Friday 26 December 2014

TNB henti sementara bekalan 2,195 pencawang

  • Sehingga hari ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menghentikan sementara bekalan 2,195 buah pencawang elektrik (PE) di beberapa daerah/kawasan di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang ditenggelami air.
  • Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, penghentian operasi pencawang-pencawang ini membabitkan sejumlah 164,633 pengguna. Ia bagi mengelakkan daripada berlakunya litar pintas.
  • Jumlah pengguna paling ramai terjejas ialah Kelantan dengan seramai 144,077 pengguna dengan penutupan operasi 1,787 PE di Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Machang, Tanah Merah, Kota Bharu dan Tumpat).
  • Di TERENGGANU, penghentian operasi 131 PE di Kemaman, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Dungun pula melibatkan 7,281 pengguna  manakala di Pahang 13,275 pengguna terjejas berikutan penutupan operasi 277 PE.
  • "TNB akan terus memantau pepasangannya seperti pencawang elektrik di beberapa kawasan yang terjejas dengan banjir dan menutup bekalan elektrik sekiranya air mencecah paras merbahaya.
  • “Lebih 1,000 warga kerja TNB telah ditugaskan di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu untuk tujuan ini”.
  • “Selain tugas-tugas pemantauan pepasangan, kemudahan TNB juga digunakan untuk membantu kerja-kerja pemindahan mangsa-mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan.”
  • "Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454," katanya.
  • Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan dan  mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.


Pantai Barat hanya banjir kilat, KL dan Kelang mula diserang

  • Negeri di pantai barat Semenanjung yang belum dilanda banjir dijangka hanya akan mengalami banjir kilat sahaja ekoran keadaan hujan yang tidak berterusan.
  • Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan pergerakan monsun timur laut.
  • “Bagi negeri di pantai barat (yang belum dilanda banjir) kami jangkakan buat masa ini hanya alami banjir kilat, sebab tempoh hujan tidak lama, sekejap-sekejap,” katanya.
  • Beliau tidak menolak kemungkinan episod baharu hujan lebat akan berlaku pada Ahad ini di negeri Pantai Timur.
  • Hisham turut menasihati mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berpotensi dilanda banjir agar bersiap sedia.
  • Sebelum ini, Hisham dilaporkan berkata ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari dari November hingga Januari 2015 serta kawasan barat Sarawak dan Sabah dari Januari hingga Mac 2015.
  • Kelang sudah mula diserang banjir kilat semalam. Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan dua kawasan di Klang dekat sini mengalami banjir kilat, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul.
  • Beliau berkata sehingga pukul 11 pagi ini, keadaan masih terkawal dan tiada kerja-kerja pemindahan mangsa dilakukan.
  • Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti dinaiki air ialah di Jalan Datuk Abdul Hamid, Taman Sentosa, dengan paras air sedalam 0.5 meter manakala Kampung Budiman, Persiaran Hamzah Alang, Batu 5, Jalan Meru dan Jalan Paip di Meru dinaiki air sedalam 0.6 meter.
  • “Di Taman Sentosa, Klang sebanyak 15 buah rumah dinaiki air namun keadaan masih terkawal dan tiada kerja-kerja pemindahan dijalankan,” katanya.
  • Mohd Sani berkata bagi kawasan Meru pula, sebanyak 12 rumah terlibat dalam kejadian banjir kilat tersebut dan setakat ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuka sebuah pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai sebagai langkah berjaga-jaga.
  • Menurutnya, kejadian banjir kilat di kedua-dua kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada limpahan air longkang akibat hujan lebat.
  • Sementara itu di Kuala Lumpur, hujan lebat berterusan malam tadi telah mengakibatkan Jalan Ipoh berhadapan Bank Rakyat, Sentul di sini mengalami banjir kilat dan menyebabkan lima kereta terperangkap.
  • Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian berkenaan pada 10.45 malam dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
  • “Bomba mendapati jalan tersebut mengalami banjir kilat dan paras air telah naik setinggi pembahagi jalan hingga memerangkap lima buah kereta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  • Sementara itu, laman Twitter Informasi Bencana @PortalBencana dan PBanjir KL @PBanjirKL melaporkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air dan mengalami banjir kilat.
  • Informasi Bencana @PortalBencana melaporkan Kampung Padang Balang berhampiran Sungai Gombak mengalami banjir kilat pada 12.12 pagi dan surut hampir sejam kemudian.
  • PBanjir KL @PBanjirKL pula melaporkan, Kampung Puah dinaiki air sedalam 0.6 meter, Jalan Tun Razak berdekatan bangunan PERKIM, Jalan Rahmat (0.3-0.6 meter) dan Jalan Sentul Manis, Jalan Rahmat dan Jalan Ipoh mengalami banjir kilat. Air mula surut di jalan berkenaan pada 12.11 pagi. - BERNAMA


Banjir menyelinap ke Johor

  • Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua daerah di negeri berkenaan mula terjejas, manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak tidak banyak berubah, setakat tengah hari ini.
  • Di Johor, daerah Kluang dan Muar mula terjejas banjir dengan sebanyak 214 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan mulai hari ini.
  • Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata di Kluang, sejumlah 201 orang termasuk empat bayi daripada 46 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan  manakala 13 penduduk di Bukit Kepong, Muar dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan.
  • "Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol dan Sekolah Kebangsaan  (SK) Seri Kencana. Penduduk di Bukit Kepong pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan," katanya.
  • Di Kelantan, keadaan banjir yang semakin buruk menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang ke negeri itu bagi meninjau situasi semasa bencana tersebut.
  • Muhyiddin mengarahkan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang kini melebihi 32,000 orang.
  • Beliau turut mengarahkan agar bekalan barangan keperluan seperti makanan ditambah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada tiga hari kepada seminggu, antaranya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.
  • Di Terangganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 31,001 orang berbanding 30,147 pada sebelah pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di 98 pusat pemindahan banjir di  empat daerah.
  • Kebanyakan mangsa dari daerah Kemaman yang kini mencecah 21,381 orang, diikuti Dungun (7,979), Kuala Terengganu (1,369) dan Hulu Terengganu (272). Di Kedah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 96 berbanding 157 orang pagi tadi.
  • Penolong Setiausaha Tentera Majlis Keselamatan Negara Kedah, Mejar Mohd Radzi Abd Hamid berkata dua pusat pemindahan di daerah Padang Terap di Dewan Kampung Tanjung Piring dan Dewan Kampung Sungai Kap ditutup pada 9.55 pagi.
  • Dua lagi pusat pemindahan yang masih dibuka ialah Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau bagi daerah Padang Terap dan SK Sungai Kecil Ulu, Mukim Bagan Samak  bagi daerah Bandar Baharu.
  • "Dua lagi pusat pemindahan dijangka ditutup dalam masa terdekat tetapi kami masih menunggu pengesahan daripada pejabat daerah terlibat," katanya kepada Bernama hari ini.
  • Cuaca baik sejak awal pagi mungkin menjadi faktor utama banyak tempat yang dilanda banjir sejak semalam, beransur pulih. - Bernama


Bekalan makanan di Pantai Timur hampir habis

  • Banjir yang melanda Kelantan lebih seminggu lalu hampir memutuskan semua bekalan barangan keperluan harian di beberapa daerah kritikal termasuk Kota Baru.
  • Kebanyakan pasaraya dan kedai runcit kehabisan barangan seperti telur, beras, roti sejak dua hari lalu berikutan pembelian panik yang dilakukan orang ramai. Bekalan ikan bilis dan sayur-sayuran juga habis kerana ramai yang membuat pembelian panik, walaupun peniaga tidak membenarkan belian borong.
  • Masih ramai rakyat Kelantan berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan dan air bersih walaupun bantuan disalurkan pelbagai pihak. Ini kerana ada kawasan terputus, manakala bekalan makanan hanya disalurkan di kawasan pemindahan mangsa banjir sahaja.
  • Mengenai situasi mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak berjumlah 103,649 orang (pagi ini) dengan Pahang menunjukkan peningkatan mendadak mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan manakala Kelantan mencatatkan sedikit penurunan.
  • Pahang paling teruk terkesan apabila jumlah mangsa banjir meningkat secara mendadak pagi ini kepada 35,736 berbanding 28,578 orang semalam.
  • Jumlah itu membabitkan 9,094 keluarga dari lapan daerah yang terjejas, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
  • Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dengan 19,924 orang daripada 5,343 keluarga yang ditempatkan di 44 pusat pemindahan.
  • Jerantut merekodkan 4,723 mangsa pemindahan, Lipis (2,763), Maran (2,711), Temerloh (2,661), Pekan (2,266), Rompin (411) dan Bera (277).
  • Di Kelantan, keadaan banjir menunjukkan perubahan dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir sedikit menurun iaitu kepada 32,079 orang pagi ini berbanding 34,955 orang malam tadi.
  •  
  • Keadaan di enam jajahan bertambah baik apabila jumlah penduduk yang dipindahkan mula berkurangan termasuk di Kota Baharu apabila hanya 1,198 masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,231 semalam.
  • Angka mangsa banjir juga menurun di Tanah Merah dengan sebanyak 3,546 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,840 semalam, Pasir Mas (6,679 berbanding 7,237), Gua Musang (5,150 berbanding 7,385), Tumpat (5,005 berbanding 5,803) dan Pasir Puteh (192 berbanding 193).
  • Bagaimanapun keadaan bah di tiga lagi jajahan semakin buruk pagi ini terutamanya di Kuala Krai dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,200 berbanding 4,864 orang semalam.
  • Mangsa banjir di Machang turut bertambah kepada 4,039 berbanding 1,133 manakala Jeli meningkat kepada 1,430 daripada 1,269 orang malam tadi.
  • Di Terengganu, keadaan banjir tidak menunjukkan banyak perubahan dengan jumlah mangsa banjir kini mencecah 30,147 orang berbanding 29,082 orang semalam.
  • Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, daerah Kemaman paling teruk terjejas dengan 20,679 mangsa masih berada di 46 pusat pemindahan.
  • Turut terjejas teruk ialah daerah Dungun dengan 7,314 mangsa banjir, Kuala Terengganu (1,551), Besut (317) dan Hulu Teregganu (286).  Banjir di daerah Marang dan Setiu kini kembali pulih.
  • Di Perak, jumlah mangsa yang dipindahkan di tiga daerah iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah meningkat kepada 5,530 berbanding 5,512 malam tadi.
  • Menurut jurucakap MKN Negeri Perak, daerah Kuala Kangsar yang turut meliputi Sungai Siput mencatatkan bilangan tertinggi mangsa banjir membabitkan 2,558 mangsa daripada 621 keluarga. Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 47 pusat pemindahan, katanya.   
  • Di Kedah, keadaan banjir semakin buruk dan setakat pagi ini, sejumlah 157 orang penduduk melibatkan 31 keluarga di Daerah Padang Terap dan Bandar Baharu terpaksa berpindah.
  • Penolong Setiausaha Tentera Majlis Keselamatan Negara Kedah Mejar Mohd Radzi Abd Hamid berkata kesemua mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan. - Bernama