Wednesday 29 January 2014

Kerusi MB Selangor `berpuaka’

 
  • SEJAK 1964, kerusi Menteri Besar Selangor boleh dikatakan berpuaka. Sesiapa yang duduk di kerusi itu pasti ketulahan. Itu bahasa purba yang emosinya disampul ilmu mistik. Lain pula tafsiran dalam bahasa moden yang ilmiah iaitu MB dilanda kontroversi.
  • Kini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) bakal melepaskan kerusi berpuaka itu dalam keadaan kontroversi. Sebelum ini nasib yang sama sudah berlaku kepada Datuk Harun Idris (1964 – 1975), Tan Sri Muhammad Muhd.Taib (1986 – 1997), Tan Sri Abu Hassan Omar (1997 – 2000) dan Datuk Seri Dr.Mohamad Khir Toyo (2000 – 2008).
  • Kesemua mereka hilang jawatan MB dalam keadaan terpaksa. Kecuali Dr.Mohamad Khir yang tumpas dalam pilihan raya umum, Harun, Muhammad dan Abu Hassan pula terpaksa berundur kerana `isu panas’ yang dikaitkan dengan keperibadian mereka.
  • Kes Abdul Khalid dikatakan unik kerana ia berlaku hasil perbalahan politiknya dengan Azmin Ali apabila ADUN Bukit Antarabangsa itu digugurkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
  • Biarpun Abdul Khalid mendakwa beliau tidak terbabit dengan pengguguran itu namun politik di Malaysia adalah berkaitan dengan persepsi umum. Dokumen sulit kronologi pengguguran Azmin membuktikan ia bukan arahan Abdul Khalid tetapi itu tidak bermaksud beliau 'terlepas' daripada persepsi politik.
  • Sejak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, hubungan Abdul Khalid dan Azmin sentiasa tegang. Azmin merupakan pengkritik tegar kepada kepimpinan Abdul Khalid sejak tahun 2010. Isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dianggap bagaikan 'gunung berapi yang memuntahkan laharnya.'
  • Ramai sudah meramalkan Abdul Khalid akan 'terkorban' dalam pertembungan dengan Azmin, orang kesayangan Anwar. Biarpun Abdul Khalid cuba mempertahan kedudukannya namun ia tidak kekal lama. Beliau akhirnya setuju berundur asalkan bukan Azmin menjadi Menteri Besar.
  • Abdul Khalid tidak pandai berpolitik kerana beliau sekadar tokoh korporat yang baru menceburi politik kira-kira enam tahun lalu. Beliau semakin terhimpit, terdesak dan tertekan dengan pelbagai serangan politik yang dilancarkan untuk menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar Selangor.
  • Walaupun pada awalnya beliau mahu melawan gelombang yang menghempas perjalanan politiknya, namun akhirnya beliau mengalah. Lumrah dalam politik, seseorang pemimpin itu mungkin mampu bertahan dengan tekanan luar tetapi beliau tidak akan mampu bertahan jika tekanan berlaku dari dalam.
  • Abdul Khalid berada dalam dilemma. Kelompok yang dianggapnya tidak bermoral kerana mendesak beliau mengundurkan diri, bukanlah calang-calang kelompok. Mereka terdiri daripada penyokong kuat Azmin dan Anwar.
  • Beliau terpaksa terima hakikat bahawa beliau mempunyai pilihan iaitu berkorban demi mengelakkan daripada dijatuhkan secara tidak terhormat termasuklah kemungkinan menghadapi undi tidak percaya di DUN yang bukannya akan dilakukan oleh pihak lain tetapi oleh PKR sendiri.
  • Bagaimanapun seperti diramalkan, kedudukan Abdul Khalid tidak akan sampai ke peringkat tersebut kerana PKR tidak akan mengizinkannya. Itulah yang berlaku sekarang. Malangnya, dalam menyelesaikan konflik dalaman PKR, rakyat diseret sama apabila satu lagi pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
  • PKR lantang mengkritik kerajaan dalam menguruskan kewangan negara tetapi hakikatnya mereka sanggup membenarkan pilihan raya kecil diadakan demi memenuhi agenda politik parti tersebut.
  • Kini semakin jelas, Lim Chin Cheh (Kajang) meletakkan jawatan untuk kepentingan partinya yang sedang huru hara.
  • Beliau mahu memberi laluan kepada Anwar berjaya dalam pilihan raya kecil, sekaligus menduduki kerusi MB Selangor. Sebelum ini, Anwar dilihat teruja menjadi Perdana Menteri, namun kini beliau 'menurunkan darjat impian itu' demi menggantikan Abdul Khalid.
  • Ini bermakna rakyat sekali lagi terpaksa menyaksikan satu lagi episod memualkan daripada PKR dalam usaha memenuhi agenda politik mereka. Ia memandangkan sebelum ini sudah berlaku dua pilihan raya kecil yang dicipta dengan sengaja oleh PKR bagi tujuan itu.
  • Kali pertama apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar menguasai semula kerusi itu. Begitu juga di DUN Penanti yang menyaksikan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sehingga menyebabkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan pada 2009.
  • Peliknya, perletakan jawatan Chin Cheh dan pencalonan Anwar di Kajang tidak langsung dirujuk kepada PAS dan DAP sehinggakan pimpinan tertinggi PAS terkilan dengan tingkah laku PKR itu.
  • Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi kecewa dengan sikap PKR yang membelakangkan PAS dalam apa juga urusan, khususnya di Selangor sehinggakan tersasul bahasa “Apa PKR ingat PAS ni parti Tupperware ke?”
  • Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim pula menuntut penjelasan PKR berkaitan Kajang atau PAS akan memulau dan memboikot kempen PRK DUN Kajang nanti.
  • Berbeza dengan kenyataan Naib Presiden PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang menyatakan PAS memberi sokongan penuh terhadap keputusan PKR Selangor meletakkan Anwar bertanding di DUN Kajang.
  • "Sebagaimana semangat dalam Pakatan Rakyat, PAS juga akan memberikan sokongan penuh terhadap calon dan kerusi yang dipertandingkan dalam memastikan kejayaan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat."
  • Sementara itu, Azmin turut berkongsi cerita pendek mengenai kerusi MB Selangor. “Bila kita (PKR) sudah menang (di Kajang) baru kita duduk balik dan berbincang," katanya.
  • Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (DAP) pula tersenyum pabila ditanya soal Anwar bertanding di Kajang dan berkata ”mungkin hal ini kecil dan PKR tak perlu maklumkan kepada saya”.
  • Inilah dia sikap sebenar Pakatan Rakyat yang terdiri dari tiga buah parti yang berbeza ideologi dan matlamat perjuangan. Jika pagi mereka mengeluarkan kenyataan, kenyataan mereka tidak boleh lagi dipercayai selepas tengahari.
  • Kenyataan mereka akan berubah dari semasa ke semasa mengikut kehendak situasi yang mereka hadapi. Akhirnya, mereka akan mengeluarkan kenyataan dengan alasan kononnya, demi kepentingan parti. Kalau dah semua kepentingan parti, dimana letaknya kepentingan rakyat atau setidak-tidaknya keluarga Pakatan?
  • Pendek kata Anwar sudahpun dianggap sebagai MB Selangor walaupun belum pun bertanding PRK Kajang. Malah Wikipedia pun turut mengubah carta MB Selangor dengan meletakkan Anwar sebagai peneraju baru mulai 2014.
  • Sesungguhnya kerusi itu `berpuaka’ kerana belum pun bertanding, sudah disahkan oleh segelitir masyarakat. Puaka (kontroversi) semakin hebat dan bergelombang apabila pemimpin veteran itu memiliki pelbagai sejarah unik samada di dalam dan luar mahkamah.
  • Apakah itu sebenarnya yang dimahukan oleh Anwar? Sudah tentu ianya dianggap "gila" seperti mana yang tulis oleh Azmin dalam Twitternya "Zaman Kegilaan" pada jam 12.24 tengahari, 28 Januari 2014.
  • Azmin adalah Pengerusi PKR tetapi mengapa Abdul Khalid dibiarkan mengumumkan calon DUN Kajang? Kenapa ADUN Kajang perlu meletak jawatan? Kawasan Kajang adalah kawasan yang paling ideal untuk penyatuan rakyat di Selangor.
  • Ada komposisi 48% Melayu, Cina 40% dan India 10%. Di Kajang ada Kolej New Era, simbolik kekuatan Dong Zhong. Di Kajang, ada tiga gereja besar. Di Kajang ada projek RM1.8 bilion yang dibangunkan Metro Kajang Holdings Bhd di Kajang 2 Township.
  • Andai kata Anwar menang, beliau akan menjadi MB Selangor. Bagaimana jika Sultan Selangor tidak perkenan Anwar untuk menjadi MB Selangor? Tidakkah Anwar terfikir bab ini termasuk “TITAH SULIT” Sultan Selangor kepada Abdul Khalid di balai rong seri yang mana ketika itu Abdul Khalid diwajibkan memegang tombak hulubalang pusaka kesultanan Selangor sejak dahulu kala.
  • Sanggupkah Anwar melanggar TITAH Sultan Selangor? Menentang sultan bererti menentang rakyat juga. Persoalan seterusnya, apakah ada krisis yang lebih besar berlaku selepas itu? Kajang akan menjadi tempat untuk berkumpulnya semangat anti institusi raja di Selangor?
  • Cuba baca blog Kit Siang, setiap hari dia sebut pasal 13 Mei. Cuba baca Malaysian Insider, setiap hari mereka perjuang isu Kristian. Sudah ada pihak yg seru rakyat agar jangan dengar titah Sultan & Agong. Siapa sebenarnya yg mahu 13 Mei? Siapa yg baling molokov cocktail di gereja?
  • Tahukah anda di Sabah, pihak Kristian sudah digunakan “war cry” Kadazan Dusun Murut iaitu "mamangkis" bagi mengisytiharkan perang secara terbuka pada Islam. Apakah sudah terpadam cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia?
  • Apakah ini sebenarnya maksud "konsensus nasional" yang dimahukan oleh Anwar? Gaji MB Selangor RM29,250 berbanding gaji PM iaitu RM22,827. Patutlah Anwar hendak sangat jadi MB Selangor.