Kes tipu menjadi-jadi...
|
Jenayah semakin serius |
- KES penipuan semakin menjadi-menjadi dan berlaku kepada sesiapa
sahaja. Setiap hari, kita disajikan dengan berita-berita yang melibatkan
penipuan dengan pelbagai cara. Terkejut juga dengan kes-kes yang kita
rasa tidak logik tetapi bermula daripada percayalah maka semuanya lesap
sekelip mata.
- Sindiket penipuan berlaku dalam mencari pekerjaan, pemerdagangan manusia, pelacuran, dadah dan juga di internet.
- Sejak kebelakangan ini yang ketara berlaku ialah berkaitan dengan
pelaburan. Siapa yang tidak mahu melabur dan mengaut keuntungan berlipat
ganda? Semua orang memikirkan hendak cepat senang dan bertambah mewah.
- 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran', menimpa
nasib seorang Datuk yang ditipu RM500,000 dengan dijanjikan pulangan
RM200 juta terkandas di Amsterdam apabila lelaki yang baharu dikenalinya
telah menghilangkan diri.
- Kalau difikirkan, Datuk berkenaan yakin dalam pelaburan ini kerana
kenal lelaki itu melalui rakannya. Semestinya selamat, tidak ragu tetapi
masalahnya di dunia hari ini, wang akan mengaburi hati nurani manusia.
- Satu lagi kes, kerana percaya kepada kawan sejak dari bangku sekolah
yang bergelar Datuk, seorang warga emas kerugian hampir RM500,000 akibat
ditipu selepas geran tanah miliknya ditukar milik tanpa pengetahuannya.
- Keyakinan beliau untuk meminta bantuan rakannya membantu memecah lot
tanah kepada anak-anaknya akhirnya penama milikan tanah telah ditukar
milik sendiri tanpa persetujuannya.
- Dikaitkan tentang kepercayaan dalam pembahagian harta dalam sebuah drama bersiri Hong Kong bertajuk Will Power
yang baharu habis siarannya berkisar tentang kuasa undang-undang dan
peranan peguam yang menjaga wasiat dan perlu menyimpan seribu rahsia
yang diamanahkan kepadanya.
- Di akhir cerita, salah seorang peguam yang menyatakan mengapa perlu
rebut harta. Bukankah lebih baik hati nurani didepankan. Bukankah saling
percaya lebih baik kerana yang paling penting, "Kita adalah satu
keluarga"?
- Semuanya telah dirancang awal kerana yang hendak menipu tetap ada
niatnya. Kasihan pula memikirkan nasib lebih 30 warga emas dan ibu
tunggal yang tinggal di kawasan pedalaman dipercayai ditipu seorang
lelaki yang menyamar ada kuasa politik dan meminta bayaran RM50 yang
dijanjikan mendapat rawatan percuma.
- Kes penipuan di internet sering berlaku kebelakangan ini. Menurut
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor ACP Chong Mun
Phing, kes penipuan perbankan dalam talian di Selangor meningkat apabila
173 kes dicatatkan sejak awal tahun ini. Pengguna dan pemegang akaun
bank online dinasihatkan berhati-hati dengan penjenayah siber.
- Kita tahu kes penipuan tidak dapat diselesaikan apabila melibatkan
transaksi yang sukar dikesan. Banyak kes sindiket penipuan yang turut
melibatkan pukau apabila kita tidak sedar melakukan segala proses
pemindahan wang. Apa yang dikesalkan ialah banyak kes penipuan yang
terlepas begitu sahaja.
- Sebenarnya, kita acap kali dengar dan baca tentang kes-kes penipuan
namun, mengapa masih lagi berlaku kes penipuan setiap hari. Adakah kita
juga harus menyalahkan diri sendiri apabila kita terlalu percaya, baik
hati dan lurus dalam menangani situasi apabila ditawarkan hadiah menarik
dan lumayan.
- Adakah kita mula bersifat tamak apabila dijanjikan wang berlipat
berganda yang akhirnya menjerat diri kita sendiri? Saya merasakan, kita
perlu ada perasaan was-was dalam setiap tindakan yang akan dilakukan
walaupun kita sangat percaya seseorang dan ada kalanya katakan "tidak"
adalah lebih baik. Ini kerana luka ditipu orang yang paling kita
percayai adalah luka parah yang tidak akan sembuh selamanya.
- Kepercayaan sesama insan makin luntur kerana bukan sahaja kes
penipuan berlaku di alam maya oleh orang tidak dikenali hinggalah kepada
orang yang kita kenal rapat pun sanggup menipu dan menikam dari
belakang.
- Kawan yang dikenali menipu kita, tidak termasuk kalau kita bercakap
tentang yang mempunyai tali persaudaraan. Adik beradik pun sanggup
menipu sesama mereka kerana wang dan kuasa.
- Adakah semua itu penting untuk menjamin kebahagiaan jika wang
diperoleh dari jalan yang salah dan tidak berkat. Persoalannya, sampai
bila orang yang hobinya menipu akan terlepas. Di dunia mungkin terlepas
tetapi tidak di akhirat. Fikir-fikirkan. Salam 1Hati.-- DR. JESSICA ONG HAI LIAW, Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment