Monday 6 April 2015

Hotel, restoran mesti batal service charge

Service charge dibatalkan di seluruh Malaysia
  • Berkuat kuasa serta merta KPDNKK mengarahkan semua hotel dan restoran di seluruh Malaysia supaya membatalkan `service charge’ atau caj perkhidmatan kepada pengguna.
  • Langkah itu perlu bagi mengurangkan pelbagai beban yang ditanggung oleh rakyat selepas kehadiran GST yang dilaksanakan dalam kerumitan, kelam kabut dan kekeliruan di kalangan peniaga dan pengguna.
  • Jika premis yang disebutkan itu engkar arahan, pengguna perlu laporkan kepada KPDNKK dan mereka akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan atau Akta Perihal Dagangan atau Akta Perlindungan Pengguna.
  • Namun jika pengusaha hotel dan pemilik restoran masih tetap mahu mengenakan `service charge' itu atas dasar kebebasan hak berniaga, mereka mesti pamerkan notis kepada pelanggan. Ini membolehkan pengguna membuat pilihan untuk berkunjung ke hotel atau restoran berkenaan atau tidak.
  • Keputusan ini dibuat di peringkat kementerian dan akan dilaksanakan sehingga satu polisi baharu diperkenalkan oleh kerajaan. Tindakan itu diambil berikutan tiada badan khusus mengawal selia pelaksanaan cukai perkhidmatan di Malaysia sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
  • Sebelum ini pengguna terasa tertekan apabila hotel dan restoran mengenakan beberapa caj sekaligus iaitu `service charge', `government tax' dan GST. Amat mengejutkan apabila mendapati kesemua caj itu melebihi 20 peratus daripada kos yang perlu dibayar oleh pengguna.
  • Apabila ditanya, pengusaha hotel dan restoran berkata mereka berhak mengenakan beberapa caj yang difikirkan perlu kerana tiada perundangan menyekatnya. Isu ini sudah lama berlaku dan ia semakin dibebankan dengan kehadiran GST.
  • Lantaran itu KPDNKK membuat pengumuman mengenai larangan hotel dan kedai makan mengenakan caj berkenaan sehingga satu peraturan digubal dan dilaksanakan kelak.
  • Namun hakikatnya hotel dan restoran tidak menghiraukan mana-mana arahan KPDNKK yang masih belum digubal sebagai perundangan. Malahan ada premis secara sengaja mempamerkan notis kecil di penjuru kaunter yang mana pelanggan tidak dapat melihatnya.
  • Inilah sebenarnya yang berlaku apabila arahan kerajaan tidak dipedulikan oleh golongan peniaga. Keuntungan maksima menjadi keutamaan tanpa mengambil kira bebanan ke atas pengguna.

Aidana penumpang helikopter terhempas Semenyih

Aidana Baizieva
  • Identiti penumpang ke-enam helikopter VVIP terhempas di Semenyih terjawab apabila Cempaka Air memberitahu media bahawa pekerjanya Aidana Baizieva merupakan salah seorang mangsa nahas itu.
  • Syarikat itu juga menyebut wanita itu bukan pembantu juruterbang. Mengikut laporan awal Kementerian Pengangkutan, Aidana adalah pembantu juruterbang namun laporan itu diperbetulkan dengan kenyataan bahawa helikopter AS3655NA tidak perlu pembantu juruterbang.
  • Mereka yang disahkan maut dalam insiden pada 4 April 2015 ialah Clifford William Fournier, Aidana Baizieva, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Datuk Azlin Alias,  Razakan Seran dan Datuk Tan Huat Seang.
  • Semua mangsa nahas helikopter itu dikatakan baru pulang dari menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri Dato Najib Razak di Pekan, Kuantan, Pahang.
  • Identiti mangsa nahas ke-enam helikopter itu mula dipersoal apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Dzuriasikim Dzulkifli dari Eagle Air Charter berkata gambar selfienya bersama Kapten Clifford yang dimuatnaik di laman Facebook telah dianggap umum sebagai Aidana.
  • Sejak itu orang ramai tertanya-tanya identiti mayat ke-enam itu. Akhirnya mayat Aidana telah dituntut hari ini oleh adiknya yang datang dari Kyrgystan. Dia tiba di bilik mayat kira-kira pukul 10.45 pagi Isnin dan ditemani seorang lelaki dari Kedutaan Kyrgyzstan. Wanita itu enggan bercakap dengan media yang dilarang daripada memasuki perkarangan bilik mayat.
  • Terdahulu, seorang jurucakap kedutaan mengesahkan Aidana merupakan warga Kyrgyzstan dan pernah bekerja di Malaysia untuk seketika. Rekod menunjukkan beliau berada di Malaysia sekurang-kurang selama setahun. 
  • Sementara itu, kes salam identiti mangsa nahas helikopter juga berlaku kepada Pengarah Urusan IGB Corporation Berhad, Datuk Seri Robert Tan Chung Meng.
  • Beliau tidak putus-putus dihujani panggilan telefon sebaik sahaja dikatakan sebagai salah seorang mangsa nahas. Kesilapan itu timbul apabila maklumat awal mengenai insiden itu memaklumkan bahawa helikopter tersebut dimiliki IGB Corp dan Datuk Robert Tan dikatakan antara yang terkorban.
  • Wartawan yang menghubungi keluarga dan rakannya sebaik sahaja menerima berita tersebut kemudiannya menyedari Robert Tan tidak berada di dalam helikopter tersebut. Ketika dihubungi pada Ahad, Robert Tan, 63, memberitahu beliau berada dalam keadaan baik dan enggan memberikan sebarang komen.

Nahas helikopter Semenyih terus jadi misteri

Kotak hitam dibawa ke United Kingdom untuk siasatan lanjut
  • Kementerian Pengangkutan mengesahkan tiada panggilan `mayday’ dari juruterbang helikopter yang membawa Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain, menyebabkan nahas udara di Semenyih terus menjadi misteri.
  • Bagaimanapun kotak hitam yang ditemui bakal menjawab segalanya, cuma perlu menunggu kira-kira seminggu untuk mendapatkan laporan kerana kotak itu kini dihantar ke Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough, United Kingdom untuk analisis secara terperinci bagi mengenal pasti punca tragedi.
  • Tiga hari diperlukan untuk mengeluarkan data dalam kotak hitam itu manakala tiga hari lagi untuk menganalisa kandungannnya. Selepas itu laporan akan disediakan untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia untuk diumumkan kepada orang ramai.
  • Pekara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan sambil menjelaskan bahawa Kawalan Trafik Udara (ATC) tidak merekod sebarang perbualan dengan juruterbang helikopter itu dan ia adalah amalan normal.
  • Laluan penerbangan yang diluluskan bagi helikopter itu meliputi Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Bandar Tun Razak, Kuala Klawang, The Mines, Petaling Jaya dan berakhir di Subang.
  • Juruterbang helikopter Dauphin AS3655N2 (9M-1GB) itu, Clifford William Fournier Jr., mempunyai lesen sah bagi pemanduan pesawat jenis itu sejak 2012.
  • Clifford telah menerbangkan pesawat sejak 2002 dengan hampir 13 tahun pengalaman terbang. Helikopter itu mempunyai perakuan layak terbang di bawah kategori Persendirian, yang kali terakhir diperbaharui pada 13 Februari tahun ini dan sah sehingga 8 Feb tahun depan.
  • Dikeluarkan oleh Airbus Helicopter, dan dahulunya dikenali sebagai Eurocopter France, pesawat itu dikeluarkan pada 1990 dan jangka hayatnya berusia 25 tahun setakat April tahun ini.
  • Penyenggaraan pesawat dijalankan oleh Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd dan pemeriksaan terakhir dibuat pada 29 Jan tahun ini manakala ujian penerbangan dijalankan pada 9 Februari. Dalam ertikata lain helikopter ini disahkan mempunyai tahap keselamatan yang diluluskan.
  • Berikutan insiden itu, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan penyiasat yang diketuai Datuk Yahya Abdul Rahman, seorang penyiasat dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam siasatan kemalangan helikopter.
  • Pasukan itu mengandungi empat anggota manakala wakil yang bertauliah dari Perancis juga akan dijemput memandangkan negara itu mereka bentuk dan mengeluar pesawat dan enjin.
  • Helikopter itu membawa enam orang, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih, Selangor, pada 4.55 petang. Mereka yang terkorban ialah ahli parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, pembantu operasi Fournier Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.
  • Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis tempatan meminta PDRM menyiasat insiden itu dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan ada elemen jenayah dan sabotaj.
  • Memetik laporan beberapa media perdana, mereka (aktivis) dikatakan mahu PDRM merungkai pelbagai persoalan termasuk aspek keselamatan pemimpin memandangkan Jamaludin dan Azlin merupakan watak penting kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Kebelakangan ini ramai pihak yang menyerang Perdana Menteri, seolah-olah ada agenda daripada pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau. Harus diingat, Jamaludin dan Azlin merupakan `tangan kanan dan kiri’ Perdana Menteri, mereka memainkan peranan penting kepada politik Perdana Menteri dan juga negara.
  • Perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana sejarah membuktikan perbuatan sabotaj politik pernah berlaku di beberapa buah negara seperti di Myanmar, Jepun, Syria dan sebagainya.
  • Polis perlu mengambil kira segala aspek dalam siasatan ini. Jika benar wujud unsur sabotaj, maka rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu yang telah menyebabkan kematian dua individu yang menjadi pendukung kuat Perdana Menteri.
  • Dalam perkembangan yang sama, sebuah pusat operasi diaktifkan di kawasan lokasi nahas helikopter yang terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih.
  • Pusat operasi berkenaan ditempatkan di tiga buah khemah di mana satu khemah dikhaskan untuk sidang media dan dilengkapi dengan papan putih bertuliskan carta penugasan anggota penyelamat.
  • Khemah kedua dilengkapi dengan sofa dan meja kopi untuk orang kenamaan yang melawat selain komputer dan mesin pencetak untuk kerja-kerja pentadbiran sementara khemah ketiga digunakan untuk meletakkan bekalan makanan dan minuman anggota penyelamat serta tempat untuk anggota media berteduh.
  • Seramai 121 anggota dari pelbagai pasukan keselamatan bertugas termasuk anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PDRM dan Pejabat Daerah Hulu Langat.
  • Hari ini petugas media dibenarkan membawa masuk kenderaan ke jalan masuk sehingga berhampiran pusat operasi berkenaan berbanding pada hari kejadian semalam di mana petugas media tidak dibenarkan membawa masuk kenderaan dan terpaksa berjalan lebih satu kilometer dari jalan besar. Keadaan itu menyebabkan ada petugas media yang terpaksa membonceng motosikal penduduk kampung.