Wednesday 29 July 2015

Cerita benar Muhyiddin soal US$700 juta dalam akaun Najib

Muhyiddin bercerita kerpada rakan selepas pemecatannya

Sebaik saja Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari kabinet, ramai rakan dan kenalan datang ke rumahnya Bukit Damansara bagi menyatakan simpati di atas berita sedih itu.

Ketika bersembang di ruang tamu, bekas timbalan perdana menteri itu berkongsi cerita dengan rakan terdekat antaranya berkaitan wang USD$700 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

Cerita itu sulit dan tidak didedahkan pada sidang akhbar tengahari tadi. Malangnya rakan terdekat Muhyiddin yang berada dalam rumah itu telah merakamkan cerita itu dan menyebarkannya kepada umum lalu disiarkan oleh media pembangkang KiniTV.

Kini cerita sulit tu telah menjadi viral paling ganas di laman sosial hari ini bagi menjawab dan mengesahkan bahawa Perdana Menteri mengaku di hadapan timbalannya yang dia (Najib) menerima sejumlah USD$700 juta dari pihak tertentu.

Penulis tidak fikir Muhyiddin mahu mem`viral'kan ceritanya walaupun ia kisah benar. Kebocoran maklumat seumpama ini pernah berlaku pada perjumpaan beliau dengan pemimpin UMNO di Janda Baik, Pahang baru-baru ini yang diisytihar tertutup tapi terbocor juga.

Ketika cerita Muhyiddin mengenai Najib menjadi viral pada masa sekarang ini, orang ramai tertanya-tanya apakah bekas timbalan perdana menteri itu membuat fitnah atau Najib sememangnya mahu menutup isu berkenaan dengan memecat timbalannya.

Video klip berikut menjelaskan kisah sebenar Muhyiddn berkongsi cerita dengan beberapa rakan seperjuangan termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kebenaran sudah tersungkit biarpun tiada dokumen menyokongnya. Bagi Najib dan kabinetnya, Muhyiddin menyimpan terlalu banyak maklumat dan apakah wajar bekas timbalan perdana menteri itu dipecat dari parti?

Apa yang jelas ialah beliau diancam akan diheret ke mahkamah atas projek 1BestariNet kerana ada pihak sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika lebih banyak maklumat keluar dari Muhyiddin, maka Najib terpaksa menggunakan mahkamah untuk melondehkan bekas timbalannya.

Ternyata sebesar mana pun maklumat yang ada pada Muhyiddin, beliau kini sudah berada di luar kabinet dan secara lojiknya beliau tidak ada kuku yang tajam untuk melukakan Najib lagi. Hanya pemilihan UMNO 2018 akan menentukan masa depan kedua-dua pemimpin itu.

Namun apakah UMNO masih mampu mentadbir negara selepas PRU14 nanti? Dengan situasi yang ada sekarang, tidak salah kalau dikatakan bahawa UMNO bakal `dikhafan' tidak lama lagi gara-gara isu Najib dan 1MDB.  


Menteri dan timbalan menteri baru angkat sumpah jawatan


  1. KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin hari ini mendahului barisan menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.
  2. Upacara itu berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 10 pagi. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  3. Selepas Hamzah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing.
  4. Mereka kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
  5. Upacara itu diteruskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Senator Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.
  6. Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau tidak hadir pada istiadat itu. Beliau dilaporkan berada di Itali.
  7. Upacara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi timbalan menteri menyusul dengan didahului Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Johari Baharom, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
  8. Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Asyraf Wadjdi Dusuki, Timbalan Menteri Pendidikan Senator Chong Sin Woon dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
  9. Ini disusuli olehh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Anak Kujat dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.
  10. Semalam, Najib mengumumkan anggota jemaah menteri dan timbalan menteri baharu bagi mewujudkan pasukan Kabinet yang jitu.
  11. Perdana Menteri berkata beliau yakin Kabinet baharu itu dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan, meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. -- BERNAMA


Gerobok Perdana Menteri 2015

  • Pada tarikh 28 Julai 2015 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan rombakan kabinetnya yang pertama sejak 2009.
  • Namun ramai menyifatkan rombakan itu ada kaitan dengan skandal 1MDB. Padahnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat bersama beberapa menteri kanan yang lain.
  • Beberapa peristiwa lain berlaku serentak pada hari rombakan kabinet seolah-olah ia sudah ditentukan dalam satu konspirasi terancang oleh Perdana Menteri.
  • Kesannya, Najib dicemuh sehingga ada yang menganggap kabinetnya saling tak tumpah seperti sebuah kabinet dapur atau gerobok atau almari kayu.
  • Ketika negara dijerut isu 1MDB yang mana ramai pemimpin UMNO turut mempersoalkannya, Najib membuat kejutan besar. Beliau memecat beberapa menteri kanan, termasuk Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa 24 jam.
  • Peliknya ia berlaku hampir serentak dengan beberapa peristiwa lain yang diandaikan ada kaitan antara satu sama lain.
  • Ia telah membawa kepada persepsi rakyat bahawa kerajaan pimpinan Najib sedang berusaha membina benteng kebal untuk diri dan keluarganya.
1. Pemecatan Muhyiddin yang dikaitkan dengan isu 1MDB
  • Mula menduduki kerusi TPM pada 10 April 2009, semua orang tahu Muhyiddin dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada Islam, malah bapanya yang juga seorang ulama, tidak takut untuk mempertahankan kebenaran.
  • Muhyiddin yang sebelum ini pernah dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai TPM tetapi ditolak oleh Najib, mula menyuarakan pandangannya sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap Umno dan negara.
  • Muhyiddin sebenarnya mengetahui mengenai isu dan masalah yang menimpa 1MDB sebelum ini, namun demi menjaga Najib sebagai boss dan rakan, beliau dipercayai lebih banyak mendiamkan diri.
  • Sehinggalah isu 1MDB semakin panas dan kemudian dikaitkan pula dengan laporan The Wall Street Journal bahawa kira-kira RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Najib, serta laporan mengatakan RM2 juta masuk ke akaun peribadi isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin mula memberi nasihat kepada Perdana Menteri, namun tidak dipedulikan.
  • Akhirnya, Muhyiddin mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap 1MDB secara umum dalam perjumpaan dengan ahli Umno sama ada secara tertutup atau terbuka dan dalam Kabinet. Kita yakin beliau tidak membuat kritikan dan menyerang secara terus Perdana Menteri atau keluarganya.
  • Kita menganggap tidaklah berat sangat kritikan Muhyiddin terhadap 1MDB dan nasihat kepada Najib sehingga Perdana Menteri begitu kejam ‘mematikan’ karier politik orang yang selalu membelanya. Akibat serangan terhadap 1MDB, Muhyiddin akhirnya ‘diberhentikan’ oleh Najib.
2. Penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara (Siasatan terhadap 1MDB)
  • Alasan yang diberi ialah kerana Gani menghadapi masalah kesihatan. Tidak dinafikan Gani mempunyai masalah kesihatan, namun rata-rata orang ramai melihat tindakan itu ada kaitan dengan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas 1MDB, yang dipercayai memperoleh banyak maklumat mengelirukan mengenai berbilion-bilion wang yang dipinjam daripada bank tempatan dan luar.
  • Apa yang memeranjatkan ialah pendedahan oleh The Wall Street Journal yang memetik laporan Pasukan Penyiasat Khas itu mendedahkan berlaku aliran wang tunai ke dalam akaun Najib berjumlah RM2.6 bilion. Najib walaupun sudah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan, namun masih tidak menjawab sama ada betul atau tidak wang berkenaan berada di dalam akaun beliau. Ya atau tidak!
  • Malah, ada dakwaan bahawa Gani sudah mempunyai maklumat lengkap dan bercadang mengenakan tuduhan terhadap Najib. Pasukan Penyiasat Khas itu turut dianggotai SPRM, Gabenor Bank Negara, dan PDRM dan kerap menyiarkan kenyataan mengenai siasatan mereka.
  • Khidmat Gani akhirnya ditamatkan. Adakah Pasukan Penyiasat Khas juga terpaksa menghentikan siasatan mereka atau menyerahkan semua dokumen siasatan kepada Najib?
3. PMSP lapor SPRM mengenai 1BestariNet (Pembabitan Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran)
  • Secara tiba-tiba sahaja, PMSP hari ini membuat aduan kepada SPRM supaya menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai RM663 juta yang diluluskan Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan.
  • Dalam kenyataan kepada media selepas mengemukakan laporan itu, Penasihat Ekonomi PMSP, Suud Ridzuan dilaporkan meminta Muhyiddin mengambil cuti rehat sehingga siasatan SPRM ke atas projek itu selesai.
  • “Kami amat prihatin bahawa RM663 juta sudah dibelanjakan adalah wang rakyat. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar,” kata Suud. Mungkin, Suud tidak mengetahui bahawa RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB adalah wang rakyat dan jumlahnya lebih besar daripada RM663 juta.
  • Namun, kita hairan kenapa pertubuhan yang mempunyai minda prihatin itu tidak membuat aduan terhadap Najib selepas dakwaan mengatakan RM2.4 bilion wang 1MDB yang juga wang rakyat masuk ke akaun peribadi Najib.
  • Jika PMSP menggesa Muhyiddin berehat kerana kata mereka kes itu melibatkan wang rakyat yang jumlahnya sangat besar, wajar juga mereka menggesa Najib supaya berehat kerana wang yang dikawal oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan ‘pengawal’ 1MDB adalah berkali-kali ganda besarnya – bukan juta tapi bilion.
  • HARI INI, apabila Muhyiddin sudah menjadi rakyat biasa (kecuali masih memegang jawatan Timbalan Presiden Umno dan Ahli Parlimen), mudahlah siasatan dijalankan ke atas beliau.
4. Pelantikan Pengerusi PAC sebagai timbalan menteri (Siasatan terhadap 1MDB)
  • Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah Pengerusi PAC yang kini sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan wang oleh 1MDB yang dikawal oleh Najib.
  • Adakah, pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (satu portfolio penting) adalah usaha untuk memperlahankan siasatan PAC ke atas 1MDB? Ini kerana pelantikan anggota PAC perlu dibuat di Parlimen sedangkan sidang Dewan Rakyat sesi akan datang masih lambat lagi.
  • Sudah diketahui ramai bahawa 1MDB membuat hutang daripada bank tempatan dan luar negara paling besar dalam sejarah Malaysia iaitu kira-kira RM42 bilion. Wang yang dipinjam itu pula kini dikatakan tidak dapat dikesan.
  • HARI INI, pastinya siasatan PAC terhadap 1MDB tergendala apabila Nur Jazlan berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC selepas dilantik sebagai timbalan menteri. Siapa yang akan meneruskan siasatan apabila ‘kepala’ PAC dan Pasukan Penyiasat Khas (Gani) tiada?
5. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru
  • Apa pula kaitan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dalam hal siasatan terhadap 1MDB atau Najib? Memang agak sukar untuk dikaitkannya, namun perlu diingat bahawa peranan SB dalam sebarang siasatan kes tidak boleh diketepikan apa lagi dalam isu-isu yang besar dan mengancam keamanan negara.
  • Namun, mungkinkah hanya kebetulan Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baharu yang akan memulakan tugas rasminya esok, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan pelantikan Mohamad Fuzi Harun sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara?