Wednesday 22 April 2015

Gambar palsu Najib mati menguji benteng Akta Hasutan


  1. Lagi penghinaan dilakukan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak. Terkini, seorang wanita dikenali Connie Chong memuat naik gambar palsu upacara kematian Perdana Menteri di laman Facebook.
  2. Pada laman sosial itu, kelihatan potret Najib dikelilingi beberapa sami buddha yang menjalankan upacara menyempurnakan kematian mengikut adat kaum Cina.
  3. Sehingga laporan ini dibuat, lebih 14,000 pengguna FB sudah melayari laman itu. Susulan itu seorang pengguna FB Pulau Pinang telah membuat laporan polis berhubung perbuatan biadap itu.
  4. Beliau menyifatkan perbuatan Connie sebagai kurang ajar dan menjurus kepada tindakan provokasi perpecahan kaum.
  5. Tindakan Connie itu juga mendapat kecaman pengguna facebook yang menyifatkan perbuatan beliau sebagai cukup kurang ajar dan mahu beliau ditangkap serta dipenjarakan.
  6. Ada juga yang melahirkan kekecewaan kerana perbuatan sedemikian sudah berlaku beberapa kali dan mahu pihak polis bertindak tegas terhadap pelaku perbuatan terbabit.
  7. Tentunya, rakyat mahu pelaku tidak beradab ini ditangkap dan dikenakan tindakan keras malah rakyat tentu juga mahu bentuk hukuman terhadap beliau diwar-warkan sebagai langkah pencegahan dari berulang. Sampai bila kita mahu pemimpin kita dihina sebegini?
  8. Jawapannya mudah. Rakyat tak perlu melatah. Rujuk kembali kepada Akta Hasutan (Pindaan) 2015 yang baru saja diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
  9. Pada akta baru itu sesiapa saja termasuk pembangkang, aktivis, ekstrimis dan kumpulan anti-establishment di Malaysia dibenar mengkritik kerajaan pada tahap maksima.
  10. Lebih tepat lagi perbuatan menghasut sehingga mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak akan menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan.
  11. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa pindaan itu di Dewan Rakyat selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka kepada rakyat.
  12. Dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia.
  13. Ini bererti perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia juga tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut, dan dengan itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah akta itu.
  14. Bagaimanapun, bagi melindungi kesucian agama yang dianuti masyarakat berbilang kaum di negara ini, kerajaan mencadangkan mana-mana individu yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan atas alasan agama, dianggap melakukan kesalahan di bawah akta itu.
  15. Bagi mengelak kekeliruan, berhubung dengan agama Islam, agama merujuk kepada Hukum Syarak sebagaimana yang termaktub di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan tidaklah termasuk apa-apa ajaran sesat.
  16. Jadi kesimpulannya, orang ramai tidak lagi boleh melatah apabila pemimpin mereka dihina dan dicemuh di khalayak ramai termasuk dalam internet. Akta sudah dibuat sedemikian. Salah siapa, tepuklah dada tanya otak.


Nur Jazlan ramal kudeta Umno dan PRU14 tahun ini


  1. Nun dari selatan tanahair seorang pemimpin Melayu kontroversi telah membuat beberapa ramalan yang menggegarkan 30 juta rakyat Malaysia termasuk barisan kepemimpinan Kerajaan Persekutuan.
  2. Ahli Parlimen Umno Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed menulis dalam blognya dengan meramal kemungkinan berlakunya `kudeta’ dalam Umno tidak lama lagi bagi menjatuhkan presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  3. Dalam pada itu beliau juga meramalkan PRU14 akan dilakukan pada tahun ini juga bagi memastikan Umno dan BN terus menerajui negara untuk musim seterusnya. Apakah alasan ramalan Nur Jazlan itu, sama-sama kita lihat blognya seperti berikut.
  4. Skrip dalam Umno ketika ini, bukan sesuatu yang baru dan ia sudah diakui semua pimpinan tertinggi parti bahawa satu-satunya parti prakemerdekaan di negara ini pernah melalui segalanya.
  5. Daripada memecat pemimpin nombor dua tertinggi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke episod parti diharamkan pada 1998, Umno atau lebih tepat lagi Umno Baru kini mengharungi episod baru yang penuh duri dalam helaian sejarahnya.
  6. Apa yang disaksikan kini dengan semua pihak atau lebih tepat lagi semua sayap dan sesetengah Badan Perhubungan Umno negeri menyatakan sumpah taat setia kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, bukanlah sesuatu yang memelikkan, menghairankan atau mengejutkan.
  7. Ahli parti tidak perlu menoleh jauh ke belakang untuk melihat sokongan seperti ini, pernah diterima Presidennya yang keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebaik tamat Pilihanraya Umum (PRU) 12 apabila Pak Lah memimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno hanya mampu mencatatkan kemenangan 140 kerusi dengan Umno mendapat 79 kerusi.
  8. Bagaimanapun, Umno mencatatkan kenaikan dengan mendapat 88 kerusi pada PRU 13, dan ia pun hanya dapat dicapai ‘berkat’ mengambil semula kerusi majoriti Melayu daripada parti komponen BN.
  9. Sebaik tamat PRU 12 sudah didengari wujudnya gerakan tersusun untuk menjatuhkan Pak Lah daripada kerusi Perdana Menteri dengan menggantikan Najib sebagai Presiden Umno ketujuh dan Perdana Menteri keenam.
  10. Semua mengetahui Perdana Menteri Malaysia daripada BN adalah Presiden Umno dan hanya usaha menjatuhkan beliau daripada kerusi Presiden Umno lah yang akan membawa kepada pertukaran kuasa sebagai Perdana Menteri.
  11. Buat masa ini, kedudukan Najib sebagai Presiden Umno secara lahiriah masih lagi kukuh namun kehilangan panglima perang politiknya yang paling kanan, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis berkemungkinan menyebabkan beliau sendiri kehilangan arah.
  12. Manakala daripada segi pentadbiran pula, Najib kehilangan Ketua Staff Sri Perdana, Datuk Azlin Alias serta Setiausaha Sulitnya, Datuk Po’ad Jelani, boleh diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
  13. Sudah dua minggu arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis meninggal dunia akibat nahas helikopter di Kajang, Selangor dan dalam tempoh dua minggu itu jugalah, rakyat Malaysia memerhatikan Datuk Seri Najib seakan berseorangan mempertahankan dirinya.
  14. Terpalit dengan pelbagai isu daripada soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara hinggalah berkaitan keluarganya, Najib sebenarnya, kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu meruncing.
  15. Apa tidaknya, kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai rekod sejarah cukup baik menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman kemudian Pak Lah, Najib sewajibnya sedar dan perlu membuka mata serta hati bahawa kenyataan terbuka diterimanya kini, mungkin hanya bersifat retorik semata-mata.
  16. Amat jarang sekali seorang Perdana Menteri terpaksa membuat tembual di televisyen secara terbuka bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri kerana kebiasaannya ia dilakukan di belakang tabir atas hubungan bapa dan anak.
  17. Namun hasil temubual itu, nampaknya langsung tidak menyakinkan Tun Dr Mahathir dan juga menambahkan lagi kurang keyakinan di kalangan rakyat sehingga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal terus menuntut Perdana Menteri menjawab persoalan berkenaan.
  18. Selepas pengisytiharan solidariti Ketua Umno Bahagian di PWTC awal bulan ini, kenyataan Shafie itu membuka semula kemungkinan berlaku kudeta secara teratur dalam pimpinan tertinggi Umno seperti yang dialami Pak Lah sendiri pada 2008 walaupun ketika itu, daripada lahiriahnya semua menyatakan sokongan kepada Pak Lah.
  19. Umno yang kini dicap sebagai sebuah parti feudal sudah pasti di kalangan bangsawannya bertindak mengelilingi pemimpin apabila beliau diancam dan tradisi ini sama seperti dipamerkan golongan bangsawan Inca yang mengelilingi raja mereka apabila diancam penjajah Sepanyol 500 tahun lalu.
  20. Namun, nasib semua bangsawan Empayar Inca ini sama seperti dialami raja mereka apabila semua mereka dibunuh hingga menyebabkan rakyat mereka bertaburan melarikan diri dan runtuhlah Empayar Inca di Amerika Selatan.
  21. Saya sendiri mengakui secara terbuka dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor pada 2008 lalu kepada Pak Lah bahawa beliau perlu meletakkan jawatan akibat prestasi teruk BN dan Umno dalam PRU 12.
  22. Pada zahirnya, Majlis Tertinggi Umno, Sayap serta semua badan perhubungan Umno negeri secara terbuka bersetuju untuk pelan peralihan 18 bulan tetapi apa yang berlaku di belakang adalah wujudnya usaha mempercepatkan pemergian Pak Lah terus berlaku dan akhirnya ia menjadi kenyataan apabila Najib mengambil alih dalam tempoh kira-kira setahun selepas PRU 12 dan jelas mengengkari pelan peralihan itu serta sumpah taat setia kepada Pak Lah.
  23. Sifat bermuka-muka dalam Umno bukan satu perkara baru dan seorang ‘gentleman’ seperti Pak Lah pun boleh dimainkan apabila di depan menyatakan beliau mempunyai masa selama 18 bulan untuk berundur tetapi di belakang usaha gigih dilakukan untuk menyegerakan Pak Lah meletakkan jawatan.
  24. Sedar atau tidak sedar tempoh menghadapi PRU 14 sudah semakin hampir dan jika Umno terus dilanda masalah, bagaimana ia mahu memimpin parti komponen BN terutamanya daripada Semenanjung Malaysia seperti MCA, MIC dan Gerakan memasuki gelanggang PRU.
  25. Kelemahan parti-parti komponen ini bukan satu rahsia lagi dan mereka sememangnya bergantung kepada keperkasaan dan kekuatan Umno dalam memastikan kemenangan dalam PRU 14.
  26. Umno kini sedar musuh utama mereka bukan lagi Pakatan Rakyat yang sendiri berterabur dan bertelingkah sesama mereka, sebaliknya unsur dalaman parti yang sendiri akan membawa kepada kemusnahan parti dalam PRU 14.
  27. Disebabkan itu jugalah kesetiaan ahli Umno sama ada kepada pemimpinnya atau parti akan menjadi isu utama yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya oleh kira-kira tiga juta ahli parti ini.
  28. Pemimpin atau parti, yang mana perlu dipertahankan? Dan ketika ini, kedua-duanya tidak boleh datang bersama-sama dan pilihan perlu dibuat dengan segera memandangkan rakyat Malaysia terus memerhati dengan teliti.
  29. Krisis yang dihadapi 1MDB yang mulanya adalah masalah kewangan kerajaan kini melarat menjadi masalah kepada Umno secara langsung dan terbukti apabila ahli perniagaan, Jho Low secara terbuka menuduh Umno menjadi dalang kepada isu berkenaan.
  30. Walaupun, tiada pemimpin tertinggi Umno yang memberikan komen terhadap kenyataan anak kelahiran Pulau Pinang itu, tetapi kenyataan daripada Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican membuktikan ahli Umno tidak mahu parti dikaitkan dengan apa yang berlaku dalam 1MDB.
  31. Sedar atau tidak sedar apa yang berlaku dalam 1MDB melingkari kepada Najib sendiri selaku Menteri Kewangan, Perdana Menteri serta Presiden Umno dan sudah pastilah, beliau perlu bertindak segera bagi menenangkan ahli Umno dengan menidakkan kenyataan Jho Low itu, dalam memastikan sokongan terhadapnya terus padu.
  32. Di samping itu, masalah peribadi seperti kekayaan keluarga Najib juga menjadi persepsi utama yang perlu diatasi beliau sebelum rakyat mengaitkan masalah kewangan 1MDB berpunca daripada persepsi berkenaan.
  33. Sikap berdiam diri akan terus membawa kepada malapetaka terhadap Umno dan ia adalah sesuatu yang langsung tidak diperlukan parti kerana sehingga kini terpaksa terus menerus berada dalam mod bertahan apabila diserang dengan isu pembaziran, salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan.
  34. Rakyat perlu ditenangkan dengan memberikan gambaran bahawa Umno dan BN masih pilihan terbaik untuk menjadi parti pemerintah di negara ini, namun ketiadaan ‘track record’ baru untuk disandarkan daripada pemerintahan Najib membuatkan kegelisahan rakyat terhadap pimpinannya semakin ketara.
  35. Dua projek utama Najib yang mulanya dicanang akan membawa Malaysia kepada tahap ekonomi yang lebih baik iaitu 1MDB dan penubuhan Felda Global Venture (FGV) Bhd  kini seakan menjadi api dalam sekam kepada pentadbiran beliau dan pasti akan bertukar menjadi isu politik kepada Umno.
  36. Ramai pihak sudah mula mempertikaikan kewibawaan dua projek ini terutama sekali 1MDB dan jika selama ini, pucuk pimpinan kerajaan dan parti menyatakan serangan itu bermotif politik daripada pembangkang tetapi kini ia datang daripada Tun Dr Mahathir sendiri selain Tun Daim Zainuddin.
  37. Kedua-dua tokoh ini walaupun sudah bersara daripada kerajaan dan politik hampir 15 tahun lalu, tetapi masih berpengaruh besar memandangkan mereka mempunyai rekod sejarah yang dibanggakan rakyat Malaysia sehingga kini.
  38. Di sinilah letaknya perbezaan utama Mahathir dan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri kerana pada zaman Najib, beliau tidak mempunyai barisan menteri Kabinet yang berpengaruh terhadap rakyat.
  39. Najib dikelilingi penasihat ‘pandai memandai’ yang sebenarnya lebih banyak mementingkan perut masing-masing untuk mendapatkan projek daripada bermatian mempertahankan beliau dengan apa cara sekalipun daripada serangan-serangan ini.
  40. Lebih menyeksakan Najib lagi, pemimpin yang lantang bersuara mempertahankan beliau tidak mempunyai kredibiliti dan pengalaman sehingga segala hujah mudah dipatahkan bukan sahaja di kalangan pemimpin pembangkang malahan di kalangan rakyat biasa sahaja.
  41. Sama ada Najib masih boleh bertahan sehingga tempoh akhir Parlimen pada 2018 dengan segala serangan ini atau tidak, wallahhuallam…tetapi yang pasti lakon layar Umno ini bukan sesuatu yang memelikkan atau mustahil kerana tiada perkara yang pelik atau mustahil dalam parti ini.
  42. Kesudahannya pasti akan tiba, cuma lambat atau cepat sahaja yang menjadi persoalannya dan butang ‘reset’ paling cepat bagi memastikan segala isu yang melanda pentadbiran Najib dapat diperlambatkan adalah apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran kerajaan yang membawa kepada PRU 14.
  43. Ataupun Perdana Menteri memilih jalan singkat untuk membubarkan Parlimen dan membuat ‘snap election’ bagi mencuci persepsi negatif terhadap diri beliau dan keluarga dengan mendapatkan mandat yang baru.
  44. Persoalan timbul sama ada hayat pemerintahan BN dan Umno ini boleh dipastikan dengan ‘snap election’ ini bagi melanjutkan pemerintahan demi kepentingan parti terus terjamin.


Taman Medan jadi medan eksperimen konflik agama


  1. Kewujudan gereja baru di Taman Medan Petaling Jaya dilihat menjadi medan eksperimen konflik perundangan di antara kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
  2. Ini kerana isu itu dikatakan tertakluk pada Akta 133 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Seksyen 70 (12) manakala kerajaan negeri pula menggunakan keputusan Jawatankuasa Kerajaan Negeri Perhubungan Bukan Islam 2008.
  3. Keputusan jawatankuasa itu telah membenarkan gereja beroperasi di premis komersial atau pejabat tanpa permit tetapi melalui notis pemberitahuan kepada penduduk. Ia berdasarkan artikel 11, Perlembagaan Persekutuan merangkumi kebebasan beragama.
  4. Ternayata orang ramai khususnya umat islam bingung dan keliru samada Akta 133 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sudah terbatal dengan wujudnya keputusan kerajaan negeri pada 2008 atau akta itu masih boleh digunapakai kerana pemansuhannya setakat ini belum diwartakan.
  5. Ini bererti di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan, akta berkenaan telah dengan jelas menetapkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baru perlu mendapat kelulusan.
  6. Tiba-tiba kerajaan negeri Selangor memberitahu mana-mana rumah ibadat yang dibina di negeri itu tidak perlu permit.
  7. Pemberitahuan itu diumumkan ekoran kekecohan yang berlaku berkaitan gereja baru di Taman Medan yang diwujudkan tanpa kebenaran PBT.
  8. Susulan itu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan gereja yang terletak di unit rumah kedai itu tidak mempunyai lesen beroperasi sebagai tempat ibadat, serta tiada permit meletakkan salib pada bangunan itu.
  9. Lot kedai yang ditukar kepada tempat ibadat atau pusat meditasi mesti mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12) dan permohonan bertulis dengan aktiviti dinyatakan hendaklah dikemukakan untuk kelulusan, jelas pegawai perhubungan awam MBPJ Zainun Zakaria.
  10. Katanya, MBPJ memerlukan pematuhan ini bagi memastikan keselamatan penduduk menggunakan bangunan itu.
  11. Bagaimanapun, katanya, belum ada permohonan bertulis dikemukakan gereja baru itu setakat ini, kata Zainun, sambil menambah yang wakil pihak rumah ibadat itu masih boleh berbuat demikian.
  12. Beliau berkata semua tempat-tempat ibadat yang ingin memaparkan logo atau simbol pada bangunan mesti mempunyai permit majlis yang merupakan pihak berkuasa tempatan. Tidak kisah sama ada ianya (simbol) teratai, trident atau salib, permit majlis diperlukan.
  13. Penjelasan MBPJ itu dibuat bagi menyelesaikan kekeliruan penduduk setempat yang mengadakan protes pada Ahad, menuntut agar salib yang dipasang di tingkat atas rumah kedai itu diturunkan. Salib tersebut diturunkan pihak gereja beberapa jam selepas protes itu.
  14. Namun penjelasan MBPJ itu mengudang kekeliruan yang lebih besar apabila kerajaan negeri menafikannya. Nampak gaya pegawai perhubungan awam MBPJ bakal dikenakan tindakan disipilin, ditukar jabatan atau diberhentikan kerana memberi kenyataan yang tidak menyenangkan kerajaan PKR Selangor.
  15. Ini berikutan Exco Selangor Elizabeth Wong menegaskan gereja dibenarkan beroperasi di premis komersial tanpa permit, sekaligus memaklumkan gereja Taman Medan boleh meletakkan semula salib ke tempat asal dan beroperasi seperti biasa.
  16. Katanya, gereja yang beroperasi di premis komersil hanya perlu memaklumkan kepada penduduk setempat.
  17. MBPJ juga menjelaskan sejak 2008 Jawatankuasa Kerajaan Negeri Perhubungan Bukan Islam membenarkan gereja beroperasi di premis komersial atau pejabat tanpa permohonan permit tetapi melalui notis pemberitahuan kepada penduduk. Ia berdasarkan artikel 11, Perlembagaan Persekutuan merangkumi kebebasan beragama.
  18. Wong berkata, kenyataan pegawai MBPJ mengenai gereja itu beroperasi secara haram dan memerlukan permit adalah tidak benar.
  19. Tidak ada dalam polisi itu yang dipanjangkan dalam jawatankuasa. Notis pemberitahuan sudah mencukupi dan sekiranya penduduk atau ahli majlis mempunyai sebarang isu atau pertanyaan mereka boleh merujuk kepada kerajaan.
  20. Bagaimanapun terdapatnya peraturan sedia ada dalam bangunan rumah ibadah bukan Islam meliputi permohonan tanah bangunan, perobohan dan permohonan dana.
  21. Susulan daripada itu, Wong berkata satu pertemuan dianjurkan antara jawatankuasa MBPJ dan wakil gereja.
  22. Pada mesyuarat itu, jawatankuasa dimaklumkan gereja tersebut beroperasi sejak Ogos tahun lalu dan salib itu hanya diletakkan di luar premis Jumaat lalu.
  23. Mesyuarat itu juga membangkitkan isu kumpulan protes dipercayai daripada Umno mengasari penganut Kristian.
  24. Insiden itu memaksa pastor membawa turun salib ekoran bimbang dengan keselamatan penganjur Kristian.
  25. Dalam pertemuan tersebut kerajaan juga menyarankan gereja untuk mengembalikan salib ke tempat asal bagi menghentikan perbuatan yang bermotifkan politik.
  26. Wong berkata, kerajaan negeri juga mahu polis mengambil perhatian serius terhadap isu tersebut dengan memastikan keselamatan rumah ibadah dilindungi supaya insiden sama tidak berulang.
  27. Isu gereja Taman Medan juga mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata Kerajaan negeri Selangor berkuasa penuh ke atas status gereja yang menjadi kontroversi di Taman Medan, Petaling Jaya.
  28. Beliau berkata, Kabinet telah berbincang dan berpendapat, penduduk yang membuat bantahan mengenai pemasangan lambang salib itu sepatutnya tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
  29. Katanya, mereka juga sepatutnya berbincang dengan pihak yang berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan.
  30. Rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan beragama se­perti yang termaktub dalam Per­lembagaan. Kita hendaklah mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat menghormati antara kaum yang berbeza agama.
  31. Polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang telah mengadakan bantahan dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada jika sabit kesalahan,’’ katanya Najib.
  32. Katanya lagi, Akta Hasutan bertujuan menjamin keamanan dan keharmonian kaum di negara ini dan ia melindungi semua agama dan kaum.
  33. Manakala beberapa NGO Islam pula berpendapat, hampir 100 peratus penduduk di Taman Medan merupakan dan agak pelik sebuah gereja Kristian dibina di situ, seolah-olah ada muslihat tertentu.
  34. Mereka membayangkan mungkinkah ia satu titik cabaran bahawa umat Islam tidak boleh lagi mempertahankan kariah masing-masing atas nama demokrasi.