Wednesday 26 February 2014

Episod catuan air di Selangor 2014 bermula

 
  1. PELAN catuan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor akhirnya menjadi kenyataan. Kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang berdepan dengan catuan air hingga 31 Mac depan.
  2. Pelan itu dilaksanakan kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup akibat pencemaran amonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lepas.
  3. Usaha itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 24 Februari. Kawasan Hulu Langat akan mendapatkan bekalan air daripada Loji Langat, Kuala Langat dari Loji Semenyih dan Loji Sungai Labu manakala Sepang dari Loji Sungai Labu.
  4. Bagaimanapun tempoh catuan air tertakluk kepada pindaan kerajaan negeri semasa ke semasa bergantung kepada faktor cuaca dan sebagainya. Kawasan terlibat dibahagikan kepada dua zon melibatkan 60,185 unit rumah iaitu kira-kira 300,00 pengguna.
  5. Konsep akan dilaksanakan di kawasan tersebut adalah dua hari disalurkan air manakala dua hari tiada air.
  6. Untuk zon yang dijadualkan ada bekalan air, pengguna dijangka  mendapatnya bermula jam 4 petang selama 41 jam berikutnya sehingga jam 9 pagi dua hari selepas itu.
  7. Untuk zon yang dijadualkan tiada air, bekalan tersebut akan dihentikan bermula jam 9 pagi selama 55 jam sehingga jam 4 petang dua hari selepas itu.
  8. Waktu pengguna dapat menikmati bekalan air juga berbeza bergantung kepada lokasi kolam air dengan kawasan pengguna serta paras ketinggian.
  9. Bagi kawasan yang berlaku kecemasan sebagainya walaupun dijadualkan tiada air ketika itu, Syabas akan menghantar lori tangki untuk membantu.
  10. Bagi kawasan mempunyai hospital seperti di Bukit Tampoi dan Cheras,  Syabas menempatkan lori dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu.
  11. Pada masa yang sama, kerajaan negeri dikatakan mahu mengurangkan bekalan air berskala besar sehingga 500 juta liter sehari (JLH). Bahayanya, jika rancangan itu dilakukan, ia memberi implikasi ke atas 3 juta pengguna, mengakibatkan lebih satu pertiga kawasan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terjejas.
  12. Cadangan kerajaan negeri itu juga tidak mengambil kira pengguna-pengguna sensitif seperti hospital, pusat dialisis, pejabat pentadbiran kerajaan negeri, premis perniagaan dan kilang.
  13. Berikut adalah kawasan yang terjejas
WILAYAH HULU LANGAT
Zon 1 - Taman Juara Jaya, Taman Bukit Belimbing, Taman Sungai Besi Indah 1,2 & 3, Taman Harmoni Indah, Taman Puncak Utama, Seri Kembangan, Taman Putra Budiman, Taman Balakong Jaya, Taman Seri Timah, Taman Tanming Jaya, Kawasan perindustrian Balakong, Taman Industri Selesa Jaya Seri Kembangan, Taman Industri Balakong, Taman Tanming Permai, Taman Industri Lifong, Taman Tanming Ria, Taman Sungai Besi Indah Zon 1, Juta Mines Kondominium Seri Kembangan,
Zon 2 - Kawasan Perindustrian Cheras Jaya, Taman Impian Ehsan Seri Kembangan, Taman Desa Karunmas Seri Kembangan, Kampung Baru Balakong, Taman Kasturi Cheras, Taman Sri Indah Cheras, Taman Bukit Emas, Taman Cheras Jaya, Taman Impian Indah, Taman Taming Indah, Taman Sejati, Taman Seri Sungai Long, Taman Bukit Sungai Long, Rumah Kenangan Cheras, Taman Dutamas, Taman Setia Kasturi Cheras, AEON Cheras Selatan, Taman Industri Balakong Jaya, Taman Setia Balakong, Taman Sinaran, Kawasan Perniagaan Desaria Seri Kembangan, Dataran C180 Balakong.
 
WILAYAH KUALA LANGAT & SEPANG
Zon 1 - Kampung Olak Lempit, Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Selangor Dredging, Taman Changgang Jaya, Kompleks Perabut Olak Lempit, RTB Bukit Changgang, Bandar Sri Ehsan, Bandar Mahkota, Bandar Sungai Emas, Taman Arked, Taman Ambar, Taman Sri Dagang, Taman Langat Murni, Taman Langat Utama, Taman Murnimas, Taman Seri Telok Datok, Taman Sri Cheding, Sekolah Tamil Sungai Sedu,
Zon 2 - Kota Warisan, Warisan Bestari, Taman Bunga Raya, Taman KLIA Indah, Tiara Heights, Taman Ixora, Taman Dahlia, Taman Seroja, Taman Mawar (Mawar 1, Mawar 2, Mawar Perdana, Emas Villa), Taman Kenanga, Taman Desa Vista, Taman Desa Bestari, Salak Permai.
 

Monday 24 February 2014

Jom tolak Kassim Ahmad dan geng liberalnya

     
  1. MALAYSIA dikejutkan dengan kemunculan semula Kassim Ahmad setelah menyepi hampir 30 tahun lamanya. Pandangan murtadnya berkenaan hadis yang membawa kepada pengharaman bukunya pada tahun 1986 kembali disuarakan apabila beliau diberi ruang untuk bercakap pada hari Sabtu lepas, 15 Februari 2014 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Selepas itu beliau mula mendapat ruang lagi di dalam media-media dan kemungkinan akan terus mendapat ruang berita.
  2. Saya tidak berniat untuk mengulas tentang pandangan sang ‘idealis’ Kassim Ahmad itu kerana sudah ramai yang menyelar pandangannya. Penolakan terhadap hadis adalah penolakan terhadap al-Quran itu sendiri kerana arahan untuk berpegang dengan hadis datangnya dari al-Quran.  Di sudut lain, arahan untuk berpegang dengan al-Quran itu disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW di atas lisannya kerana al-Quran itu dibunyikan kali pertama di atas lisan Nabi Muhammd SAW. Jika hadis ditolak kerana lisan Muhammad boleh tersilap periwayatannya, maka apa jaminan bahawa periwayatan al-Quran adalah betul? Idea idealis yang celaru.
  3. Akan tetapi persoalan sebenar yang patut ingin saya bincangkan, kenapa dengan mudah Kassim Ahmad sekarang mendapat pentas kembali?
  4. Pada pandangan saya, Kassim Ahmad hanya menjadi tamu di pentas yang memang sudah wujud untuk golongan liberal di Malaysia. Kemunculannya bukan mencipta pentas baru. Pentas itu sudah pun wujud lama. Ada pentas dicipta oleh golongan liberal juga. Malangnya ada juga pentas yang disediakan oleh golongan yang menanggap idea Islam Liberal.
  5. Pentas diberikan kepada Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar. Khalid ini pernah sedekah al-Fatihah kepada orang bukan Islam yang mati, pernah mengeluarkan pandangan bahawa Syiah perlu dipertahankan dan pelbagai lagi kelakuan peliknya. Apa bezanya dengan Kassim Ahmad?
  6. Pentas juga diberikan kepada Khalid Ismath yang pernah menyindir mengenai peristiwa Israk dan menyindir bahawa Ustaz Harun Taib adalah seorang nabi. Apa juga bezanya dengan Kassim Ahmad?
  7. Pentas juga masih diberikan kepada Ahmad Farouq Musa dan Fuad Rahmat dari IRF. Mereka secara halus mempromosikan penafsiran al-Quran secara hermenutika. Mereka menafsirkan secara salah pemikiran al-Maududi, Sayid Qutb dan ramai lagi ulama Islam demi menjual idea mereka.  Mereka menolak negara Islam dan mempromosikan negara sekular. Malangnya, buku Wacana Pemikiran Reformis mereka diberikan prakatanya oleh Dr Zulkifli Ahmad, Pas dan tidak habis-habis dipuji oleh Dr Mujahid, Pas. Apa beza mereka ini dengan Kassim Ahmad sebenarnya?
  8. Bagaimana pula dengan Zainah Anwar dari Sister in Islam? Beliau pernah menolak hudud secara terang-terangan. Pernah juga memberikan pandangan bahawa fatwa dan undang-undang adalah terpisah dengan ertikata jika Majlis Fatwa mana-mana negeri mengeluarkan fatwa umum ke atas satu-satu masalah, itu tidak akan terkena perlaksanaannya kepada semua orang. Apa beza kata-kata dan pandangannya terhadap Islam dengan Kassim Ahmad?
  9. Cuba lihat pula Marina Mahathir. Secara terang-terangan menyokong segala tuntutan Comango yang liberal, tetapi masih diberikan ruang istimewa dilantik menjadi Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional. Telitilah pemikirannya di dalam pelbagai isu dan nilai dengan neraca Islam. Jauh sangatkah bezanya dengan Kassim Ahmad?
  10. Satu lagi tokoh yang saya nak sebut di sini, mungkin sedikit tidak bersetuju, tetapi saya yakin majoriti umat Islam akan bersetuju. Apa pula pandangan kita terhadap Anwar Ibrahim? Bagaimana ucapannya berkenaan Religion and Pluralisme in a Divided World (Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE)? Begitu juga ucapan-ucapannya selepas itu yang mengulangi konsep yang sama dengan lafaz yang berlainan? Tidakkah itu juga pandangan liberal yang bercanggah dengan Islam?
  11. Dan banyak lagi yang boleh dikongsikan di sini. Ada tokoh yang memang liberal. Ada tokoh yang membawa idea liberal tapi kerana dia membacakan sikit-sikit ayat al-Quran dan Hadis (tapi secara salah), masyarakat rasa idea mereka boleh diterima di sisi Islam.
  12. Penentangan terhadap tokoh-tokoh liberal ini mesti dilakukan secara menyeluruh. Golongan ini berbahaya dan idea yang mereka bawa jika meresap ke dalam masyarakat boleh meruntuhkan terus baki struktur Islam di dalam masyarakat. Mereka wujud di dalam pelbagai pertubuhan samada dalam BN atau PR atau badan-badan berjenama Islam yang lain.
  13. Saya memuji pihak yang mengecam Kassim Ahmad dan ideanya. Tetapi jangan lupa juga untuk mengecam sama idea dari tokoh-tokoh liberal yang lain termasuklah Anwar Ibrahim. Tanpa menuduh niat, saya juga mengingatkan agar kecaman terhadap Kassim Ahmad memang benar-benar kerana idea liberalnya dan bukan kerana ingin menjatuhkan blok politiknya semata-mata.
  14. Bagi yang mungkin menganggap penutup artikel ini sebagai bias, saya menegaskan bahawa Isma telah pun mengeluarkan kenyataan tentang Kassim Ahmad pada 17 Februari lepas. Tanpa mengira blok kepartiannya, kami menganggapnya idealis sesat dan menyokong fatwa 1986 yang menjatuhkan beliau sebagai murtad dan wajib dibunuh jika mengikut undang-undang Islam.-- Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Friday 21 February 2014

denai survival ekonomi Melayu

 
  1. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Sri Azman Hashim dan beberapa Tan Sri Melayu yang lain merupakan bilionair yang sentiasa aktif mengembangkan perniagaan masing-masing bagi membantu menyediakan pekerjaan kepada bangsa Melayu.
  2. Anak-anak Melayu dari peringkat pendidikan SPM hinga ke PhD diberi peluang bekerja dengan syarikat-syarikat yang diusahakan oleh bilionair ini, membabitkan pelbagai sector termasuk pengeluaran dan perkhidmatan.
  3. Tanpa bilionair ini, anak-anak Melayu terpaksa mengemis kerja dengan syarikat milik bangsa lain mengikut pengisian 30 peratus kuota yang telah kerajaan tetapkan. Bererti kita terpaksa berebut-rebut untuk mengisi kuota kecil itu. Tak payah nak jelaskan bagai mana dan mengapa.
  4. Dalam hal perniagaan, hakikat yang berlaku pada hari ini ialah tidak ramai bilionair Melayu sanggup memberi bantuan kepada anak Melayu bagi memulakan perniagaan, melainkan kerjasama tertentu kepada mereka yang bermodal saja. Bilionair menganggap tugas melahirkan usahawan adalah tugas kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Inilah penyakit utama bangsa Melayu! Soal sikap.
  5. Berbeza dengan bangsa Cina, mereka tidak pernah terfikir kerajaan akan membantu melahirkan usahawan Cina di Malaysia. Lalu bilionair Cina terpaksa menggunakan kekuatan dan kekayaan perniagaan untuk membantu bangsa mereka.
  6. Pelbagai bantuan dana perniagaan dan keusahaanan disalurkan menerusi apa jua kelab, persatuan dan institusi yang sah dan didokong kuat oleh bank perdagangan milik bangsa mereka.
  7. Justeru itu, apabila kita lihat sekeliling, rata-rata kedai, industri dan pembangunan setempat sememangnya dikuasai oleh bangsa Cina. Mereka bukannya berusaha ke arah itu semalam atau minggu lepas, tetapi sudah mengusahakannya sejak sebelum merdeka.
  8. Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apakah semua bangsa Cina bijak-bijak dan kaya-kaya belaka sehingga mereka mampu menguasai keseluruhan ekonomi di negara Melayu?
  9. Jawapannya tidak. Mereka macam Melayu juga. Ada yang cerdik, ada yang tidak cerdik. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Tetapi mereka mempunyai laluan mudah untuk berniaga kerana mereka dijaga oleh persatuan dan kelab. Ada juga dijaga oleh kongsi gelap. Wallah hu aqlam.
  10. Kelab-kelab ini akan menjaga keperluan ahli termasuk kebajikan dan perniagaan. Contohnya, setiap kali pemaju mengusahakan pembangunan komersil seperti lot kedai dan kilang, mereka akan maklumkan kepada kelab-kelab bangsa mereka terlebih dahulu.
  11. Kelab dan persatuan ini akan mengumpul ahli mereka supaya membuat permohonan mendapatkan lot kedai atau kilang di lokasi yang tertentu. Keutamaan akan diberikan kepada ahli yang belum pernah berniaga.
  12. Sokongan akan diberi dalam pelbagai bentuk termasuk modal, tenaga kerja, kepakaran dan teknologi. Sebaik saja kedai atau kilang dibuka, mereka saling membantu dan menyokong perniagaan bangsa, bagaikan kehidupan berkeluarga.
  13. Lebih penting dari itu, mereka didokong oleh semua bilionair yang menguasai ekonomi negara. Lihatlah laporan Malaysian Business, betapa 90 peratus daripada RM217 bilion harta terkumpul bilionair Malaysia tahun ini dibolot oleh bangsa Cina.
  14. Robert Kuok (RM41.7bil), T. Ananda Krishnan (RM33.19bil), Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank (RM18.07bil), Tan Sri Quek Leng Chan (RM14.11bil), Tan Sri Lee Shin Cheng (RM13.12bil). Tan Sri Lim Kok Thay (RM9.43bil), manakala ibunya Puan Sri Lee Kim Hua (RM7.47bil).
  15. Semua bilionair ini bertanggung jawab membantu memperkukuh rangkaian perniagaan bangsa mereka di Malaysia samada melalui organisasi dan persatuan. Perlu bukti? Lohat saja sekeliling kita.
  16. Mereka memastikan 90 peratus ekonomi negara akan terus mereka kuasai dalam apa cara sekalipun, walaupun mereka menyedari kerajaan telah berusaha meningkatkan penyertaan Melayu dalam perniagaan sejak merdeka melalui pelbagai usaha termasuk DEB dan sebagainya.
  17. Lagi kuat Melayu berusaha, lebih jauh bangsa Cina meninggalkan kita. Ini kerana perniagaan Melayu tumbuh satu demi satu dan bergerak secara individu, sedangkan perniagaan bangsa Cina bergerak secara gerombolan. Sekali mereka melangkah, pergerakan seperti ribut yang mampu meranapkan apa saja di sekelilingnya.
  18. Tambahan pula harta mereka cukup banyak dan telah menguasai semua rangkaian perniagaan dan bank perdagangan di Malaysia. Mereka tak risau apa pun. Hanya yang mereka perlukan sekarang ini ialah jaminan kuasa politik yang bakal mengekalkan kuasa ekonomi mereka sampai bila-bila.
  19. Sebab itulah pada PRU13, seluruh bangsa mereka memberi sokongan 100 peratus kepada DAP bagi memastikan kerajaan bertukar tangan. Namun Allah masih sayang umat Islam yang berbangsakan Melayu.
  20. Kini masa depan ekonomi bangsa Melayu terletak kepada sejauh mana kerjasama bangsa itu sendiri dengan kerjsama beberapa bilionair Melayu yang ada. Itu pun kalau ada bilionair Melayu yang nak bantu.
  21. Kumpulan bilionair Melayu di Malaysia sekadar `anak kecil’ jika dibandingkan dengan bilionair Cina (berdasarkan kumpulan harta masing-masing) tetapi anak-anak kecil Melayu ini boleh mengubah sejarah negara secara berperingkat-perngkat selagi politik berada dalam gengaman bangsa.
  22. Harta mereka mungkin kecil di mata bangsa lain. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (RM10.56bil), Datuk Mokhzani Mahathir dari SapuraKenchana Petroleum (RM4.22bil), Tan Sri Azman Hashim dari Arab-Malaysian Corporation (RM4.11bil).
  23. Sekecil manapun harta mereka, bangsa Melayu perlu mencari jalan untuk bergandingan dengan mereka untuk membina rangkaian perniagaan bangsa dan agama yang sehebat bangsa Cina. Kalau mereka boleh bersatu dalam perniagaan, mengapa kita tidak boleh?
  24. Memang kita ada persatuan dan kelab. Kita ada Dewan Perniagaan Melayu di setiap negeri dan daerah. Kita ada Persatuan Penjaja Kecil di setiap negeri dan daerah. Tetapi mereka semuanya menadah tangan meminta wang bantuan dari kerajaan Persekutuan.
  25. Apabila bantuan diberikan, mereka bergaduh sesama sendiri berebut kuasa untuk menguasai wang bantuan tersebut. Pemenang akan menelan separuh wang bantuan itu untuk kepentingan syarikat keluarga dan kroni, selebihnya baru diagih-agih kepada ahli. Itu realiti yang berlaku.
  26. Hampa dengan sikap pemimpin Dewan dan Persatuan, kerajaan Persekutuan mengambil jalan mengagih bantuan itu sendiri menerusi agenda ekonomi bumiputera. Pelbagai program diperkenal kepada peniaga Melayu.
  27. Nampak macam senang dan selesa. Rupanya ada juga birokrasi di situ. Ramai Melayu tidak dapat menyertainya atas pelbagai alasan dan sebab. Ia tidak semudah seperti kerjasama perniagaan di kalangan kelab-kelab Cina.
  28. Pabila terkandas di mana-mana, peniaga Melayu yang hampa akan terus menuding jari ke arah kerajaan Pusat dan segera memangkah bendera pembangkang dengan harapan mereka mendapat cahaya baru. Malangnya Melayu seperti ini tidak sedar mereka masuk ke perangkap yang jauh lebih berbahaya.
  29. Keputusan dangkal yang dibuat oleh bangsa Melayu pada hari ini dalam apa jua hal kehidupan kebanyakannya berdasarkan kepada emosi semasa seperti tidak berpuashati dengan harga barangan makanan mahal, rasuah, polis tak cekap, SPR dan mahkamah tak adil.
  30. Sebenarnya mereka dihasut oleh pihak tertentu yang segan nak berteriak kepada kerajaan bahawa projek kerajaan diagihkan kepada syarikat berkepentingan Melayu saja. Mereka mahu tender dibuka untuk semua bangsa kerana yakin mereka akan bolot 100 peratus dan peniaga Melayu akan terjelir lidah.
  31. Disebabkan mereka tidak dapat menembusi projek-projek kerajaan secara langsung, mereka terpaksa menggunakan nama-nama Melayu sebagai proksi kepada perniagaan. Kini mereka sudah jemu bersembunyi di sebalik syarikat-syarikat proksi kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi dan rasuahnya pun banyak.
  32. Justeru itu mereka mahu kuasa politik kerana itu saja laluan untuk mereka membunuh syarikat-syarikat proksi atau Ali Baba. Dalam ertikata lain mereka mahu membunuh  Melayu secara total termasuk menutup perniagaan nasik lemak Melayu di tepi jalan.
  33. Jadi apakah bangsa Melayu wajar membiarkan keadaan itu berlaku?. Menuding jari menyalahkan kerajaan bukanlah satu jalan penyelesaian. Untuk itu kita wajib bersatu, menyusun barisan perniagaan kecil dan besar atas nama agama dan bangsa.
  34. Hentikan perasaan dengki sesama Melayu. Buangkan kebencian pada sistem politik yang selama ini telah berusaha gigih memperjuangkan ekonomi bangsa Melayu. Hanya itu saja jalan yang ada untuk Melayu keluar dari belenggu kemiskinan dan kemelaratan. Bersatu.
  35.  

Thursday 20 February 2014

Sumpah Kassim Ahmad untuk dedah kepalsuan - teks penuh



Seminar Pemikiran Kassim Ahmad - Full text

1. Pendahuluan
Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa sekatan, insya Allah. Hari ini saya akan mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja yang ingin saya lakukan, tetapi selepas hari ini, saya reda kalau dipanggil Tuhanku untuk diadili.
 
Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan berseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang yang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia.

Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-berkata dengan bebas. Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar keMelayuan saya dan memasuki UMNO.

Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau 80 tahun tanpa apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Nik Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk meraikan harijadi itu dengan satu majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akan datang. Ucapan ini dijadualkan pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.

2. Keadaan Dunia Sekarang

Negara kita Malaysia sedang melalu satu zaman yang penuh pancaroba. System komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. System liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.

Keruntuhan system komunisme kerana system ini menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem diktator! Sistem liberalisme melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.

Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal makan: mudarat kalau tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.

3. Masa Depan

Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitap suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan sendiri, dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain, hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.

Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.

Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta paderi melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.

Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.

4. Negara Malaysia

Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun kemudian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad?

Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan perkataan ini, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.

5. Keadaan Orang Islam Sekarang

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pertengahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat, orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebahagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu.

Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.

6. Gerakan Pembaharuan Islam

Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam masih di tahap di belakang negara-negara yang kita sebut tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.

7. Kesilapan Umat Islam

Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.

1. Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil Ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi ini tidak wuhud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir ugama kepada umat Islam.

2. Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:

a. Mereka mendewa-dewakan pemimpin-pemimpin ugama mereka yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka - apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal-jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iaitu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imanm Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.

b. Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga dikebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.

c. Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita’. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka memakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita’. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang tidak bertudung menganggap diri mereka lebih suci!

Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.

Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya, penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi. Maka itu apabila saya menulis buku Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun 1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang berkepentingan.

Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. [11] Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilanganya sedikit sekali dan tidak mewajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.

Setelah doctrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam, timbulllah pengumpul pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m, 870).  Imam Muslim (m.875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya tinggal 7,275 hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis sahih [12].

ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya pada waktu itu, Encik (sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah saya dan meminta satu dialog tentang buku saya.  Saya memberi persetujuan dengan syarat keputusan tidak diambil dalam dialong itu.  Saya meletakkan syarat itu kerana pegangan imat Islam kepada hadis sangat kuat dan tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari.  Pihak ABIM bersetuju dengan syarat itu.  Malangnya, apabila dialog itu diadakan di Universiti Islam Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk menyatakan kepada majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan.  Apabila dialog itu selesai, pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua mereka yang mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan saya juga dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!

Akibat dari dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan.  Nyatalah pengharaman buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang berkepentingan.

Kembali kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam sebagai agama rasmi, ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam Perlembagaan Malaysia menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri.  Dari segi logika, sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama.  Ugama dianut oleh penduduknya, sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian.  Ajaran Quran mengisytiharkan dengan jelas tidak ada paksaan dalam agama.  Ini bermakna warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa halangan undang-undang.

Dalam Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14] Ini bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan  agamanya secara autonomi.  Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, dan lain-lain.  Dengan ini, tidak akan berlaku konflik atau ketegangan antara agama dan kaum.  Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum di Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil.

Kembali kepada soal jalan yang lurus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan sistem hidup mereka, perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan melalui perundingan. [15] Sistem dwi-parti yang kita import dari Eropah tidak sesuai, pada dasarnya, dengan ajaran Islam.  Kita diberikan Tuhan dua tangan: mengapa kita gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan lain? Tidak bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing: check and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya.

Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan  di Malaysia melalui kaedah muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil.  Inilah perintah Tuhan dan keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia.  Dengan demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara berbilang kaum dan agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.

Tadi telah saya nyataan penyelewengan khusus yang telah dilakukan oleh umat Islam itu memecahkan masyarakat kepada sistem agama dan sistem sekular.  Ini bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad dalam Quran yang menggabungkan kedua-dua sistem ini secara harmonis. [16] Namum demikian, ajaran Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan kediaman akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17] Perkara yang akhir ini menunjukkan perbezaan antara dunia dan akhirat.  Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia ini di peringkat yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual.  Nyatalah satu kasta paderi telah bertindak sebagai diktator kepada masyarakat Islam tanpa membenarkan perbezaan fikiran.  Perbuatan ini melanggar perintah Tuhan yang terang yang berbunyi “Dengar semua pendapat dan ikut yang paling baik”.

Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abat ke 15 dan 16,  pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah kalah.  Walaupun ini fakta sejarah, telah dicatat oleh seorang sejarawan Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam abat ke 15 sebuah kota pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. Malah telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa Melaka pada zaman itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di dunia. [20] Dinyatakan oleh sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dpertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.  Fakta ini menyalahi anggapan kita yang pertama tadi.  Kemungkinan besar ada dua aliran Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke 14 dan 15.

Di awal tadi, telah kita petik sebuah ayat suci yang berbunyi, “Rasul akan berkata: ‘Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini.  Kami juga telah mewujudkan musuh-musuh  bagi rasul-rasul kami dari kalangan mereka yang berdosa.  Tuan kamu cukup sebagai pembimbing dan penolong”. [21] Amaran yang dahsyat ini telah wujud dalam Quran selama 1400 tahun lebih.  Saya tidak pernah bertemu dengan huraian yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang makna ayat-ayat yang menakutkan ini.

Apabila ayat-ayat Quran dibaca, kerap kali kaum agamawan Islam melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak didengar.  Saya teringat zaman remaja saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan lagu-lagu Quran dibacakan.  Saya telah mensifatkan perbuatan ini sebagai kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan Quran kepada umat Islam, yakni lagu mengatasi makna. [22]

Hari ini saya telah menjangkau umur 80 tahun.  Saya berfikir inilah masanya saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan intelektual rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya kita boleh mencapai jalan yang lurus yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada kita.

Harus diingat bahawa pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23] Bimbingan ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja kepada pencari-pencari yang jujur.  Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di seluruh dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur.  Kedua, Quran itu bukan untuk dilagukan dengan tajwid-majwidnya berdengung-dengung.  Quran itu perutusan Tuhan yang terakhir kepada dunia.  Ia bimbingan kepada seluruh manusia.  Kita mesti ada satu kaedah yang saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu supaya ia benar-benar menjadi bimbingan kepada umat Islam dan seluruh dunia.  Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan dirinya sendiri,  yakni ayat mentafsirkan ayat, bukan seperti kaedah tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran.

Ketiga, kediktatoran kasta paderi [baca: ulama) harus disingkirkan.  Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.

Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula oleh generasi yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran yang silap daripada generasi yang terdahulu.

Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan kepada mereka yang Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan, bersalahan dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25]

Keenam, nyatalah sistem hidup yang dianjurkan oleh Quran itu bersifat republican dan demokratik. Ini nyata daripada asal-usul Nabi Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun (Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib).  Apabila Muawiyah merampas kerajaan Islam dari tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah zaman feudalisme dalam sejarah islam awal membawa kepada abad ke 20.  Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik yang telah kita sebutkan.  Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar akan kembali semula ke dalam dunia serta memimpin umat Islam dan seluruh dunia kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada umat Islam. [26]

8. Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil

UMNO, parti nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sekarang berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946. Namun tiap benda yang hidup akan merosot. Demikianlah UMNO telah merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat Malaysia seluruhnya melalui Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui apa yang diperintahkan oleh Tuhan “menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”. Perhimpunan Agung UMNO tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau penjaga kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan kejahatan lain mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri.

Inilah yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau Nabi Isa turun kali kedua boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong dan pembantu kecuali diri mereka sendiri. Dengan izin Allah !

Saya telah menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi hatinya tanpa sekatan. Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla memberi taufik dan hidayah kepada saya dan menjauhkan saya daripada kesombongan dan kebanggaan. Saya ingin menyatakan terima kasih  yang tidak terhingga banyaknya kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang dipimpin oleh Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang telah mera’ikan hari jadi saya yang ke-80 dengan seminar penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan upacara ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami menggunakan dewan yang permai ini.

Ucapan ini tidak kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang ke-80. Saya fikir sudah sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia, berdepan dengan realiti kita secara realistic dan bijaksana untuk menentukan masa depan kita semua, bukan sahaja untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya.

Saya bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan intelektual dan kepada massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli. Terima kasih -- KASSIM AHMAD

JAKIM mahu perbetul pemikiran salah Dr Kassim Ahmad

 
1. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha menjelaskan pendirian jabatan mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian.
 
2. Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:
 
* Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.
 
* Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.
Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.
* Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran.
* Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu
* Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith
* Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad.
3. Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.
4. Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:
 i) Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.
 ii) Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.
iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.
iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.
v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.
vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Quran
vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.
5. Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.
6. Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.
7. Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam.
8. Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.
 
9. Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.
 
10. Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.
 
11. Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.
 
12. Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri. Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi. - JAKIM
 

Antara sedekah dan kemewahan Azhar Wahab

  1. Pusat Tahfiz Amal di Km 17, Jalan Kuala Kedah-Yan telah diarah tutup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada 10 Februari lalu. Sekolah itu juga dipantau bagi memastikan ia mematuhi arahan notis mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.
  2. Notis itu dikeluarkan sebagai susulan kepada notis 1 Januari 2007, selepas JAIK mendapati pusat tahfiz itu masih menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa didaftarkan.
  3. Sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pusat tahfiz itu bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat. Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 memutuskan ajaran Azhar Wahab bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada Islam.
  4. Isu mengenai pusat itu yang memperalatkan pelajar mengutip derma menjadi tumpuan apabila beberapa laman sosial mendedahkan beberapa keping gambar individu yang didakwa sebagai pengetuanya sedang berhibur dan hidup mewah hasil kutipan derma yang dilakukan para pelajar.
  5. Azhar Wahab, Pengasas Pengetua Pusat Tahfiz Amal sesat itu dikatakan mengarahkan anak yatim di situ mengutip derma di setesen minyak, restoran dan tempat-tempat awam. Blogger laman sosial mengecam beliau dengan dakwaan memperhambakan anak yatim bagi memuaskan misi mengaut kemewahan dengan cara mudah.
  6. Ada juga yang mempersoal, setiap hari anak-anak yatim dikatakan keluar meminta derma sehari suntuk, jadi bila masa mereka ke sekolah dan belajar? Bila masa mereka mengaji dan menghafaz al Quran? Pernah juga seorang hamba Allah menyoal mereka dengan memberi ayat lazim yang mudah, itu pun pun mereka tak hafal.
  7. Blogger juga mendakwa, ketika anak-anak yatim bersusah payah meminta derma, Azhar dikatakan berhibur di pantai sambil bermain jetski dan juga bernyanyi di pentas umum dengan berpakaian kot mewah bergemerlapan.
  8. Memang tak salah beliau berjetski di pantai kerana itu mungkin untuk menghiburkan keluarga. Tetapi bagaimana jika beliau berhibur dengan menggunakan wang hasil kutipan derma yang dilakukan oleh anak-anak yatim?
  9. Setakat ini blogger-blogger hanya melemparkan tuduhan tanpa bukti. Tuduhan berasaskan lima keping gambar. Jika kita tidak pasti sumber kewangan yang digunakan untuk beliau berhibur, maka ia disifatkan sebagai fitnah.
  10. Namun secara lojik, sebagai pengetua dan pengasas pusat tahfiz, apakah penampilan berpakaian kot dan bernyanyi di pentas bagaikan John Travolta mencerminkan perwatakan murni seorang peneraju pusat tahfiz?
  11. Kesan pendedahan itu menyebabkan orang ramai mula sangsi untuk menderma kepada pengemis dan anak yatim di tepi jalan, kedai makan, stesen minyak dan sebagainya. Ini semuanya gara-gara gambar yang disebarkan oleh blogger mengenai Azhar.
  12. Kasihan kepada pengembara yang meminta derma bagi pembinaan masjid dan surau. Ada yang datang dari Yala, Narathiwat, Patani dan juga dari Myanmar. Mereka juga sering disangsikan sepertimana kumpulan Azhar Wahab. Persoalannya, perlukah kita rosakkan susu sebelanga hanya kerana kelakuan nila yang setitik itu?
  13. Ada juga orang ramai yang mencadangkan sedekah makanan saja. Persoalannya apakah wajar kita bersedekah makanan kepada pengembara yang meminta derma untuk membina masjid dan surau?
  14. Lebih parah lagi, belum pun bersedekah kita sudah mula menganggap peminta sedekah itu palsu dan sebagainya. Lalu apakah yang perlu kita buat ketika bertemu dengan peminta sedekah, sedangkan dalam hati masih perasaan tidak tenteram?
  15. Orang paling hebat dan paling kuat adalah orang yang bersedekah dengan hati yang bersih, tulus dan ikhlas. Sesungguhnya sedekah adalah penolak bala, penyubur pahala dan melipatgandakan rezeki. Sebutir benih menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu terjurai seratus biji. Ertinya, Allah yang Maha Kaya akan membalas setiap sedekah itu hingga tujuh ratus kali ganda.
  16. Daripada Abu Dzar, Nabi SAW bersabda: “Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Muslim)
  17. Di samping itu, amalan bersedekah juga mampu menghindarkan kita dari kematian dalam keadaan tidak beriman. “Sesungguhnya sedekah itu akan memadamkan amarah Allah dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk.”
  18. Sedekah mampu menghindarkan bala. Memulakan hari kita dengan bersedekah akan menghindarkan kejadian buruk dan tidak diingini. Jika kita tidak mempunyai harta, doa untuk kebahagiaan peminta sedekah juga dikira.
  19. Sedekah adalah pembuka amalan yang suci sepanjang hari. Hati orang yang bersedekah akan tenang dan aman. Selain itu jiwanya akan damai, bersih dan terhindar dari perasaan yang negatif. Semua hartanya juga akan diberkati Allah SWT.
  20. Sekiranya datang seorang peminta sedekah kepada kita, jangan dimarahi dan ditengking golongan itu. Jangan berkelakuan jahat dengannya kerana dosa menengking dan menyakiti hatinya adalah lebih besar daripada pahala jika bersedekah dengan separuh harta yang dimiliki.
  21. Jangan pula kita menolak orang yang mula-mula mendatangi kita, kerana kadang-kadang mereka itu bukan manusia. Mereka mungkin jin yang diamanahkan Allah untuk datang dan menguji kita dengan harta yang kita miliki. Jika kita menengking, kelak kita akan ditengking oleh Malaikat semasa hari Qiamat.
  22. Percayakah anda bahawa sedekah akan memanjangkan umur kita? Kerana Allah telah melanjutkan usia kerana amalan sedekah yang sering kita lakukan itu. Allah sendiri telah mengatakan kepada Rasulullah bahawa sedekah memang akan memanjangkan umur dan juga mampu menunda kematian seseorang. Untuk itu marilah kita bersedekah dengan ikhlas.
  23.  

Wednesday 19 February 2014

Ulama ciplak kasta paderi, dakwa Kassim

     
  1. KASSIM AHMAD yang pernah dilabel anti-hadis suatu ketika dahulu, kini tiba-tiba muncul semula dengan mendakwa “Islam amalan kita pada hari ini adalah salah, terlalu memuja Nabi Muhammad berbanding Allah, rambut bukan aurat wanita dan ulama adalah tiruan kasta paderi”.
  2. Tersentap jiwa umat Islam di negara ini apabila mendengar kenyataan sedemikian yang diucapkan oleh seorang tokoh berusia 80 tahun di sebuah seminar, sambil menawarkan idea-ideanya dalam menentukan hala tuju negara Islam untuk tiga puluh tahun akan datang.
  3. Kassim, kini hadir mengajak rakyat Malaysia dan parti politik Melayu supaya kembali kepada Islam sebenar. Bagaimanapun idea beliau menjadi kontroversi apabila mendakwa Islam di Malaysia telah diseleweng kerana mengikut meniru “kasta paderi” yang dipanggil ulama.
  4. Kasta paderi tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat Khalifah ar-Rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam.
  5. Mereka mendewa-dewakan pemimpin agama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka.
  6. Kassim berkata demikian ketika memberi ucapan dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya, baru-baru ini. Dalam seminar itu, Kassim turut membentangkan beberapa lagi kesalahan umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita.
  7. Beliau berhujah berdasarkan tafsiran terhadap ayat pertama dalam surah al-Munafiqun. Sementara itu, berkaitan aurat, Kassim berkata ia bukan aurat kerana ia anggota biasa seperti muka dan tangan yang perlu digunakan untuk mengambil wuduk.
  8. Tiga puluh tahun dahulu, katanya, wanita Islam tidak memakai tudung, sebaliknya hanya sehelai selendang “kerana rambut itu bukan aurat”.
  9. Kassim yang berdepan tuduhan anti-hadis (tuduhan yang dinafikannya) turut mengajak umat Islam agar meletakkan al-Quran sebagai sumber tertinggi agama dan ditafsir kembali bagi menyesuaikan kepada keadaan semasa.
  10. "Saya pernah cakap yang al Quran menjelaskan ia sendiri. Method lama ialah menggunakan Hadis untuk menjelaskan al Quran kurang baik kerana bermakna menganggap Nabi Muhammad itu tahu segala-galanya. Ini ridiculous, beliau hanya utusan Allah," katanya.
  11. Pada seminar itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga memberi pandangannya bahawa Kassim merupakan seorang idealis dan pemikir yang berusaha mewujudkan masyarakat yang lebih baik. Walaupun terdapat pihak tertentu termasuk beliau sendiri yang tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan Kassim, pemikirannya tetap wajar diteliti.
  12. "Kassim memikir masyarakat perlu bertukar cara dan nilai-nilai hidup supaya menjadi lebih baik. Kita harus teliti sama ada terdapat asas-asas benar dalam pemikirannya (Kassim)," kata Tun Dr Mahathir.
  13. Dalam pada itu, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Pak Kassim merupakan seorang yang berani melawan arus perdana tanpa mengira risiko kepada diri sendiri.
  14. Pemberontakan Kassim terhadap pemikiran konvensional sebahagian besar umat Islam dalam soal hadis dan hubungannya dengan al-Quran menunjukkan bahawa beliau berani melawan arus perdana.
  15. Kassim pada 1986 mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan buku bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula yang antaranya mencabar penerimaan secara membuta-tuli hadis yang bertentangan dengan nilai dan falsafah al-Quran.
  16. Chandra berkata, Kassim yang terdedah kepada idea-idea sosialis pada mulanya mempersoalkan ideologi tersebut pada awal 1970-an dan akhirnya kembali kepada jalan lurus Islam.
  17. Di sebalik pandangan Chandra dan Tun Mahathir, ramai pihak mahu kerajaan menyiasat motif penganjur mengadakan seminar dan segera membimbing Kassim yang didakwa sesat.
  18. Pelbagai pihak melahirkan kritikan terhadap kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam yang dikeluarkan oleh Kassim. Kenyataan beliau bukanlah perkara baru, bahkan buku beliau turut diharamkan dan diyakini boleh membawa kerosakan aqidah.
  19. Pelbagai fatwa serta kecaman telah dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam.
  20. Melihat latar belakang beliau, pandangannya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi.
  21. Lantaran itu wujudnya istilah seperti jahil murakkab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui. Atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu”.
  22. Kalaulah ianya hanya sekadar Kassim Ahmad, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian. Namun bila mana pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah. Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar dari apa yang dilihat.
  23. Apa yang perlu dibuat? Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) khususnya, dan Majlis Agama Islam Negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi. Sekadar mengeluarkan fatwa sahaja tanpa tindakan hanya akan menjadikan ia satu bahan ketawa masyarakat.
  24. Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi. Serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah.
  25. Memang pelik pemikiran beliau (Kassim), akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi. Ambil contoh gesaan Kassim agar al Quran dikaji semula, dan penafsirannya mesti berdasarkan al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau para alim ulama. 
  26. Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan al-Quran kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. dan Baginda membacakan al-Quran ini?
  27. Umpamanya, di dalam al-Quran, Allah memerintahkan sujud, bagaimana kita nak tahu cara perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah s.a.w.?
  28. Demikian juga puasa, zakat dan seluruh ajaran al-Quran. Kalaulah Rasulullah s.a.w. bukan pentafsir kepada al-Quran, apakah kita lebih layak mentafsirnya?
  29. Kassim dan orang-orang Islam yang lain yang jelas dilihat keliru perlu dipanggil, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut.
  30. Seandainya beliau telah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau.
  31. Lebih dukacita beberapa orang mufti dan pemimpin agama yang biasa cepat mengeluarkan pandangan yang melibatkan pembangkang terus diam membisu tidak mengeluarkan kenyataan kecaman sebagaimana biasa.
  32. Apakah ini membuktikan politik melebihi segalanya termasuk isu akidah bagi mereka ini? Wallahu a'lam. Yang dikhuatiri ialah tindakan mereka yang sudi membisu dalam hal ini akan dilihat oleh orang yang jahil bahawa apa yang disebut Kassim boleh diterima.
  33. Jakim perlu memanggil penganjur dan mendapatkan keterangan, bahkan pihak berwajib perlu bertindak kerana pelbagai pihak telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya. – Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS).
  34. Susulan itu, Dewan Ulama PAS wilayah Persekutuan (DUPWP) membuat aduan kepada JAWI berhubung kenyataan Kassim yang disifatkan sebagai menghina Islam dan Nabi Muhammad saw.
  35. Kassim dikatakan telah mengkritik masyarakat Islam yang dikatakan mendewa-dewakan Nabi Muhammad, menyatakan rambut wanita bukan aurat serta wujud kasta paderi dikalangan ulamak.
  36. Menurut Ketuanya Azhar Yahya, semua pendapat Kassim jauh terpesong dan menyesatkan pemikiran ummat Islam, malah mendatangkan syak wasangka buruk mengenai Islam.
  37. Justeru itu JAWI  perlu menyiasat Kassim di bawah Seksyen dan 8 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atasnya.
  38. Kenyataan Kassim itu didakwa satu usaha untuk mengdoktrin pemikiran masyarakat Islam secara salah dan ianya ternyata suatu kesalahan di dalam undang-undang yang telah dikanunkan di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan.
  39. Kenyataan itu adalah jenayah dan berbahaya kepada Islam, ummatnya dan harus disekat. Bimbang dengan keselamatan aqidah umat Islam dan khuatir tindakan biadab seumpama ini akan menjadi dorongan kepada pihak-pihak lain untuk mempersenda dan menghina Islam dan institusinya.
  40. Selain itu banyak pihak begitu teruja mahu berdebat dengan Kassim mengenai pandangan kontroversi itu. Abim juga beriya-iya mahu berdebat dengan Kassim. Naib Presidennya Hasri Harun memberi syarat debat kepada Kassim agar sedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W , ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.
  41. Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan.
  42. Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kasim bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat, jelas Abim dalam kenyataan akhbar.
  43. Hasri berkata Abim pada 28 Jun 1986 pernah mengadakan muzakarah bersama Kassim di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Menerusi dialog tersebut, anggota panel Abim yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady telah menjawab satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau yang secara jelas bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
  44. Sepanjang dialog tersebut, Kassim gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan. Dalam pada itu, Abim juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Islam dan Al-Hadith : Dialog Bersama Kassim Ahmad – Satu Analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah S.A.W.” cetakan 1991 dan 1995.
  45. Buku tersebut telah membentangkan hujah dari segi metadologi, sumber autoriti, dan sejarah pengumpulan Hadis serta beberapa sudut lain bagi menolak buku beliau “Hadis: Satu Penilaian Semula”.
  46. Katanya, sikap angkuh Kassim telah mencerminkan kerendahan nilai diri sendiri memandangkan tiada perkara yang memalukan nilai intelektual seseorang yang dijulang tinggi dalam masyarakat, apabila seorang sarjana itu tidak meraikan pandangan pihak lain dalam siri dialog.
  47. Justeru, perdebatan dengan individu sebegini sememangnya tidak akan memberi apa-apa makna atau mencapai sebarang tujuan yang positif dalam mencari kebenaran.
  48. Beliau juga mendesak kerajaan khususnya Jabatan Agama memainkan peranan untuk mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan ke atas ajaran sesat lain dalam negara kerana pemikiran beliau secara jelas berlawanan dengan prinsip ajaran Islam.
  49. Sebelum ini Kassim yang dilihat sebagai tokoh pemikiran anti hadis, mencabar pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" untuk berdebat.
  50. Rentetan itu ramai sanggup berdebat dengan Kassim. Ironinya tiada di kalangan mereka yang hadir pada seminar Kassim itu dan berdebat mengenainya sedangkan peluang itu sudah diberikan sepenuhnya.
  51. Mungkin ada pihak yang tak tahu mengenai seminar itu, atau mungkin kumpulan-kumpulan agama ini terlalu sombong untuk menghadiri seminar untuk mendapat maklumat lanjut mengenainya, dan kini tiba-tiba mahu menjadi juara debat di media massa.
  52. Antara Kassim dan pejuang-pejuang Islam yang ada, jika anda serius memperbetulkan isu ini, tidak perlu tampil kepada media dan menyatkan pendirian untuk berdebat, sebaliknya cari jalan bertemu untuk menyelesaikan persoalan itu.
  53.