Monday 10 March 2014

Bahaya gian blogging tanpa asas kewartawanan

 
  1. TIDAK sahaja remaja yang selalu dianggap gian IT, para wakil rakyat pun gila laman sosial. Macam perangai anak-anak muda, para YB pun suka melatah dan merepek di alam maya dengan ‘posting’ yang menyinggung perasaan.
  2. Ini posting (terjemahan daripada bahasa Inggeris) dalam Twitter beberapa hari lalu: “Calon MCA ‘Char Bee Hun’ berpakaian seperti makcik penjaga bangunan, hari ini dia memegang seterika, saya fikir dia mahu memohon kerja sebagai pembantu rumah dan lupa rakyat mahu memilih penggubal undang-undang yang lantang dan berkebolehan.”
  3. Itu kata-kata Ahli Parlimen (DAP) Taiping Nga Khor Ming, yang ditujukan kepada Datin Paduka Chew Mei Fun, calon BN untuk pilihan raya kecil Dun Kajang. Tentu sekali wakil MCA itu berasa tersinggung sebab digelar makcik penjaga bangunan dan pembantu rumah.
  4. Mei Fun yang sebelumnya mengedarkan kad ucapan sempena Hari Wanita Sedunia kepada pengundi wanita sekitar Dun berkenaan, menggunakan gambar seterika antik. Katanya, gambar seterika adalah lambang kuasa wanita.
  5. “Seterika lambang kuasa wanita untuk meringankan kesakitan dan perjuangan dalam keluarga seperti menghilangkan kedutan pada kain, bukannya sebagai pembantu rumah seperti yang didakwa beliau (Nga),” katanya.
  6. Beliau mengecam Nga kerana menghina dirinya menerusi Twitter. Sehingga rencana ini ditulis, pemimpin DAP berkenaan tidak memohon maaf, juga tidak menarik balik kata-katanya dalam laman sosial tersebut.
  7. Isi Twitter tersebut mungkin bertujuan menghina Mei Fun. Sebaliknya ia mungkin menimbulkan rasa simpati pengundi terhadap pihak yang dihina. Laman sosial pun boleh dijadikan media kempen yang berkesan.
  8. INI pula bunyi Twitter milik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin: “Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah.”
  9. Ramai yang marah YB berkenaan dan perkataan dalam laman sosial itu tidak sensitif terhadap keluarga anggota-anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas.
  10. Seorang anggota polis, Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah ditikam di kepala oleh penjenayah warga asing semasa melakukan rondaan di sebuah lorong di Taman Sentosa, Klang.
  11. Seperti yang dilaporkan akhbar, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norsalmah Nordin, 50, dan empat anak berumur 17 hingga 25 tahun. Rakan setugasnya, Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, pula cedera parah, manakala dua penjenayah berjaya ditembak mati dalam kejadian berkenaan.
  12. Tentu sekali semua anggota polis, terutama keluarga dan sanak-saudara Allahyarham berasa tersinggung dengan kata-kata menggores seperti itu, lebih-lebih lagi datangnya daripada seorang wakil rakyat.
  13. TETAPI, Dr Afif yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu mendakwa tweet beliau berkaitan penjenayah bunuh polis telah dipintal secara jahat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
  14. Menurutnya, tindakan itu (memintal) adalah untuk memperlihatkan beliau sebagai musuh kepada pihak polis, sekali gus seorang yang tidak menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
  15. Katanya, tweet beliau dengan jelas tidak merujuk kepada sesiapa apatah lagi kepada mangsa yang terkorban ketika mempertahankan negara.
  16. Dalam kenyataan kepada media, beliau menegaskan: “...adalah tanggungjawab saya untuk bekerjasama dengan pihak polis demi kesejahteraan para penduduk Seberang Jaya dan Pulau Pinang.
  17. “Saya tidak akan sesekali memperlekeh peranan pihak polis dan pihak berkuasa lainnya yang sentiasa bekerjasama dengan saya demi keselamatan penduduk Seberang Jaya dan Pulau Pinang.”
  18. Baca tweet asal, dan baca apa yang disiarkan oleh media. Apakah benar tweet itu telah ‘dipintal’?
  19. AKHIR kalam, semakin jelas sekarang laman-laman sosial – Facebook, Twitter, Whatsapp, dan sebagainya – memang telah menjadikan hidup tidak tenteram, keadaan pun semakin kelam-kabut.
  20. Ramai yang tidak bertanggungjawab, sekali gus tidak bijak, menjadikan laman maya sebagai tempat menabur fitnah. Serangan peribadi mengenai skandal, termasuk hal-hal dalam kelambu seseorang disebarkan tanpa sekatan.
  21. Penghinaan terhadap agama semakin berleluasa dalam media sosial, termasuk dengan memaparkan imej dan gambar yang amat menghina. Sementara ramai yang dihina dan tidak berdaya untuk membela diri, pihak berkuasa – khasnya PDRM dan SKMM – bagaikan sudah hilang punca untuk bertindak. – tulisan TOK PERAK

Juara All England 2014 milik Chong Wei


  1. Datuk Lee Chong Wei menjuarai Kejohanan Badminton All England buat kali ketiga selepas menundukkan musuh tradisinya Chen Long dari China pada perlawanan akhir di National Indoor Arena, Birmingham.
  2. Chong Wei, 31, menang 21-13, 21-18, sekali gus menebus kekalahannya kepada pemain No. 2 dunia dari China itu pada perlawanan akhir, tahun lalu. Ini adalah kemenangan ketiga Chong Wei selepas turut muncul juara pada 2010 dan 2011.
  3. Pemain nombor satu dunia itu bermula garang dengan menewaskan Chen Long pada set pertama dengan 21-13. Pada set kedua Chen Long menunjukkan aksi agresif dengan memberikan tentangan sengit menerusi turutan mata yang hampir sama.
  4. Namun ketenangan Chong Wei mengawal emosi di gelanggang serta mempelbagaikan teknik permainan membawa kejayaan dengan menyingkirkan Chen Long, 21-18 pada set kedua itu dalam masa 59 minit.
  5. Chong Wei pernah meraih kejuaraan itu pada tahun 2010 dan 2011. Kemudian Lin Dan dari China meraih kejuaraan tersebut pada tahun 2012 dan Chen Long pada 2013. Kemenangan kali ketiga Chong Wei dalam All England itu dimeriahkan dengan  sokongan padu penonton Malaysia yang berada di sana. Perlawanan itu turut bersiaran langsung di televisyen satelit.
  6. Susulan kemenangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji Chong Wei kerana menjuarai kejohanan badminton All England 2014. "Chong Wei telah membuat Malaysia bangga sekali lagi. Beliau begitu tabah dan kuat azamnya. Satu tindakan yang mempunyai kelas untuk diingati buat jangka masa yang panjang," kata Najib dalam akaun Twitternya hari ini.
  7. Dalam tweet berasingan, Najib berkata: Chong Wei baru sahaja menelefon saya dan isteri saya. Kami memberitahunya betapa bangganya kami atas kemenangannya."
  8. Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria menjelaskan kejuaraan badminton All England 2014 membuktikan beliau seorang pemain nombor satu dunia yang sukar digugat walaupun bersaing dengan pemain muda dan berbakat.
  9. "Kemenangan Chong Wei itu merupakan kejayaan bermakna buat negara dan dirinya sendiri, beliau memberikan persembahan yang mengagumkan dengan mempelbagaikan cara permainan. Beliau tidak terlalu mengikut rentak Chen Long serta tenang mengawal gelanggang, dengan sokongan padu penyokong Malaysia di sini (England) memang menaikkan semangat beliau untuk meraih kemenangan itu," katanya.
  10. Mohamad Norza berkata jaguh badminton negara itu membuktikan bahawa prestasinya meningkat dan memberikan perlawanan agresif setanding dengan pemain muda seperti Chen Long walaupun mencecah usia 32 tahun.
  11. "Ramai beranggapan perlawanan final (All England) Chong Wei-Chen Long adalah 50-50. Pada pusingan separuh akhir Chong Wei terpaksa bermain dalam perlawanan yang panjang kerana keadaan yang sejuk namun beliau tetap mampu mengatasi pemain muda, Son Wan Ho dari Korea Selatan," katanya.

Di mana kau MH370?

     
  1. Admiral Laut Vietnam, Ngo Van Phat meramalkan pesawat MH370 mungkin jatuh di kawasan 153 batu nautika berhampiran Pulau Tho Chu, berdasarkan kelajuan dan lokasi terakhir radar Vietnam mengesan pesawat itu. Bagaimanapun dia enggan mengesahkan pesawat itu sudah terhempas. Ertinya MH370 masih belum disahkan terhempas. Mungkin juga pesawat itu TIDAK terhempas. Itulah misterinya.
  2. Teori pesawat MH370 meletup di udara sudah ditolak selepas akhbar The New York Times memetik pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai berkata  data pemantauan awal yang diperiksa Pentagon mencadangkan MH370 tidak meletup di Laut China Selatan berdasarkan sistem pemantauannya di seluruh dunia.
  3. Bahan serpihan yang dikesan pasukan mencari Singapura kira-kira 100km di barat daya pulau Tho Chu, Vietnam, tiada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang. Walaupun tompokan minyak juga dijumpai, tetapi belum ada pengesahan mengenainya.
  4. Ini bererti MH370 belum lagi disahkan terhempas. Kini mata seluruh dunia kini bertumpu di Vietnam dan China. Pelbagai spekulasi ditabur dalam media sosial, ada yang mengaitkan kehilangan pesawat ini dengan serangan pengganas.
  5. Sebelum ini, beberapa blog melaporkan pesawat MH370 telah mendarat di bandar Nanning di China. Ia dikaitkan dengan sebab mengapa radar menunjukkan pesawat itu didapati berpatah balik sebalum transpondernya dimatikan. Tetapi kerajaan itu menafikannya, manakala MAS juga menafikannya selepas berhubung dengan kerajaan China.
  6. Apa pun pakar penerbangan tempatan dan luar negara terkejut dengan cara kehilangan MH370 yang dikatakan hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia. Ternyata kehilangan MH370 kekal misteri, dan jawapannya kini mungkin berada di Vietnam atau di China.
  7. Mengapa dan bagaimana situasi sebegini berlaku terus menjadi misteri dan persoalan. Blog tempatan dan luar negara setakat ini hanya membuat spekulasi samada ia terhempas, meletup atau mendarat.
  8. Belum ada lagi blog yang berani mengupas kehilangan MH370 dikaitkan dengan keganasan, khianat dan sebagainya. Mungkin jika MH370 disahkan tidak terhempas di laut mahupun di darat, barulah blogger-blogger akan membuat spekulasi soal anarki.
  9. Di lihat kepada senarai penumpang MH370 itu, tiada VVIP, menteri, mahupun tokoh perniagaan bertaraf 5 bintang. Ini bererti jika ada pihak mahu sabotaj pesawat itu juga hampir tidak lojik kerana tiada motif yang kukuh. Tiada siapa yang mahu tawan pesawat tanpa ada motif bernilai berjuta dollar.
  10. Ada juga blogger yang membuat spekulasi mengaitkan juruterbang MH370 yang menyokong parti pembangkang dan mengambil tindakan bunuh diri dengan menjunamkan pesawat itu ke dasar laut, semata-mata untuk mengalihkan perhatian kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman 5 tahun penjara. Spekulasi ini lagi tidak lojik.
  11. Ada juga pihak mengaitkan pesawat itu ditawan dua lelaki yang menggunakan pasport palsu dari Itali. Samada pesawat itu dijunamkan ke lautan atau dibawa ke kawasan yang tersembunyi, ia masih dianggap misteri. Tetapi berbalik soal tebusan, tiada siapa di dalam pesawat tu boleh ditebus dengan nilai jutaan dollar.
  12. Manakala, bagi blogger mistik, mereka lebih gemar mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan Asia Dragon Triangle, iaitu satu kawasan kehilangan pesawat dan kapal laut secara misteri, menyerupai Bermuda.
  13. Malah, beberapa majalah mistik Jepun, Taiwan, Korea dan China turut mengakui wujudnya Dragon Triangle itu sejak ribuan tahun lalu sebagai kawasan jajahan naga yang hidup di bawah laut.
  14. Tidak kurang juga, beberapa blog cuba mengaitkan dengan Naga yang masih hidup di China dan pernah dirakamkan melalui pesawat beberapa tahun lalu sebagai modal untuk menjangkakan MH370 ditelan naga itu. Blog sebegini kelihatan seperti berjenaka ketika bercerita tetapi mengetengahkan unsur-unsur mistik sehingga menjadikan kehilangan pesawat MH370 agenda terpenting seluruh dunia setakat ini.
  15. Dalam kesibukan bloger membuat spekulasi di sana sini, PDRM juga memberi amaran kepada semua blogger supaya tidak mengulas insiden itu secara melampau. Jika berdegil juga, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap blogger, iaitu lokap, bicara dan penjara.
  16. Sebenarnya amaran itu ditujukan khusus kepada blogger yang berpolitik dengan menggunakan pesawat MH370. Mereka mengaitkan isu itu untuk menghentam kerajaan BN dan Najib. Ada juga blog yang menghentam PR dengan mengaitkan juruterbang sebagai penyokong dan pendokong PKR. Macam-macam lagi dikaitkan dengan insiden MH370 sehinggakan pesawat itu semakin bermisteri.