Friday 27 June 2014

CEO PETRONAS KENA `LANYAK’ NGO MELAYU


  • SEJAK Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas membuat kenyataan kontroversi bahawa konglomerat minyak dan gas itu bukan hak milik bangsa Melayu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu `naik angin’.
  • Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) antara yang awal mengecam Shamsul, sambil mendesak Presiden Petronas itu segera meletakkan jawatan kerana berbohong mengenai hak milik syarikat nasional itu.
  • Bangsa Melayu juga mengharapkan protes itu disahut beberapa NGO Melayu yang lain termasuk Majlis Perundingan Ekonomi Melayu Malaysia (MAPEM) diterajui Tan Sri Rozali Ismail yang dikatakan cukup obsess memperjuangkan ekonomi bangsa teras sejak awal 1990an.
  • Pada sidang media bersama MTEM dan Perkasa, mereka mengutuk Shamsul yang disifatkan `tidak sedar diri’ kerana mendakwa Petronas bukan hak Melayu tetapi milik rakyat Malaysia berbilang kaum.
  • Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendesak CEO Petronas itu meletakkan jawatannya sambil menegaskan sejak jawatan tersebut dipegang Shamsul, pelbagai masalah timbul terutamanya berkaitan dengan Bumiputera.
  • “Sewaktu pentadbiran Tan Sri Mohd Hassan Merican dahulu, tidak banyak isu dan masalah timbul,” katanya sambil menambah kenyataan Shamsul dalam The Edge seolah-olah beliau hendak menyalahkan orang lain dan cuba untuk melindungi dirinya.
  • “Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa beliau ditarik dalam politik, campur tangan pihak berkepentingan, golongan birokrat dari dalam kerajaan menunjukkan sikap beliau yang sebenarnya.
  • “Saya dapat sifatkan temubual yang dilakukan bersama beliau seolah-olah beliau seperti burung unta yang takut, dan akan masukkan kepala di dalam pasir,” katanya.
  • Ibrahim menjelaskan, kerajaan semestinya campur tangan dalam urusan Petronas kerana konsesi tersebut adalah milik kerajaan dan pihak kerajaan cuba nasihatkan beliau (melalui wakil tertentu) tetapi beliau tetap berdegil.
  • Katanya lagi, Shamsul menyifatkan Petronas sebagai hak milik rakyat Malaysia berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 tetapi pelu diingat bahawa akta itu perlu mematuhi Dasar Ekonomi Ekonomi Baru (DEB) dan ia ditegaskan sekali lagi oleh Perdana Menteri pada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, tahun lalu.
  • Ibrahim juga menawarkan Petronas berdailog dengan Perkasa dan lain-lain NGO Melayu berkaitan hak milik syarikat itu.
  • “Kita sedia untuk berdialog, tetapi mesti dilakukan secara terbuka, siaran secara langsung, dan terbuka kepada masyarakat,” katanya.
  • Pada sidang media yang sama Pengerusi Kluster Minyak dan Gas MTEM, Tengku Putra Tengku Ahmad turut menjelaskan bahawa ramai ‘pemain’ minyak dan gas amat kecewa pimpinan Shamsul Abbas.
  • “Beliau terlalu liberal dalam organisasinya. Sepatutnya pihak kerajaan menarik semula konsesi yang diberikan dan kita tengok sama ada Petronas boleh terus hidup atau tidak.
  • “Kita tengok jika Petronas mampu atau tidak untuk bersaing dengan Shell atau Exxon sekiranya tender terbuka dilakukan,” katanya.
  • Shamsul mungkin sudah menduga dan bersedia dengan kecaman yang akan diterimanya akibat membuat kenyataan itu. Persoalannya mengapa beliau sanggup menyatakan secara terbuka soal hak milik Petronas.
  • Apakah Shamsul didesak pihak tertentu supaya menjelaskan isu hak milik Petronas  bagi memberi laluan dan modal politik kepada bukan Melayu (dalam dan luar kerajaan) supaya menjaja cerita bahawa Petronas adalah hak rakyat Malaysia berbilang bangsa.
  • Atau mungkin Shamsul terpengaruh dengan doktrin Pakatan Rakyat yang mahu melepaskan Petronas daripada memayungi ekonomi Melayu kecuali hal-hal kecil seperti memberi peluang kerja buruh saja.
  • Mengapa sejak Shamsul `buat perangai’ sejak 2010 dengan beranggapan Petronas tidak boleh diganggu sepertimana Shell atau Exxon, apakah beliau terpengaruh dengan doktrin Barat walaupun sedar sikap beliau itu akan merugikan bangsa Melayu sendiri.
  • Mengapa tiba-tiba Shamsul membuat kenyataan soal Petronas milik siapa, sedangkan beliau tahu bangsa Melayu selama ini memang bergantung kepada Petronas dan beberapa GLC lain untuk memayungi ekonomi mereka.
  • Sebelum ini Petronas tidak ada masalah ketika memayungi ekonomi Melayu terutama dalam agihan projek mega dan konglomerat itu tidak menunjukkan sebarang tanda mahu muflis.
  • Shamsul menjadi CEO di situ ketika Petronas mantap, bukannya menghadapi krisis kewangan seperti yang berlaku pada Malaysia Airlines (MAS). Beliau ditugaskan untuk meneruskan perjuangan Petronas, bukannya merombak semua prosedur yang menjahanamkan bangsanya sendiri.
  • Pelik dakwaan Shamsul yang mengatakan Petronas akan bengkrap dalam tempoh beberapa tahun akan datang jika terus memberi projek secara terus kepada syarikat Melayu tanpa bidaan. Kenyataan itu sebenarnya meminjam kenyataan liar pembangkang yang meramalkan Petronas akan bengkrap jika terus memayungi ekonomi Melayu.
  • Di Singapura, ada juga beberapa tokoh korporat Melayu yang berperangai sama dengan Shamsul, mengaku diri mereka Melayu tetapi tidak peduli bangsanya tercicir daripada perebutan kontrak pembangunan dan akhirnya bangsa Melayu Singapura terpinggir dan tercicir.
  • Di Malaysia, puak pembangkang memang mencari jalan bagaimana mahu memutuskan ikatan antara Petronas dan bangsa Melayu kerana bangsa lain tidak dapat menikmatnya secara terbuka.
  • Namun bukan Melayu menguasai hampir semua projek mewah Petronas secara bidaan terbuka dan pada masa yang sama dipercayai `membeli’ ramai usahawan Melayu untuk mendapatkan projek daripada Petronas.
  • Jika Shamsul terus mengamalkan sikapnya, Petronas hanya akan memberi projek `ikan bilis’ saja kepada bangsa Melayu.
  • Shamsul sendiri sudah mengumumkan bahawa Petronas hanya memberi projek mega kepada mereka yang mempunyai rekod cemerlang dalam industri dan sudah tentu projek seumpama itu akan jatuh kepada syarikat bukan Melayu dan pelabur asing.
  • Beliau sudah tahu itu akan berlaku kerana setakat ini tiada syarikat Melayu di Malaysia berstatus  `Tier Satu’ dalam industri carigali minyak dan gas.
  • Bagi `Tier Dua’ pula boleh dibilang dengan jari. Nama-nama seperti Sapura Kencana dan GOM Resources merupakan beberapa syarikat Melayu yang aktif dalam industri itu tetapi mereka terlalu kerdil bagi Petronas untuk merebut projek berbilion ringgit.
  • Jelasnya, beberapa syarikat bukan Melayu mengungguli projek-projek mega berkaitan carigali minyak dan gas asli. Mereka mendapat tempat dihati Petronas kerana dikatakan lebih berkelayakan dan profesional.
  • Puak pembangkang memang bangga dengan sikap Shamsul tetapi segan memujinya secara terbuka. Mungkin sebab itu Shamsul berani menghina kerajaan dalam temu bual dengan akhbar kontroversi seperti The Edge Weekly.
  • Mungkin beliau sudah puas berkhidmat dengan Petronas dan di saat-saat akhir sebelum ditamatkan perkhidmatan, beliau sudah siap sedia memberi kenyataan paling kontroversi dengan mengaitkan campurtangan orang-orang kerajaan tertentu di bawah Perdana Menteri.
  • Selepas ini beliau dijangka tidak berpeluang mempertahankan Petronas melainkan beliau menyertai kem pembangkang pada masa hadapan dan menyalak seperti mana yang dilakukan oleh beberapa tokoh korporat yang sudah berkerat rotan. Harap Shamsul tidak tergamak berbuat demikian demi kelangsungan ekonomi Melayu.


CEO PETRONAS TUNJUK GARANG DI HUJUNG JALAN


  • SETELAH sekian lama membisu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas akhirnya menjawab kemelut yang melanda syarikat minyak dan gas nasional yang sepatutnya bertanggungjawab memayungi ekonomi bangsa Melayu.
  • Beliau memilih memberitahu umum mengenai pendiriannya menerusi akhbar berbahasa Inggeris, The Edge (Weekly Edition) dengan menyindir kerajaan dan syarikat korporat Melayu secara terbuka sambil mendakwa Petronas bukannya GLC hak milik Bumiputera atau Melayu, sebaliknya ia adalah milik seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa, keturunan dan agama.
  • Beliau memberitahu kerajaan supaya tidak campurtangan dalam urusan Petronas terutama dalam agihan kontrak berbilion ringgit kerana pihaknya mengutamakan keupayaan dan professionalisme, bukannya syarikat yang ada hubungan rapat (well-connected) dengan kerajaan atau tokoh politik tertentu.
  • Sebelum ini Shamsul dikecam umum kerana disyakki bersekongkol dengan pihak tertentu dalam melaksana agenda merencatkan ekonomi bangsa Melayu.
  • Ini berdasarkan situasi ekonomi terkini yang menyaksikan banyak syarikat Melayu dalam industri minyak dan gas asli telah terpinggir atau dipinggirkan oleh Petronas.
  • Malahan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai penasihat Petronas juga dikatakan ada kaitan dengan peminggiran Melayu di dalam agihan kontrak.
  • Banyak pihak merungut, antaranya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang lantang mendakwa Shamsul telah mengurangkan vendor Melayu dari 74 kepada sembilan syarikat sejak beliau ambilalih pengurusan Petronas.
  • Minggu lalu, Shamsul membuat kenyataan media mengenai kemelut itu dengan mendakwa beliau akan terus mempertahankan dasar profesionalisme dan kebebasan mutlak dalam mengendalikan perniagaan Petronas.
  • Katanya, beliau mahu melindungi kepentingan syarikat minyak nasional daripada sebarang tekanan politik dengan mengamalkan kaedah bidaan terbuka (open bidding) apabila menawarkan kontrak berkaitan minyak dan gas dengan alasan ia dapat mengurangkan kos Petronas.
  • Malahan, dia tidak akan tunduk atau `kow tow’ kepada mana-mana tekanan politik untuk memberi peluang perniagaan kepada syarikat korporat yang gagal membuktikan kebolehan mereka (unproven records).
  • Pada temubual dengan akhbar berbahasa Inggeris itu, Shamsul berkata beliau tidak mahu Petronas menjadi mangsa ketamakan `well-connected contractors‘ untuk mendapatkan kontrak sedangkan mereka tidak mempunyai kebolehan teknikal yang diperlukan dalam kegiatan carigali minyak dan gas asli.
  • “Amat sukar untuk melakukan kerja dengan jujur ​​setiap hari. Anda kena habiskan banyak masa terhadap pekara yang jauh daripada fungsi sebenar (mentadbir Petronas).
  • “Bukan hanya orang luar (yang menyulitkan keadaan) tetapi juga orang dalam kerajaan, iaitu birokrat. Gangguan birokrasi membuatkan tugasan menjadi semakin sukar,” dakwa Shamsul.
  • CEO Petronas itu mendakwa beliau menghadapi kesulitan sejak mengambil tampuk pengurusan syarikat daripada Tan Sri Hassan Marican pada 2010.
  • Antara tindakan Shamsul yang telah membuat kerajaan gelisah ialah menghadkan dividen dibayar kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 30 peratus daripada keuntungan bersih Petronas bermula 2013 dan seterusnya.
  • Tindakan itu juga telah menimbulkan kemarahan ramai pemimpin UMNO dan koprorat Melayu yang merasakan bahawa peneraju Petronas perlu sedar diri dan faham dengan fungsi hakiki GLC yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
  • Tetapi Shamsul membidas semula kritikan umum dengan berkata: “Kita (Petronas) memerlukan wang untuk berkembang. Jika kita kekal statik dan pengeluaran terus berkurangan, dalam masa 13 tahun kita mungkin akan tutup kedai.”
  • Kebanyakan kemelut yang Shamsul hadapi sepanjang tempoh menjadi CEO Petronas dikatakan berpunca daripada segelintir syarikat korporat yang ada hubungan baik dengan kerajaan tetapi tewas pada bidaan terbuka (open bidding) bagi beberapa projek bernilai tinggi yang ditawarkan oleh Petronas.
  • Pada masa yang sama kebanyakan syarikat di bawah program pembangunan vendor Petronas juga tidak berpuas hati dengan tindakan Shamsul yang menutup periuk nasi mereka dengan menamatkan projek tetap untuk mereka.
  • Shamsul pula mendakwa beliau berbuat demikian kerana ada di antara syarikat itu menambahkan kos sebanyak 48 peratus, sekaligus menjadikan margin sangat besar.
  • “Saya juga orang Melayu dan saya bangga menjadi Melayu. Anda rasa saya tidak mahu membantu bangsa saya sendiri? Sudah tentu saya mahu membantu mereka, tetapi dengan cara yang betul – bukan perlu disudukan, ” dakwa Shamsul.
  • Kekecewaan Shamsul boleh dirasai dari petikan-petikan berikut yang diambil daripada akhbar The Edge, antaranya: “Semua orang boleh melihat bahawa kita di Petronas menghadapi tekanan yang besar. Kami berbangga dengan memberitahu seluruh dunia, memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa kita merupakan satu daripada 500 syarikat yang meraih keuntungan tertinggi di dunia, tetapi adakah kita berkelakuan seperti satu daripada syarikat itu? “
  • “Inilah kemelut yang sedang kami hadapi, berusaha memerdekaan diri daripada kongkongan, supaya pada akhirnya kita dinilai dari segi prestasi dan keupayaan, tanpa sesiapa yang perlu memberitahu atau mengarahkan apa yang perlu kita dilakukan atau agihkan projek kepada semua pihak yang telah ditentukan.”
  • “Kerajaan mahu kita menjadi sebuah syarikat minyak terkemuka dunia yang setanding dengan Shell dan ExxonMobil, jadi kami cuba menjadi seperti mereka. Tetapi Shell dan ExxonMobil tidak diganggu oleh kerajaan mereka.”
  • “Dalam Akta Pembangunan Petroleum amat jelas – minyak dan gas asli adalah milik semua rakyat Malaysia. Ia tidak mengatakan minyak dan gas hanya milik bumiputera, ia tidak mengatakan sedemikian… ia mengatakan hak semua rakyat Malaysia, ia boleh menjadi milik kerajaan, ia juga boleh menjadi milik pembangkang, ia milik sesiapa saja … dan kita (rakyat) adalah penjaga aset itu. “
  • “Ia adalah amanah, diamanahkan. Perkataan amanah itu sangat kuat. Sebagai seorang Muslim, adalah menjadi dosa besar jika saya menyalahgunakan prinsip amanah.
  • “Kita berhadapan dengan ahli-ahli politik, mereka bercakap satu perkara tetapi melakukan pekara yang lain, ia begitu menyukarkan, ia begitu mengecewakan,” dakwa Shamsul lagi.
  • Sindiran terbuka Shamsul itu menjadi kebimbangan umum terutama syarikat koporat Melayu yang berkeupayaan tetapi masih tidak dapat memiliki projek bernilai tinggi.
  • Sebahagian besar projek berbilion ringgit dikuasai syarikat kontraktor asing atau syarikat berbangsa Cina yang memiliki rangkaian perniagaan luas di peringkat antarabangsa.
  • Tidak mustahil, kenyataan pedas Shamsul itu bakal memendekkan lagi jangka hayat beliau untuk menerajui Petronas. Waktu akan menentukannya.