Tuesday 4 August 2015

Derma RM2.6 bilion perlu masuk akaun rasmi parti


MEDIA sosial kelam kelibut mempersoal mengapa derma sebanyak RM2.6 juta dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakikat bahawa media sosial tidak mahu bertanggung jawab atas kesahihan maklumat, orang ramai memilih untuk mendengar laporan siasatan SPRM.

Hasil siasatan mengesahkan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri merupakan sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB.

Pun begitu siasatan SPRM berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan.

Berikutan itu beberapa pemimpin kerajaan tampil menjelaskan bahawa Perdana Menteri berhak memasukkan dana penyumbang ke dalam akaunnya untuk tujuan kempen PRU14.

Bagi meyakinkan rakyat, mereka berkata perkara yang sama pernah berlaku di era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamed yang mana sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya bagi membiayai kempen pilihan raya.

Bagaimanapun Mahathir menafikannya dengan menjelaskan ketika beliau jadi Presiden UMNO, Ibu Pejabat melantik tiga pemegang amanah termasuk beliau. Semua derma dimasukkan dalam akaun ini.

Jumlah tunai yang diserah melebihi RM200 juta dan nilai saham dan hartanah melebihi RM1.2 billion.

Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihanraya dimasuk dalam akaun Tun Mahathir. Bagi membuktikannya, beliau sedia semua akaun peribadinya selama 22 tahun diperiksa.

Namun pada PRU 1964 dan 1969, beliau pernah terima tunai RM20,000 dari Ibu Pejabat UMNO untuk diagih kepada semua kawasan Parlimen dan DUN. Ia digunakan bagi urusetia setiap calon.

Oleh kerana tidak sanggup simpan tunai, Mahathir masukkan dalam akaun dan segera keluarkan cek kepada jawatankuasa pilihanraya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengikut agihan.

Kini SPRM mengesahkan penyumbang PRU14 telah memasukkan cek bernilai RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.

Ada di kalangan ahli UMNO sendiri bertanya mengapa derma itu tidak dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti?

Seorang blogger menjawab Perdana Menteri terpaksa berbuat demikian kerana dikhuatiri jumlah itu tidak akan sampai ke golongan sasar menjelang PRU14 nanti.

Tanpa mengemukakan dokumen sebagai bukti beliau mendakwa sejarah beberapa PRU sebelum ini menyaksikan pemegang amanah dan nominee UMNO tidak menyampaikan jumlah sebenar kepada kawasan Parlimen dan DUN.

Lalu blogger popular ini mengandaikan bahawa UMNO memperuntukkan dana RM2.5 bilion bagi setiap PRU, malangnya daripada jumlah itu hanya RM500 juta sampai ke destinasi. Selebihnya ghaib di tangan segelintir pihak tertentu dan ia tidak dipulangkan semula ke sisi UMNO.

Beliau mengandaikan terdapat antara RM100 bilion hingga RM200 bilion dana beberapa PRU sebelum ini yang `tidak sampai ke tanah' atau tidak sampai ke kawasan Parlimen dan DUN seperti yang direncanakan.

Sebab itulah Najib dikatakan mengambil keputusan menyimpan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi untuk keperluan PRU14 bagi memastikan jumlah itu MESTI sampai ke golongan sasar nanti.

Pihak awam melihat andaian blogger itu cuba mahu menyelamatkan maruah Perdana Menteri berkaitan derma RM2.6 bilion yang menjadi bualan paling hangat pada masa ini.

Malangnya blogger tersohor itu tersalah congak. Andaiannya ternyata bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri yang telah pun memperkenal peraturan bahawa setiap derma politik mesti disalurkan melalui akaun rasmi parti.

Peraturan itu diperkenalkan bagi menamatkan atau setidak-tidaknya mengurangkan kegiatan rasuah menjelang PRU. (Rujuk video klip di bawah)

Kesilapan penerangan blogger itu telah melebarkan jurang persepsi terhadap kewibawaan Perdana Menteri. Setiap hari semakin ramai rakyat `jauh hati’ dengan sikap dan pendirian beberapa pemimpin besar negara.

Pada masa yang sama kegelisahan rakyat semakin menebal apakah Najib mampu memperkasa bangsa Melayu menjelang PRU14. Situasi semakin cemas.