Sunday 29 March 2015

Kay Kim `kelentong' sejarah komunis di mahkamah, sukanya pembangkang

  • Apakah mahkamah akan terpedaya apabila institusinya dijadikan medan `kelentong' pihak tertentu yang mahu menafikan sejarah penjajahan Barat dan keganasan Parti Komunis Malaya (PKM).
  • Atau mereka dahagakan publisiti hingga sanggup membawa epik dan sejarah ke dalam mahkamah, sedangkan mahkamah hanya mengukur ketepatan pertuduhan kes. Titik.
  • Hal ini berlaku dalam kes perbicaraan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Mahkamah Sesyen Butterworth, berkaitan isu Bukit Kepong dan pejuang komunis yang dikenali sebagai Mat Indera.
  • Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana buat tohmahan memburukkan nama baik anggota anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong dalam satu ceramah pada 2011.
  • Perbicaraan 2011 diheret hingga ke hari ini dengan menyaksikan peguam Mat Sabu yang sudah ketandusan modal lalu menuntut ketepatan sejarah daripada saksi pendakwa ke-11 Tan Sri Prof Khoo Kay Kim.
  • Sebelum itu, Kay Kim menceritakan kepada mahkamah itu secara panjang lebar berkenaan sejarah komunis di mana tesis PhD beliau adalah berkaitan sejarah perjuangan ekstrem dan anarki di Tanah Melayu 1915 hingga 1935.
  • Beliau juga menyatakan semasa Jepun menyerang Malaysia pihak British telah meminta bantuan Partai Komunis Malaysia (PKM) dan memberikan senjata kepada PKM. Sebaik sahaja Jepun mengundur diri dan British kembali memerintah, British telah enggan membenarkan permohonan PKM untuk terlibat dalam politik secara sah.
  • Tindakan British itu, menurut beliau, adalah kerana desakan atau ugutan Amerika yang menjadi sekutu British. Amerika juga, katanya adalah pembeli utama getah dan bijih timah daripada British di mana kedua dua komoditi itu diambil oleh British daripada bumi Tanah Melayu.
  • Saksi tersebut juga menyatakan menurut pendapat beliau negeri negeri Tanah Melayu selain daripada negeri negeri selat bukanlah tanah jajahan British sebaliknya ianya hanya di bawah naungan British.
  • Alasan beliau kerana wujudnya perjanjian antara Raja-­Raja Melayu dengan British di mana British mengakui kedaulatan Raja­Raja Melayu meskipun menerima British sebagai Penasihat.
  • Tiba-tiba peguam Mat Sabu (yang juga ahli parlimen PAS pro Anwar Ibrahim), melihat cerita itu menarik untuk dimanipulasi dalam mahkamah, lalu Kay Kim diasak bertubi-tubi dengan pelbagai soalan.
  • Seperkara menarik mengenai perbicaraan Mat Sabu ialah bagaimana portal Harakah mengulit perbicaraan itu dengan menjulang nama Hanipa Maidin (peguam Mat Sabu) sebagai hero yang kononnya memulakan soalan bergeliga ke atas saksi.
  • Portal itu menulis bahawa Kay Kim bersetuju dengan cadangan Hanipa bahawa sejarawan itu tidak pernah membuat kajian akademik atau menulis apa apa tesis berkaitan peristiwa Bukit Kepong.
  • Saksi juga setuju bahawa British dan negara­negara Barat terlibat dalam imperialisme di mana Tanah Melayu salah satu sasaran mereka di Asia Tenggara.
  • Banyak lagi soalan soalan yang kononnya menarik ditanya oleh Hanipa kepada saksi tersebut sepertimana berikut:
  • Hanipa: Prof, anda kata Tanah Melayu tidak pernah dijajah, bagaimanapun saya katakan bagi rakyat atau orang awam di Tanah Melayu pada masa itu kedatangan British adalah sebagai penjajah, setuju atau tidak?
  • Prof: Ya, setuju, bagi orang awam British adalah penjajah.
  • Hanipa: Tetapi, Prof tak setuju British adalah penjajah?
  • Prof: Ya, saya tak setuju kerana Tanah Melayu hanya naungan British.
  • Hanipa: Baiklah Prof, saya katakan apa yang Prof katakan ini bahawa British bukan penjajah sebenarnya satu pendapat yang tidak diakui sebagai pendapat rasmi di negara ini, setuju atau tidak?
  • Prof: Ya, orang politik itu katakan begitu.
  • Hanipa: Prof saya katakan orang politik itu adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri di mana dalam jawapan beliau kepada soalan di Parlimen beliau secara jelas menyatakan negara ini telah dijajah. Inilah pendirian rasmi Kerajaan, sila Prof lihat Hansard Parlimen ini (sambil tunjukkan Hansard kepada saksi)...Setuju atau tidak berdasarkan Hansard atau Penyata Rasmi Parlimen ini, pendapat Prof tidak disokong oleh Kerajaan?
  • Prof: (Sambil membaca Hansard) Ya, saya setuju.
  • Hanipa: Jadi pendapat Prof ditolak, setuju atau tidak?
  • Prof: Ya.
  • Hanipa: Setuju atau tidak Prof jika saya katakan jika kita terima logik atau teori Prof bahawa negara ini tidak pernah dijajah, maka rombongan pergi ke London meminta Kemerdekaan Tanah Melayu tidak ada makna, begitu juga sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957 juga tidak ada makna?
  • Prof: (saksi termenung) Ya lah..tapi saya anggap ia bukan merdeka.
  • Hanipa: Kalau begitu Prof, apa kita nak gelar pada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan atau bapa apa? Bapa Naugan?
  • Prof: (saksi dilihat termangu dan ketawa kecil)
  • Hanipa: Baiklah Prof, saya juga ingin bertanya adakah Prof sedar dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 yang diperakui oleh Kementerian Pendidikan (sambil hulurkan buku tersebut kepada saksi) buku ini menggunakan istilah British dengan istilah penjajah...adakah Prof sedar?
  • Prof: Ya, saya sedar..
  • Hanipa: Adakah Prof juga ingin katakan bahawa buku ini juga tidak menceritakan sejarah yang betul bila ia kata British adalah penjajah?
  • Prof: Ya, bagi saya, buku ini tidak betul!
  • Hanipa: Tapi buku ini adalah buku teks rasmi sekolah di negara ini dan ditulis oleh para penulis antaranya Prof Dr Ramlah Adam, yang tertulis di sini adalah pakar sejarah juga.
  • Prof: Ya, tapi Ramlah Adam ini pemimpin nombor dua Perkasa!
  • Hanipa: So Prof tak terima Perkasa lah..tetapi Prof, cuba Prof lihat dalam senarai penghargaan dalam buku ini dinyatakan secara jelas bahawa nama Prof dan Profesor Ainudin Wahid adalah sebagai dua pakar rujuk yang telah dirujuk sebelum buku teks ini diterbitkan. Apa Prof nak kata?
  • Prof: (kelihatan terkejut ) err.. tapi saya tak pernah dirujuk..ini tak betul..pada masa itu juga Prof Ainuddin Wahid dalam keadaan uzur.
  • Hanipa: Jadi tak betullah bila dikatakan dalam buku ini Prof telah dirujuk..
  • Prof: Ya...tidak betul.
  • Hanipa: Tak mengapa Prof...kalau Prof nak saman nanti boleh bincang dengan saya (orang ramai di gelari awam dan saksi dilihat ketawa dengan gurauan Hanipa tersebut).
  • Hanipa: Prof setuju dengan saya bagi orang Islam mereka tidak boleh menerima penjajahan British kerana apabila British datang ke Tanah Melayu mereka juga selain ambil khazanah dan hasil mahsul Tanah Melayu juga memperkenalkan sistem perundangan common law British menggantikan undang­undang Islam?
  • Prof: Ya.
  • Hanipa: Prof, apabila PKPMM diharamkan British anggota­anggota mereka menyertai PKM sebagai platform sahaja untuk melawan British.
  • Prof: British tidak haramkan PKPMM, hanya isytihar darurat.
  • Hanipa: Kesan darurat itu, British akan tangkap mereka yang menentang British termasuk British gubal Akta Hasutan 1948 menangkap mereka yang lawan British atas alasan menghasut orang ramai benci British dan undang undang ini diambil daripada India semasa British jajah India?
  • Prof: Ya, benar.
  • Hanipa: Saya katakan Prof, orang Islam yang menentang British seperti Mat Indera hanya gunakan platform PKM untuk lawan British bukan untuk mengganut fahaman British.
  • Prof: Bagi saya mereka melawan Raja­Raja Melayu.
  • Hanipa: Macam Tok Janggut lah Prof...dia digelar penderhaka oleh British sebab walaupun lawan British dikira lawan Raja.
  • Prof: Ya, Tok Janggut digelar penderhaka.
  • Hanipa: Prof, sebagai orang bukan Islam dan tak ada pengetahuan tentang Islam, saya katakan Prof tak tahu tahaluf siyasi yang Islam benarkan.
  • Prof: Ya, saya tak tahu, ia bukan pengajian saya.
  • Hanipa: Saya katakan mereka yang lawan penjajah British seperti Mat Indera bekerjasama dengan PKM bukan kerana sokong komunis tapi gunakan PKM untuk tapak mereka lawan penjajah British.
  • Prof: Tapi mereka langgar undang­undang.
  • Hanipa: Undang­undang zalim British...Islam benarkan lawan kezaliman, jadi saya katakan tidak semudah itu untuk kita katakan hanya kerana Mat Indera bersama­sama PKM maka terus dilabelkan sebagai komunis, setuju Prof...it is not as simple as that.
  • Prof: Ya, it is not as simple as that.
  • Perbicaraan kemudian disambung pada 27 April depan. Namun apa yang hendak disampaikan oleh Hanipa ialah oleh kerana sejarah komunis dan kemerdekaan tidak tepat maka bosnya Mat Sabu tidak boleh dikaitkan dengan pertuduhan.
  • Apapun mahkamah jauh lebih cerdik berbanding Hanipa dan sudah pasti hakim akan tumpukan kepada fakta mengenai Mat Sabu yang dituduh melakukan jenayah di bawah Akta 500 Kanun Kesiksaan, bukannya menerima atau menolak pembuktian atau penafian sejarah komunis.
  • Kalau Mat Sabu sabit dengan kesalahan itu, beliau wajar dihukum penjara dan denda tanpa mengambil kira samada Tanah Melayu pernah dijajah atau sekadar dinaungi.
  • Malah konsep negara naungan dan jajahan, ia sudah dibuktikan oleh beberapa sejarahwan tempatan bahawa Tanah Melayu telah dijajah mulai 1511 hingga 1957 walau pun `de facto’ atau `de jur’, kita tetap telah dijajah oleh Portugis , Belanda , Inggeris , Jepun dan Inggeris kembali. Titik.


Harussani jawab mengapa hudud mesti dilaksanakan

  • Tiada siapa yang boleh mempertikai hukum hudud kerana ia hukum Allah yang wajib dilaksanakan. Bagaimanapun umat Islam boleh memberi kritikan untuk memperbaiki pelaksanaan hukum itu.
  • "Saya tidak tahu apa mereka pertikaikan, apakah caranya atau ia tidak sempurna?. Itu saya tidak tahu, tetapi kalau disebut hukum hudud, barang sesiapa yang menentang hukum Allah itu, dia akan menerima bencana daripada Allah SWT.
  • "Saya yakin bahawa apa yang dibentangkan adalah mengenai hukum hudud, tetapi cara pelaksanaannya itu saya tidak tengok...mungkin yang dikritik itu adalah caranya...hukum hudud itu mesti dilaksanakan, ia adalah wajib," tegas Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
  • Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang mempertikai pelaksanaan hukum hudud di negara ini. Sambil itu beliau mengajak umat Islam bersatu dan menerima hukum tersebut.
  • "Konsep Islam, umumnya, tidak boleh mempertikai hudud, sekiranya dia mempertikaikan hukum hudud bermakna dia mempertikai hukum Allah," katanya.
  • Daripada kenyataan Harussani itu, kita sepatutunya lebih berhati-hati ketika memberi pendapat mengenai hudud kerana jika tersilap perkataan, akidah kita akan terjejas.
  • Hal ini pernah diingatkan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang berkata seseorang Islam tidak boleh berkata beliau menolak hudud atau pelaksanaannya kerana hudud merupakan undang-undang Allah yang wajib dilaksanakan.
  • "Jika dia berkata dia tidak menolak hudud tetapi menolak pelaksanaan hudud sekali pun, ia tidak boleh. Sebaliknya katakanlah bahawa hudud itu akan dilaksana tetapi dengan ruang-ruang dan perbincangan antara sekutu sehingga ia boleh dilaksanakan dengan persetujuan semua.
  • "Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum ini, hudud itu dikatakan tidak sejajar dengan perlembagaan tetapi ia perlu jua dilaksanakan apabila ada ruang persetujuan antara pihak berkenaan nanti," katanya.
  • Mohamad Shukri berkata hukuman hudud bagi orang Islam adalah wajib seperti solat, haji dan puasa, namun katanya atas sebab-sebab tertentu ada juga yang tidak mengamalkan solat, puasa atau haji.
  • "Ada juga orang Islam yang tak solat, tetapi dia tak tolak solat. Ada yang tak buat haji walaupun dia mampu tapi dia tak tolak haji. Begitu juga hudud, pelaksanaannya juga tidak boleh ditolak sebaliknya terus dibincang sehingga boleh dilaksanakan," katanya.
  • Mohamad Shukri juga menasihatkan agar umat Islam negara ini berhati-hati ketika membincangkan tentang hudud sama ada di laman sosial atau sebagainya untuk mengelak akidah terkena 'virus' atau menjejas syahadah.
  • "Virus itu maksudnya kita semacam termakan apa yang orang kata tentang hudud kononnya zalim dan sebagainya sedangkan mereka tidak faham apa itu hudud. Manakala syahadah pula pendirian kita terhadap Islam dengan lafaz dua kalimah syahadah, itu perlu dijaga jangan sampai terjejas," katanya.
  • Katanya perbincangan tentang hudud sepatutnya diserahkan kepada pihak yang pakar mengenainya dalam usaha memberikan pemahaman terutama kepada orang bukan Islam.
  • Mohamad Shukri turut meminta anggota-anggota politik termasuk calon pilihan raya mengelak menggunakan isu hudud sebagai bahan untuk kempen mereka. Agama dan politik adalah dua perkara yang tidak seharusnya dicampur adukkan apatah lagi sebagai bahan kempen.
  • "Bawalah apa sahaja bahan, tetapi bukan agama, bukan hudud. Bila dah cakap banyak pasal, ada yang mungkin tidak sedar akidah terjejas. Kita faham, kalau bukan Islam hudud memang mereka tolak, tetapi jika yang bercakap itu orang Islam, dia atas tiket politik, mereka perlu berhati-hati, elakkan," katanya.
  • Bagaimanapun masih ada beberapa mufti dan pendakwah yang mengatakan hudud boleh ditolak atau tidak dilaksanakan, antaranya Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkata tidak salah umat Islam tidak bersetuju atau menolak hukum hudud yang cuba dilaksanakan PAS di Kelantan.
  • Menurut Asri, walaupun umat Islam tidak boleh membantah asas hudud kerana ia merupakan hukum Allah, ‎mereka masih bebas mengutarakan cadangan, pandangan atau “ijtihad” lain.
  • “Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.
  • “Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” kata Asri dalam satu kenyataan di laman blognya.
  • Beliau berkata, umat Islam perlu mengetahui perincian undang-undang syariah itu kebanyakannya tidak wujud dalam Al-Quran mahupun Sunnah.
  • Tambahnya perincian mengenai hudud mungkin terdapat dalam beberapa nas (dalil) tetapi dari segi perbincangan hukum fekah, ia boleh diandaikan pelbagai tafsiran.
  • “Ini yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian). Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar,” katanya.
  • Oleh kerana terdapat pelbagai tafsiran dalam nas tersebut, terdapat perbezaan dalam perincian hukum seperti kadar curian, ‎suasana undang-undang itu dilaksanakan dan sama ada taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, kata Asri.
  • ‎Pada masa sama, beliau menegaskan pendiriannya menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud tetapi mahu kerajaan PAS itu memberi ruang agar enakmen syariah itu dikaji semula pakar perundangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.
  • Katanya, tindakan mengkaji semula enakmen tersebut adalah wajar agar kerajaan Kelantan tidak mengulangi kegagalan pelaksanaan hudud yang pernah berlaku di negara lain seperti di Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan.
  • ‎”Yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang dibuat oleh mereka, katanya.
  • Asri berkata, Kelantan di bawah pentadbiran PAS harus mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan kekejaman undang-undang seperti berlaku di bawah pentadbiran Taliban dan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
  • Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.
  • Sementara itu, pendakwah bebas Dato Ustaz Kazim Elias (DUKE) pula berpendapat hukum hudud hanya boleh dilaksanakan jika seluruh rakyat Malaysia bersatu menerimanya.
  • Katanya, hudud jika hudud digunapakai di Malaysia, maksudnya akan ada dua jenis hukuman yang berbeza, orang Islam yang melakukan zina (bagi yang dah berkahwin) akan dihukum rejam, manakala orang bukan Islam yang berzina pulak mungkin akan didenda ataupun tidak dikenakan apa-apa denda pun.
  • Masalah ini akan menjadi lebih rumit bila pasangan zina itu adalah penganut agama Islam dan pasangannya pulak bukan beragama Islam. Pasangan yang bukan Islam itu mungkin tidak dikenakan hukuman berat dan pasangannya pula yang beragama Islam akan direjam sampai mati (jika pesalah sudahpun berkahwin).
  • Di sini akan dapat lihat masalahnya bila tiada asas hukuman yang sama. Bagaimana pulak dengan kesalahan mencuri sekiranya terdapat dua pencuri yang ditangkap dan didapati bersalah, seorang beragama Islam dan seorang bukan Islam? Hanya pencuri beragama Islam dipotong tangan dan pencuri bukan Islam hanya dipenjarakan.
  • Cara untuk laksanakan hudud secara menyeluruh ialah dengan meminda undang-undang sivil terlebih dahulu yang selari dengan hukuman hudud, barulah nanti wujud persamaan dari segi hukuman.
  • Masalahnya, mahukah golongan bukan Islam di anggota kabinet serta parti komponen dalam BN yang bukan beragama Islam menerima cadangan pindaan ini? Mahukah DAP, PKR malah sebahagian ahli parlimen PAS dan UMNO menerima cadangan pindaan ini?
  • Kesimpulannya, perbezaan pandangan antara ulama tersohor Malaysia seperti Harussani, DrMaza dan DUKE menyebabkan umat Islam semakin keliru kebingungan. Nasihat ulama mana satu nak mereka ikut.