Saturday 21 December 2013

Pesan Berita Harian kepada kerajaan, bersusahlah bersama rakyat

Orang ramai gelisah dengan kemungkinan kenaikan harga barang.
  • Kunta Kinte nak kata, kesilapan paling besar mana-mana pihak adalah anggap orang ramai tak peduli atau tak tahu.
  • Sekarang bukan macam dulu lagi. Dulu banyak orang buta huruf, saluran maklumat tak banyak dan kalau berjalan pun dekat-dekat saja. Jadi tak banyak berita dan cara nak bertukar-tukar fikiran pun terhad.
  • Sekarang kita belum habis bercakap, orang sebelah kita dah ‘tweet’ kenyataan kita. Kita belum habis menguap, orang sebelah kita dah ‘instagram’ gambar kita. Dalam masa beberapa saat satu dunia tahu.
  • Silap besar kalau ada pemimpin dan pembesar, parti politik dan kerajaan masih sangka rakyat jelata dan orang ramai tak tahu atau tak peduli.
  • Ambil contoh kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pengurangan subsidi sekarang. Rakyat mungkin tak tahu butir kenaikan, tapi oleh sebab mereka yang kena tanggung, mereka buat macam-macam andaian dan kesimpulan. Kalau media massa arus perdana tak bincang, mereka cari dan guna saluran lain.
  • Pengguna kita dah biasa dengan naik turun harga barang ikut musim dan perayaan. Yang mereka tak puas hati ialah pihak yang jaga hal ehwal pengguna nampak macam tak peduli dan tak bermaya. Kalau pantau pun macam hangat-hangat tahi ayam.
  • Mereka lagilah marah bila dua tiga subsidi dikurangkan serentak, cukai pintu naik lepas pilihan raya umum 5 Mei lalu dan rakyat dengar macam-macam cerita yang tak sedap.
  • Bila subsidi dikurangkan serentak, harga pun naik serentak juga. Lepas tu, ada pula yang jawab keluhan rakyat dengan cara kasar dan menyindir.
  • Jangankan orang susah, orang senang pun ada masalah. Harga naik bila ibu bapa tengah pening fikir belanja sekolah anak. Sekolah buka dua minggu lagi. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, ‘timing’ tak berapa kena.
  • Kunta Kinte dah sebut yang subsidi bukanlah baik kepada ekonomi dan tak ada negara yang boleh tanggung subsidi selama-lamanya.
  • Beri pemahaman kepada rakyat. Tapi kenalah cerita kepada rakyat dengan cara yang mereka faham. Dulu kita boleh bagi macam-macam subsidi pasal bilangan rakyat kita tak ramai. Hasil negara banyak. Harga dan permintaan barang pengguna tak tinggi. Jadi belanja subsidi tak berapa banyak.
  • Sekarang rakyat kita makin ramai. Tak cukup dengan itu, kita tampung pula berjuta-juta pendatang asing. Permintaan makin bertambah, tapi hasil negara macam petroleum dan gas makin kurang. Harga eksport utama macam minyak sawit jatuh. Harga getah pun jatuh juga. Peneroka dan penoreh getah susah.
  • Jadi kalau kita tak mahu berhutang sampai muflis dan nak simpan sikit sumber petroleum dan gas untuk anak cucu kita, kita kenalah kurangkan subsidi. Kalau tidak, hasil bumi kita habis, hutang bertimbun dan anak cucu kita kena tanggung pada masa depan. Tak patutlah macam tu.
  • Lagipun cara kita bagi subsidi tak adil. Pengguna miskin yang pakai motosikal 75cc dapat subsidi petrol. Tan Sri yang pakai kereta 5,000cc pun dapat juga.
  • Tuan motor pakai 100 liter sebulan dapat subsidi RM53. Tan Sri pakai 100 liter sehari dapat subsidi RM1,590 sebulan. Orang susah dapat subsidi gula, jutawan dan syarikat minuman pun dapat juga.
  • Ada baiknya kita kurangkan subsidi berperingkat-peringkat, tapi jangan sampai harga barang dan perkhidmatan melambung.
  • Duit yang dijimatkan itu boleh kita guna dengan cara yang lebih adil macam tambah BR1M, tambah bantuan pelajaran, bina rumah murah untuk rakyat miskin dan bantu mereka menabung.
  • Kena sama-sama susah. Kunta Kinte kata, kalau pemimpin tahu rakyat susah akibat kenaikan harga, mereka pun kenalah sama-sama susah.
  • Tak perlulah terbang 1st Class dalam dan luar negara. Tak payahlah buat majlis rasmi mahal-mahal. Tak perlu bilik menanti, meja VVIP dan hidangan khas. Hiduplah macam rakyat bila di depan rakyat. Rakyat pun janganlah layan pemimpin seolah-olah mereka anak raja. Mereka wakil kita. Kita yang undi mereka.
  • Duduk dan makan dengan rakyat jelata sekali-sekala tak boleh ke? Sedap mata memandang, sedap lagi telinga mendengar. Ular menyusur akar tidak hilang bisanya.Wallahua’lam. -- Kunta Kinta BH

Berlumba-lumba nak naik harga

Semua barang nak naik menyebabkan orang ramai `naik minyak'.

  • Saya boleh faham jika ramai malas mahu fikir tentang azam tahun baru, walaupun kita sudah hampir di ambang 2014. Barangkali ada yang mahu mengisytiharkan tahun 2014 sebagai ‘Tahun Bersusah Hati”. Lebih tepat kalau disebut ‘Tahun Naik Harga’. Tentunya pembaca budiman tahu kenapa.
  • Kata orang, yang turun hanya hujan. Lain daripada itu semuanya naik. Ada yang sudah naik dan ada yang ‘berbaris’ untuk naik. Tidak lama selepas PRU13, ramai terpinga-pinga apabila harga minyak RON95 naik 20 sen seliter, kemudian harga gula pula naik 34 sen sekilogram.
  • Tindakan pantulannya, pelbagai harga barang, makanan dan kos perkhidmatan turut naik.Tambang bas, sewa bas sekolah, sewa teksi, sewa lori, harga ayam, roti canai, teh tarik dan macam-macam lagi harga barang dan upah perkhidmatan yang disedari atau tidak, naik atau mahu dinaikkan.
  • Tahun depan juga nampaknya boleh dilabel sebagai ‘Tahun Misali’ dari aspek kenaikan harga dan bayaran perkhidmatan.
  • Kadar tarif elektrik akan naik, tambang transit aliran ringan (LRT) akan naik, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikuatkuasakan (pada 2015), perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dalam proses untuk ditandatangani dan berita terbaharu dan paling mencabar ialah kadar tol di 15 lebuh raya di seluruh negara juga akan naik.
  • Ada yang menyebut kenaikannya ialah antara 50 sen dan RM1.Yang muktamad belum diketahui, tetapi Sinar Harian, akhbar cakna yang memilih tajuk muka depan ‘TOLONGLAH JANGAN NAIK’ kelmarin dan ‘TAK PERLU NAIK’ semalam, menyiarkan kadar kenaikan tol yang menjadi spekulasi.
  • Antaranya Lebuhraya Smart (naik RM1), Sungai Besi Besraya (naik RM0.70) dan Kuala Lumpur-Putrajaya (naik RM1). Semuanya belum sah, namun ia tetap membimbangkan pengguna biasa. Menurut menteri, yang juga bekas ahli korporat, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pengguna jalan raya yang anggap kenaikan tol itu terlalu tinggi boleh guna jalan alternatif.
  • Tidak diragui beliau berniat baik, tetapi malangnya, dalam ‘cuaca panas’ seperti ini, nasihatnya itu jadi bumerang. Ada pengguna yang cabar beliau tunjukkan jalan alternatif yang tidak perlu bayar tol untuk ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya kepada mereka yang tinggal di kawasan Kajang, umpamanya. Selain kawasan itu dan di Lembah Klang, tentu ada banyak lagi kawasan di mana pengguna jalan raya tidak boleh elak lebuh raya bertol.
  • Maaf cakap, bila membaca nasihat Abdul Wahid, teringat pula kenyataan seorang menteri yang pernah menasihatkan pengguna supaya jangan makan ayam jika harga ayam naik.Teringat juga riuh-rendah berlaku berikutan isu menetapkan jangka hayat kenderaan di jalan raya, baru-baru ini.
  • Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kenderaan yang berusia terdedah kepada pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan. “Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima dan 12 tahun,” katanya.
  • Kenyataannya mengundang pelbagai reaksi. Banyak pihak - ahli politik, NGO dan individu - tidak setuju sekiranya kenderaan lebih 12 tahun diharamkan di jalan raya. Mereka menentangnya atas alasan jika ia dikuatkuasakan, rakyat biasa akan menanggung hutang hingga selepas mati.
  • Bagi yang kaya dan mampu, barangkali ia bukan suatu masalah, tapi bagaimana dengan orang biasa yang tidak banyak wang, tapi perlu membayar hutang, bil dan sebagainya yang makin meningkat? Ada kah statistik menunjukkan kenderaan lama menyebabkan banyak kemalangan?
  • Setahu kita, kereta lama lebih digunakan pada jarak dekat. Yang banyak terlibat dalam kemalangan ngeri ialah kenderaan baru. Maknanya kemalangan berlaku bukanlah kerana usia kenderaan, tetapi akibat cuai dan kelajuan.
  • Apa pun agak selesa sekejap apabila Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi memberitahu Dewan Negara baru-baru ini kerajaan tidak bercadang melaksanakan polisi jangka hayat kenderaan.
  • Katanya, sebarang cadangan berhubung perkara itu perlu diperhalusi dari aspek sosioekonomi kepada rakyat. Dalam kes ini, pemilik kereta lama, buat sementara, boleh berasa lega dan tidur lena, tetapi ini tentunya bukan penamat bagi segala masalah berkaitan kenaikan harga dan kos hidup. Lepas ini entah apa pula barang yang akan naik harga.Tongkat dagu dan tunggu.  – Farush Khan

Perjuangan menegakkan Islam

Masih ramaikah umat Islam Malaysia sanggup berjuang ke jalan Allah.

  • TIRAI 2013 akan dilabuhkan beberapa hari sahaja lagi dan selepas itu 2014 akan menanti kita semua. Dalam masa sama, kita cuma ada enam tahun lagi untuk menuju Wawasan 2020. Kita semua perlu merancang untuk menghadapi tahun-tahun mendatang ini supaya dapat mencapai matlamat.
  • Dalam kita merancang agenda kerja tahun 2014 hendaklah agenda pembangunan Islam diutamakan, kemudian agenda memperkasakan ekonomi Melayu, agar kita dapat bersama-sama membangunkan umat Islam dalam negara ini.
  • Kepada semua orang Islam bermula dari kepimpinan negara,  kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta seluruh syarikat yang dimiliki orang Islam hendaklah menjadikan agenda Islam sebagai dasar dalam segala perancangan dan matlamat.
  • Walaupun mengetahui negara kita amat menitikkan berat hal berkaitan agama Islam dan orang Melayu yang beragama Islam, namun usaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh, terutama perlu dimainkan oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang menjurus kepada Islam lebih perlu dimaksimumkan.
  • Memasarkan Islam. Umpamanya kita mempunyai Tabung Haji yang menguruskan hal-hal berkaitan jemaah haji tetapi percayalah usaha dalam memberi kesedaran kepada masyarakat Islam dalam negara ini agar cepat-cepat mendaftar bagi menempah pemergian haji yang masih perlu diterangkan dan dijelaskan dari semasa ke semasa.
  • Masih ramai masyarakat Islam di luar sana belum lagi membuka akaun Tabung  Haji, bahkan mendaftar RM1,300 untuk menempah tahun menunaikan haji masih boleh diperluaskan. Begitu juga hal zakat. Secara amnya kesedaran masyarakat Islam untuk membayar zakat ini boleh dikatakan tinggi, namun perlu diambil perhatian kebanyakan pembayar zakat ini lebih gemar membayar sendiri kepada asnaf tanpa melalui kerajaan.
  • Sedangkan membayar zakat melalui kerajaan itu lebih afdal dan lebih berkesan. Hal ini kerana kerajaan lebih mempunyai maklumat dan  berautoriti dalam melaksanakan pungutan zakat mahu pun pengagihannya.
  • Kita tidak nafikan kebanyakan pembayar terdiri daripada individu Islam, namun kita jangan lupa terdapat banyak lagi syarikat  multinasional dan konglomerat yang bersedia untuk membayar zakat atas dividen-dividen yang diagihkan kepada setiap pemegang saham. Mereka adalah insan-insan yang perlu didekati supaya dapat menarik mereka membayar zakat melalui pihak kerajaan.
  • Dalam masa sama, selain zakat kita jangan lupa amal jariah dan sedekah. Ini pun adalah syariat Islam. Amal jariah dan sedekah bukanlah perkara kecil dalam Islam. Bukti kepentingan sedekah dan amal jariah  ini, menyebabkan kerajaan melalui agensinya yakni YaPEIM ditubuhkan bagi memasarkan amal jariah ini berjalan dan berterusan kepada seluruh umat Islam dalam negara ini terutama kakitangan awam mahu pun swasta.
  • Kempen kepada seluruh pekerja Islam berkaitan amal jariah dan sedekah ini belum boleh lagi dikatakan maksimum. Jumlah kaum Muslimin yang menyertai amal jariah melalui YaPEIM sedikit berbanding yang masih belum bersama-sama dengan amal jariah  YaPEIM ini.
  • Sesungguhnya Nabi bersumpah dengan mengatakan “Tidak akan kurang harta seseorang hamba dari sedekah yang dikeluarkan” (Hadis sahih, HR Tirmidzi) Maka, setiap daripada kita hendaklah saling membantu dan bersama-sama memasarkan dan berkempen untuk agenda Islam ini dengan kapasiti yang ada pada diri sendiri.
  • Ketaatan. Motivasi orang Islam dalam merancang, bekerja dan memastikan apa yang kita rancang itu tercapai adalah nilai iman dan akidah dalam diri. Iman dan akidah yang sahih dapat membekalkan kita motivasi untuk terus berazam, berusaha dan tidak mudah berputus-asa dalam sesuatu perkara yang dilaksanakan. Sifat malas, lemah, mudah putus asa dan cepat mengaku kalah tidak sewajarnya ada pada diri seorang Islam yang mengaku mengikut al-Quran dan Sunnah.
  • Kita tidak boleh memiliki sifat-sifat negatif ini dalam usaha untuk menghadapi 2014 hingga 2020 nanti, bahkan selepas dari itu, tentu perlukan banyak pengorbanan. Mana mungkin kita ingin mencapai sesuatu matlamat tapi tiada apa-apa usaha dan pengorbanan dilakukan. Hal ini adalah mustahil.
  • Sejarah Islam membuktikan ketaatan kepada pemimpin dalam hal kebaikan dapat menjadikan Islam itu kuat dan berkembang. Sahabat-sahabat Nabi, para tabiin dan generasi salafus soleh mentaati pemimpin sejajar dengan panduan al-Quran dan Sunnah.
  • Hasilnya ALLAH SWT kurniakan empayar Islam seluas 2/3 bumi. ALLAH limpahkan juga kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi serta kemajuan ketamadunan yang hebat di atas ketakwaan mereka.
  • Begitu juga kita, dalam mencapai matlamat dan agenda negara, hal mentaati dasar pemimpin dalam perkara kebaikan dapat menjamin kelangsungan kekuatan agama Islam, syariat dan syiarnya. Pekerja Islam yang berada di mana-mana organisasi pun perlu bersama-sama dengan majikan mereka dalam merangka, merancang dan melaksanakan segala apa telah ditetapkan. Jika tolong-menolong dalam hal kebaikan ini dapat direalisasikan insya-Allah matlamat akan mudah dicapai.
  • Tidak banyak perlu kita lakukan, kerana dalam membuat sistem dan mengawal sistem yang diimplementasikan pihak kerajaan, bermula dari era Tunku Abdul Rahman sehinggalah era Tun Dr Mahathir, telah meletakkan pelbagai rancangan dan dasar pembangunan.
  • Cuma tinggal kita sahaja untuk menggerakkannya semaksimum mungkin dalam organisasi dan bidang kerja supaya dapat berlari seiring mencapai matlamat negara.
  • Ditambah pula dengan dasar 1Malaysia bagi melicinkan dan memudahkan kita untuk mencapai matlamat ke arah pembangunan negara, khususnya Islam dan umat Islam. Kerangka dan dasar 1Malaysia merupakan pelan menuju Wawasan 2020.
  • Segala pembaikan melalui transformasi-transformasi yang dapat kita lihat bukanlah bertujuan menghancurkan agama, bangsa atau negara tetapi pemangkin untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup umat Islam.
  • Perjuangan dan matlamat. Kita jangan asyik merungut dengan sesuatu yang kita tidak pasti, barangkali apa yang kita rungutkan itu sebenarnya boleh membawa kebaikan. Kadang-kadang yang negatif itu adalah dalam diri kita sahaja padahal kita tidak mengetahui pun apakah kebaikannya.
  • Kita juga sering merungut upah dan gaji yang kecil, kerja semakin banyak, taraf hidup semakin tinggi tetapi dalam masa sama kita tidak mahu menambah ilmu, tidak mahu berusaha lebih, tidak bersedia menghadapi cabaran hidup.
  • Sekiranya kita tidak mahu berubah jangan salahkan orang lain, jangan salahkan kerajaan, organisasi atau majikan kita. Yang seharusnya bermuhasabah adalah diri kita sendiri.
  • Bukankah ALLAH pernah berfirman bahawa “kemudian masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa telah dikerjakannya, sedangkan mereka sedikit pun tidak dianiaya”.( Surah al-Baqarah ayat 281.
  • Kita orang Islam hendaklah sentiasa berdikari, tidak sentiasa mengharapkan ihsan orang lain. Perlu kita ketahui para sahabat, dan generasi salafus soleh sentiasa berdikari dan sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta dan nyawa dalam memperjuangkan agenda Islam.
  • Oleh itu, dalam kerja kita untuk membangunkan Islam melalui organisasi, jangan mengharapkan orang lain yang akan melakukannya tetapi kitalah yang perlu mengerakkannya, dalam masa sama, sesama organisasi kerajaan ataupun swasta perlu saling bahu-membahu kerana setiap daripada kita berkait antara satu sama lain dalam menegakkan Islam.
  • Di kesempatan hujung tahun ini, boleh dikatakan seluruh organisasi bermula dari kepimpinan negara, yang mengetuai kementerian dan jabatan, pengetua dan guru besar sekolah, agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi swasta mengambil peluang untuk bermesyuarat bagi merancang agenda kerja 2014.
  • Sebagai muhasabah bersama, seruan saya kepada diri, kepimpinan negara, kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan,  agensi-agensi kerajaan, organisasi-organisasi swasta dan pekerja-pekerja Islam di seluruh negara agar dapat bersama-sama mengerahkan tenaga menjadikan Islam sebagai dasar dalam mencapai matlamat.
  • Maka kita tidak boleh berhenti, perlu meneruskan perjuangan ini, dan yang terdekat adalah mencapai matlamat Wawasan 2020, manakala perjuangan yang panjang adalah menegakkan Islam berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah sejajar dengan kefahaman salafus soleh. Jika matlamat ini masih tidak dicapai selagi itulah perjuangan kita masih belum selesai. -- AHMAD TAJUDDIN IDRIS AL-MANHAJI, Ketua Pegawai Operasi Ilmuwan Malaysia (iLMU)

Muzakarah Pas-UMNO hanya satu mimpi

Apakah benar muzakarah Umno Pas tidak dapat dilakukan walaupun umat Islam mahukannya?

  • BEBERAPA penulis melihat usul Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bermuzakarah dengan UMNO sebagai satu yang baik dan positif kepada perpaduan umat Islam di Malaysia. Di samping itu terdapat juga penulis yang memandang usul itu tidak merubah keadaan yang ada kerana ia hanya satu retorika politik seorang pemimpin politik yang lemah untuk berusaha merealisasikan usulnya itu sendiri.
  • Dr. Ismail Ibrahim dalam akhbar Utusan Malaysia pada 13 Disember lalu bertanyakan, untuk apa UMNO dan Pas bermuzakarah?
  • Jawapan kepada soalan itu menyatakan bahawa kedua-dua parti politik itu perlu bermuzakarah untuk mendapatkan persefahaman tentang perlunya kesatuan pemikiran dan agenda umat Islam sebagai umat yang komited dalam mengamalkan Islam dan membangun Islam dalam perspektifnya yang betul di negara kita.
  • Pada pendapat beliau, Pas dan UMNO adalah dua parti Melayu Islam. Walaupun pada fahaman Pas pula UMNO bukanlah parti Islam kerana dalam nama UMNO tidak ada perkataan Islam tetapi ada perkataan Melayu. Tiga tunggak perjuangan UMNO merangkumi agama, bangsa dan negara atau tanah air Malaysia. Agama yang diperjuangkan UMNO adalah Islam. Istilah Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, 1957-1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, 1963 seterusnya, dijelaskan bahawa Melayu beragama Islam.
  • Perlembagaan-perlembagaan negeri-negeri yang beraja di Malaysia menyatakan bahawa Sultan adalah ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sementara itu, negeri-negeri di Malaysia yang tidak bersultan seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, ketua agama Islam kepadanya adalah Yang di-Pertuan Agong. Demikianlah undang-undang di Malaysia yang melibatkan Islam dan bidang kuasa negeri-negeri yang bersultan dan wilayah dan negeri yang tidak bersultan.
  • Adakah pemimpin Pas dan UMNO dapat menerima tujuan muzakarah Pas-UMNO seperti yang diketengahkan oleh Dr. Ismail? Saya berpendapat kalau mereka berpendapat sama seperti Dr. Ismail, maka muzakarah akan diadakan untuk tujuan demikian. Tetapi setakat ini tiada usaha untuk bertemu dan bermuzakarah di antara pemimpin UMNO dan Pas. Yang ada Mat Sabu mahu memusnahkan UMNO dengan mengalah UMNO di kubu kuatnya iaitu Johor. Mengikut pendapat Mat Sabu, jika UMNO Johor dapat dikalahkan, maka UMNO dapat dihapuskan kerana Johor dianggap kubu UMNO yang kebal sehingga kini.
  • Pas telah melantik seorang lulusan bidang pengajian bernama Dr. Mahfuz untuk mengetuai Pas Johor. Dalam PRU-13, bekas Menteri Besar Johor dikalahkan oleh Lim Kit Siang dari parti DAP, satu perkembangan politik menolak calon UMNO di situ kerana dalam PRU-12 calon MCA yang menang di kawasan parlimen berkenaan. Oleh kerana calon MCA sakit, maka digantikan calon UMNO dan DAP berjaya kalahkan calon UMNO dalam PRU-13.
  • Datuk Ahmad Faris Abdul Halim (Utusan Malaysia 17/12/13) menyatakan, penyatuan UMNO-Pas suatu realiti berdasarkan keadaan politik semasa di Malaysia dan keputusan PRU- 13) dari sudut jumlah ahli parlimen Melayu/bumiputera dan bukan bumiputera. Semua 21 ahli parlimen Pas adalah Melayu/bumiputera; 38 ahli parlimen DAP terdiri daripada 1 Melayu/bumiputera, 3 India dan 34 Cina; 30 ahli parlimen PKR terdiri daripada 5 India, 9 Cina dan 16Melayu/bumiputera. Sementara itu, 133 ahli parlimen BN terdiri daripada 4 India, 7Cina dan 122 Melayu/bumiputera.
  • Ahmad Faris merumuskan mengundi pakatan pembangkang akan menguatkan lagi suara bukan Islam dalam Parlimen. Justeru, umat islam harus sedar, ke manakah haluan negara ini bakal dibawa jika pengundian hanya dilakukan tanpa asas matematik yang kukuh tentang realiti umat Islam di Malaysia.
  • Beliau menyandarkan harapan untuk penyatuan dua parti Melayu ini kepada Salahuddin Ayub, Takiyuddin Hassan dan Kamaruddin Jaafar dalam Pas. Beliau mengakui masih terdapat dalam Pas, yang masih berfikiran ekstrem dan taksub membabi buta. Terlalu ke kiri, hendak tegakkan ideologi sendiri. Mereka ini tidak mahu Pas dan UMNO bersatu.
  • Dua perkembangan baru dalam Pas yang membuatkan Ahmad Faris optimistik mengenai penyatuan Pas-UMNO adalah pengurangan atau penurunan pengaruh Mursyidul Am Pas yang tidak lagi menjadi Menteri Besar di Kelantan selepas PRU-13 dan sokongannya dan rayuannya supaya perwakilan Pas memilih Nik Amar, bukan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas tidak menjadi. Mat Sabu dapat mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas, jawatan nombor 2 dalam Pas.
  • Pendapat Ahmad Faris mengenai penurunan pengaruh politik Mursyidul Am Pas mungkin tepat tetapi dalam isu penyatuan UMNO dan Pas belum tentu pengaruhnya menurun dalam kalangan ahli dan penyokong Pas. Beliau bersama Mat Sabu telah berjaya menyahkan Nasharuddin Mat Isa yang berjawatan Timbalan Presiden kerana Nasharuddin memberanikan diri bertemu dengan Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam konteks muzakarah UMNO-Pas. Presiden Pas tidak mempertahankan tindakan Nasharuddin yang dilondeh oleh kalangan Pas yang menentang muzakarah UMNO-Pas pada zaman itu.
  • Mat Sabu dapat mengekalkan jawatannya sebagai pemimpin nombor 2 Pas dilihat positif oleh Ahmad Faris untuk perpaduan UMNO-Pas, tetapi berdasarkan ucapan-ucapan Mat Sabu yang mahu kekal dalam Pakatan Rakyat, maka ia menentang sebarang usaha oleh mana-mana pihak dalam Pas untuk bermuzakarah dengan UMNO.
  • Usul muzakarah Pas-UMNO bukanlah usul tahun 2013 ini. Ia sudah menjadi usul pada tahun-tahun sebelumnya dan ia tidak pernah menjadi realiti kerana pengemuka usul itu sendiri tidak mempertahankan Nasharuddin yang dihentam dan ditolak oleh segolongan besar dalam Pas yang menentang usul muzakarah atau kerjasama Pas-UMNO semasa UMNO diketuai oleh Abdullah.
  • Nasharuddin masa itu Timbalan Presiden yang memberanikan diri bertemu dengan Presiden UMNO dalam konteks kerjasama Pas-UMNO. Implikasinya beliau kalah dalam mempertahankan jawatannya dan Mat Sabu dipilih oleh perwakilan Pas menggantikan Nasharuddin.
  • Nasib Nasharuddin kemudiannya terpaksa tidak bersama Pas lagi senasib dengan Datuk Dr. Hasan Ali yang berjuang dalam Pas beberapa lama tetapi kerana tidak diterima oleh kumpulan tertentu dalam Pas mengenai pendapat-pendapat Hasan perkatakan, maka dia dipecat oleh Pas dan kini menjadi Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati). Dalam samannya terhadap seorang pemimpin Khalid Samad, Hasan memenangi kes berkenaan kerana mahkamah mendapati Khalid memfitnah Hasan.
  • Berdasar sejarah politik Pas yang tidak berusaha untuk merealisasikan usul Presidennya sendiri dan Timbalannya mahu Pas kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan hubungan baiknya dengan Lim Guan Eng sejak dalam penjara di Kemunting dan hubungan baru baik dengan Anwar Ibrahim selepas dipecat dari UMNO, maka saya berpendapat usul muzakarah Pas-UMNO tidak akan menjadi realiti.
  • Usul penyatuan Pas dan UMNO amat jauh dari realiti politik di Malaysia kerana setiap parti mahu mengalahkan parti lawan untuk mendapat kuasa politik dan wang elaun wakil rakyat peringkat negeri (DUN) dan peringkat parlimen.
  • Politik untuk kuasa dan wang mengalahkan politik untuk bangsa dan agama dalam konteks politik kepartian di Malaysia. Mat Sabu menegaskan demi untuk mendapat kerusi dalam pilihan raya di Malaysia, Pas perlu berada dalam PR. Calon Pas disokong oleh Cina dan India setelah Pas berada dalam PR. Untuk Pas berada di Putrajaya memerintah Malaysia Pas mesti berada dalam PR. -- Oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar

Menghadapi anasir jahat di ambang 2014

most wanted criminals?

  • Di ambang rakyat membuat persiapan beralih dari tahun 2013 ke 2014, ada pula ura-ura anasir jahat akan cuba menimbulkan huru-hara kononnya mahu mengguling kerajaan yang dipilih pada pilihan raya umum (PRU) pada Mei lalu.
  • Berselindung di sebalik sambutan malam tahun baharu pada 31 Disember ini, golongan itu didakwa mahu menyelit di sebalik kumpulan orang ramai yang mahu meraikan ketibaan 2014 bagi menunjukkan ramai yang menyokong usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
  • Walaupun umum tahu siapa dalang di sebalik rancangan tersebut, pihak terbabit masih cuba menyembunyikan penglibatan mereka mungkin bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa mahupun mengelak dipertanggungjawabkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
  • Setakat ini usaha mengajak pengikut mereka menyertai rancangan tersebut banyak dilakukan melalui media sosial, risalah dan poster tetapi dilihat belum mengumpul momentum yang diharapkan.
  • Namun, perkara paling membimbangkan bukannya bilangan peserta sebaliknya orang awam yang tidak terlibat sama mungkin akan terperangkap bersama anggota kumpulan ini ketika agenda peribadi mereka digerakkan.
  • Lebih teruk jika kumpulan itu hilang kawalan dan orang awam juga yang menjadi mangsa sama ada cedera dan hilang harta benda mahupun pertumpahan darah jika berlaku pertembungan antara pihak berkuasa dan peserta demonstrasi.
  • Persoalannya, sampai bila golongan ini mahu dibiarkan membuat onar atas dasar kebebasan hak asasi sehingga mengganggu perancangan mahupun cara hidup harian orang ramai, semata-mata untuk laba politik individu atau kumpulan tertentu?
  • Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim melihat masalah tersebut berterusan kerana wujudnya suasana 'majoriti senyap' iaitu kumpulan besar tidak menunjukkan 'kuasa' dan tidak membalas perbuatan minoriti.
  • "Majoriti senyap menyebabkan golongan minoriti ini rasa besar diri, bukannya kerana mereka rasa kebal atau tidak takutkan pihak berkuasa.
  • "Majoriti tidak membalas sama ada dengan perkataan, tulisan dan lain-lain cara sehinggakan minoriti merasakan apa yang mereka lakukan itu 'dibenarkan'," katanya.
  • Beliau berpendapat perbuatan menganjur perhimpunan haram dan cubaan mengguling kerajaan berlaku bila hak asasi diagungkan melangkaui undang-undang sesebuah negara.
  • Beliau juga mempertikai apa keperluan kumpulan tersebut mempunyai wakil rakyat di Parlimen jika mahu melangkaui undang-undang kerana polisi sistem yang diamalkan negara hanya boleh diperjuangkan di Parlimen dan bukannya di jalanan.
  • "Masalah perhimpunan haram ini menunjukkan Ahli Parlimen yang diberi mandat kumpulan tersebut gagal mewakili suara mereka di Parlimen sehinggakan mereka terpaksa guna cara jalan raya secara meluas untuk mencapai matlamat.
  • "Walaupun tidak radikal, tidak menggunakan senjata sekalipun, dalam mana-mana perhimpunan dinamik boleh berubah bila-bila masa jika ada dalang yang menyebabkan niat asal mereka terpesong," ujarnya.
  • Beliau merasakan tidak perlu ada senjata dalam perhimpunan tersebut untuk menyebabkan peserta hilang kawalan daripada sebuah tunjuk perasaan kepada vandalisme dan gangguan pasif terhadap kehidupan seharian orang awam.
  • Bagaimanapun, beliau yakin tujuan utama perhimpunan tersebut bukannya untuk tunjuk perasaan tetapi untuk mengganggu sistem sosial dan ekonomi orang ramai yang akan membawa limpahan kesan berangkai kepada pihak berkuasa dan pemerintah.
  • "Objektif utama bukannya tunjuk perasaan, bila jalan sesak, polis dan pihak berkuasa juga dipersalahkan rakyat, akhirnya balik kepada memburukkan nama kerajaan memerintah.
  • "Malahan, sebelum berlakunya perhimpunan itu sudah ada kesannya terhadap kehidupan orang ramai dengan wujudnya pelbagai prasangka sementara tenaga penguatkuasa perlu ditumpu ke kawasan terbabit, melemahkan kehadiran mereka di tempat lain," jelasnya.
  • Kamal Affendi juga melihat taktik mengadakan perhimpunan di ambang tahun baharu mungkin disebabkan jumlah peserta tidak ramai dan perlu berselindung di sebalik tempat yang ramai orang; atau mungkin untuk mengelakkan peserta dikesan dan ditangkap pihak berkuasa.
  • Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berpendapat penganjur dan peserta perhimpunan tersebut sebenarnya boleh dilihat sebagai melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati.
  • "Undang-undang kita berpaksikan Demokrasi Berparlimen dan pilihan raya yang menentukan kerajaan. Cubaan mengguling kerajaan melanggar dua asas kenegaraan kita - mencabar institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi Parlimen yang menjadi simbol pemerintahan negara.
  • "Penganjur sengaja mengambil kesempatan membakar emosi orang ramai tetapi cuba berselindung di sebalik peserta perhimpunan. Jika mengaku, mudah pihak berkuasa bertindak ke atas pengajur tetapi dengan berselindung akhirnya orang awam (peserta) yang dikenakan tindakan," katanya.
  • Beliau menegaskan majoriti rakyat, termasuk mereka yang tidak menyokong kerajaan, hanya mahu hidup aman damai dan pihak berkuasa tidak boleh membiarkan minoriti kecil yang membuat kacau bilau menjejaskan majoriti yang aman.
  • Beliau merasakan tiada langkah penghalang dan pencegahan yang benar-benar menghindar kejadian serupa berulang sedangkan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura yang kononnya amalkan kebebasan juga tidak akan melepaskan golongan tersebut.
  • "Saya setuju jika dikatakan penguatkuasa multimedia kita tidak bertaring, lemah dan kerap bertolak ansur dalam mengatasi masalah seperti ini. Jika negara maju lain, sesiapa menyebar risalah berpotensi memudaratkan ketenteraman awam, penguatkuasa akan terus 'ketuk pintu'.
  • "Tindakan penguatkuasaan dan pencegahan bukannya langkah ke belakang dalam demokrasi, ianya langkah ke depan yang diamalkan semua negara maju untuk kekalkan keamanan. Penapisan multimedia perlu dilakukan bila ia melibatkan keselamatan awam," tegasnya.
  • Beliau berharap pihak berkuasa bersedia menggunakan apa jua akta yang ada, baharu atau lama, kerana bukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sahaja yang boleh digunakan untuk menyekat perbuatan sedemikian.
  • Tambahnya, jika terbukti individu atau kumpulan tersebut berani menggadai keamanan negara demi kepentingan peribadi, maka tangkap sahaja, dakwa dan kenakan hukuman paling berat supaya menjadi pengajaran kepada yang lain kelak.
  • "Pihak berkuasa perlu menyiasat penyebaran yang dibuat melalui media sosial mahupun risalah ini, tangkap sebelum terjadi apa-apa. 'Rahsia umum' ini perlu diambil tindakan segera bagi mencegahnya daripada melarat,"ujarnya -- anuar.kari@utusan.com.my