Monday 11 April 2011

Kemiskinan Melebar - Harga Barang Keperluan Asas Menggunung



Subky Latif
SUDAH dua tahun kerajaan yang hendak mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian melancarkan matlamat menjana rakyat berpendapatan tinggi.
Ia satu matlamat yang lebih maju ke depan dari sekadar membasmi kemiskinan yang diperjuangkan oleh para perdana menteri yang lalu. Ia bukan sekadar tidak ada lagi orang miskin, bahkan lebih dari pendapatan sederhana. Berpendapatan tinggi samalah dengan menjadi kaya.
Sekalian rakyat menunggu saat tibanya tuah berpendapatan tinggi itu. Bila? Sepuluh tahun? Lima belas tahun? Dua puluh tahun? Atau mati dulu generasi yang  ada ini baru masing-masing berpendapatan tinggi.
Sementara menunggu menjadi kaya, diuji dulu rakyat dengan amalan meneruskan kenaikan harga minyak. Yang dahulu dibincangkan dulu, bila minyak hendak dinaikkan. Riuh sekampung bagi menaikkan dua tiga sen seliter. Semasa membentangkan bajet barulah Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin mengumumkan kenaikan harga minyak.
Sejak kerajaan rakyat didahulukan ini, sedar-sedar minyak naik dan berkali-kali.
Pendapatan belum naik tetapi perbelanjaan sudah naik. Orang yang memiliki motosikal jika yang di kampung berpendapatan sederhana tetapi yang di bandar berpendapatan rendah, bertambah belanja hariannya. Yang bermotokar apa lagilah.
Yang berjimat tidak menggunakan kenderaan sendiri pergi bekerja. Menggunakan kenderaan awam. Tetapi tambang pula naik. Tambang pergi kerja naik dan tambang sekolah anak-anak naik.
Ikan, sayur, beras, tepung, minyak masak, gula dan semua barang keperluan naik belaka berikutan kenaikan minyak. Pendapatan belum tinggi, belanja seisi rumah sudah tinggi.
Tidak maju negara kalau tidak ada restoran dan gerai makan. Negara yang ekonominya berkembang, gerai makan hidup di merata lorong. Belanja makan di kedai melambung.
Bagi penduduk bandar yang bahan makan berbeli, membeli makan lebih ekonomi dari masak di rumah terutama yang si isteri bekerja.
Bagi keluarga yang beberapa orang anak bersekolah terasa peritnya tambahan belanja berikutan dengan kenaikan semua benda dan perkhidmatan.
Bagaimana hendak menyalahkan polis rasuah dan pegawai awam rasuah? Hendak menampung berbelanjaan tinggi adalah beban besar. Tak rasuah, tak menipu dan tak mencuri tak cukup makan kerana pendapatan belum tinggi sedang perbelanjaan sudah tinggi.
Harga barang yang tinggi dan perbelanjaan yang tinggi itu tidak mati setakat yang sudah tinggi itu, ia akan bertambah tinggi tidak tentu masa. Barang yang sudah naik itu akan naik lagi. Seperti minyak yang naik di awal tahun akan naik beberapa kali lagi menjelang hujung tahun.
Apa guna Tuhan menganugerah minyak pada Malaysia kalau harga runcit minyak naik berikut dengan kenaikan harga minyak dunia? Petronas berpendapatan tinggi tetapi rakyat berbelanja tinggi. Bila harga minyak dunia naik, minyak Petronas pun naik. Tetapi buat apa duit yang banyak itu?
Orang yang berpendapatan sederhana dua tahun dulu, berikut dengan belanja harian yang tinggi itu menjadikan pendapatan mereka di bawah sederhana. Dia hampir mencapai tahap kemiskininan atau sudah jadi miskin. Bagi yang miskin pula menuju kemiskinan tegar atau fakir.
Bagi yang fakir, apa lagi kalau tidak jadi papa kedana.
Masyarakat kita berkembang. Tiap-tiap bulan ada tiga empat jemputan kahwin. Kadang-kadang dua tiga jemputan seminggu. Sejak lebih sepuluh tahun lalu jemputan bersalam sepuluh ringgit dengan tuan rumah. Kalau suami isteri hadir, suami bersalam dan isteri pun bersalam.
Walaupun harga barang sudah banyak kali naik dan harga katering pun sudah banyak kali naik, rata-rata salam tak naik. Kebanyakannya kekal sepuluh ringgit. Salam itu adalah  tanggungjawab masyarakat dan jiran yang amat penting bagi merengankan belanja perkahwinan sesudah amalan gotong royong mula hapus.
Dengan kenaikan perbelanjaan hidup yang tinggi sekarang, untuk bersalam sepuluh ringgi mulai menjadi beban di sebabkan bilangan jemputan bertambah. Mungkin harga salam terpaksa diturunkan kepada lima ringgit bagi mengimbangi belanja yang tinggi.
Saya tidak nampak harga minyak selalu naik itu dapat dikekal setakat yang ada. Ertinya belanja bagi setiap rakyat sudah tentu akan bertambah tinggi dan pendapatan tinggi entah bila hendak dicapai?
Kebimbangannya ialah bila pendapatan itu tinggi belanja juga sama tinggi atau bertambah tinggi. Akhirnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang juga.

Telur Sebutir Riuh Sekampung -- Mana Ada Telur Tiruan




Jabatan Veterinar mengesahkan tiada telur tiruan dijual di pasaran negara ini berdasarkan ujian pensampelan dibuat setakat ini.
Sampel telur itu diambil dari pasar seluruh negara termasuk sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang yang didakwa menjual telur tiruan sepertimana laporan media minggu lalu. Keputusan awal yang diperolehi semua telur yang disampel ini adalah telur tulen.
Rabu lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan pihaknya telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus. Merujuk kepada kes itu, Jabatan Veterinar beranggapan telur itu rosak atau bergred rendah yang tidak sepatutnya dijual kepada pengguna. Perbezaan bentuk tidak bermakna ia telur tiruan, manakala jenis makanan atau antibiotik yang diberikan kepada ayam juga boleh menyebabkan telur itu sedikit berbeza.
Untuk menghasilkan telur tiruan yang rupanya hampir sama dengan telur asli memerlukan kos tinggi termasuk penyelidikan sedangkan telur tulen dijual dengan harga rendah iaitu 32 sen sebiji bagi gred terbaik - BERNAMA.
--------------
Nota: Inilah yang dinamakan bertelur sebiji riuhnya sekampung. Telur rosak dikatakan telur tiruan.