Saturday 14 May 2011

Benarkah Negara Akan Mundur Kerana Subsidi?



Oleh: A Kadir Jasin

KALAU tidak kerana subsidi baja dan padi, ratusan ribu petani akan hidup dalam kemiskinan tegar dan hasil beras negara merudum. Ahli ekonomi selalu kata subsidi mengherotkan (distort) ekonomi. Tapi mereka jarang cakap kesan positif subsidi kepada penerima atau seolah-olah pengguna individu dan orang miskin saja nikmati subsidi.
  Ambil contoh subsidi baja. Petani dapat baja dan pengilang dapat hasil membekalkan baja. Kalau tidak kerana subsidi baja, industri baja kita tidak sebesar sekarang.
  Subsidi menjana ekonomi. Seorang pengguna terima subsidi RM1 akan berbelanja. Pekedai dapat untung kerana barang jualan diperolehnya dengan harga lebih rendah dari pembekal. Pembekal beli lebih rendah dari pengilang. Setiap kali duit RM1 bertukar tangan, ia menambah nilai ekonomi.
  Billionaire pun telan subsidi. Jangan lupa, di Malaysia pengilang dan pelabur yang kononnya sangat pandai berniaga pun mendapat subsidi berbilion ringgit. Antaranya subsidi diesel dan gas asli cecair (untuk penjanaan elektrik oleh IPP dan kilang pembuatan).
  Malah tauke billionaire yang pakai Mercedes 6,000cc dapat subsidi minyak petrol berkali-kali ganda lebih banyak daripada orang biasa yang guna Kancil atau Proton. Kilang yang dapat subsidi kata mereka jual barang dengan harga murah kepada pengguna. Tetapi mana kita tahu kalau mereka tipu?
  Umumnya semua sedar penguatkuasaan lemah. Sekadar melepaskan batuk di tangga saja. Kurang pengetahuan, malas dan rasuah antara punca pengawasan harga dan bekalan sangat lemah.
  Bukan semua subsidi dalam bentuk lintang (cross) di mana pengguna membayar harga tinggi untuk membantu pengeluar, macam subsidi harga padi.
  Subsidi dari duit rakyat juga. Sebahagian besar subsidi adalah daripada sumber kewangan yang diamanahkan kepada kerajaan, sama ada hasil cukai atau keuntungan pelaburan.
  Duit yang digunakan untuk subsidi bukan duit kerajaan tetapi duit pembayar cukai individu dan korporat. Kerajaan sekadar menguruskannya.
  Pandangan bahwa kerajaan tak mampu tampung kadar subsidi adalah pandangan sempit. Sempit juga pandangan jika mengatakan salah satu cara menjimatkan perbelanjaan adalah dengan mengurangkan atau menghapuskan langsung subsidi.
  Mustahil subsidi boleh dihapuskan. Jadi soalnya sekarang bagaimana kita hendak melaksanakan rasionalisasi subsidi ini?. Ya kita semua yang pilih kerajaan, kitalah yang bayar cukai dan kitalah yang terpaksa menanggung bebannya.
  Subsidi tol, bahan api, elektrik, gula, tepung atau minyak masak akan dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini. Matlamatnya nak kurangkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.
  Tak kiralah betul atau tidak kita antara negara yang paling tinggi subsidi di dunia, tapi jumlah RM74 bilion tahun lalu itu memang besar.
  Daripada jumlah itu, subsidi sosial sebanyak RM42.4 bilion, bahan api dan elektrik (RM23.5 bilion), prasarana (RM4.8 bilion) dan makanan (RM3.4 bilion). Kata Idris, purata subsidi itu bersamaan RM12,900 bagi setiap isi rumah.
  Potongan subsidi akan jejaskan rakyat. Pengurangan subsidi pasti akan jejaskan taraf hidup rakyat. Kuasa membeli mereka akan jatuh dan akan diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
  Pengilang, penyedia perkhidmatan, pengedar dan pekedai akan menaikkan harga bagi menampung pengurangan atau penghapusan subsidi. Setiap peringkat rangkaian pembekalan (supply chain) akan menaikkan harga. Lebih teruk daripada itu mereka akan mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan (profiteering).
  Kerajaan tentu sedar kesan rasionalisasi subsidi ini. Ia mungkin membantu mengurangkan beban hutang negara yang mencecah RM362 bilion (54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi kesannya kepada ekonomi dan rakyat jelata juga besar.
  Perlu juga dijawab apakah hutang negara yang besar ini kerana subsidi sahaja atau kerana pemborosan, ketirisan dan rasuah?
  Pada pandangan rambang rakyat jelata, para pembesar terus hidup dengan mewah, boros dan menunjuk-nunjuk. Pengiring polis berkereta dan bermotosikal, pengawal peribadi, permaidani merah, kerusi tinggi, perbarisan pegawai dan makanan berlambak!
  Subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi.
  Tetapi ia juga menyebabkan kemudaratan bila harga yang murah menyebabkan penggunaan berlebihan, misalnya gula dan minyak masak yang memudaratkan kesihatan.
  Soalnya, bagaimanakah kerajaan akan melaksanakan tugas rumit dan sensitif ini tanpa menjejaskan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat dan sokongan pengundi.
  Langkah mengurangkan subsidi pasti mendapat sokongan dan pujian hebat para “free marketeer”, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
  Tetapi sokongan mutakhir yang menentukan jatuh atau bangun pemerintah adalah rakyat jelata, khasnya golongan majoriti yang masih miskin, terpinggir dan memerlukan bantuan.