Friday 28 December 2012

Tan Sri Rozali ketuai misi kemanusiaan - Kor Pengendali Air 60 RAJD dan SYABAS salur bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur

Kor Pakar Pengendali Air 60 RAJD siap sedia membantu mangsa banjir
Tan Sri Rozali memunggah bekalan air mineral untuk keperluan mangsa banjir di Pantai Timur

  • KUALA LUMPUR: Pakar Pengendali Air dari 60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sekali lagi berganding bahu menjalankan misi kemanusiaan di pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.
  • Berikutan keadaan banjir yang dilaporkan semakin buruk di selatan Semenanjung, kira-kira 600 anggota RAJD di seluruh negara telah diarah berjaga-jaga dan bersedia untuk dikerahkan ke kawasan bencana di negeri masing-masing pada bula-bila masa.
  • Misi bantuan kemanusiaan dan menyalurkan bekalan air bersih kepada mangsa bencana banjir di Pantai Timur itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif SYABAS merangkap Kolonel (Kehormat) 60 RAJD di markas skuadron Selangor, Sungai Besi petang semalam.
  • Beliau berkata, matlamat utama misi bantuan itu adalah untuk menyahut seruan Kementerian Pertahanan Malaysia yang telah mengarahkan semua agensi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anggotanya untuk bersiap sedia digerakkan dan menyampaikan bantuan yang diperlukan.
  • Bagi merealisasikan matlamat itu, Tan Sri Rozali menjelaskan bahawa SYABAS dan 60 RAJD sentiasa siaga menggerakkan pasuka masng-masing dengan mengorak langkah menghantar 25 anggota pada peringkat permulaan. Anak beliau, Azlan Shah juga turut menyertai misi bantuan kemanusiaan dan bekalan air di Pantai Timur.
  • Katanya, penambahan anggota bantuan kemanusiaan akan dibuat oleh negeri-negeri lain jika keadaan banjir berterusan dan bertambah buruk.
  • Selain menyediakan bantuan kemanusiaan, SYABAS dan 60 RAJD turut membantu memberi bekalan air bersih kepada mangsa di kawasan yang terlibat.
  • Selain daripada itu sebanyak empat lori tangki air dan enam lori bagi mengangkut 6,000 botol minuman mineral secara berperingkat dan diletakkan dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.
  • Pasukan 60 RAJD juga siap sedia dengan `tangki air statik’ untuk dihantar ke kawasan bencana jika keadaan banjir berterusan.
  • Setakat ini SYABAS telah menghulurkan bantuan yang sama semasa kejadian banjir yang melanda Labis Johor dan Melaka pada 2011, Kedah dan Perlis pada 2010, Rompin pada 2007dan Tangkak, Johor pada 2006.
  • Bantuan yang bakal disalurkan ini adalah bagi memastikan semua mangsa banjir yang terlibat mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian, terutamanya untuk minum dan memasak semasa di pusat pemindahan.
  • SYABAS juga memaklumkan bahawa bantuan sumbangan yang bakal dihantar itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial SYABAS dan RAJD sebagai tanda keperhatinan dan bersama-sama turun  padang dengan masyarakat bagi membantu penduduk yang mengalami bencana.
  • Di RANTAU PANJANG, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akan diberi bantuan sebanyak RM500 bagi meringankan beban mereka.
  • Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan disalurkan sebaik sahaja mereka pulang ke rumah masing-masing dan arahan telah diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempercepatkan pemberian bantuan tersebut.
  • Selain itu katanya, mangsa banjir di negeri ini juga akan dipertimbangkan diberi bantuan lain di bawah tabung wang ihsan yang boleh digunakan untuk membaiki rumah, membeli pakaian dan makanan.
  • Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menasihatkan mangsa-mangsa banjir di negeri ini mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan sekiranya diminta berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian lebih buruk.
  • Beliau berkata, arahan tersebut bagi menjamin keselamatan mereka selain membolehkan pelbagai bantuan termasuk penjagaan kesihatan diberikan secara teratur di pusat-pusat berkenaan.
  • Malah katanya, penduduk yang masih enggan berpindah sepatutnya mengutamakan nyawa dan tidak bimbang berhubung keselamatan harta benda berikutan jaminan telah diberikan pihak keselamatan yang akan melakukan pemantauan berkala bagi mengelak kegiatan jenayah.
  • Azlan Shah Rozali turut serta dalam misi kemanusiaan
  • Dalam pada itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) yang bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.