Monday 15 June 2015

Nazri musnahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan UMNO

  1. Menteri yang memilik latarbelakang pendidikan perundangan seperti Datuk Seri Nazri Aziz semestinya sudah mencongak `untung rugi’ sebelum melontar sebarang kenyataan awam.
  2. Veteran UMNO ini jarang bertingkah hujah di khalayak ramai kecuali apabila keadaan terdesak atau diarahkan oleh pihak tertentu.
  3. Umpamanya, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan Perdana Menteri, Nazri hentam Tun M dengan bahasa paling kasar yang belum pernah digunakan oleh mana-mana menteri kanan.
  4. Kini Nazri sudah jemu untuk mengulangi penghinaan ke atas Tun M kerana bagi Nazri, bekas Perdana Menteri yang memerintah selama 22 tahun itu sudah tidak lagi penting untuk diperkatakan.
  5. Lalu beliau mahu bersilat di dalam gelanggang yang lebih mencabar. Dikatakan beliau telah menghina dan memberi amaran kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
  6. Pastinya beliau sedar impaknya cukup besar dan seluruh rakyat Malaysia kini menumpukan pandangan ke arah Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak yang kelihatan dungu itu.
  7. Sebagai peguam dan menteri, Nazri dikatakan telah menghina dan mengugut TMJ dalam keadaan waras dan bukan panas baran. Dia sudah ada `kira-kira untung rugi’ sebelum mengkritik dan menghina putera Sultan Johor itu.
  8. Selepas menghina secara membuta tuli, beliau tidak langsung menunjukkan semangat untuk memohon maaf kepada TMJ, malahan mendakwa bahawa tidak akan ada keadilan apabila beliau mengkritik kerabat diraja.
  9. Seperti orang tidak siuman, Nazri pula menuduh PDRM tidak bersikap adil kerana menyiasatnya sedangkan beliau bertindak biadap kepada TMJ kerana mahu mempertahankan Perdana Menteri.
  10. Dengan sombong Nazri menyebut beliau seorang yang berpegang pada undang-undang dan akan berdepan undang-undang.
  11. Nazri berkata semua orang perlu tahu yang kerabat diraja lebih tinggi daripada politik dan tidak boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.
  12. “Apabila TMJ serang Datuk Seri Najib, tiada apa boleh dilakukan terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.
  13. “Tetapi apabila saya pertahankan Najib, saya kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,” katanya.
  14. Sebelum itu Nazri membidas TMJ kerana mengkritik Najib yang tidak hadir forum “Nothing to Hide” bagi merungkai isu 1MDB.
  15. Berkaitan isu itu, TMJ menulis di laman Facebook Johor Southern Tigers: “Bagaimana boleh diadakan suatu dialog bertajuk “Nothing2Hide” dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya? Tentu sekali dia tidak akan muncul.”
  16. “Kepada mereka yang diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda,” tulis baginda pada posting Facebook bertarikh 5 Jun.
  17. Nazri kemudiannya memberitahu TMJ  supaya “menjauhi politik” jika tidak mahu “dibelasah”, lapor akhbar The Star Online.
  18. “Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan ‘whack’ (belasah) beliau,” beliau dipetik berkata.
  19. Ekoran itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya menyoal siasat Nazri mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya yang memberi amaran kepada TMJ.
  20. Kebiadapan Nazri terhadap institusi istana telah menyebabkan seluruh kabinet kerajaan UMNO terpalit sama yang akhirnya semakin dibenci umum.
  21. Keadaan semakin parah apabila TMJ murka dan membuat kenyataan panjang lebar mengenai insiden kedunguan Nazri.
  22. Baginda bertitah, seseorang menteri bukannya tuhan daripada syurga yang tidak boleh ditegur. Tunku Ismail mempertahan tindakannya menegur Perdana Menteri mengenai 1MDB atas dasar diri baginda sebagai pemimpin rakyat Johor dan Malaysia.
  23. "Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat," titah baginda dalam kenyataan melalui laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.
  24. "Dalam aturan dunia yang baru, saya membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing. Namun, keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur."
  25. Titah baginda, tidak seperti menteri dan ahli politik, baginda tidak menjalankan suruhan seperti boneka dan hanya bertanggungjawab kepada Allah.
  26. Baginda juga berkata, negara memerlukan ahli politik yang bersih, telus, dan menjalankan tanggungjawab dengan keikhlasan dan integriti.
  27. "Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor. Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka.
  28. "Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi," titah baginda.
  29. Titah TMJ itu mempunyai maksud yang dalam dan perlu ditafsir dengan halus oleh Perdana Menteri dan kabinetnya.
  30. Kebiadapan Nazri sebenarnya merugikan negara dan telah melunturkan kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri dan UMNO.
  31. Nazri bersilat tetapi di gelanggang yang salah. Akibatnya kerajaan Persekutuan dan UMNO bakal menanggung padah.
  32. Sementara itu kebanyakan suara dari Johor berpesan jika politik bergoncang dari selatan tanah air, ia merupakan satu petanda buruk kepada kerajaan Persekutuan.
  33. Untuk itu Perdana Menteri perlu menyelesaikan isu Nazri dan TMJ dengan pantas atau negara bakal menerima musibahnya nanti.