Friday 27 December 2013

Rakyat berdepan tekanan ekonomi politik

Keadaan hidup masa kini semakin perit akibat pelbagai kenaikan harga
 
  • MENGURUS ekonomi sesebuah negara tidak semudah yang disangka. Jalan populis melampau, menempah sengsara generasi akan datang. Harus diakui, majoriti rakyat sangat terbelenggu dengan beban kos sara hidup yang semakin meninggi.
  • Kelmarin, penulis menghabiskan masa yang agak lama mendengar rungutan, keluhan, kerisauan rakyat terbanyak mengenai kenaikan kos sara hidup mereka seharian. Mereka yang selesa untuk berkongsi keluhan, tidak segan silu menceritakan mengenai kesan kos sara hidup kepada diri mereka dan keluarga.
  • Masing-masing mempunyai cerita dan keluh kesah sendiri. Anak yang ada di institusi pengajian tinggi memerlukan belanja tambahan. Anak kurang upaya memerlukan perhatian. Seorang anak remaja yang berminat mendaftar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga perlukan tindakan dan respons. Semua ini perlu didengari dengan rasa yang cukup rendah diri, bahawa besarnya amanah seorang wakil rakyat untuk mengisi kehendak rakyat.
  • Itu hanya tugasan sebagai pemimpin kecil di kawasan Kepala Batas. Bagaimana agaknya dengan Perdana Menteri yang terpaksa memikirkan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sudah tentu bebannya jauh lebih besar dan menguji.
  • Gema Politik 2013. Dalam menelusuri suasana politik sepanjang 2013, penulis boleh membuat kesimpulan bahawa pilihan raya umum adalah kemuncak kepada segala-galanya. Persaingan populariti kepimpinan, pertandingan keutuhan parti, perseteruan mendapat mandat dan kepercayaan rakyat menjadi latar belakang yang sangat menduga. Media sosial menjadi saksi, bagaimana fitnah menjadi modus-operandi politik yang bersifat lepas bebas.
  • Segalanya dijual dan dihidangkan kepada rakyat. Atas nama kesejahteraan rakyat kononnya, janji-janji manis dibiarkan bertebaran. Harga minyak, elektrik dan kereta turun. Pendidikan diberikan percuma. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. Ironinya, dengan janji yang semuluk itupun, mereka tidak mampu mendapat mandat dan kepercayaan rakyat.
  • Sudah barang tentu, ada angkubah lain yang menjadi impian dan kemahuan rakyat. Nyata, secara strategik dan bulat tekad, rakyat mahukan kepimpinan yang lebih dipercayai. Rakyat mahukan kenderaan politik yang lebih berhemah dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan politik semasa. Rakyat menghargai barisan yang mampu menyediakan polisi tuntas dan khusus, sekali gus menyedia Malaysia ke pentas ekonomi yang lebih meyakinkan.
  • Hari ini, mereka kembali menyalakan amarah rakyat dengan menggunakan alasan yang sama. Kos sara hidup dijadikan alasan mereka untuk melakukan usaha menggugat kestabilan politik. Suara minoriti mahu dibangkitkan untuk mendapat tarikan politik. Rakyat pastinya boleh melihat trend politik sama mahu dibangkitkan dalam banyak siri politik jalanan sebelum ini.
  • Apakah pembangkang sudah hilang keyakinan untuk bersaing membentang hujah di dalam Parlimen? Apakah ini sahaja jalan pintas politik yang mereka mahukan? Apakah tiada noktah kepada usaha merosak fabrik perpaduan dan kestabilan politik negara? Mungkin pembangkang cukup naik angin apabila melihat laporan Economist Intelligence Unit: Risk of Social Unrest in 2014', yang meletakkan Malaysia di dalam kumpulan low risk seperti yang dibahaskan oleh artikel, Ripe for rebellion?: Where protests is likeliest to break out yang dibentangkan The Economist baru-baru ini.
  • Malaysia diletakkan dalam kalangan 31 buah negara yang berada di dalam kategori risiko sangat rendah/berisiko rendah (very low risk/low risk) di dalam kajian tersebut. Ini sekali gus memberi makna, bahawa ada kebijakan pengurusan ekonomi dan politik yang dilaksanakan kerajaan yang mendapat pengiktirafan media antarabangsa.
  • 2014: Masih Dengan Gendang Perang? Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan rentak politik pasca PRU13 dengan keperluan kita menjejak jalan national reconciliation yang disambut dingin oleh pembangkang. Berdasarkan untung-rugi politik, mereka merasakan ia tindakan yang mungkin merugikan. Politik mesti diatur dengan kaedah ugut, dendam, protes, ketidakstabilan dan huru hara. Ini agaknya jenama politik yang mereka mahukan.
  • Gerak politik yang lebih non-partisan di peringkat domestik diperlukan dalam mengurus ekonomi dunia yang semakin mencengkam. Persaingan antara negara jadi lebih kompetitif. Kehilangan niche dan kelebihan boleh berlaku dalam sekelip mata.
  • Menurut banyak kajian ekonomi antarabangsa, antara negara yang dijangka mencatat peratusan pertumbuhan ekonomi luar biasa adalah: Sudan Selatan (35.0 %), Macau (13.5 %), Sierra Leone (11.2 %), Turkmenistan (9.2 %), Bhutan (8.8 %) dan Libya (8.8 %). Ini di atas kertas. Apa yang berlaku di Sudan Selatan pada ketika ini, mungkin menjadikan peratusan pertumbuhan kembali merosot.
  • Kita harus menerima hakikat, bahawa kita sudah melangkaui zaman pembangunan yang sedemikian sifatnya. Cabaran kita adalah mencari rentak pertumbuhan ekonomi baru yang lebih tinggi rantaian nilainya. Tanpa sabotaj pihak tertentu, sudah pasti pelaburan berbilion ringgit dapat kita realisasika. Malangnya, di atas jalur kepentingan politik, ia disabotaj kumpulan yang berkepentingan.
  • Rakyat perlu tahu bahawa dosa mensabotaj ekonomi negara sendiri ini hanya boleh dilakukan kumpulan yang tidak bertanggungjawab - dan tidak wajar kita ampunkan sampai bila-bila. Apabila kepentingan politik mendahului rasional dan hemah yang sewajarnya, kita kembali kepada amalan politik jahiliyah dan jahat sifatnya.
  • Menangani Kesenjangan Ekonomi-Politik. Dalam sidang Parlimen yang lalu, sewaktu bangkit berbahas di Parlimen, seringkali penulis mengingatkan bahawa kita perlu sama-sama melihat sempadan ekonomi yang lebih menjanjikan pertumbuhan kepada negara secara keseluruhannya. Beban ini tidak seharusnya menjadi beban kerajaan semata-mata.
  • Pembangkang juga perlu memainkan peranan. Pada pandangan penulis, ada empat (4) jurang yang perlu kita utamakan dalam pada kita menyusun langkah pemerkasaan ekonomi tahun 2014 dan seterusnya.
  • “1. Kesenjangan pendapatan Bumiputera berbanding kaum lain;
  • 2.Kesenjangan pendapatan intra-etnik (menangani jurang antara Bumiputera kaya dan miskin);
  • 3. Kesenjangan pendapatan bandar-luar bandar;
  • 4. “Kesenjangan pendapatan kumpulan berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi (tanpa mengira kaum);
  • Kerajaan pada hakikatnya sedang melihat kepada garis-garis besar kesenjangan ekonomi-politik yang dinyatakan di atas. Yang menjadi masalah, adalah kelemahan pelaksanaan dan elemen pertanggungjawaban semua pihak dalam memastikan ia dapat dilaksana secara berkesan dan tuntas.
  • Dalam menyusun ritma ekonomi yang tepat, sudah pasti kita perlu melakukan beberapa usaha koreksi yang agak menyakitkan. Namun, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) juga tidak akan berhenti memikirkan inisiatif untuk membantu rakyat. Komitmen akujanji perlu dilihat dalam konteks satu penggal/5 tahun - dan bukannya beberapa bulan selepas PRU.
  • Selamat tahun baru 2014 - dan semoga kita mampu menjadi ahli politik dan rakyat yang lebih bertanggungjawab. – Dato Seri Reezal Merican Naina Merican