Jangan sebar gambar sebarangan di internet. jadilah masyarakat yang peduli kejiranan. |
- Seorang pelajar yang pulang bercuti membakar dirinya sendiri. Ini berlaku di dalam biliknya. Ayahnya seorang tokoh perniagaan terkenal. Gambar beliau dalam keadaan yang mengerikan tersebar meluas di alam maya.
- Seorang budak perempuan berusia 12 tahun cuba membunuh diri apabila kegagalannya mendapatkan kad pengenalan menjadi bahan ejekan di media sosial. Beberapa minggu lalu, seorang wanita pengurus sebuah bank ditembak di kepalanya oleh pengawal keselamatan. Gambar itu juga merebak di dunia siber.
- Dunia maya boleh menjadi ruang berbahaya, kejam dan merosakkan. Dalam kes pelajar tadi, tindakan tidak sensitif orang yang menyebarkannya amat dikesali. Dalam kes pegawai bank itu pula, gambar yang menjadi ‘viral’ di dalam media sosial menimbulkan tanda tanya soal etika dan kewarasan penghantarnya.
- Dalam kes budak 12 tahun, perbuatan untuk membunuh diri juga amat mendukacitakan. Dunia maya sepatutnya menjadi ruang untuk berkomunikasi, berinteraksi, bertukar-tukar maklumat dan informasi, mencambah ilmu, berdialog, berhujah secara waras, semuanya ke arah kebaikan dan kemajuan.
- Penyebaran maklumat
- Ia merupakan dunia bebas yang penuh potensi. Ruangnya terbuka luas seluas maya. Dunia maya memberikan kesempatan pendedahan ilmu dan maklumat yang luar biasa juga wahana perhubungan sesama manusia yang tidak pernah dibayangkan selama ini.
- Paling penting ini ruang di mana demokrasi diamalkan dengan cara yang sebaiknya. Penggunanya bebas membuat pilihan. Inilah demokrasi yang sebenar, hak bersuara, kebebasan membuat pilihan dan memberikan pandangan. Tidak ada kerajaan di dunia yang boleh menghalang ruang bebas ini. Tidak ada kuasa manusia yang boleh membendung pengaliran keluar masuk maklumat.
- Kita semua tahu peranan media sosial hari ini. Ia boleh menjadi wahana yang amat berkesan untuk pelbagai tujuan. Malah ia boleh menaik dan menjatuhkan kerajaan. Ia boleh menjadi senjata paling ngeri. Juga alat perhubungan paling canggih dan peluang untuk memang pilihan raya.
- Dalam konteks Datuk Bandar Toronto baru-baru ini, kemarahan terhadap musuh politiknya menjadi viral lalu menjejaskan nama baiknya. Moral ceritanya bagi ahli politik, berhati-hatilah di manapun juga. Akan ada orang yang cuba merakam dan menyebarkan perbuatan anda.
- Salah guna telefon pintar
- Dunia hari ini tidak lagi memerlukan kamera skodeng yang canggih, memadai dengan telefon pintar. Apa yang diperlukan hanya kekunci ‘forward’ dan semuanya akan menjadi bahan tatapan jutaan orang. Facebook dan YouTube pula memberikan dimensi video yang baharu. Murah, pantas dan berkesan. Twitter memberikan ‘kuasa kilat’ menyebarkan apa sahaja secara spontan dalam 140 aksara atau kurang, lengkap dengan gambar.
- Tidak lama dahulu, seorang anak saudara saya terbabit dalam kemalangan motosikal di sebuah bandar. Gambar beliau terbaring di tepi jalan berlumuran darah menjadi viral dalam media sosial. Saya agak terperanjat melihat beliau sendirian, terbaring sedang beberapa orang berdiri di sekelilingnya, tiada siapa yang membantu apatah lagi memangku kepalanya yang berdarah. Hanya setengah jam kemudian, seorang pemandu kereta berhenti untuk membawanya ke hospital.
- Kita sudah melahirkan masyarakat ‘pemerhati’ dan ‘pengambil gambar.’ Juga masyarakat yang mungkin sudah hilang keprihatinan. Dalam konteks alam maya, kita juga melahirkan generasi ‘tukang forward’ (memetik kekunci forward) tanpa memikirkan implikasi perbuatan kita. Orang yang menerima imej tertentu akan melakukan hal yang sama. Ini berulang beratus, beribu, beratus ribu malah jutaan kali.
- Gambar pengurus bank itu cukup memeranjatkan. Ada di kalangan kita yang menyebarkannya untuk dimuat turun kepada teman lain. Gambar anak muda yang rentung terbakar di Taman Tun Dr Ismail juga disebarkan dengan cara itu. Apakah kita pernah memikirkan implikasi kepada keluarga mereka?
- Dugaan guna media sosial
- Begitu juga ada kalanya kita tidak peduli perasaan orang lain apabila kita mengecam, mengutuk malah menghina mana-mana individu. Kita dengan mudah menyebarkannya. Mungkin kita tidak berniat jahat terhadap individu itu tetapi ‘instinct’ membuatkan kita melakukannya. Ini konsep ‘herd mentality’ yang selalu disebutkan. Kita dicorakkan oleh bilangan yang banyak.
- Akibatnya kita turut menyebar kebencian, fitnah dan penghinaan terhadap orang lain. Kita juga menjadi alat orang yang memang menggunakan media sosial untuk tujuan itu. Kita terlupa bahawa perbuatan itu salah, malah ditegah oleh agama kita.
- Dunia maya penuh cabaran. Menggunakannya dengan baik, bijak dan waras merupakan dugaan paling besar nampaknya bagi pengguna dunia itu hari ini.-- Johan Jaafar BH
No comments:
Post a Comment