Wednesday 10 December 2014

MB Selangor `kempunan' gelaran Datuk Seri

  • Ramai tertanya-tanya mengapa Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (PKR) tidak tersenarai sebagai penerima anugerah pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri.
  • Namun hampir semua blog pro Pakatan Rakyat menganggap jika istana menganugerahkan gelaran itu kepada Azmin dan beliau menerimanya, ia akan mengeruhkan hubungan PKR dengan istana.
  • Ini kerana istana Selangor telah menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Anwar Ibrahim kerana biadap dan derhaka kepada institusi raja.
  • Bagaimanapun, dua pemimpin exco Selangor daripada PAS, Iskandar Abdul Samad yang (Adun Cempaka) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Adun Sijangkang) disenaraikan sebagai penerima pingat yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.
  • Dua pemimpin PAS itu memegang jawatan exco negeri selama dua penggal sejak kepimpinan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selain mempunyai jawatan tertinggi parti peringkat negeri.
  • Sebelum ini heboh di media sosial mengatakan Azmin bakal menerima gelaran 'Datuk Seri' pada hari keputeraan Sultan Selangor esok, tidak lama selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan gelaran yang sama kerana dikatakan sering mempertikaikan integriti institusi diraja.
  • Sehubungan itu, wujud desakan menggesa Azmin menolak pemberian itu kerana jika menerimanya, ia akan menjatuhkan maruah Anwar dan PKR.
  • Pada masa sama, pemerhati menjangkakan jika menolak gelaran itu, ia akan mendatangkan murka dan mengeruhkan hubungan Azmin dengan istana.
  • Selain itu, lantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor adalah berdasarkan pilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun Pakatan Rakyat (PR) mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
  • Semasa PR membentuk kerajaan di Perak pada 2008, Mohammad Nizar Jamaluddin dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, sebulan selepas mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 17 Mac.
  • Begitu juga dengan bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun sama selepas PR menawan Kedah pada 2008.
  • Difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditawarkan anugerah 'Datuk Seri' tetapi menolaknya atas dasar prinsip DAP yang tidak mahu membawa sebarang gelaran semasa masih lagi berkhidmat dan memegang jawatan kerajaan pusat atau negeri.
  • Dr Wan Azizah pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pagi tadi ketika diminta mengulas spekulasi itu berkata, PKR bersikap terbuka jika Azmin menerimanya kerana pemberian anugerah merupakan hak mutlak Sultan Selangor.
  • "Parti tidak protes dalam hal itu sebab itu kuasa sultan. Pada saya itu tidak akan jejas polisi dan beri kesan kepada rakyat," katanya.
  • Azmin kebelakangan ini dilihat mengelak memberi sebarang komen mengenai isu ini malah tidak mahu mengulas lanjut tentang pelucutan gelaran Anwar.
  • "Tidak mahu komen. Terima kasih," katanya setiap kali wartawan mengajukan soalan sama. Ianya menyebabkan bekas timbalan presiden PKR yang juga ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali dalam Twitter membidas Azmin kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mempertahankan Anwar.
  • "Dulu bila ditanya tentang gelaran Datuk Seri ditarik balik daripda anwar, Azmin kata no comment. Sekarang, ditanya lagi, dia kata terlalu sibuk. Tak kena!" Azmin kemudian dilihat membalas Twitter Syed Husin dan berkata: "@syedhusinali kalau nak ikut selera you, semua tak kena!".
  • Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam dilaporkan berkata, seramai 27 penerima daripada 680 pencalonan saja terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor.
  • Daripada jumlah itu, dua individu menerima darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan seorang menerima Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran 'Datuk Setia'.
  • Selain itu, 24 menerima Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi perempuan, katanya seperti dilaporkan Bernama.
  • Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu, mengakhiri kemelut jawatan itu yang berterusan sejak Januari lalu selepas PKR mendesak Khalid meletakkan jawatan. 


PAS bertemu mufti Selangor soal SIS

  • Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS) menulis: Sikap saya dalam menangani fatwa pengharaman Sisters In Islam Forum Malaysia (SIS) telah menimbulkan kontroversi yang tidak menemui titik noktahnya. Saya dan  Ahli Parlimen Shah Alam serta Sepang terpaksa menongkah arus bukan sahaja dalam lingkungan parti kami (PAS) tetapi juga kepada persepsi sebahagian masyarakat Islam yang menganggap kami mencabar keputusan Majlis Fatwa Selangor yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Selangor.
  • Saya telah menjelaskan sikap saya yang secara ringkasnya bukan mencabar fatwa tetapi cuba memohon penjelasan bagaimana proses fatwa dikenakan atas sesebuah organisasi atau individu dalam mencari ruang pihak yang tertuduh mendapat pembelaan, dan dalam konteks SIS Forum ia soal pemikiran yang menuntut muzakarah sehingga terbukti kesesatannya.
  • Semasa kenyataan kami daripada beberapa Ahli Parlimen PAS mendapat perhatian media, Juham atau Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia rupanya mempunyai pendirian yang sama dengan kami dan mereka turut berminat untuk mendapat penjelasan.
  • Saya juga dimaklumkan bahawa Presiden Abim iaitu Saudara Amidi Abdul Manan dan rombongannya telah bertemu dengan Tuan Mufti juga dalam tujuan yang sama. Kesemua mereka melahirkan kebimbangan tentang fatwa sesat yang digazetkan yang boleh membwa SIS Forum sebagai pertubuhan sesat dan haram.
  • Walaupun mereka sama sekali tidak bersetuju dalam pandangan SIS namun melabelkan dan memperkuatkuasakan fatwa ia sesat adalah satu tahap yang jauh daripada jangkauan kami.
  • Saya menelefon Presiden Abim yang kebetulan adalah kenalan saya untuk mendapat persefahaman adakah kebimbangan kami berasas. Dalam perbualan telefon yang panjang akhirnya kami bersetuju bahawa ia soal memohon penjelasan proses fatwa dan mencari nilai keadilan supaya institusi mulia tidak dituduh sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa.
  • Juham melalui Abang Kerdee Abang Masagus selaku setiausahanya juga berpendapat sedemikian. Oleh kerana Abim telahpun menemui Tuan Mufti maka saya menumpang sahaja temujanji Juham yang telahpun mendapat tarikh pertemuan dengan Pejabat Mufti Selangor.
  • Antara persoalan yang diajukan kepada saya ialah kenapa saya bertemu dengan SIS dulu dan tidak dengan Mufti Selangor terlebih dahulu. Malah dalam salah satu sesi perbahasan di sidang Parlimen tempoh hari Ahli Parlimen Tanjung Karang telah ambil kesempatan untuk menghentam saya dan dua sahabat saya lagi kerana gagal berjumpa dengan Tuan Mufti tetapi sebaliknya terus membela SIS.
  • Saya dengan segera memberi respon dengan mencelah dan menjelaskan bahawa saya akan bertemu dalam waktu yang terdekat dan Alhamdulillah pada minggu terakhir persidangan Parlimen iaitu pada 24 November hajat saya 'menumpang' temujanji Juham bertemu dengan Tuan Mufti tercapai.
  • Soal sama ada kenapa saya bertemu dengan SIS dulu dan tidak Tuan Mufti adalah umpama perbalahan 'telur ayam' iaitu sama ada ayam atau telur keluar dahulu atau sebaliknya. Kini semua itu terjawab dalam pertemuan yang cuba menyempurnakan sebahagian dari proses cuba bertemu dengan pihak yang berkepentingan dalam kes ini.
  • Kami disambut mesra oleh kakitangan Pejabat Mufti Selangor dan ditunjuk terus ke bilik pertemuan. Rombongan kami agak ramai terdiri dari tujuh atau enam peguam dari Juham dan lima atau enam orang daripada kepimpinan Dewan Pemuda PAS Selangor.
  • Selain Tuan Mufti, kami juga disambut oleh Setiausaha Pejabat Mufti dan beberapa anggota Majlis Fatwa Selangor serta beberapa pegawai penyelidik Majlis Fatwa Selangor. Setelah ucapan alu-aluan dibuat oleh Tuan Mufti, kami memulakan muzakarah dengan beberapa persoalan untuk dibincangkan bersama.
  • Saya menjelaskan bahawa bukan niat saya untuk mempertikaikan fatwa, cumanya saya sebagai ahli penggubal undang-undang di peringkat persekutuan amat prihatin kepada proses apatah lagi fatwa yang membawa kepada penguatkuasaan 'sesat' sesebuah organisasi atau individu.
  • Asas pemfatwaan ialah liberalisma dan pluralisma memerlukan perincian dan penjelasan dari pengamalnya sebelum membuat apa-apa rumusan. Saya memetik surah al-Maidah ayat 8 bagi mengukuhkan pengertian proses keadilan. Saudara Abdullah Karim dari Juham turut menegaskan perkara yang sama.
  • Tuan Mufti menjelaskan proses yang mereka jalankan dan menegaskan pertemuan pada 2012 dengan SIS sudah cukup untuk mereka merumuskan fatwa sesat terhadap SIS. Saya mencelah adakah beberapa asas yang dikatakan SIS sesat telah mendapat penjelasan dan penelitian dari 'tuan tubuh' supaya ia bukan rumusan sendiri tetapi hasil daripada perbincangan mendalam.
  • Tuan Mufti menjelaskan bahawa pertemuan 2012 di Pejabat Mufti Selangor tersebut tidak bertujuan untuk 'bergaduh' dan hanya mendengar sahaja dari pihak SIS. Saya terus menyoalkan bahawa jika pertemuan itu satu muzakarah maka ia perlu suasana 'bergaduh' supaya dapat dipastikan dengan penuh keyakinan rumusan yang dibuat kerana tanpa suasana itu (berhujah) bagaimana kita dapat membuat sesuatu keputusan dengan adil dan saksama.
  • Antara yang turut memberi penjelasan ialah Pengerusi Bahagian Akidah Majlis Fatwa Selangor yang berkeyakinan bahawa SIS Forum tidak syak lagi sesat atas beberapa asas, antaranya ialah mengatakan lelaki wanita adalah sama, menafikan bahagian lelaki dalam faraid (pembahagian harta), mendahulukan akal daripada wahyu dan beberapa isu lain yang melayakkan mereka difatwakan sesat. 
  • Tuan Mufti juga menafikan bahawa fatwa tidak dibuat secara terburu-buru, malah mereka mengambil masa lama untuk mendapat maklumat melalui dokumen, kenyataan-kenyataan dan seminar yang dianjurkan.
  • Saya juga menjelaskan bahawa semua yang dikatakan ke atas SIS itu masih belum dibentangkan kepada SIS untuk memberi penjelasan dan untuk dipertahankan oleh SIS adakah mereka mengimani semua perkara tersebut sebelum sesuatu keputusan dibuat.
  • Adakah hanya mendapat maklumat daripada sumber sekunder seperti dokumen tanpa bersemuka melengkapkan proses pembuatan fatwa supaya keadilan dapat dilaksanakan? Saya juga menyebut bahawa terdapat kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah terhadap institusi fatwa di Malaysia bahawa bukan semua orang menolak fatwa kerana tidak menghormati fatwa tetapi cara dan penjelasan tentang proses pembuatan fatwa dibuat yang menjadi pertikaian.
  • Tuan Mufti menegaskan bahawa SIS terlalu keras dalam pendiriannya dan tidak mungkin mengubahnya, dan pada saat ini Abdullah Karim seorang peguam menegaskan bahawa soal memberi keadilan dan pertahankan diri bukan sahaja untuk yang dituduh tetapi juga menggambarkan kepada persepsi awam bahawa proses keadilan berjalan apatah lagi tanggapan kepada institusi terhormat seperti Majlis Fatwa.
  • Perbincangan kami berjalan lebih daripada masa yang dijangkakan kerana perbincangan turut menjangkau tentang persoalan konflik perundangan kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dengan mengambil kes keputusan Mahkamah Sivil yang berpihak kepada tiga transgender yang mempertikaikan Enakmen 66 Agama Islam Negeri Sembilan yang dikenakan ke atas mereka.
  • Pihak Juham memberikan komitmen untuk mempertahankan hak Mahkamah Syariah kerana kes awalan ini tidak akan membantu memperkukuhkan Mahkamah Syariah malah ia boleh mengheret konflik perundangan yang sensitif sifatnya.
  • Saya turut mencadangkan supaya perbahasan lebih terperinci dibuat dalam melihat kes masa depan yang berpotensi untuk berlaku dan diselesaikan dalam rangka mengiktiraf kewibawaan Mahkamah Syariah yang terpaksa berkongsi secara selari kuasanya dengan Mahkamah Sivil dengan beberapa keterbatasan. Saya dan rakan Ahli Parlimen PAS yang lain bersedia untuk mencapai rumusan yang objektif dalam hal ini.
  • Masa tidak mengizinkan untuk kami meneruskan perbincangan dan kami kemudian menikmati hidangan petang yang disediakan sambil terus bermesra dengan pihak tuan rumah. Namun pertemuan singkat itu memabwa kita kepada pelbagai persoalan yang asasnya ialah untuk memperakui beberapa perkara.
  • Pertama - Proses pemfatwaan tidak menuntut sesuatu keputusan itu dirunding atau dimuzakarahkan dengan yang terlibat. Saya tidak menyalahkan pihak Majlis Fatwa dalam hal ini kerana mereka hanya berpegang kepada proses yang saya fahami daripada penjelasan yang dberikan bahawa tidak sesuatu fatwa yang dikeluarkan tidak memerlukan muzakarah ke atas yang dituduh.
  • Kedua - Fatwa ada keterbatasannya dan banyak mengambil kira faktor-faktor lain. Berkemungkinan besar fatwa yang digazet atau dikuatkuasakan tidak disenangi oleh pihak yang lebih berkuasa.
  • Ketiga - Majlis Fatwa tidak perlu bertemu dengan SIS kecuali SIS bertaubat dan ingin mempelajari jalan pulang serta mengakui bahawa mereka sesat. Ketika itu pihak Mufti dan Majlis Fatwa bersedia membimbing mereka ke jalan yang benar.
  • Keempat - Mahkamah Syariah berada pada tahap cabaran yang tinggi apabila keputusan Mahkamah Syariah boleh dipersoalkan dalam konteks kebebasan yang yang diberikan haknya dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Rumusan pertemuan saya dengan Dato' Seri Mufti Selangor dan Majlis Fatwa menuntut beberapa persoalan termasuk persepsi pentadbiran dan pengurusan Islam dalam negara ini.
  • Tanggungjawab pihak pentadbir hal ehwal agama Islam dilihat daripada sudut harapan Islam dilihat mulia dan bermaruah semakin besar untuk memenuhi harapan umat Islam di Malaysia.
  • Atas harapan besar ini, pihak pentadbir hal ehwal agama Islam perlu mempunyai jiwa besar dan memenuhi prinsip RAHMAT DALAM KEADILAN dan bagaimana ia menyerlahkan dirinya dalam konteks kerangka negara yang ada hari ini.
  • Hanya dengan cara ini Islam dilihat mengisi ruang negara yang ada hari ini dan jalannya tidak mudah, sukar dan berliku. – Harakahdaily


Ikhlaskah ucapan terimakasih Fahmi pada UM?

  • FAHMI Zainol pernah mencabar Universiti Malaya (UM) “..kalau berani pecatlah saya” tapi selepas dijatuhi hukuman yang jauh lebih ringan, dia menuduh universiti itu tidak bersimpati terhadapnya.
  • Selepas digantung pengajian dua semester dan denda RM600 oleh Universiti Malaya (UM), pemuda itu menyatakan rasa terkilan dan bertanya sama ada pihak universiti tidak mempunyai rasa simpati dan empati terhadapnya.
  • Malahan beliau berjanji, sekembalinya nanti beliau akan `bersilat' lagi di dalam UM walaupun tidak menyebutkan secara terus terang mahu meneruskan perjuangan Anwar Ibrahim dan parti sekongkolnya di universiti itu.
  • Menulis di akaun Facebooknya, bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu berkata, semangatnya bagaimanapun tidak luntur dan malah berterimakasih kerana diberikan ruang berjuang lebih lama sebagai seorang mahasiswa.
  • Katanya, tindakan penggantungan serta merta ke atasnya dan rakannya Safwan Shamsuddin, yang dikenakan satu semester, dianggap seolah-olah mereka tiada rasa belas kasihan dan simpati memandangkan peperiksaan bakal berlangsung dalam masa lebih kurang 3 minggu.
  • "Pernahkah pihak Naib Canselor dan universiti, menteri sekali pun, memikirkan bagaimana perasaan ibu dan ayah saya? Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi saya bakal bergraduasi.
  • "Pernahkah mereka terfikir betapa gembiranya ibu dan ayah saya sekiranya dapat melihat anaknya memegang segulung ijazah dalam beberapa bulan sahaja lagi?" katanya.
  • Fahmi mempersoalkan hukuman itu, dan bertanya samada pentadbiran UM mengambil kira kesusahan beliau belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarganya.
  • "Pernahkah mereka terfikir? Ataupun perasaan sebagai seorang manusia dilemparkan sejauh-jauhnya demi kepentingan masing-masing," tulisnya dalam kiriman Facebook.
  • Beliau mengakui menjangkakan hukuman itu, tetapi menyoal sama ada menjadi satu kesalahan sekiranya beliau ingin memperbetulkan keadaan.
  • "Adakah saya bersalah jika bersuara? Saya bukanlah pelajar yang tercicir, saya bukanlah pelajar yang tercorot dan saya bukanlah remaja yang jauh menyimpang dari jalan yang betul. Tetapi, perbuatan saya hanya semata-mata membetulkan apa yang tidak betul," katanya.
  • Di akhir tulisannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghukum mereka "kerana memberi ruang dan peluang untuk kami berpencak lebih lama lagi dalam dunia mahasiswa".
  • UM semalam melalui prosiding tatatertib memutuskan menggantung pengajian dan mendenda Fahmi dan Safwan kerana penglibatan dalam program "40 Tahun Dari UM ke Penjara" yang menampilkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.
  • Pemimpin pelajar lain di dalam kumpulan dikenali UM8 itu, Abraham Au, digugurkan pertuduhan, manakala Khairul Najib Hashim diberi amaran. Empat yang lain iaitu Haw Yu Hong, Khairul Anwar, Adam Fistival Wilfrid dan Syamimi Munira Mohamed masing-masing didenda RM150 berserta amaran. Safwan yang merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa, didenda RM300.


UM kembali zaman batu, PAS ke zaman apa?

  • Kritikan liar sudah menjadi nyawa PAS dan parti sekongkolnya. Terbaru Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar `menyalak’ tindakan Universiti Malaya (UM) menggantung pengajian Fahmi Zainol selama dua semester dan menyifatkannya bertentangan dengan budaya ilmu. 
  • Malah Mahfuz mendakwa tindakan UM itu mengembalikan sektor pendidikan tinggi negara ke zaman batu. "UM melahirkan manusia yang berjiwa takut dan kerdil," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
  • Mahfuz berkata, institusi pengajian tinggi seharusnya melahirkan masyarakat Malaysia yang berjiwa besar dan berani, bukan penakut dan memendam perasaan.
  • "Para pelajar akhirnya simpan dalam hati. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu lakukan reformasi bagi melahirkan rakyat Malaysia berjiwa besar, berjiwa berani. UM jangan bawa balik IPTA ini seperti zaman batu," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.
  • Namun Mahfuz terlupa partinya sendiri sudah kembali ke zaman batu. Demi ukwah sesiapa saja yang berselisih pendapat dan mengkritik pucuk pimpinan pasti kena dibuang. Siapakah yang pernah kena buang selain daripada tokoh kontroversi seperti Datuk Dr Mohamad Hasan Ali. Cukup ramai dan mereka ini terbilang dan gemilang.
  • Bagi insan yang dipecat, PAS sudah menyediakan sebab khusus untuk mereka antaranya duri dalam daging, musuh dalam selimut, menguruharakan parti, perosak, pembelot dan apa juga istilah yang difikirkan sesuai dipakai.
  • PAS terlupa mereka yang dipecat itu merupakan tokoh yang berani mengemukakan pendapat. Lalu apakah PAS mahu melahirkan ahli yang sentiasa takut dan kerdil di dalam parti itu? Untuk itu tuduhan Mahfuz terhadap UM sebenarnya patut ditujukan kepada parti sendiri.
  • UM tidak mungkin kembali ke zaman batu tetapi pemikiran Mahfuz dan segelintir pemimpin PAS jauh lebih kuno berbanding zaman batu. PAS pasti akan berkata pandangan Mahfuz bukan pendirian parti. Namun itulah sifat pemimpin-pemimpin zaman batu yang hidup di zaman moden. - RORO


Sebar fitnah, Nik Nazmi disaman RM10 juta

  • Gara-gara nak jadi James Bond yang kononnya mempunyai rangkaian maklumat risikan global, Nik Nazmi Nik Ahmad akhirnya berdepan dengan saman RM10 juta yang dikemukakan oleh pengurusan tertinggi FELDA.
  • Malah dengan sombongnya wakil rakyat PKR itu enggan memohon maaf kepada pengarah besar Felda yang didakwa terbabit dengan seorang lelaki penjenayah yang dikehendaki polis antarabangsa.
  • Felda mengemukakan tuntutan saman terhadap Nik Nazmi Nik Ahmad kerana mengaitkan Datuk Faizoull Ahmad dengan lelaki yang dikehendaki polis antarabangsa dalam status Facebook, 11 September lalu.
  • Felda melalui peguam Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam surat tuntutan bertarikh 27 November lalu meminta ketua Pemuda PKR itu membayar gantirugi RM10 juta dan memohon maaf dalam tempoh 7 hari kerana membuat kenyataan yang tidak berasas dan tidak benar.
  • "Tuduhan itu terlalu serius sehingga boleh menyebabkan anak guam kami dihina dan dibenci orang ramai dan masyarakat awam. Reputasinya mungkin tercalar sehingga bertahun-tahun," katanya.
  • Felda juga menuntut Nik Nazmi memohon maaf mengikut kenyataan yang akan didrafkannya sendiri untuk disiarkan, selain menghalangnya daripada melakukan tindakan sama pada masa akan datang.
  • Namun, exco Selangor itu dalam surat balasnya melalui firma Daim & Gamany berkata, pihaknya tidak akan meminta maaf dan tidak akan berganjak dari dakwaannya sebelum ini.
  • "Anak guam kami (Nik Nazmi) sebagai seorang ahli Dewan Undangan Negeri, dan Ketua Pemuda PKR, bertanggungjawab membangkitkan hal yang menyentuh kepentingan rakyat.
  • "Kami diarahkan menyatakan yang anak guam kami bergantung kepada pertahanan justifikasi dan komen yang adil," kata peguamnya Latheefa Koya di dalam surat itu, sambil menambah pihaknya menolak tuntutan yang dibuat dalam surat saman Felda itu.
  • Felda menuntut Nik Nazmi mengemukakan permohonan maaf dan saman RM10 juta kerana menyebabkan reputasinya tercalar teruk.
  • Nik Nazmi dalam status akaun Facebooknya bertajuk "Pengarah Besar Felda melawat kelab bola sepak bersama lelaki dikehendaki polis" mengecam tindakan Faizoull kerana berurusan dengan Rafat Rivzi, lelaki yang dikatakan dikehendaki polis antarabangsa atas tuduhan rasuah, penipuan dan jenayah perbankan di Indonesia.
  • Katanya, Faizoull yang juga pengerusi Kelab Bola Sepak Liga Super Malaysia Felda United melawat kelab bola sepak Scotland, Glasgow Rangers bersama Rafat.
  • "Mengapakah beliau perlu melibatkan Rafat, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis dalam urusan ini? Apatah lagi melantik Rafat sebagai penasihat beliau?
  • "Adakah Faizoull tidak sedar Rafat didapati bersalah atas kesalahan penipuan yang bernilai jutaan dolar oleh Mahkamah Jakarta kerana terlibat dalam skandal kejatuhan Bank Century Indonesia?," katanya dipetik kenyataan dalam Facebook.
  • Katanya, tindakan Faizoull sangat mencurigakan dan menimbulkan persoalan, tambahan wujud spekulasi beliau ingin membeli pasukan bola sepak Glasgow Rangers.
  • Kenyataan Nik Nazmi itu kemudian dijadikan berita dalam berita portal The Rakyat Post "Why involve a wanted man? PKR Youth demand explanation" pada 12 September lalu.