mungkin juga ramai tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana maklumat sebegitu boleh disifatkan menganggu privasi individu. Lagi pula perpindahan ke mana sekali pun dalam Malaysia tidak menyalahi mana-mana peraturan atau perundangan negara.
  • Akhirnya keputusan pilihan raya di sesuatu kawasan tidak memberi gambar sebenar kerana ia dipengaruhi pengundi sah tetapi tidak wujud di kawasan itu. Fenomena ini bukan baru berlaku tetapi ia semakin menjadi-jadi.

Anwar ada tiga lagi gelaran Datuk Seri

  • Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kebiadapannya mempersoalkan kewibawaan institusi istana sejak penghujung 2013.
  • Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Selangor hari ini, penarikan Darjah Kebesaran Seri - Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.SA) yang dikurniakan kepada ketua umum PKR sejak 1992 itu berkuatkuasa pada 3 November.
  • "Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor memutuskan Darjah Kebesaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014, selaras dengan kuasa baginda sebagai sumber bagi segala penghormatan dan kebesaran dalam Selangor serta kuasa untuk menurunkan Darjah Kebesaran sepertimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959," kata kenyataan itu.
  • Menurut kenyataan itu, keputusan untuk membatalkan gelaran Anwar itu berikutan beliau "berulang kali mempersoalkan integriti Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi Raja dalam krisis menteri besar baru-baru ini".
  • Menurut kenyataan itu, Sultan Selangor membuat keputusan itu selepas berunding dengan Majlis Diraja Selangor, selaras dengan kuasa Sultan untuk memberikan gelaran itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.
  • Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya berkata tindakan dan tingkah laku penasihat PKR itu menunjukkan Anwar tidak layak lagi memegang apa-apa anugerah.
  • Walaupun ditarik oleh Selangor, Anwar mempunyai sekurang-kurangnya 3 lagi anugerah yang membawa gelaran 'Datuk Seri' yang diterimanya pada 1999.
  • Antaranya Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) dari Negeri Sembilan, Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) dari Pulau Pinang (membawa gelaran Datuk Seri Utama ) dan Sabah - Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) (membawa gelaran Datuk Seri Panglima).
  • "Penarikan darjah kebesaran itu adalah berasaskan tindakan dan perlakuan beliau sejak akhir 2013 ini yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan menteri besar Selangor pada tahun ini dan hal berkaitan isu agama Islam di mana dimaklumi umum Sultan mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama seperti mana termaktub mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
  • "Tindakan dan perlakuan beliau ini adalah tidak lagi seorang yang sesuai untuk memegang darjah kebesaran ini lagi," kata kenyataan itu.
  • Kemelut menteri besar di Selangor bermula apabila PKR memulakan Langkah Kajang, yang menyaksikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kemudiannya disusuli pilihan raya kecil dan dimenangi isteri Anwar, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
  • Susulan keputusan itu, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) bersetuju untuk menggantikan Dr Wan Azizah dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
  • PAS bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan itu sekali gus menyaksikan berlaku pergeseran antara parti komponen PR itu sehingga kini.
  • Keengganan Khalid untuk melepaskan jawatan menyaksikan beliau dipecat PKR sekali gus menjadikan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal daripada blok Bebas.
  • Sultan Selangor kemudiannya berkenan melantik Adun Bukit Antarabangsa, yang juga timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar, selepas menolak pencalonan daripada DAP dan PKR yang hanya menghantar nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Khalid.
  • Ekoran penarikan semula gelaran itu, beberapa penganalisis politik menyifatkannya sebagai bonus kepada Anwar kerana beliau dan juak-juaknya boleh menjaja cerita di seluruh dunia bahawa dia sekali lagi menjadi mangsa politik Umno yang selama ini mempengaruhi dan mengawal institusi istana.
  • Isu simpati mungkin menjadikan dia semakin popular walaupun terpaksa meringkuk di penjara tidak lama lagi gara-gara kes meliwat. Bukan saja beliau kian popular malah PKR dan Pakatan Rakyat juga turut tumpang semangkuk.
  • Khabarnya Pakatan Rakyat mengambil kesempatan itu untuk menghasut rakyat supaya terus membenci kerajaan dan institusi istana. Lebih parah lagi puak Pakatan sudah menjaring pengaruh di Sabah dan Sarawak supaya menentang BN.