Friday 28 December 2012

Tan Sri Rozali ketuai misi kemanusiaan - Kor Pengendali Air 60 RAJD dan SYABAS salur bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur

Kor Pakar Pengendali Air 60 RAJD siap sedia membantu mangsa banjir
Tan Sri Rozali memunggah bekalan air mineral untuk keperluan mangsa banjir di Pantai Timur

  • KUALA LUMPUR: Pakar Pengendali Air dari 60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sekali lagi berganding bahu menjalankan misi kemanusiaan di pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.
  • Berikutan keadaan banjir yang dilaporkan semakin buruk di selatan Semenanjung, kira-kira 600 anggota RAJD di seluruh negara telah diarah berjaga-jaga dan bersedia untuk dikerahkan ke kawasan bencana di negeri masing-masing pada bula-bila masa.
  • Misi bantuan kemanusiaan dan menyalurkan bekalan air bersih kepada mangsa bencana banjir di Pantai Timur itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif SYABAS merangkap Kolonel (Kehormat) 60 RAJD di markas skuadron Selangor, Sungai Besi petang semalam.
  • Beliau berkata, matlamat utama misi bantuan itu adalah untuk menyahut seruan Kementerian Pertahanan Malaysia yang telah mengarahkan semua agensi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anggotanya untuk bersiap sedia digerakkan dan menyampaikan bantuan yang diperlukan.
  • Bagi merealisasikan matlamat itu, Tan Sri Rozali menjelaskan bahawa SYABAS dan 60 RAJD sentiasa siaga menggerakkan pasuka masng-masing dengan mengorak langkah menghantar 25 anggota pada peringkat permulaan. Anak beliau, Azlan Shah juga turut menyertai misi bantuan kemanusiaan dan bekalan air di Pantai Timur.
  • Katanya, penambahan anggota bantuan kemanusiaan akan dibuat oleh negeri-negeri lain jika keadaan banjir berterusan dan bertambah buruk.
  • Selain menyediakan bantuan kemanusiaan, SYABAS dan 60 RAJD turut membantu memberi bekalan air bersih kepada mangsa di kawasan yang terlibat.
  • Selain daripada itu sebanyak empat lori tangki air dan enam lori bagi mengangkut 6,000 botol minuman mineral secara berperingkat dan diletakkan dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.
  • Pasukan 60 RAJD juga siap sedia dengan `tangki air statik’ untuk dihantar ke kawasan bencana jika keadaan banjir berterusan.
  • Setakat ini SYABAS telah menghulurkan bantuan yang sama semasa kejadian banjir yang melanda Labis Johor dan Melaka pada 2011, Kedah dan Perlis pada 2010, Rompin pada 2007dan Tangkak, Johor pada 2006.
  • Bantuan yang bakal disalurkan ini adalah bagi memastikan semua mangsa banjir yang terlibat mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian, terutamanya untuk minum dan memasak semasa di pusat pemindahan.
  • SYABAS juga memaklumkan bahawa bantuan sumbangan yang bakal dihantar itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial SYABAS dan RAJD sebagai tanda keperhatinan dan bersama-sama turun  padang dengan masyarakat bagi membantu penduduk yang mengalami bencana.
  • Di RANTAU PANJANG, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akan diberi bantuan sebanyak RM500 bagi meringankan beban mereka.
  • Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan disalurkan sebaik sahaja mereka pulang ke rumah masing-masing dan arahan telah diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempercepatkan pemberian bantuan tersebut.
  • Selain itu katanya, mangsa banjir di negeri ini juga akan dipertimbangkan diberi bantuan lain di bawah tabung wang ihsan yang boleh digunakan untuk membaiki rumah, membeli pakaian dan makanan.
  • Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menasihatkan mangsa-mangsa banjir di negeri ini mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan sekiranya diminta berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian lebih buruk.
  • Beliau berkata, arahan tersebut bagi menjamin keselamatan mereka selain membolehkan pelbagai bantuan termasuk penjagaan kesihatan diberikan secara teratur di pusat-pusat berkenaan.
  • Malah katanya, penduduk yang masih enggan berpindah sepatutnya mengutamakan nyawa dan tidak bimbang berhubung keselamatan harta benda berikutan jaminan telah diberikan pihak keselamatan yang akan melakukan pemantauan berkala bagi mengelak kegiatan jenayah.
  • Azlan Shah Rozali turut serta dalam misi kemanusiaan
  • Dalam pada itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) yang bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Monday 17 December 2012

DAP mahu MELAYU ISLAM hidupMEREMPAT!!!


PM Jepun akui kalah pilihan raya dan akan letak jawatan




PM Jepun akui kalah pilihan raya dan akan letak jawatan
TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda semalam mengaku kalah dalam pilihan raya Parlimen negara ini dan akan meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokratik Jepun (DPJ).
"Saya akan meletak jawatan sebagai ketua DPJ kerana saya memandang serius keputusan (pilihan raya) ini.
"Oleh itu, saya mahu memohon maaf kerana saya gagal mendapatkan keputusan sebagaimana yang diharapkan," katanya pada sidang media.
Kenyataan Noda dibuat selepas stesen penyiaran NHK melaporkan, Parti Liberal Demokratik (LDP) memenangi antara 255 kerusi Parlimen dengan 95 kerusi masih tidak diketahui manakala DPJ hanya memenangi 39.
-Utusan

Friday 14 December 2012

Tabung Budi belanja RM300,000 bantu rakyat Selangor


Tabung Budi bantu rakyat Selangor
  • SABAK BERNAM: `Tabung Budi’ Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) membelanjakan hampir RM300,000 bagi membantu menyalurkan air kepada golongan kurang berkemampuan.
  • Pengurus Tabung Budi Peka Hashimah Che Mat Din berkata sebanyak RM297,021 dibelanjakan dari dana yang diterima tabung berkenaan bagi membiayai pembayaran tunggakan bil air, caj penyambungan, kos membaik pulih sistem perpaipan dalaman kepada penerima yang layak.
  • "Kos berkenaan turut meliputi pemasangan sistem bekalan air kepada penerima yang tidak mempunyai akuan bil air termasuk wang cagaran dan caj pemasangan," katanya.
  • Beliau berkata kos berkenaan dibelanjakan sejak 2010 untuk menyambung bekalan air kepada 370 keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai tunggakan bil sehingga menyebabkan bekalan air mereka dipotong.
  • Hashimah berkata Tabung Budi Peka akan menanggung bayaran bil selama enam bulan dan memantau penggunaan air penerima tabung itu bagi memastikan mereka tidak membazir atau menyalah guna kemudahan berkenaan.
  • Sehingga kini, Tabung Budi Peka mempunyai dana terkumpul hampir RM312,000 yang diterima daripada anggota Peka, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga, anggota korporat dan individu, katanya.
  • Beliau berkata orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghantar e-mel keshimapr@syabas.com.my.
  • "Bantuan tabung ini akan diteruskan selagi menerima dana dan kita mengalu-alukan semua pihak untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan," katanya.
  • Sementara itu, seramai tiga keluarga di Sabak Bernam menerima bantuan dari tabung berkenaan hari ini  iaitu Wasilah Sahari dari Parit Baru, Nor Asmah Ahmad Keliwan dari Sungai Air Tawar dan Suhaimi Abbas dari Bagan Terap, Sungai Besar.
  • Wasilah, 33, yang sarat mengandung, melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima terutamanya menjelang kelahiran anak ketiganya pada bila-bila masa.
  • "Syukur dan terima kasih banyak-banyak, saya risau memikirkan perlu berpantang tanpa bekalan air, tetapi hari ini segalanya telah selesai," katanya yang bergantung kepada air hujan selepas bekalan air di rumahnya dipotong sejak dua bulan lepas. -- BERNAMA

Punca peniaga Melayu gagal

 
 

PUTRAJAYA 28 Nov. - Kelemahan dalam pengurusan tunai merupakan penghalang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang perniagaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
Beliau berkata, usahawan bumiputera harus lebih mahir dalam pengurusan kewangan termasuk menggunakan sumber yang ada secara bijak untuk memajukan perniagaan masing-masing.
 
''Jika usahawan bumiputera mendapat pinjaman RM1 juta untuk tujuan perniagaan, mereka akan belanja separuh daripadanya untuk membeli kereta mewah atau barangan lain.
 
''Pinjaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam perniagaan tetapi mereka juga perlu membayar faedah atas dana yang diperoleh," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bicara tengah hari sempena Perhimpunan Usahawan Bumiputera Industri Perkayuan di Pusat Maritim Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim.
 
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera juga didapati gagal menguasai beberapa perniagaan francais di negara ini kerana tidak menguruskan aliran tunai dengan berkesan.
''Peniaga Melayu berkenaan gagal kerana selepas mereka mendapat keuntungan, hasil itu tidak dilabur untuk beli stok atau memajukan perniagaan tetapi digunakan untuk tujuan lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan bumiputera melakukan usahasama dengan syarikat lain bagi menimba pengalaman dan ilmu yang diperlukan untuk memajukan diri.
 
''Selain perlu bekerja dengan rajin, usahawan bumiputera juga harus bekerja secara bijak dan untuk tujuan itu, kita perlu menimba ilmu melalui pelbagai kaedah termasuk membaca buku.
''Seterusnya kita mesti mengenal pasti apa yang kita mahu. Kita boleh mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selepas itu baru fikirkan cara untuk memajukannya," katanya.
 
Dr. Mahathir turut menggesa usahawan bumiputera supaya meneroka peluang dalam bidang yang berlainan bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan.
 
''Jangan nampak orang lain berjaya dengan jual nasi lemak, semua orang pun pergi jual makanan yang sama dan akhirnya gagal," katanya.
 
Sumber
Utusan


 

Air, satu sumber yang perlu bagi kehidupan


Air Nadi Kehidupan.
KUALA LUMPUR - Dalam filem 'Sahara', yang berkisar mengenai Perang Dunia Kedua, sepasukan tentera Jerman menyerang sekumpulan kecil tentera Perikatan yang sedang berkubu di sebuah ‘wadi’ terletak di Gurun Sahara.

‘Wadi’, dalam Bahasa Arab bermaksud ‘lembah’. Ia juga merujuk kepada sebuah anak sungai atau dasar sungai yang kering dan biasanya digenangi air terutama selepas hujan lebat.

Namun kesudahan cerita itu, tentera Jerman yang begitu ramai menyerah kalah kepada tentera Perikatan semata-mata kerana inginkan air dari perigi yang berada di wadi itu.

Sementara itu dalam filem James Bond bertajuk 'Quantum of Solace', ceritanya adalah mengenai rancangan pihak tertentu mengugut bagi mendapatkan wang dari kerajaan sebuah negara Amerika Selatan dengan memotong bekalan air ke negara itu.

Adakah konflik mengenai bekalan air seperti yang digambarkan dalam filem-filem di atas boleh menjadi satu realiti satu hari nanti?

Ini menunjukkan betapa pentingnya sumber bekalan air sebagai satu dari keperluan asas manusia.


Kurang bekalan air

Menurut pensyarah sebuah universiti di sini, G. Desmond, bekalan air berada dalam kedudukan ‘tidak stabil’ di beberapa kawasan di negara ini terutama Lembah Klang.

“Di kawasan seperti Lembah Klang,, pembangunan dan perkembangan penduduk berlaku dengan rancaknya dan pada masa kini pun kita agak kerap mengalami masalah kekurangan bekalan air yang boleh menjadi runcing pada dekad akan datang," kata beliau.

Menurut Desmond, jumlah penduduk dunia berkembang dengan pesat seiring dengan permintaan untuk bekalan air turut meningkat dan berkembang dengan lebih pantas.

"Pada lima dekad yang lepas, jumlah populasi manusia meningkat hampir dua kali ganda daripada 3.9 bilion ke 6.5 bilion tetapi keperluan air meningkat tiga kali ganda, melebihi dengan ketara peningkatan jumlah penduduk.

"Jumlah penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.0 bilion menjelang tahun 2050 dan keperluan bekalan air menjelang tahun itu adalah dijangka tersangat tinggi,” katanya kepada penulis di sini baru-baru ini.

Kata Desmond, pola pengguna utama air di negara ini adalah sektor pertanian, perbandaran dan perindustrian.

"Bagaimanapun hari ini penggunaan air di sektor pertanian di negara ini telah berkurangan jika dibandingkan dengan penggunaan sektor perbandaran dan perindustrian yang semakin meningkat dengan rancaknya dari hari ke hari," jelas beliau.


Keperluan asas manusia

Menurut Desmond, air adalah satu komoditi dan yang paling penting ia satu keperluan asasi manusia.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, keperluan air dunia meningkat dua kali ganda lebih cepat dari peningkatan penduduk dan menjelang tahun 2025, dianggarkan 1.8 bilion penduduk akan mengalami ‘kekurangan air yang meruncing' manakala dua pertiga dari bumi ini akan mengalami 'stres' yang timbul daripada masalah ini.

Menjelang tahun 2050, dianggarkan 45 peratus penduduk dunia tinggal di negara yang mengalami kekurangan air secara kronik.

Menuru Desmond lagi, manusia menggunakan air bagi pelbagai urusan seperti untuk minum dan membersih.

"Air digunakan bagi penyejukkan, ia diguna juga bagi tujuan rekreasi seperti wujudnya taman tema air. Air diperlukan di kedai makan dan restoran, kilang dan pada upacara tertentu majlis keagamaan.


Kemungkinan krisis air

Awal tahun ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau Syabas memberi amaran bahawa Lembah Klang akan mengalami masalah bekalan air yang serius jika pihak yang berwajib gagal melaksanakan tiga projek bekalan air menjelang tahun 2014.

Projek itu ialah loji Rawatan Air Sungai Langat 2 , Terowong Air Mentah Pahang-Selangor dan Empangan Salak Tinggi. Projek-projek tersebut dibelenggu oleh masalah yang timbul antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri terutama tentang kos pengambilalihan tanah dan harga air.

Menurut Syabas, projek-projek itu perlu disegerakan bagi memenuhi peningkatan permintaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang berkembang sebanyak 3.5 peratus setahun.

Ketika ini kapasiti pengeluaran air bersih di loji rawatan yang ada tidak mencukupi berikutan peningkatan dalam permintaan di mana paras maksimum sudah tidak dapat dipertingkatkan lagi.

Menurut Syabas permintaan terhadap bekalan air dijangka meningkat kepada 4,354 juta liter sehari akhir tahun ini dibandingkan dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 4,326 juta liter sehari.

Masalah bekalan air terputus seperti yang berlaku pada 5 Jan lalu di empat kawasan di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat boleh berlaku lagi pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Persatuan Air Malaysia (MWA) turut membangkitkan isu yang sama dengan menyebut bahawa tanpa tindakan yang konkrit, penduduk di Lembah Klang akan mengalami masalah bekalan air yang serius pada tahun-tahun akan datang.- Bernama

Thursday 29 November 2012

GWGF membawa misi keamanan di FELDA



Tan Sri Rozali Ismail membawa misi kemanan di FELDA melalui Askar Wataniah
  • Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang menjadikan kesemua 317 buah penempatan Felda di seluruh negara sebagai Kompeni Askar Wataniah.
  • Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail berkata, sehingga kini Selangor, Johor, Terengganu, Sabah, Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Melaka telah berjaya menubuhkan Kompeni Askar Wataniah masing-masing.
  • Beliau yang juga merupakan Brig Jen (Kehormat) Askar Wataniah (Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja) berkata ia adalah selari dengan dasar Pertahanan Negara iaitu tanggungjawab semua lapisan masyarakat perlu diintegrasikan secara bersepadu.
  • Menurutnya, keanggotaan Kompeni Askar Wataniah di seluruh Felda kini melebihi 3,000 anggota termasuk wanita.
  • Penyertaan masyarakat peneroka Felda dalam Askar Wataniah dijangka dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai nisbah satu anggota tetap bagi dua anggota sukarela menjelang 2020.
  • Dengan jumlah 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara, hasrat itu mampu dicapai yang sekaligus dilihat dapat membantu kerajaan memupuk semangat patriotisme di kalangan warga peneroka.
  • "Penubuhan Kompeni Askar Wataniah di seluruh negeri yang ada tanah rancangan Felda ini perlu diteruskan agar kita dapat melatih Askar Wataniah bersama anggota tentera tetap.
  • "Apabila mereka telah dilatih ia pastinya akan memantapkan lagi pertahanan negara kita dan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang," katanya semasa berucap melancarkan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Melaka, baru-baru ini.
  • Tan Sri Rozali berkata tanggungjawab mempertahan negara bukanlah hanya terletak pada pasukan keselamatan semata-mata, bahkan semua rakyat.
  • "Penyertaan masyarakat Felda dalam Askar Wataniah akan menambah bilangan benteng pertahanan negara, dan mereka juga dapat mempertahankan Felda dari ancaman pihak-pihak tertentu yang iri hati dengan kejayaan msyarakat Felda," katanya.








Askar Wataniah GWGF benteng pertahanan negara


Leftenan Kolonel Datuk Abdullah Abu Bakar
  • Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Leftenan Kolonel Datuk Abdullah Abu Bakar menyatakan beliau yakin askar wataniah GWGF mampu menjadi benteng pertahanan negara.
  • Ini lantaran latihan yang diterima oleh para anggota sudah mencapai tahap yang sepatutnya untuk menjadi seorang pahlawan negara.
  • Beliau turut menyatakan barisan askar wataniah ini mampu berkhidmat kepada negara sekiranya dipanggil pada bila-bila masa.
  • Sepanjang penglibatan beliau didalam askar wataniah, beliau sering turun padang bersama askar wataniah yang lain bagi mengetuai program khidmat masyarakat.
  • Menurut beliau lagi, ketika permohonan askar wataniah ini dibuka lebih 3000 pemohonan diterima.
  • “Permohonan yang kita terima agak banyak tetapi tidak semua yang dipilih kerana kita ada membuat proses saringan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di  Felda Bukit Senggeh.
  • Lebih membanggakan beliau apabila lebih separuh daripada mereka yang menyertai askar wataniah kini telah diserap masuk menjadi anggota tetap.
  • “Lebih 1000 orang anggota askar wataniah telah dipilih dan diserap masuk menjadi anggota tetap dan ini merupakan satu perkembangan positif serta boleh dibanggakan,”ujarnya lagi yang gembira dengan perkembangan sihat itu.

Monday 26 November 2012

Askar Wataniah FELDA mampu lahirkan generasi baru berwawasan - kata Tan Sri Rozali


Tan Sri Rozali di majlis pelancaran Wataniah FELDA Melaka
  • Perlancaran kompeni askar wataniah berakhir di Melaka selepas berjaya dilancarkan di lapan buah negeri.
  • Ternyata penubuhan kompeni Askat Wataniah FELDA ini mencapai misinya untuk memberi pendedahan kepada masyarakat FELDA mengenai tugas dan peranan angkatan sukarela.
  • Hasilnya objektif penubuhannya tercapai apabila ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat FELDA mengenai kepentingan keselamatan dan pertahanan negara.
  • Selain itu ia turut mewujudkan kompeni Askar Wataniah di peringkat FELDA dimana keanggotaannya terdiri daripada anak-anak peneroka FELDA.
  • Ia juga dilihat berjaya mengeratkan silatuhrrahim diantara warga FELDA sendiri bersama Rejimen Askar Wataniah dan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang menjadi wasilah memperjuangkan nasib genersi baru FELDA.
  • Pada majlis perlancaran itu, Lefthenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah turut berbangga dengan pencapai FELDA kali ini.
  • “Saya amat berbangga kerana hasrat untuk menubuhkan kompeni askar wataniah wilayah Felda seluruh Malaysia tercapai,
  • “Ia seterusnya menyahut seruan ibu pertiwi yang sesuai dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang diterapkan didalam Dasar Pertahanan Negara,
  • “Semoga penubuhan Kompeni Askar Wataniah di tanah rancangan FELDA ini dpat memberi rangsangan,
  • “Serta memberi inspirasi kepada pihak-pihak lain untuk turut mengambil inisiatif yang sama demi mempertahankan kedaulatan negara,
  • “Sesungguhnya ini merupakan satu khidmat yang sangat murni dan wajar diberikan pujian kerana sejajar dengan usaha Angkatan Tentera Malaysia,
  • “Yang inginkan penambahan bilangan anggota Askar Wataniah dengan nisbah 1 anggota tetap, 2 anggota sukarela menjelang 2020,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian berkenaan.
  • Pada majlis itu juga, pengerusi GWGF, Brigedier Jeneral (Kehormat) Tan Sri Rozali Ismail turut memberi nasihat kepada generasi baru FELDA.
  • “Ingin saya nasihatkan kepada warga generasi baru supaya menunjukkan contoh yang baik apabila terpilih menjadi kompeni Askar Wataniah,
  • “Diharap juga anda mampu menjadi generasi yang lebih berwawasan tinggi dan berdisiplin,
  • “Kita juga harus sedar bahawa jika bukan kita tiada siapa lagi yang dapat mempertahankan tanah rancangan ini kecuali kita sendiri,
  • “Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga, memajukan, dan memakmurkan tanah rancangan FELDA ini.
  • “Saya juga berharap dengan wujudnya Askar Wataniah ini di seluruh tanah rancangan ia dapat menjaga keamanan setempat,
  • “Oleh itu, anda haruslah menjadi warga yang kental dalam mempertahankan masyarakat peneroka dari diganggu oleh anasir-anasir yang ingin memecah belahkan kita,”kata Tan Sri Rozali.
  • Turut hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Lefthenan Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar bin Kaseh, Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, Brigedier Jeneral  Tan Sri Rozali Ismail dan juga pemangku panglima 3 divisyenm Brigedier Jeneral Dato’Sheikh Mokhsin Hassan.

Thursday 22 November 2012

Doa PAS melebarkan perpecahan Islam di Malaysia

 


  • Pelbagai pihak berbalas `bedilan’ mengenai `doa PAS’. Umumnya terdapat dua perspektif komen yang dinyatakan samada secara rasional dan / atau emosi.
  • Pertama, teguran orang ramai, cendikiawan agamawan bahawa doa yang dipimpin oleh Nik Razi Nik Mat (adik Menteri Besar Kelantan) itu tidak manis, keterlaluan, tidak sopan, memalukan dan macam-macam lagi.
  • Kedua, pihak yang bersekutu atau simpati dengan PAS. Mereka pasti menepis teguran umum mahupun teguran itu datang dari Kota Mekah. Mereka gunakan apa jua sebab untuk mempercayai bahawa doa itu wajar.
  • Antara sebab mereka mewajarkan doa itu ialah soal hak. Sesiapa saja berhak berdoa. Selain itu doa Nik Razi bukan ditujukan kepada manusia. Mereka berdoa kehancuran parti UMNO dan BN.
  • Doa yang dibaca itu disebarkan menerusi apa juga saluran yang ada di atas muka bumi ini. Bererti doa itu sengaja mahu disebarkan. Sengaja mahu semua umat Islam di negara ini memikirkan apakah doa itu wajar atau sebaliknya.
  • Semua pihak memberi reaksi mengikut kepakaran dan pengetahuan masing-masing. Media juga menyiarkan pandangan mengikut hala tuju masing-masing.
  • Blogger di kalangan umat Islam pula menghangatkan suasana dengan membelasah sesuka hati isu `doa PAS’ mengikut emosi masing-masing tanpa ada pertimbangan akal yang waras kerana beranggapan mereka ada hak untuk bersuara.
  • Blogger tidak kisah soal halal atau haram bahasa mereka. Mereka menyebut apa yang mereka suka kerana beranggapan tiada perundangan yang boleh menyekat mereka berbicara. Paling tidak mereka kena saman.
  • Mereka beranggapan jika ada 1,000 postings menghina dan mengutuk soal manusia dan bukan manusia, laratkah pihak yang dituduh itu menyaman semua penghantar dan pemilik postings itu?. Sebab itu blogger suka menghentam secara beramai-ramai dengan harapan agar dapat masuk penjara secara beramai-ramai. Itulah `akal pandai’ blogger.
  • Apa pun soal `doa PAS’ yang disiar dan ulangsiar dalam mana-mana laman cetak dan maya, tidak mengambil kira soal maruah umat Islam dan bangsa Melayu.
  • Bangsa Melayu tidak mahu bertolak ansur soal doa, biarpun menghadap kiblat yang sama setiap hari dan mengucap dua kali syahadah pada setiap solat.
  • Doa PAS telah membuktikan bahawa bangsa Melayu tidak mahu bersatu. Mereka menganggap diri dan kumpulan mereka lebih besar dan baik daripada kumpulan lain.
  • Mereka menganggap kumpulan mereka lebih Islam dari kumpulan yang lain. Mereka menganggap ketua kepada semua kumpulan Islam.
  • Mereka tidak mahu bersatu dengan kumpulan Islam yang lain. Mereka lebih rela berkerjasama dengan kafir, untuk menghancurkan umat Islam sendiri.
  • Mereka tidak menganggap manusia yang berada di luar parti mereka itu sebagai Islam. Mereka menganggap orang lain itu kafir.
  • Bila dikritik, mereka berkata dengan selamba “kami mengkafirkan parti, bukannya orang” atau “kami mendoakan kehancuran parti, bukannya manusia dalam parti itu”. Lucu juga apabila mendengar alasan dangkal itu dan tak perlu mengulas lanjut mengenainya kerana blog ini bukannya diulit oleh blogger tidak berhemah.
  • Penulis sekadar ingin mencetuskan persoalan di minda semua umat Islam di Malaysia. Apakah kita perlu bersengketa dan berbunuhan sesama Islam seperti yang berlaku di kalangan umat Islam di beberapa negara di Timur Tengah, semata-mata untuk menegakkan kumpulan masing-masing yang dikatakan lebih Islam daripada kumpulan yang lain?
  • Jika tidak mahu keganasan seperti itu berlaku di negara ini, apakah yang perlu dilakukan oleh umat Islam? Penyatuan yang bagaimana dikehendaki dan akan dipersetujui semua kumpulan Islam di Malaysia?
  • Kita perlu kembali kepada ajaran al quran dan hadis, itulah jawapan yang diberikan oleh agamawan, tetapi ketika mahu mengusahakannya, ada kumpulan Islam akan berkata “ikutlah parti kami yang selama ini memperjuangkannya, jangan ikut parti lain yang tidak tahu apa agamanya”. Itukah bentuk penyatuan yang dimahukan?
antara petikan Doa PAS: "Ya Allah hukumkan UMNO. Ya Allah hukumkan UMNO BN. KO BN, KO BN, BN KO, KO BN, BN KO, KO BN, BN KO, dalam pilihanraya ke - 13 ini Ya Allah. Mudah-mudahan perjalanan kami ke putrajaya Ya Allah dengan begitu mudah sekali, permudahkan dengan pertolongan Mu Ya Allah. Kalau la Engkau Ya Allah pernah tenggelamkan Firaun di dalam laut, Engkau telah izinkan bumiMu telah Qarun, Ya Allah, Engkau telah melaknatkan Namrud.. dan begitu juga Abu Lahab, maka sungguh mudah untuk Engkau bagi jahanamkan UMNO dan BN dalam pilihanraya ke - 13.

Thursday 15 November 2012

Terimakasih dari GWGF buat Perdana Menteri dan isteri kerana prihatin terhadap kebajikan anak peneroka Felda



  • KUALA LUMPUR: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), sebuah badan gergasi yang menerajui 12 persatuan dan kelab dengan keanggotaan lebih 500,000 ahli, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan isterinya kerana menyempurnakan bayaran 'durian runtuh' pusingan ketiga kepada generasi baru FELDA.
  • Pada pusingan terakhir itu, setiap keluarga generasi baru menerima insentif RM5,000 dengan jumlah keseluruhan melibatkan RM563.2 juta.
  • Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sentiasa prihatin terhadap kebajikan warga peneroka dan generasi baru Felda, di samping memberi pelbagai insentif dan bantuan.
  • Beliau berkata, pemberian durian runtuh pusingan ketiga itu membuktikan kerajaan sentiasa menepati janji kepada rakyat terutama dalam usaha membela nasib masyarakat peneroka di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.
  • "Inilah keistimewaan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, setiap individu yang berada di tanah rancangan Felda pasti akan menikmati bantuan atau sumbangan yang diberikan sama ada daripada segi wang ringgit, bantuan persekolahan dan banyak lagi," katanya.
  • Timbalan Presiden GWGF, Datuk Abdullah Abu Bakar pula berkata, masyarakat Felda terutama generasi baru menyifatkan `durian runtuh’ yang diberikan oleh kerajaan adalah luar biasa serta pemberian terbesar yang mereka peroleh sejak Felda ditubuhkan pada 1956.
  • Beliau berkata sumbangan itu sangat bermakna kepada 112,636 peneroka di 317 tanah rancangan FELDA serta generasi kedua mereka yang selama ini tidak pernah hilang keistimewaan pada mata kerajaan.
  • Katanya, warga Felda dilimpahi rahmat kerana inilah pemberian paling besar yang pernah mereka dapat, selain bonus tahunan dan duit raya.
  • “Masyarakat FELDA menerima perhatian yang amat istimewa, justeru mereka harus bersyukur dan menggunakan imbuhan yang diberi untuk tujuan kebaikan terutama bagi pendidikan anak-anak,” katanya.
  • Setiausaha GWGF, Kamaruzaman Mohamad pula berkata, durian runtuh berkenaan adalah tanda penghargaan kerajaan kepada masyarakat peneroka yang banyak berjasa kepada pembangunan ekonomi negara.
  • “Keperihatinan kerajaan telah menambat hati semua warga peneroka dan generasi baru. Justeru itu rakyat Felda akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” katanya.
  • Presiden kelab Stormrider GWGF, Borhanuddin Ramli berkata sumbangan durian runtuh kepada generasi kedua Felda itu memberi nafas baru kepada mereka untuk terus berada di sisi kerajaan, sekaligus membantu negara memajukan pelbagai sektor ekonomi.
  • “Justeru, saya berharap durian runtuh yang diberikan ini bukan hanya dilihat sebagai wang ringgit, tetapi pendorong untuk generasi muda FELDA supaya sentiasa sabar, bersatu dan memberi kepercayaan kepada kerajaan,” katanya.
  • Presiden Pertubuhan Kontraktor Generasi Felda Malaysia, Amran Mohamad juga berterimakasih kepada Perdana Menteri dan isteri kerana memberi sumbangan berupa `durian runtuh’ kepada generasi baru Felda.
  • Di samping itu beliau juga berterimakasih kepada kerajaan kerana berusaha menyediakan perumahan mencukupi kepada generasi baru.
  • Ini kerana, katanya masih ramai lagi yang terpaksa menumpang atau tinggal bersama keluarga mereka yang juga merupakan peneroka asal Felda.
  • Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Generasi Felda (Perkesan), Siti Hajar Ismail juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan terutama Perdana Menteri dan isterinya kerana menyempurnakan pemberian durian runtuh kepada generasi baru Felda.
  • Sambil itu beliau menyeru generasi baru supaya menggunakan sumbangan kerajaan itu dengan teratur serta berbelanja secara berhemah.
  • Katanya, bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah, sumbangan itu juga wajar digunakan untuk keperluan pakaian anak-anak yang akan menyambung persekolahan mulai Januari depan.
  • “Saya percaya seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pemberian durian runtuh itu kerana ia membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan semua pihak termasuk warga Felda,” katanya.
  • Selain itu, beberapa pemimpin pertubuhan di bawah naungan GWGF juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah kerana memberi sepenuh perhatian kepada warga Felda.
  • Pertubuhan terbabit ialah Persatuan Sukan Bermotor GWGF, Persatuan Peneroka Felda, Persatuan Penerokawati Felda, Yayasan Pembangunan Generasi Felda,  Pertubuhan Generasi Felda Universiti, Dewan Perniagaan Generasi Felda, Pertubuhan Silat Generasi Felda, Pertubuhan Imam Muda Felda dan Anak-anak Peneroka Luar Negara.
  •  

Wednesday 14 November 2012

Tan Sri Rozali bawa masuk askar Wataniah ke 317 rancangan tanah FELDA, satu kejayaan terhebat!


Brigadier Jeneral Tan Sri Rozali Ismail, membawa askar wataniah ke Felda.




  • PERNAHKAH kita terfikir tanah pertanian FELDA akan dibanjiri askar Melayu separa profesional? Tak cukupkah Rejimen Askar Melayu Diraja yang ada sekarang sehingga perlu ditambah? Brigadier Jeneral Tan Sri Rozali Ismail sudah menyediakan jawapannya. Malah lebih jauh dari itu, beliau sudah merealisasikannya melalui kerjasama Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dan Askar Wataniah.
  • Anak peneroka Felda Gedangsa itu sudah menyaksikan bagaimana lebih 120,000 peneroka Felda menyemai bakti pada Tanah Melayu sejak awal tahun 1960an sehingga berjaya membentuk sebuah empayar pertanian yang hebat sekaligus melahirkan lebih 1.6 juta pewaris pada ketika ini.
  • Tidak cukup dengan itu, ramai bukan pewaris peneroka juga bertandang dan berhijrah untuk mencari rezeki di 317 rancangan tanah dan menjadikan keseluruhan warga Felda setakat ini seramai lebih 3.5 juta orang, satu jumlah yang sangat menakjubkan.
  • Sebagai anak Felda, Tan Sri Rozali melihat pada prisma yang lebih jauh, apakah 3.5 juta warga Felda yang ada cukup sekadar berbudi pada tanah saja? Beliau berpendapat warga Felda tidak sepatutnya berhenti di situ sebaliknya perlu berbudi kepada negara.
  • Dengan memiliki warga seramai itu, anak pintar dari Felda Gedangsa itu melihat kaedah terbaik ialah dengan menyumbang tenaga bagi menjaga keselamatan negara menerusi gerakan pertahanan askar wataniah.
  • Ramai tidak yakin usaha itu dapat dilaksanakan di 317 rancangan tanah Felda kerana tiada siapa yang berminat untuk menyahut cabaran besar itu.
  • Akhirnya, Tan Sri Rozali sendiri menyempurnakan usaha itu menerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) di bawah pimpinan beliau sendiri.
  • Beliau memulakan langkah pada awal 2012 dengan melancarkan penubuhan kompeni askar wataniah yang pertama di Felda Gedangsa bagi mewakili negeri Selangor.
  • Tan Sri Rozali percaya usaha itu dapat menyemai minat kesukarelaan serta tanggungjawab memelihara keselamatan negara di kalangan generasi FELDA.
  • Usahanya tidak berhenti di situ. Satu demi satu wilayah Felda menubuhkan kompeni askar wataniah dengan matlamat ianya dapat dikembangkan ke seluruh 317 rancangan penempatan FELDA seluruh negara.
  • Anak Felda Gedangsa itu berpendapat penyertaan generasi baru dalam askar wataniah adalah tanda penghargaan dan terima kasih kepada pemimpin negara yang mewujudkan dan memajukan rancangan FELDA.
  • Tan Sri Rozali sendiri mengambil inisiatif menyertai wataniah dengan memngikuti pelbagai kursus dan latihan berat sehingga berjaya menyandang jawatan Brigedier Jeneral Rejimen 60 Pakar Pengendalian Air Askar Wataniah (60 RAJD-AW).
  • Beliau berbuat demikian kerana yakin pasukan wataniah tetap relevan dengan peranan dan fungsi yang sama seperti Angkatan Tentera Malaysia.
  • Berikutan itu, beliau dan GWGF berusaha keras melancarkan kompeni wataniah di Johor, Pahang, Perak, Kedah, Terengganu dan Sabah.
  • Usaha beliau itu mendapat sambutan memberangsangkan di setiap negeri yang dijelajahi. Ini kerana ramai berpendapat askar wataniah adalah barisan pertahanan kedua terpenting selepas Angkatan Tentera Malaysia.

Tuesday 13 November 2012

Tan Sri Rozali `hardcore biker', 1MBW masuk Malaysia Book of Records

TAN SRI ROZALI ISMAIL, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad, satu-satunya kenamaan berstatus Tan Sri yang telah menyertai konvoi Kembara 1 Malaysia Bike Week sekaligus telah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records
  • PUTRAJAYA: Pengerusi Eksekutif Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail amat berbangga kerana menjadi salah seorang peserta Konvoi Kembara 1Malaysia Bike Week (1MBW) 2012 yang berjaya mencatat Malaysia Book of Records (MBOR).
  • Konvoi yang berlangsung selama enam hari merentasi Semenanjung Malaysia berjaya dicatatkan dalam sijil MBOR sebagai ekspedisi motosikal berkuasa tinggi terbesar di negara ini.
  • Ia berikutan kejayaan konvoi yang bermula 6 hingga 11 November itu menghimpunkan penyertaan 438 motosikal berkuasa tinggi membabitkan 536 penunggang dan pembonceng.
  • Selain itu, perhimpunan (1MBW) di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari penutup turut dicatatkan dalam MBOR sebagai perhimpunan motosikal berkuasa tinggi terbesar selepas berjaya mengumpulkan 6,630 motosikal dan 7,740 peserta.
  • Sijil MBOR diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi Eksekutif Gabungan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan berkenaan.
  • Sepanjang konvoi yang mencabar itu, Tan Sri Rozali, 54 cukup gagah dan bertenaga ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi di lebuhraya Johor Bharu ke Kuantan, manakala cabaran hebat menantinya di antara Pulau Pinang ke Kuala Lumpur kerana menggunakan jalan lama yang berliku terutama di Hutan Melintang, Lekir dan Sabak Bernam.
  • Syabas kepada Tan Sri Rozali dan rakan-rakan STORMRIDERS kerana berkesempatan bersama-sama menyertai 1MBW dan buat pertama kalinya bersama-sama penunggang motosikal berkuasa tinggi dari seluruh Malaysia, Singapura, Jepun dan Indonesia, kerana bersama-sama mencatat rekod MBOR.
  • Semoga rekod itu akan diperbaharui pada tahun depan kerana ia sudahpun diistiyharkan sebagai acara tetap tahunan.
  • Apapun pengalaman sepanjang kembara perlu dicatatkan sebagai kenangan di sini. Bermula di Johor Bahru pada 6hb Nov, pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Johor.
  • Perjalanan terjauh adalah pada hari pertama sepanjang 540 km dari Johor Baru ke Kuantan, Pahang melalui Merlimau, Melaka dan Bahau Negeri Sembilan sebelum menuju bandar Muadzam Shah dan terus ke Kuantan.
  • Secara keseluruhan keadaan cuaca adalah baik. Konvoi direnjis air hujan pada hari ke empat dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik dan disimbah hujan setibanya di Ijok membawa ke Kuala Lumpur pada hari ke lima konvoi.
  • Secara amnya pergerakan konvoi adalah lancar hanya sedikit dicemari insiden kemalangan ahli seketeriat di Grik bilamana berlanggar dengan kenderaan awam yang secara tiba-tiba keluar dari simpang.
  • Kemalangan di Lekir, Perak pula melibatkan  seorang anggota polis peneraju yang berlangar dengan lori ais yang terus menerjah walaupun diarahkan berhenti.
  • Walaupun motorsikal anggota polis mengalami kerosakan teruk dan sedikit kerosakan pada motorsikal ahli seketariat, namun anggota polis dan ahli seketariat tidak mengalami kecederaan.
  • Syabas kepada pihak penganjur kerana berjaya menjayakan konvoi sebesar ini. Walaupun terdapat sedikit rungutan di kalangan peserta tapi keseluruhannya ia berjaya.

Monday 12 November 2012

Tan Sri Rozali Ismail terima Anugerah Socrates


Tan Sri Rozali Ismail, usahawan tersohor negara dan dihormati di peringkat global
  • Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) dipilih sebagai penerima Anugerah Socrates bersempena Persidangan Pemimpin-pemimpin Oxford dari 25 hingga 27 Oktober lalu di Oxford, United Kingdom.
  • Anugerah itu disampaikan kepada Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Puncak Niaga Holdings Bhd, Ismail Hashim yang mewakili Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail.
  • Anugerah Socrates itu mengiktiraf ahli perniagaan elit pada peringkat global yang sentiasa berusaha melalui kaedah dan cara yang tersendiri untuk menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman di kalangan masyarakat antarabangsa dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan kebudayaan.
  • Penerima anugerah sudah melalui proses pemilihan oleh Jawatankuasa Socrates Antarabangsa yang memilih calon yang paling layak berdasarkan pencapaian profesional yang tinggi dan memberi pengiktirafan antarabangsa atas kejayaan mereka.
  • Rozali berkata, anugerah itu membuktikan keupayaan cemerlang PNHB dalam mengurus dan mengendalikan projek bekalan air berskala besar di Malaysia, khususnya di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
  • Beliau berkata, anugerah itu juga sebagai menghargai sumbangan PNHB terhadap pembangunan ekonomi di Malaysia dan beberapa negara membangun lain seperti China dan India.
  • Walaupun PNHB telah beroperasi di negara membangun, kami sesekali tidak akan melupakan peranan utama syarikat dalam membekalkan air bersih ke kawasan Greater Kuala Lumpur yang merangkumi 7.5 juta pengguna, termasuk sektor industri dan komersial, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.
  • PNHB menyediakan khidmat bersepadu dalam bidang air, air sisa dan persekitaran yang unggul di rantau ini serta memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor minyak dan gas.
  • Kini PNHB terbabit dalam projek berasaskan air di China, India dan beberapa buah negara Asia.