Thursday 23 April 2015

Tempo akui rencana Najib-Rosmah sebagai advertorial

  1. Ternyata gampang untuk mengesan manusia yang berkomplot mengunjing (memfitnah) Perdana Menteri Malaysia lewat majalah Tempo Indonesia.
  2. Hanya perlu hantar sms Tango (sejenis sistem seperti Whatsapp) kepada rakan ridaksi senior (editorial) di majalah itu dan bertanya soalan mudah “ngapain ditulis rencana itu” (mengapa menyiarkan rencana itu). Lalu rakan ridaksi memberi jawapan ringkas “advertisement pak”.
  3. Ditanya lagi “dari siapa” dan jawapannya “loh dari kantor perusahaan Malaysia dong pak, siapa lagi”. Penulis tak mahu bertanya panjang mengenai advertorial (iklan berbentuk rencana) kerana polisi mana-mana penerbitan semestinya tidak akan mendedahkan maklumat `client’ melainkan diperlukan untuk pembuktian mahkamah.
  4. Lalu semua mata tertumpu kepada kumpulan pembangkang Malaysia (DAP dan PKR) disebalik penyiaran rencana “Hidup mewah sang perdana menteri”. PAS tak mungkin sanggup `menggunjing’ walaupun berbentuk `cut and paste’.
  5. Penulis teringat kembali amaran jentera PKR pada hari Datuk Seri Anwar Ibrahim disumbat ke penjara atas tuduhan meliwat. Mereka berjanji akan menggandakan tekanan kepada Perdana Menteri di dalam dan luar negara.
  6. Sekonyong-konyong, Keadilandaily, Malaysian Insider, FMT, Malaysiakini dan beberapa lagi portal pro pembangkang serentak menyiarkan kandungan rencana majalah Tempo di Indonesia. Kebetulan itu kelihatan seperti dirancang.
  7. KeadilanDaily melaporkan, menjelang kunjungan Datuk Seri Najib ke Indonesia, majalah berpengaruh di republik itu menyiarkan laporan mengenai gaya hidup mewah perdana menteri itu dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
  8. Rencana bertajuk “Hidup mewah sang perdana menteri” itu ditampilkan dalam laporan khas majalah Tempo sempena ulangtahun ke-60 Persidangan Asia Afrika yang akan dihadiri Najib pada Khamis ini.
  9. Tempo antara lain memetik laporan The New York Times mengenai minat Rosmah pada beg tangan mewah dan barang kemas, selain kegemaran suami isteri itu pada jam tangan mewah seperti didedahkan NGO pemantau jenayah Malaysia, MyWatch.
  10. Dalam laporannya, majalah itu menyebut Rosmah memiliki sekurang-kurangnya empat jam tangan mewah, sedangkan gaji suaminya hanya sekitar RM350,000 setahun.
  11. “Gaya hidup Najib dan keluarganya itu memancing kemarahan masyarakat Malaysia,” laporan itu turut dipetik portal bebas, Malaysiakini dan beberapa portal lain.
  12. Selain itu, laporan tersebut juga membangkitkan isu mengenai bayaran RM1,200 untuk dandanan rambut Rosmah.
  13. Tidak ketinggalan, isu harta yang diraih anak tiri Najib, Riza Aziz, yang membeli apartmen mewah di New York dan rumah mewah di Beverly Hills.
  14. KeadilanDaily mengulas mengenainya dengan berkata, berbeza di Malaysia, kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai gaya hidup ‘mewah’ Rosmah tidak mendapat tempat semua akhbar berbahasa Melayu, kecuali akhbar berbahasa Cina.
  15. Dalam kalangan akhbar berbahasa Inggeris, hanya The Sun menyiarkan kritikan mantan perdana menteri itu terhadap gaya hidup Rosmah.
  16. Menulis di blognya semalam, Mahathir berkata terdapat banyak perkara mengenai tingkah laku Najib yang “tidak betul” seperti gaya hidup mewah yang dipamerkan keluarganya.
  17. “Tetapi saya sedia mengabaikannya, termasuk gaya hidup mewah dia dan isterinya,” tulisnya dalam blognya chedet.cc.
  18. Ketika banyak pihak termasuk Perdana Menteri tersentak dengan rencana gunjing itu, kerajaan cuba menjawab sebaik mungkin.
  19. Mengikut protokal Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim perlu menepis kegunjingan yang menjaring sidang ridaksi majalah itu.
  20. Lalu Zahrain menjawab, beliau akan mengadakan pertemuan dengan editorial majalah Tempo untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung rencana panas itu.
  21. Sambil itu, katanya Malaysia akan beri penjelasan kepada majalah mingguan Indonesia berhubung laporannya yang mendedahkan 'gaya hidup mewah' Perdana Menteri  dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
  22. Perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat sejurus selepas Zahrain pulang ke Jakarta kerana buat masa ini beliau masih berada di Kuala Lumpur, mengiringi Najib bagi acara 60 tahun Persidangan Asia-Afrika esok.
  23. Sebagai reaksi awal, Zahrain memberitahu bahawa gaya perbelanjaan Najib tidak perlu dipertikaikan kerana beliau sememangnya berasal daripada keturunan kelas tinggi.
  24. "Perdana menteri daripada keturunan berdarjat dan bangsawan. Perbelanjaan dan penghidupannya tidak jadi masalah jika mampu. Yang jadi masalah ialah jika terlibat dengan korupsi, penyelewengan dan sebagainya," katanya dipetik Utusan Malaysia.
  25. Zahrain berkata, beliau akan menjelaskan kepada editorial majalah tersebut mengenai kedudukan dan siapa sebenarnya perdana menteri yang berasal daripada keturunan bangsawan dan berdarjat itu.
  26. Majalah Tempo dalam keluaran khas sempena Peringatan 60 Tahun Persidangan Asia-Afrika bagi edisi 20 hingga 26 April bertajuk "Hidup Mewah Sang Perdana Menteri" mendedahkan perbelanjaan mewah Najib dan Rosmah.
  27. Zahrain berkata, Tempo sepatutnya menyiasat terlebih dulu kesahihan berita yang 'dikutip' daripada portal berita pembangkang yang sememangnya membawa berita negatif.
  28. "Tempo tidak mengambil jalan berkecuali dalam laporannya. Mereka sepatutnya mengambil tahu latar belakang perdana menteri. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu. Tempo perlu menyiasat dulu kesahihan berita yang dikutip itu sebelum membuat sebarang laporan. Perdana menteri bukan calang-calang orang yang harus dipersoalkan," katanya.
  29. Tempo melaporkan tentang barangan yang dibelanjakan Rosmah termasuk beg tangan jenama Birkin dan barang kemas, 2 hari selepas melakukan lawatan kerja ke republik itu.
  30. Tempo juga memaparkan gambar jam tangan mewah yang dikeluarkan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) baru-baru ini yang didakwanya milik pasangan tersebut.
  31. Mywatch mendakwa, setiap satu jam tangan milik Rosmah berharga antara RM79,200 untuk Hublot BlackBerry Black Magic 114 dan RM486,000 untuk Richard Mille Lady RM 007.
  32. Tempo juga membuat perbandingan antara jam tangan dengan pendapatan Najib iaitu kira-kira RM350,000 setahun.
  33. Kehidupan Najib dan keluarganya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia, kata artikel itu. Penggayaan rambut Rosmah bernilai RM1,200 juga turut ditimbulkan, yang mengundang kritikan hebat ketika rakyat bergelut dengan tekanan hidup.
  34. Tempo juga menyentuh isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang membeli kondominium mewah di New York bernilai RM110 juta pada 2012 dan rumah di Beverly Hills, California bernilai AS$17.5 juta secara tunai, seperti yang dilaporkan New York Times.
  35. Kehidupan mewah Rosmah dan Najib disiarkan di beberapa media tempatan dan antarabangsa kebelakangan ini, dan turut disiarkan dalam satu artikel New York Times edisi Februari berkaitan kekayaan ahli perniagaan Low Taek Jho.
  36. Terdahulu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam blognya.
  37. "Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul. Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya," kata Dr Mahathir.