Friday 20 December 2013

Rasionalisasi Apam!

Kenaikan caj kemudahan awam disifatkan sebagai rasionalisasi apam!
 
  • MEMANG betul sesetengah orang kita – termasuk para pemimpin – pandai bermain kata, bijak memilih istilah. Dulu, kini dan selamanya kita selalu menggunakan bahasa beralas @ cakap berlapik.
  • Contoh: Apabila ada rombongan lelaki masuk meminang, keluarga gadis akan berkata: “Anak kami masih kecil, belum pandai menanak nasi.” Mereka berkias sebab tidak tergamak cakap terus-terang: “Pinangan kamu ditolak!”
  • Kita menggunakan kata-kata ‘kurang bijak’, ‘tidak cerdik’ atau ‘tidak pandai’ untuk menggambarkan seseorang. Padahal istilah-istilah tersebut, membawa erti yang sama, iaitu ‘bodoh’. Kita tidak kata ‘kedekut’, sebaliknya ‘tangkai jering’.
  • Tujuan cakap berlapik ialah supaya perasaan tidak tersinggung. Tetapi, apabila difahami maksud sebenar, pihak berkenaan tetap berasa hati. Malah, kesannya boleh mewujudkan dendam kesumat yang berpanjangan.
  • Dalam konteks ekonomi dan urus tadbir mutakhir, ada banyak istilah sengaja digunakan untuk tidak terlalu memarahkan rakyat. Akhir-akhir ini istilah paling kerap kita dengar daripada pemimpin ialah ‘rasionalisasi’, ‘penyelarasan’ dan ‘penilaian semula’. Maknanya sama sahaja, ‘naik’.
  • Apabila orang ramai dipaksa membayar lebih untuk bahan api dan gula, pakar ekonomi kita – juga menteri – menggunakan istilah rasionalisasi harga atau penyelarasan harga. Kedengaran sedap, tetapi makna sebenar tidak sedap. Baik rasionalisasi, penyelarasan dan penilaian semula, kita kena bayar lebih.
  • Nampaknya memasuki fajar 2014, banyak lagi rasionalisasi dan penyelarasan akan kita hadapi. Paling jelas, dan bagaikan tidak boleh ditahan-tahan, tarif elektrik akan dirasionalisasi.
  • Seperti yang telah diumumkan, berkuat kuasa 1 Januari kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan diselaraskan 4.99 sen/kWj, peningkatan sebanyak 14.89 peratus, daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.
  • Tambah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, bagi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan menjadi 5.00 sen kWj, peningkatan sebanyak 16.9 peratus, daripada 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.
  • Bukan saja elektrik, tambang teksi, bas dan pengangkutan awam lain pun akan diselaraskan. Khusus untuk pemilik hartanah di KL, penilaian semula cukai pintu pun akan dilaksanakan mulai tahun baharu. Ramai yang mengeluh, tetapi menyedari ini era penilaian semula, serba-serbi hendak diselaras dan dirasionalisasi. Apa boleh buat.
  • Paling ditakuti dan baharu sehari dua diberitahu ialah rasionalisasi tol. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Wahid Omar, kerajaan tidak ada pilihan dan terpaksa melaksanakan penyelarasan, jika tidak terpaksa membayar RM400 juta pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.
  • Belum diumumkan lagi perincian mengenai penyelarasan harga sebenar, tetapi laporan media memetik kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof sebagai berkata, kadar tol baharu mungkin antara 50 sen hingga RM2. Pada kadar sekarang pun pengguna sudah terasa perit setiap kali melalui mana-mana 13 lebuh raya seluruh negara.
  • Mudah sahaja menteri berkata, sekiranya tidak mampu pengguna boleh memilih laluan alternatif tidak bertol. Tetapi ada sekian banyak laluan untuk urusan harian yang mahu tidak mahu terpaksa melintasi tol, kecuali sekiranya pengguna menaiki kapal selam, helikopter atau jet eksekutif.
  • Setakat semalam, banyak pihak – termasuk pemimpin kerajaan, Pemuda Gerakan, Pemuda Umno – meminta supaya harga tol sedia ada dikekalkan. Pasca PRU13 menyaksikan orang ramai banyak dibebankan dengan beraneka penyelarasan dan rasionalisasi. Harap-harap ada simpati kerajaan, dan tol tidak menambahkan lagi beban pengguna. Sekurang-kurangnya menepati sedikit slogan ‘Rakyat Didahulukan’.
  • Tetapi, ada satu kenyataan klise kerajaan setiap kali penyelarasan dan rasionalisasi, termasuk kadar baharu tarif elektrik ialah: “Usah bimbang, rakyat biasa tidak akan terjejas.” Hakikatnya tidak begitu. Apabila elektrik naik, minyak naik, gula naik, peniaga pun akan sewenang-wenangnya menaikkan harga produk.
  • Kalau pun harga tidak naik, pasti ada perubahan lain. Contoh: Restoran dan gerai mengecilkan saiz roti canai, karipap, apam. Seketul ikan sudah bertukar menjadi secubit ikan. Hatta bungkus nasi lemak pun semakin mengecil. Memang, tidak ada rasionalisasi harga, tetapi peniaga menguatkuasakan ‘rasionalisasi bentuk’. Siapa tahu, di tempat mengundi pada PRU14 nanti, pengundi akan menguatkuasakan ‘rasionalisasi pangkah’. – Dato Abdul Jalil Ali

UPSR, PMR, SPM dari kacamata Islam

 
Kanak-kanak Islam perlu bimbingan Islam yang sempurna
 
  • SAMBUTAN tahun baru 2014 sudah pasti disambut dengan gembira dan duka oleh rakyat negara ini. Gembira mungkin pada sesetengah wakil rakyat dan pemimpin di beberapa buah negeri mendapat kenaikan gaji dan elaun.
  • Episod duka mungkin bertandang di hati rakyat marhaen kerana terpaksa membayar harga cukai pintu dan tol yang lebih akibat kenaikan dua perkara itu di sesetengah wilayah menjelang mentari tahun 2014.
  • Namun dalam kita terlalu mengukur kehidupan dengan petunjuk ekonomi dan angka sebagai sandaran kemajuan, jangan pula kita melupakan fakta penting bahawa kita meminjam dunia ini dari generasi masa depan. Adakah kita mahu anak-anak kita dibayangi hidup mereka dengan faktor keduniaan hingga mereka melihat hidup mereka adalah untuk memenuhi nafsu material bersifat kewangan semata-mata.
  • Hari ini insya-Allah anak kita menerima keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 namun kita lupa adakah anak kita sudah lulus UPSR, PMR, SPM, STPM dan MBA untuk persediaan mereka ke dunia akhirat kelak.
  • Memang peperiksaan yang dinyatakan di atas, kebanyakan dari kita sudah mengambilnya namun di sebalik peperiksaan tersebut tersimpan makna dan hikmah untuk dihayati bagi memastikan kita melahirkan generasi masa depan yang mampu mewarisi negara ini dengan acuan dukhrawi (dunia dan ukhrawi).
  • Pastikan anak kita lulus dalam Usaha Praktikkan Sunnah Rasullullah (UPSR) iaitu menjadi seorang manusia yang bersifat jujur dan bijaksana dalam menjalani kehidupan dalam dunia di hujung jari. Biarlah amalan mereka bersandarkan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam menghadapi godaan dunia internet yang ada kalanya lebih bersifat merosakkan daripada memberi kebaikan.
  • Dengan kemunculan laman sosial sejak muncul Myspace, Internet Relay Chat @ IRC (laman sembang), Facebook, Twitter, Instagram dan blog-blog interaktif cabaran mendidik anak-anak muda semakin rumit. Oleh itu adalah penting untuk sistem pendidikan kita dan ibu bapa sendiri memantau pergerakan anak-anak semasa melayari laman-laman sosial tersebut. Anggaplah perkara-perkara tersebut sebagai pisau yang tajam. Boleh membunuh dan memotong sayur untuk dimasak. Terpulang kepada ibu bapa mendidik anak cara 'menggunakan' pisau dengan sebaiknya.
  • Selain 'UPSR' tersebut pastikan anak kita lulus PMR iaitu Puasa Masa Ramadan. Dengan amalan berpuasa diamal dengan sempurna ia mampu membentuk generasi yang empati terhadap nasib orang miskin dan kelaparan. Puasa atau As-Siyam dalam bahasa arab juga banyak hikmahnya dari sudut kesihatan. Selama hampir 336 hari kita menyumbat segala jenis makanan dalam perut, hanya untuk 30 hari kita berpuasa demi memenuhi rukun Islam yang ketiga.
  • Setelah lulus UPSR dan PMR pastikan anak kita lulus SPM untuk akhirat iaitu Solat Pada Masanya. Dengan mengerjakan amalan solat wajib lima kali sehari, anak-anak kita akan dididik menjadi manusia yang menepati masa dan menghargai setiap 86400 saat yang diperuntukkan dalam 24 jam sehari. Solat adalah perkara wajib yang tinggi ganjarannya jika dilakukan berjemaah. Solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak masing-masing mempunyai fadilatnya yang tersendiri.
  • Bagi memperbanyakkan amal umat Islam boleh menunaikan solat sunat sebanyak mungkin. Sebagai tiang agama jika anak kita berjaya lulus SPM versi akhirat ini sudah pasti kita mempunyai generasi akan datang yang akan melakukan kerja dan menyiapkan projek mengikut jadual dan akan menjimatkan kos.
  • Kejayaan dalam SPM tersebut akan memungkinkan kita mewujudkan generasi yang mampu lulus STPM dan MBA. STPM adalah Siapkan Tabungan Pergi Mekah (STPM), pergi bukan setakat pergi melancong tetapi menunaikan haji atau umrah demi memperkukuhkan diri sebagai seorang muslim yang sejati.
  • Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji di baitullah perlu dihayati sebelum lulus kesemua 'peperiksaan' ini. Setelah lengkap kesemua sijil tersebut barulah layak mengambil MBA bukannya Sarjana Pentadbiran Perniagaan tetapi Mesti Bersihkan Aset dengan menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadan dan zakat harta jika cukup syaratnya.
  • Dalam meraikan kejayaan anak-anak kita lulus peperiksaan ingatlah bahawa anak-anak kita inilah yang akan menjadi kita di masa depan. Jika kita asyik memberi galakan untuk lulus peperiksaan akademik semata-mata tetapi alpa dengan peperiksaan melibatkan solat, puasa, haji dan zakat anak-anak maka kita sedang mencipta anak-anak yang hanya pandai bertanya khabar ibu bapa dengan whatsApp dan bertemu di laman sembang semata-mata.
  • Justeru, kita perlu mempersiapkan masa depan anak kita hari ini, kerana kita tidak mahu terus melahirkan generasi masa depan yang hanya mahu cemerlang sebagai pelajar tetapi tidak sebagai anak, umat Islam yang kukuh akidah dan amalan selaras Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  • Jangan pula kita lupa pinjaman masa hari ini wajib dibayar pada masa depan oleh generasi yang kita didik hari ini. Oleh itu jangan pula generasi terdahulu marah kepada generasi hari ini yang terlalu banyak diberi kebebasan di dunia maya. -- ABDUL RAZAK IDRIS

Melayu muflis berhak terima zakat

 
Muslim muflis berhak dapat zakat
 
  • Pada 13 Disember lalu, akhbar Utusan Malaysia ada melaporkan mengenai program bantuan perkahwinan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mana pada tahun ini seramai 1,310 orang asnaf dengan jumlah RM1,624,300 telah menerima bantuan tersebut.
  • Tujuan inisiatif ini adalah bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf terutamanya golongan fakir, miskin dan mualaf yang ingin mendirikan rumah tangga.
  • Usaha dan kreativiti dalam mengagihkan bantuan zakat seperti ini adalah amat baik terutamanya bagi mengurangkan masalah peningkatan kes pembuangan bayi yang disebabkan oleh pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita. Justeru, ia wajar diteruskan pada masa hadapan dan dikembangkan lagi dalam aspek yang lain pula.
  • Atas dasar tersebut, penulis ingin mencadangkan bahawa transformasi agihan dana boleh dilakukan bagi tujuan membayar hutang bagi pihak penghutang-penghutang Melayu Islam yang telah diisytihar sebagai muflis untuk membantu mereka keluar daripada masalah tersebut.
  • Asas kepada cadangan ini ialah masalah muflis di kalangan Melayu Islam semakin membimbangkan mutakhir ini. Mengikut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012. Satu laporan menunjukkan bahawa setiap hari seramai 41 belia diisytihar muflis.
  • Dalam kes peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman pelajaran dan berdepan dengan tindakan disenarai hitamkan, kaum Melayu Islam mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 328,550 diikuti Cina (55,445) dan India (28,250). Mereka ini akan berdepan dengan risiko muflis jika masih gagal menjelaskan hutang pada masa hadapan. Masalah muflis ini akan berlarutan jika tiada penyelesaian holistik dicari.
  • Umum mengetahui bahawa kutipan zakat telah meningkat dari setahun ke setahun. Peningkatan jumlah zakat yang begitu banyak telah menyebabkan ketidakseimbangan antara jumlah yang dikutip dan jumlah yang diagih kepada asnaf. Natijahnya, berlaku lebihan dana yang tidak diagihkan.
  • Dana zakat boleh digunakan bagi penyelesaian masalah ini berdasarkan kepada dua asas, iaitu orang yang berhutang adalah asnaf zakat dan objektif sebenar zakat adalah untuk pembangunan ekonomi ummah.
  • Pertama, di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 60 yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan".
  • Seperti yang terkandung di dalam ayat di atas, satu daripada golongan masyarakat yang layak menerima duit zakat ialah orang-orang yang berhutang atau al-gharimin. Siapakah yang termasuk di dalam golongan ini?
  • Maklumat yang diperolehi daripada Portal Rasmi Fatwa Malaysia yang dikelola oleh Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui laman sesawang www.e-fatwa.gov.my, al-Gharimin merupakan orang-orang berhutang yang layak menerima zakat, iaitu orang yang berhutang untuk faedah awam seperti untuk menghapuskan persengketaan antara dua pihak dan sebagainya.
  • Menurut fatwa itu lagi, bagi individu yang berhutang untuk tujuan peribadi, mereka hanya boleh dimasukkan ke dalam asnaf ini dengan syarat seseorang individu mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang mencukupi (haddul kifayah).
  • Maksud golongan yang berhutang ini jika diaplikasikan dalam konteks semasa adalah meliputi golongan masyarakat yang membuat pinjaman yang tidak bercanggah dengan syarak. Tujuan sesuatu hutang yang dibuat akan menjadi penentu sama ada orang yang berhutang tersebut layak atau tidak menerima dana zakat bagi membayar hutangnya.
  • Sebagai contoh, peminjam PTPTN yang tidak mempunyai sumber dana bagi menjelaskan pinjaman pelajaran boleh tergolong sebagai al-gharimin. Peminjam yang menggunakan kad kredit untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang bukan bertujuan untuk bermegah-megah juga tergolong dalam golongan asnaf ini.
  • Maksud golongan ini boleh juga dikembangkan kepada orang-orang yang berhutang dengan 'ah long'. Umum mengetahui betapa kejamnya 'ah long' menyeksa mereka yang tidak mampu membayar hutang. Seksaan dan ancaman yang diberikan amat dahsyat dan tidak berperikemanusiaan.
  • Golongan ini wajar dibantu di bawah asnaf al-gharimin dengan syarat hutang yang dibuat mestilah untuk tujuan baik bukannya untuk berjudi atau melakukan maksiat.
  • Kedua, membantu golongan asnaf al-gharimin akan mencapai objektif sebenar zakat. Satu daripada objektif zakat ialah untuk pembangunan ummah. Ummah akan membangun apabila ekonomi dijana dengan baik dan pendapatan orang-orang Islam meningkat.
  • Jika ramai orang Islam muflis, bagaimana ekonomi ummah dapat diperkasakan? Penulis bersetuju dengan pandangan bahawa "orang muflis umpama hidup dalam 'koma', masih 'bernyawa' tapi tak mampu berbuat apa-apa".
  • Dalam konteks ini, semakin banyak orang Melayu Islam yang muflis, semakin sukar untuk ummah membangun. Justeru, membebaskan orang Islam daripada muflis merupakan antara jalan bagi terus memperkasa ekonomi bumiputera.
  • Institusi zakat negeri-negeri boleh mengambil contoh daripada tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam. Penulis dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa dana zakat di sana digunakan untuk membantu penghutang kad kredit membayar hutang bagi mengelak masalah muflis.
  • Pembiayaan dilakukan hanya sekali sahaja bagi setiap penghutang. Langkah yang diambil tersebut mungkin boleh dipelajari dan dikaji dengan lebih menyeluruh jika ingin dilaksanakan di negara kita.
  • Justeru, penulis merasakan sudah tiba masanya dana zakat diperluaskan penggunaannya bagi membantu orang Islam yang muflis untuk keluar daripada masalah tersebut.
  • Membebaskan mereka daripada muflis bererti pembangunan ekonomi Melayu Islam akan bertambah baik. Walaupun inisiatif ini mungkin bakal mengundang pelbagai kontroversi, namun setidak-tidaknya tulisan ini diharap mampu membuka jalan kepada pihak berwajib untuk merencana satu kaedah efektif bagi menyalurkan dana zakat kepada Muslim muflis. -- Oleh : RAM AL JAFFRI SAAD, Universiti Utara Malaysia