Thursday 18 June 2015

Johor tidak boleh keluar Malaysia?


  1. Rakyat semakin gelisah dengan `perang mulut’ di antara kerabat istana Johor dengan Kerajaan Persekutuan sehingga timbul kenyataan `menggerunkan’ bahawa kerajaan negeri Johor boleh bertindak keluar dari Malaysia.
  2. Lantas pakar perlembagaan muncul untuk memberitahu umum bahawa kandungan perjanjian bersama Persekutuan Tanah Melayu yang menyentuh isu hak mutlak Kerajaan Johor yang memungkinkan negeri itu keluar dari Malaysia dianggap terbatal selepas negara mencapai kemerdekaan.
  3. Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, perjanjian itu dan banyak lagi dokumen termasuk pada zaman negara dijajah British dikira terbatal dengan sendiri selepas 31 Ogos 1957.
  4. "Benda ini semua sudah tutup buku, Kuasa Raja-raja Melayu sudah dimasukkan di dalam Perlembagaan.
  5. "Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan kena hormat undang-undang Johor. Kuasa raja kekal dan Kerajaan Pusat tidak boleh campur tangan.
  6. "Namun untuk isu Johor keluar Malaysia rasanya tidak timbul lagi. Jika boleh, ia pasti memakan masa dan proses yang amat panjang," kata Dr Ramlah.
  7. Dr Ramlah mengulas catatan di akaun Instagram Tunku Idris Sultan Ibrahim berkaitan perjanjian bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.
  8. Catatan itu turut menyebut bahawa Johor telah bersetuju menandatangani perjanjian 1946 itu dengan mengenakan beberapa syarat.
  9. "Sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia," jelas tulisan itu.
  10. Syarat itu turut menyebut, Islam menjadi agama negeri, air dan tanah negeri menjadi hak mutlak Johor serta askar timbalan setia tidak boleh dibubarkan.
  11. Selain itu, perlembagaan negeri Johor juga tidak boleh diusik dan kuasanya terletak pada tangan sultan.
  12. Tulisan itu juga menyatakan, Johor dikenali sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat ketika menandatangani Perjanjian Setia 1885 dengan British.
  13. Dalam pada itu, jelas Dr Ramlah, di dalam sistem kerajaan negeri, Sultan Ibrahim merupakan pemerintah tertinggi dan kuasa pentadbiran harian diserahkan kepada pembesar yang dilantik.
  14. Dr Ramlah turut merujuk beberapa insiden melibatkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang tidak mempedulikan amaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim, malahan menuduh Tengku Mahkota Johor itu bersalah dalam 'krisis' panas di antara mereka.
  15. "Nazri seharusnya lebih teliti, tidak payah cabar mencabar seperti apa yang berlaku kini. Dia kena ingat kuasa pemimpin politik tertakluk kepada Sultan. Malu kita tengok perselisihan begini," ujarnya.
  16. Tengku Mahkota Johor, Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini dilaporkan memuat naik satu status berkaitan #Nothing2Hide di laman Facebook Johor Southern Tigers, dengan menyatakan baginda tidak terkejut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir pada majlis berkenaan.
  17. Status itu mengundang teguran daripada Nazri yang 'menasihatkan' Tunku Ismail agar menjauhkan diri daripada politik.
  18. Persoalan sekarang ialah mengapa tidak ada sebarang usaha dilakukan oleh Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor untuk menjernihkan suasana yang semakin menggerunkan ini?
  19. Setidak-tidaknya mulakan dengan permohonan maaf menteri dan pihak yang berkaitan kepada institusi istana Johor.