Tuesday 10 March 2015

Projek Langat 2 diteruskan selepas Azmin batalkan

  • Penstrukturan semula perkhidmatan air Selangor boleh diteruskan jika dua isu membabitkan percanggahan status tanah di Semenyih dan Bukit Nenas serta aset pajakan tanah jajaran paip sepanjang 26,000 kilometer yang terkandung dalam perjanjian yang meterai sebelum ini disemak semula.
  • Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maksimus Ongkili berkata, semakan semula dengan Pesuruhjaya Tanah mendapati kedua-dua aset itu adalah milik Kerajaan Persekutuan, yang mana ia tidak sah untuk diguna pakai dalam perjanjian pajakan yang bakal ditandatangani Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (PASSB).
  • "Percanggahan harus disemak semula dan dikeluarkan daripada perjanjian itu supaya tiada konflik sekiranya perjanjian utama bakal dibincang semula serta ditandatangani. Kerajaan mengaku tidak menyedari status kedua-dua aset itu sebelum perjanjian utama dimeterai pada 12 September 2014 kerana difahamkan ia milik kerajaan negeri pada mulanya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini.
  • Mengenai status tanah jajaran paip sepanjang 26,000 kilometer, Ongkili berkata, tanah pajakan itu akan diambil oleh kerajaan Persekutuan selama 45 tahun sebelum diserahkan semula kepada kerajaan Negeri Selangor, selepas tempoh pajakan tamat.
  • "Terma perundangan sendiri menyebut bahawa sebarang pajakan aset untuk tujuan pembangunan dan penyaluran dana antara dua pihak merangkumi tanah di kawasan itu juga. Lagi pun tempoh pajakan 45 tahun itu bertujuan menjana modal yang dilaburkan dalam penstrukturan semula bekalan air Selangor. Maka bagi menyelesaikan masalah ini kedua-dua pihak perlu meneliti semuala inti pati perjanjian utama dan mengemukakan sebarang ketidakpuasan pada perjumpaan selanjutnya," katanya.
  • Terdahulu, Kerajaan Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan selepas Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) meminta penangguhan buat kali ketiga.
  • Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Persekutuan melanggar terma perjanjian pada September tahun lalu.
  • “Kerajaan Pusat melanggar terma perjanjian ditandatangani September 2014 menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan. Ketika saya menjadi menteri besar pada September tahun lalu, saya bersedia untuk meneruskan perjanjian ini, namun Kerajaan Persekutuan gagal memenuhinya bahkan meminta lanjutan tempoh,” katanya di lobi Parlimen.
  • Beliau berkata, Selangor tidak mempunyai sebarang pilihan lain selain membatalkannya. “Apa pilihan yang kita ada? Saya mahu melihat syarat baru yang mereka ingin bincangkan dengan kerajaan negeri,” katanya.
  • Keputusan drastik itu dilihat bakal menjejaskan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2.
  • Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Persekutuan telah diberi dua kali tempoh lanjutan untuk menghormati perjanjian berkenaan iaitu pada 9 Januari dan 9 Februari tahun ini. 
  • “Kerajaan Persekutuan mahu melanjutkan lagi hari ini pada 9 Mac, tetapi saya telah berkata tidak,” katanya.


RTM kembali menyinar ASTRO dilanda mendung

Pendigitalan RTM menjadi kenyataan
  • Zaman kegemilangan RTM akan kembali tidak lama lagi dengan program pendigitalan stesen penyiaran secara percuma menerusi kerjasama di antara syarikat MYTV Broadcasting dan TM.
  • Terima kasih kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary kerana menyediakan penyiaran yang dijangka setaraf dengan Astro. Usaha itu kini sudah berada di peringkat akhir perlaksanaan.
  • Sebaik saja pendigitalan RTM dilaksanakan, seluruh rakyat Malaysia akan menikmati 45 saluran Definasi Tinggi (HD) dan juga 15 Saluran Standard (SD) dibawah projek Angkasapuri Media City.
  • Untuk mendapatkan rangkaian saluran digital dari RTM, pihak MYTV Broadcasting Sdn Bhd yang bernaung dibawah Syarikat Telekomunikasi Altel Holdings milik Syed Mokhtar akan membekalkan dekoder khas yang berharga RM200 kepada pengguna.
  • Malah, sebagai memenuhi rasa tanggungjawab kepada masyarakat, Syed Mokhtar akan menghadiahkan dekoder percuma kepada 2 juta penerima BR1M yang dikenalpasti sebagai miskin bermula Jun hadapan. Ia sekaligus mengesahkan saingan baru kepada Astro bermula Jun ini.
  • Fasa pertama siaran digital baru dari RTM ini yang dijadualkan pada Jun 2015 merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan seterusnya Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, kemudian Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  • Fasa terakhirnya pula ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ini menjadikan 98 peratus kawasan Semenanjung serta Sabah Sarawak akan menikmati dan menonton 80 saluran TV Digital setaraf dengan Astro serta 40 saluran Radio berkualiti tinggi secara percuma.
  • Dan yang lebih menarik, rakyat Malaysia juga akan menikmati perkhidmatan yang tak jauh bezanya dari yang ditawarkan secara berbayar dari Astro seperti panduan program elektronik, serta alih bahasa dan sarikata pilihan melalui saluran digital RTM. Sudah tentu ianya hanya percuma sahaja.
  • Siapa sangka anak melayu seperti Syed Mokhtar mampu berfikir sebegini jauh untuk kepentingan rakyat Malaysia?
  • Sudah tentu Astro akan melakukan sesuatu untuk memastikan 3 juta pelanggan mereka tidak akan lari ke siaran percuma.
  • Selama ini Astro mengenakan caj yang terlampau mahal kepada pelanggan dan tidak memperduli langsung apa jua kritikan orang ramai yang mahukan harga pakej yang lebih berpatutan.
  • Mungkin Astro beranggapan tiada siapa yang akan dapat menandingi kehebatan penyiarannya termasuk TM Unifi dan ABNXcess.
  • Kini Astro sudah mula rimas dan mula mencari jalan pintas. Lalu mereka memperkenalkan talian fiber optic seperti TM Unifi yang boleh mengatasi masalah gangguan cuaca. Semua pelanggan Astro sudah dihubungi bagi program itu.
  • Namun rakyat tidak nampak banyak perubahan harga. Hanya sedikit rendah berbanding full package TM Unifi. Mengenai slot HBO juga masih banyak dipertikaikan. Ceritanya masih berulang-ulang menyebabkan pelanggan semakin bosan.
  • Apapun kritikan yang dilemparkan, Astro tetap ada jawapan untuk mengekalkan harga yang sedia ada. Nah selepas ini Astro akan bertarung dengan MYTV RTM yang ditawarkan secara percuma. Apakah langkah Astro seterusnya untuk kekal berada pada rating teratas?
  • Ramai berpendapat Astro perlu menurunkan harga yang separas dengan ABNXcess iaitu di bawah RM100 sebulan bagi full package. Hanya itu saya yang dapat menentukan Astro terus bertahan dalam industri komunikasi di Malaysia. Kalau tidak memang nak kena bungkus macam nasi lemak.