Friday 8 April 2011

Mufti Pun Kena Buli Media - Elok Buat Media Sendiri





DOSA apa yang dibuat warga mufti hingga kena buli media seagama dengan mereka. Malah ada pihak meminta Jabatan Mufti seluruh negara membuat media sendiri bagi menyuarakan pandangan agar tidak "dipermainkan" media dan penajanya. Lebih parah lagi, ada pihak mahukan semua mufti letak jawatan sebagai tanda protes.


Kejadian berlaku ke atas Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memperlihat mufti memang "dibuli" media tertentu. Media itu dikatakan "menutup" teguran Harussani mengenai video seks sebaliknya mufti itu difitnah kerana memperkatakan isu remeh seperti poco-poco. Padahal Harussani berkata beliau telah membuat kenyataan mengecam tindakan mengedarkan video itu kepada media berkenaan tetapi kenyataan itu tidak disiarkan.

Hakikatnya pada masa kini banyak siaran akhbar mufti negeri disiarkan menerusi laman sesawang (websites) berikutan  tindakan beberapa media cetak tertentu "membakul sampahkan" kenyataan mereka.

Ada pihak melihat warga mufti bukan lagi sumber rujukan pemerintah kecuali pekara2 yang menguntungkan. Lantaran itu, beberapa cadangan baru dilahirkan dari minda pakar agama, antaranya:


1. Mufti mengadakan muzakarah secepat mungkin bagi mengeluarkan ketetapan agar tuduhan qazaf dihentikan, agar tidak ada lagi yang menanggung dosa setiap hari.


2. Mufti mendesak kerajaan negeri masing-masing mewartakan larangan melakukan tuduhan berupa elemen qazaf, kerana ianya termasuk dosa besar yang kesaksiannya tidak boleh diterima sampai bila- bila. Dibimbangi mereka yang berada dalam kategori ini menjadi saksi perkahwinan dan muamalah lain menyebabkan urusan tersebut tidak sah dan menanggung dosa sampai mati.



3. Mufti perlu boikot mana-mana majis pemimpin yang gagal mengambil perhatian terhadap kesalahan besar dan telah dibuat teguran oleh mufti. Ini akan mencerminkan ketegasan mufti sebagaimana dikehendaki dalam hadis Rasulullah "Bilamana zahir penyelewengan dalam urusan agama, hendaklah orang alim di kalangan kamu menzahirkan pendirian dan ilmunya (sikapnya)."

4. Mufti letak jawatan sebagai tanda protes kerana tiada guna kewujudan jabatan mufti kalau pandangan mereka disembunyikan oleh media pemerintah sehingga rakyat biasa tidak mengetahui pandangan mufti.


-------------------

Mufti Perak menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau membisu berhubung pendedahan rakaman video seks yang didakwa melibatkan pemimpin politik pembangkang sebaliknya menegaskan sejak video disebar beliau membuat teguran bahawa pendedahan itu mengaibkan pihak yang belum dibuktikan kebenarannya.


--------------------
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berpendirian tegas rakaman video aksi seks, didedahkan bulan lalu oleh “Datuk T” yang didakwa melibatkan pemimpin politik kanan, tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mendakwa pelaku terbabit di mahkamah syariah.

Kepada PAS, Umno, DAP, PKR: Hentikan politik SELAK kain!




















OLEH: DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


Saya mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor. Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek dalam kalangan politikus dan media di negara ini. Kita menentang POLITIK LUCAH dan POLITIK SELAK KAIN. Semua rakyat Malaysia yang bermaruah dan mempunyai harga diri sebagai manusia bertamadun menuntut perkara-perkara berikut;


1. Semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat. Ia adalah amalan jijik dan kotor. Samada dalam UMNO, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; samada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang. Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain.

2. Bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini. Ini akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif. Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan.

3. Media hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik. Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.

4. Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif. Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita. Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri.

5. Rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti. Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran.