Monday 27 January 2014

Cerita di hotel dan surau soal cuaca sejuk Malaysia

 
  • KETIKA sebahagian rakyat Malaysia sedang meranduk cuaca sejuk luar biasa sejak kebekalangan ini, kebanyakan umat Islam sudah siap sedia meramal petanda awal kehadiran kiamat.
  • Dari surau, masjid hingga ke kedai kopi, bual bicara pasti menyebut apakah cuaca buruk ini sekadar fenomena sains yang berlaku di muka bumi, atau peringatan terakhir yang ada kaitan dengan hadith Abu Hurairah: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tanah Arab menjadi subur dan dialiri dengan sungai-sungai.”
  • Salji sudah pun di tanah Arab. Cuma tunggu ais mencair menjadi sungai, anak sungai, jeram, dan menyuburkan tanaman di kawasan yang sebelum ini tandus dan kering kontang. Sudah terang lagi bersuloh. Tanda kiamat sudah muncul.
  • Namun lain sekali cerita yang disebarkan oleh cendikiawan Islam yang bersantai di lobi-lobi hotel, mereka mengatakan bumi sedang menempuh fasa zaman ais akibat pergerakan bumi yang pantas.
  • Kata mereka, fasa ais biasanya mengambil masa ratusan ribu tahun, disusuli satu tempoh panas selama 10 hingga 20 ribu tahun. Corak perubahan ini telah berulang lebih 10 kali, sejak sejuta tahun lalu.
  • Pergerakan ais di bahagian utara semasa zaman-zaman ais memberi kesan kepada cuaca bumi, , peralihan lingkungan hujan di kawasan-kawasan selatan. Dengan demikian, semenanjung arab dan gurun sahara di utara Afrika menjadi sebahagian lingkungan hujan yang menerima angin yang bertiup di utara Eropah. Ini akan menyuburkan kawasan gurun, yang bakal dipenuhi lembah-lembah subur dengan sungai-sungai.
  • Dalam konteks Malaysia, apakah punca sebenar cuaca sejuk melampau sejak kebelakangan ini? Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan cuaca dingin di beberapa kawasan di pantai timur dan utara Semenanjung pada pertengahan Januari 2014 adalah di sebabkan beberapa faktor tertentu.
  • Tiga faktor utama ialah tiupan Angin Musim Sejuk dari tanah besar China, litupan awan yang kurang di Semenanjung Malaysia, dan bulan Januari dan Februari merupakan tempoh suhu minimum di Malaysia.
  • Berdasarkan kajian juga, cuaca dingin yang luar biasa dan tiupan angin akan berterusan sehingga awal Februari 2014. Selepas itu keadaan akan kembali normal.
  • Persoalannya yang sering dibincangkan di lobi-lobi hotel ialah bagaimana jika cuaca sejuk itu berterusan selepas Februari, Mac dan bulan-bulan selanjutnya. Bualan mereka menjadikan lobi hotel sentiasa penuh bagaikan mereka sedang merayakan Tahun Melawat Malaysia.
  • Apa yang pasti, cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini mencatatkan rekod suhu terendah iaitu 19 darjah Celsius di sekitar Besut, manakala di Temerloh pula dikatakan mencecah paras 14 darjah Celsius.
  • Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan, Kuala Krai, Kelantan, merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celcius, semalam, sekali gus mencatatkan rekod pertama di Pantai Timur.
  • Penurunan suhu itu amat berbeza dengan suhu biasa yang dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini iaitu 23 darjah Celcius di dua kawasan itu. Sementara di Jertih, perubahan cuaca mendadak membuatkan beberapa penduduk di sini terpaksa memakai pakaian tebal.
  • Penurunan suhu dan udara sejuk dialami beberapa daerah di pantai timur merupakan satu rekod baharu. Selain itu, beberapa kawasan lain juga terjejas seperti Pasir Putih, Kota Bharu dan Gong Kedak.
  • Jelasnya di antara punca utama penurunan suhu itu ialah tekanan suhu sejuk di tanah besar China yang memasuki Laut China Selatan selain daripada keadaan musim tengkujuh yang melanda kawasan Pantai Timur yang masih belum tamat.
  • Fenomena tekanan suhu dari China itu terjadi semasa monsun timur laut dan tiupan angin kencang tersebut berlaku apabila kurangnya awan terbentuk pada waktu malam di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
  • Disebabkan penurunan itu penduduk di kawasan berhampiran pantai terutamanya akan mengalami suhu sejuk yang terlampau berbeza dengan keadaan biasa. Dalam masa yang sama, amaran ketiga angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan pihak Meteorologi kepada nelayan dan orang awam bagi mengurangkan sebarang aktiviti pantai.
  • Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.
  • Untuk rekod, suhu di tanah tinggi Cameron Highland purata sekitar 12 hingga 26 darjah Celsius manakala 13 -16 darjah Celsius pada waktu pagi.
  • Sementara itu, tinjauan di pantai timur mendapati keadaan cuaca sepanjang hari redup dan sejuk. Orang ramai dan murid-murid sekolah yang mengenakan baju sejuk di luar bangunan walaupun pada tengahari.

Mana pemimpin Melayu Islam yang berani

  • Riduan Tee Abdulah: Mulanya saya cuba bersangka baik dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya, menjadikan saya jadi geram.
  • Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat demikian.
  • Sedihnya, apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan serta-merta ke sekolah lain.
  • Peliknya, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi manusia ini? Kejam sungguh kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa. Kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.
  • Saya ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas mengenai Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini. Paling kurang memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.
  • Apabila ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.
  • Apa semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun beramai-ramai datang memberikan sokongan dan tepukan.
  • Sambil bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata: “Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai dengan slogan 1Malaysia”. Kita pun tutup fail. Wah… senang sungguh.
  • Mudah sangat hidup di Malaysia. Bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka terus betul.
  • Apakah kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang didakwa mengeluarkan ‘ucapan rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media ultra kiasu menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri. Desakan demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan ditukar.
  • Julai dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima nasib sama kerana dikatakan memberi ucapan rasis. September 2013, guru penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi mangsa.
  • Pada Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan di tandas” semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB guru besar turut digodam.
  • Pelbagai tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau membela diri. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.
  • Namun, dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap sepi. Kenapa tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan atau meletakkan jawatan? Jawapannya mudah, mereka sekapal.
  • Saya yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja dilakukan. Peliknya, guru mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar itu.
  • Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beransur-ansur.
  • Benar, memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna, pesalah boleh terlepas begitu sahaja.
  • Masih ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya? Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.
  • Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam.
  • Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar. Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam.

Ungku Aziz bercerita soal Melayu

 
  • BARU-BARU ini Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid berkongsi pandangan pelbagai isu berkaitan bahasa Melayu, perpaduan kaum dan ekonomi.
  • Soal: Apakah pandangan Pak Ungku tentang perpaduan negara sekarang?
  • Jawab: Bahasa ialah penyatuan bangsa. Kita ada bahasa Melayu yang boleh menyatukan semua bangsa di negara kita. Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Mereka harus jelas tentang peranan dan apa yang dipimpin. Jangan terlalu mengutamakan pangkat dan duit. Kita harus hidup bersederhana, barulah kita boleh melaksanakan segala yang dirancang demi perpaduan.
  • Soal: Apakah yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan apa yang kita ada sekarang termasuk Perlembagaan negara?
  • Jawab: Apa yang kita ada sekarang menunjukkan bahawa sistem yang kita ada itu betul. Tetapi apa yang kita mahu ialah keadaan sekarang ini jadi semakin baik. Bagi saya, Perlembagaan tidak perlu dicuit. Apa yang sedia ada cukup baik untuk perpaduan dan masa depan negara.
  • Soal: Bagaimana Pak Ungku melihat perpaduan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sekarang?
  • Jawab: Pada pandangan saya, perpecahan bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, ini termasuklah Melayu kota dengan Melayu luar kota. Melayu dalam UMNO dengan Melayu dalam Pas dan PKR. Antara orang Melayu yang muda dengan tua.
  • Hal ini sama kalau dibuat perbandingan dengan Arab Spring yang tak akan terjadi sebab orang Melayu sendiri banyak masalah yang tidak diatasi. Bukan saya nak komen tapi dalam kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut. Tokoh itu mesti garang dan bersemangat.
  • Pada hari ini tak ramai pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini - tiada pendirian yang teguh.
  • Pemimpin macam Winston Churchill, dia tak suka kompromi. Pemimpin macam dia berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri? Kalau pemimpin itu tegas, kalau dia kata jangan buang sampah di tepi jalan, orang suka atau tidak dia tidak peduli. Itu pendiriannya.
  • Orang Melayu kita sejak beratus tahun lalu ada yang suka tikam dari belakang. Ini diajarkan oleh penjajah kepada orang Melayu dan diamalkan sampai sekarang.
  • Soal: Bagaimana Pak Ungku melihat isu kenaikan harga barang ketika ini?
  • Jawab: Harga barang naik kerana kuasa pasaran. Kita tidak boleh menghalang keadaan ini. Tetapi apa yang lebih penting ialah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini.
  • Orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang.
  • Saya juga telah melakukan penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan. Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).
  • Soal: Bagaimana Pak Ungku melihat penggunaan bahasa Melayu sekarang?
  • Jawab: Bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.
  • Ada perkataan bahasa Melayu yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa Melayu. Saya tahu bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
  • Saya tidak nafikan bahasa Cina (Mandarin) bakal menguasai global dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.
  • Soal: Apakah yang perlu dilakukan bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan? Ini kerana ada kaum yang langsung tidak mahu mempelajari bahasa Melayu.
  • Jawab: DI Amerika Syarikat kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa Inggeris Amerika.
  • Bukan bahasa Inggeris England. Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika.
  • Berbagai kemudahan disediakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, termasuk institusi-institusi pelajaran untuk orang dewasa.
  • Namun tidak ada kaum imigran yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima sebagai bahasa rasmi. Sebaliknya rakyat Amerika amat bangga dengan bahasa Inggeris Amerika.
  • Keadaan berbeza dengan Malaysia, kita tidak ada kelas khas untuk mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu.
  • Apa salahnya kita wujudkan kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu. Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan. Kita mesti ada satu bahasa untuk semua orang sebagai simbol perpaduan.
  • Soal: Bagaimana Pak Ungku melihat peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu?
  • Jawab: Masalah paling utama ialah kita tiada penguasaan. Lama-kelamaan semangat cintakan bahasa Melayu akan hilang. Kita ada banyak rancangan tetapi pelaksanaan kurang. Itulah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa. Mereka harus melaksanakan kuasa, kalau tidak, semuanya akan terlepas. 

Isu penggunaan kalimah Allah makin tegang

  • PULAU PINANG kian tegang apabila penganut Islam dan Kristian melakukan provokasi melampau dengan memasang kain rentang berkaitan kalimah Allah.
  • Ada pihak meletakkan kain rentang dengan ungkapan “Allah is great (Allah itu hebat)” manakal di pihak lawan pula mereka meletakkan kain rentang “Jesus is the son of Allah (Jesus adalah anak lelaki Allah)” di Pulau Tikus, Sungai Pinang dan Green Lane.
  • Pada mulanya puak pelampau agama hanya memasang kain rentang di Kampung Rawa, Sungai Pinang, namun tidak lama kemudian wujud dua lagi kain rentang serupa di Green Lane dan Pulau Tikus.
  • Perkara ini amat bahaya dan boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini dikecapi rakyat Malaysia.
  • Dipercayai usaha itu akan diteruskan di kawasan-kawasan lain di seluruh Malaysia sebagai tanda peperangan antara Islam dan Kristian di Malaysia yang selama ini tiada kemelut seperti itu.
  • Difahamkan provokasi di pihak pelampau Kristian bertujuan untuk memporak perandakan  keamanan negara sekaligus mengajak rakyat menentang kerajaan.
  • Namun ramai pemimpin masyarakat mahu pihak berkuasa menyiasat pekara ini kerana ia merupakan satu provokasi yang amat bahaya.
  • Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili agama Islam dan Kristian supaya bertenang berhubung kejadian pemasangan kain rentang provokasi di Pulau Pinang.
  • Beliau berkata, kejadian itu harus diserah kepada polis untuk melakukan siasatan selain mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
  • “Yang penting kita harus mewujudkan keharmonian dan kita kena hormati agama lain seperti mana agama kita dihormati," katanya.
  • Di KUALA LUMPUR, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan memijak Al-Quran yang disebarkan melalui laman sosial facebook dan juga provokasi penggantungan poster-poster berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di beberapa kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini.
  • Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan perbuatan ini terlalu biadap, berniat jahat dan sengaja diadakan bagi membangkitkan ketegangan agama di Malaysia.
  • “Puteri amat dukacita dengan perbuatan ini dan menggesa agar pihak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan drastik untuk mengenalpasti siapa dalang disebalik perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dan seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan.”
  • Tegasnya, tindakan ini jika tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri akan menjadikan puak-puak pelampau ini bertambah berani mencabar kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
  • RUMUSAN: Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seharusnya tidak timbul kerana ia telah termaktub di bawah undang-undang di 10 negeri yang menetapkan penggunaannya hanya untuk orang Islam sahaja.
  • Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata semua pihak harus menghormati peruntukan undang-undang tersebut dan tidak mempersoal mahupun membangkitkan perkara itu sama sekali.
  • Tegasnya Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara, justeru semua pihak termasuk bukan Islam perlu memahaminya serta tidak menuntut perkara yang tidak sepatutnya.
  • “Perlembagaan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman damai, namun apa yang berlaku sekarang ada pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah untuk bukan Islam.
  • “Ini bermakna bukan Islam tidak mengamalkan agama mereka secara aman damai dan ini boleh mencetuskan perbalahan…kita juga tidak tahu apa motif mereka (pihak yang menuntut penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam),” katanya.
  • Sehubungan itu, selaku Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan Islam, Ahmad Fairuz berkata pihaknya akan menyiapkan satu memorandum untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.
  • Beliau berkata memorandum itu dirangka untuk memohon dan merayu Majlis Raja-Raja yang dianggotai Sultan dan Raja Melayu selaku ketua agama Islam di setiap negeri supaya mengeluarkan satu ketetapan khusus untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kesucian agama itu.
  • “Memorandum ini juga mengandungi petisyen daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang menolak sama sekali sebarang cubaan untuk mengganggu gugat kesucian Islam dan jika tiada sebarang halangan (memorandum) akan diserahkan kepada pihak Majlis Raja-Raja pada penghujung Februari ini,” katanya.