Wednesday 16 January 2013

SYABAS dihujani pelbagai tuduhan liar berkaitan gangguan bekalan air di Kuala Lumpur





  • Kuala Lumpur: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dihujani pelbagai tuduhan liar pembangkang berikutan gangguan bekalan air di sekitar ibu kota akibat kerosakan rumah pam Wangsa Maju pada 29 Disember lalu.
  • Sehubungan itu, SYABAS membuat penjelasan berkaitan tuduhan itu kerana ia telah mengelirukan orang ramai.  Antara tuduhan-tuduhan tersebut ialah; 
  • 1) Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuduh SYABAS tidak menyelenggarakan sistem Variable Speed Drive (VSD) di rumah pam Wangsa Maju secara berkala (periodically preventive maintenance) kerana mendapati SYABAS tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pembekal VSD. 
  • Dakwaan ini tidak benar kerana kerja penyelenggaraan di rumah pam itu dibuat secara berkala dan dibuat oleh kakitangan SYABAS setiap bulan. Dalam hal ini, jika ada keperluan mendapatkan khidmat pakar termasuk alat ganti, syarikat berkenaan akan melantik pembuat dan pembekal VSD iaitu ABB Malaysia Sdn. Bhd. berdasarkan keperluan. Malah jadual penyelenggaraan juga di hantar kepada SPAN. 
  • 2) Abdul Khalid juga mendakwa insiden `pump tripped’ bukan disebabkan kegagalan VSD kerana ia adalah sistem pintar yang menerima maklumat dari luar seperti keadaan motor, pam, getaran, suhu dan lain-lain. 
  • Dakwaannya itu tidak benar kerana sistem VSD adalah sebahagian komponen penting sistem rumah pam, justeru insiden 'pump tripped' juga mempunyai kaitan dengan operasi VSD. Jika mana-mana komponen sistem mengalami kerosakan akibat sistem ini yang telah beroperasi melepasi kapasiti (overload), maka VSD tidak boleh dihidupkan. 
  • 3) Menteri Besar Selangor juga mendakwa alat gantian pada sistem pam boleh didapati dari China dengan menggunakan perkhidmatan ’courier’ dan bukan hanya dari Finland seperti yang didakwa SYABAS. 
  • Dalam hal ini, SYABAS telah dimaklumkan secara lisan oleh pembekal berkenaan bahawa alat ganti diperolehi dari Finland. Dalam kes ini, ada alat ganti mengambil masa dua setengah bulan diterima. 
  • 4) Abdul Khalid juga menuduh SYABAS gagal kenalpasti kerosakan pam dan ada yang rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki. 
  • Punca sebenar kegagalan rumah pam Wangsa Maju adalah disebabkan ia beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti dalam tempoh yang lama. Situasi itu menyebabkan kerosakan komponen elektrik dan elektronik.
  • Terdapat dokumen yang merekodkan aktiviti di rumah pam termasuk kerja penyenggaraan yang dilaksanakan. Salinannya telah  diserahkan kepada Jawatankuasa Khas SPAN yang mengaudit kerja penyelenggaraan rumah pam itu.
  • Sementara itu, pam No. 2 di Wangsa Maju sering rosak pada sistem VSD. Setiap kali berlaku kerosakan, kerja pembaikan dibuat oleh pihak syarikat ABB yang memiliki kepakaran.
  • Namun ia tidak dapat bertahan lama apabila kerosakan berulang dan sistem pam tidak berada dalam keadaan stabil kerana beroperasi melebihi kapasiti.
  • Proses pembaikan dibuat berulang kali dan mengambil masa lama. Dalam tempoh itu, rumah pam itu masih mengeluarkan air melebihi seperti biasa bagi menampung permintaan pengguna. 
  • 5) Menteri Besar mendakwa bahawa sepanjang tahun 2012, hanya 18 hari sahaja pam pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari (JLH). 
  • SYABAS menafikan dakwaan ini kerana mempunyai rekod menunjukkan bahawa beberapa pam di Wangsa Maju beroperasi melepasi 200 JLH sebanyak 2,023 kali sepanjang tahun 2012 dan bukan 18 hari seperti didakwa Menteri Besar Selangor. 
  • 6) Abdul Khalid juga mendakwa beliau mengetahui kerosakan rumah pam Wangsa Maju dan pernah menegur SYABAS lebih awal, namun tindakan tidak dibuat.
  • Dakwaan itu tidak benar kerana kerajaan negeri Selangor tidak pernah mengeluarkan sebarang teguran kepada SYABAS, samada bertulis ataupun lisan. 
  • 7) Menteri Besar Selangor juga mendakwa permohonan SYABAS membangunkan sistem pengepaman tambahan baru di Wangsa Maju dibuat pada November tahun lepas dan disokong kerajaan Selangor awal tahun ini. 
  • Dakwaan  itu juga tidak benar kerana cadangan pembangunan sistem pengepaman tambahan di Wangsa Maju telah dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Jun 2009 diikuti dengan cadangan yang sama dimajukan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada bulan Jan 2010.
  • Namun tiada maklumbalas diterima sehingga bulan Mac 2012 apabila Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk meluluskan cadangan ini dan memberikan pinjaman kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi membiayai projek pembinaan rumah pam tambahan ini yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
  • Dari bulan Mac 2012 sehingga hari ini, pembangunan sistem pam tambahan oleh Kerajaan Negeri Selangor masih di tahap rekabentuk. 
  • 8) Menteri Besar Selangor juga dakwaan SYABAS memberi alasan tidak cukup duit untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik sedangkan rakyat Selangor tidak mahu kenaikan tarif air. Kerajaan Negeri menurutnya bersedia membaiki kerosakan rumah pam jika SYABAS tiada wang dan keupayaan. 
  • SYABAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa pihaknya tidak ada wang untuk membaiki pam itu. Ia adalah rekaan Menteri Besar sendiri. Apa pun jika kerajaan negeri Selangor selaku pemegang saham 30% dalam SYABAS ingin menyediakan dana penyelenggaraan alat di rumah pam SYABAS, cadangan ini amat dialu-alukan. 
  • 9) Exco Selangor Xavier Jayakumar mendakwa kelalaian SYABAS adalah pure negligence, criminal in nature dan  menganggap gangguan bekalan air sebagai tindakan sabotaj SYABAS bagi memburukkan imej Kerajaan Selangor. Menurutnya lagi, SYABAS tidak mampu membekal air kepada rakyat dan mahu menaikkan tarif demi keuntungan. 
  • Sementara itu ADUN Teratai, Janice Lee juga menuduh bahawa isu air dimainkan media Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. 
  • SYABAS menyangkal semua dakwaan di atas kerana:
  • Kerosakan rumah pam Wangsa Maju disebabkan ia beroperasi melebihi kapasiti sejak beberapa tahun lalu bagi memenuhi permintaan bekalan air.
  • Isu kekurangan air terawat telah lama dimaklumkan kepada kerajaan Selangor, diketahui umum dan sering menjadi polemik. Kerajaan Selangor mengakuinya dan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sejak bulan Julai 2012 dan juga cadangan membina loji air dengan teknologi membran dan mengoperasikan semula loji air Bukit Jelutong. Oleh itu, tidak timbul isu gangguan bekalan air ini adalah sabotaj SYABAS. 
  • Isu kenaikan tarif yang diperuntukan dalam Perjanjian Konsesi SYABAS (walaupun sehingga kini kenaikan tarif masih ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri) merupakan isu berasingan yang tidak berkaitan dengan kekurangan bekalan air terawat yang perlu ditangani oleh Kerajaan Negeri dengan menambah kapasiti loji rawatan air. SYABAS hanya mengagih bekalan air yang dibekal oleh operator loji rawatan air yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
  • Isu SYABAS sengaja mencipta krisis tidak timbul kerana tidak ada seorang pun yang waras tergamak melakukannya, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kepentingan orang ramai. Ia juga tidak logik kerana SYABAS mengeluarkan kos yang tinggi bagi menguruskan bekalan air alternatif kepada pengguna. SYABAS juga mempunyai rekod bagi menyokong kenyataan tentang kekurangan bekalan air terawat. SYABAS telah menghantar maklumat  kepada Kerajaan Negeri Selangor menerusi audit yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan juga kepada wakil-wakil Kerajaan Negeri yang berada dalam Lembaga Pengarah SYABAS. 
  • 10) Xavier juga mendakwa pembekalan dan agihan air adalah tanggungjawab SYABAS dan bukan Kerajaan Negeri seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Konsesi dan Kerajaan Negeri.
  • SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa:\
  • Tanggungjawab SYABAS yang diperuntukan dalam Perjanjian Konsesi adalah mengagihkan air terawat kepada pengguna dan mengutip caj bekalan air daripada pengguna berdasarkan tarif yang digazetkan oleh Kerajaan. 
  •  Air terawat dijual dan dibekalkan oleh operator loji yang telah dilantik oleh Kerjaan Negeri termasuk SPLASH, Konsortium Abass dan Konsortium Air Selangor yang mana Kerajaan Negeri Selangor mempunyai saham di dalamnya. Oleh itu, SYABAS tidak menentukan kapasiti loji rawatan air. 
  •  Dari aspek penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti dan pembangunan baru sistem infrastruktur agihan air yang dikategorikan sebagai program CAPEX  tertakluk kepada kelulusan SPAN yang merujuk kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Program itu dibekukan atas arahan Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008. Ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor telah menghalang SYABAS daripada menjalankan usaha itu. 
  •  Bagi memastikan operasi berjalan seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kenaikan tarif air perlu diselaraskan. Tetapi ia ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. SYABAS tetap mengurus operasi tanpa kompromi. Kekangan dihadapi dari pelarasan tarif hanya menyebabkan SYABAS terpaksa menangguhkan sebahagian pembayaran kos belian air dari operator loji. 
  •  Tidak wajar bagi Kerajaan Negeri yang memegang 30% ekuiti menggalakkan pengguna memfailkan saman terhadap SYABAS sedangkan kekangan yang dihadapi oleh SYABAS adalah disebabkan oleh halangan Kerajaan Negeri meluluskan projek-projek di bawah program CAPEX. 
  • 11) Xavier juga mendakwa isu air berlaku disebabkan keangkuhan SYABAS kerana tidak menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan lori tangki dari PBT  tetapi SYABAS meminta bantuan dari syarikat bekalan air daripada luar Selangor. 
  • SYABAS ingin menegaskan bahawa dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, perkara ini telah dibincang dan dibentangkan.
  • SYABAS telah maklumkan bantuan yang diperlukan bagi meringankan beban pengguna, namun bantuan yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Kerajaan Negeri Selangor menghantar bantuan 4 buah lori tangki pada 5 Januari, selepas 6 hari kejadian berlaku.
  • Selepas itu kerajaan negeri mengantar bekalan di antara 2 hingga 10 lori sehari. Penghantaran itu bukan saja tidak konsisten malah tidak menyeluruh. Lebih parah lagi mereka tidak menyediakan sukarelawan dan petugas untuk membantu mengangkat air ke rumah pengguna.
  • Sebagai sebuah negeri yang besar seperti Selangor sepatutnya lebih ramai petugas sukarelawan dan bantuan lori tangki dapat di sediakan. Malahan sebahagian lori yang digunakan juga tidak menepati piawaian kualiti air yang ditetapkan dan tidak sesuai digunakan untuk membekalkan air. 
  • 12) Ahli Parlimen Sepang, Zuraidah Kamaruddin mendakwa SYABAS tidak ada perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan yang lebih efektif dan pengurusan berwibawa. 
  • SYABAS menafikannya kerana program penyenggaraan berkala rumah pam adalah sebahagian daripada program penyenggaraan tahunan seperti termaktub dalam Perjanjian Konsesi SYABAS. Status kerja-kerja penyenggaraan dimajukan setiap enam bulan kepada SPAN.
  • Bagi kerja menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan pembangunan baru infrastruktur sistem agihan yang melibatkan program CAPEX, syarikat itu telah dihalang daripada melaksanakannya. SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja kritikal saja serta penyelenggaraan rutin, itupun selepas mendapat kelulusan SPAN.
  • Dalam situasi ini SYABAS seolah-olah terikat tangan dan tidak banyak yang mampu dilakukan akibat arahan pembekuan ini. 
  • 13) Menteri Besar Selangor turut mendakwa gangguan bekalan air membuktikan kegagalan projek penswastaan kepada syarikat yang tidak layak.
  • SYABAS bertegas bahawa gangguan bekalan air adalah disebabkan kegagalan rumah pam yang telah beroperasi secara ‘overloaded’ dalam tempoh yang panjang, sementara menunggu bekalan tambahan yang belum disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
  • Kerajaan Negeri tidak mahu menerima hakikat bahawa Selangor mengalami kekurangan air terawat berbanding permintaan yang meningkat.
  • 14) ADUN Teratai, Janice Lee mendakwa krisis air menunjukkan ketidakupayaan Puncak Niaga dan SYABAS menguruskannya. 
  • SYABAS menegaskan bahawa Kerajaan Selangor telah dimaklumkan sejak 2005 lagi bahawa permintaan air terawat di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat pada kadar 3.5% setiap tahun.
  • Pengeluaran air dari loji sedia ada tidak mencukupi dan ada beberapa loji beroperasi melepasi kapasiti rekabentuk.
  • Keadaan bertambah buruk apabila rezab bekalan air hanya 1% saja. Kerajaan Negeri bertanggungjawab menambah kapasiti rawatan air manakala di bawah perjanjian konsesi, SYABAS hanya mengagih air kepada pengguna berdasarkan kuantiti yang dibekalkan oleh operator loji. 
  • 15) Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin mendakwa SYABAS tidak mempunyai `back-up plan’ dan pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini. 
  • Dakwaan itu tidak berasas kerana ‘back-up’ bekalan air wujud dengan adanya kapasiti rezab bekalan air terawat yang mencukupi. Pada masa ini, rezab bekalan hanya sekitar 1%, jauh lebih rendah daripada paras selesa industri bekalan air (20%).
  • Tanggungjawab menyediakan rezab bekalan air terawat sepatutnta ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor, bukannya SYABAS. Situasi di Gombak dan Kuala Lumpur boleh dielak jika bekalan air terawat mempunyai rezab kapasiti mencukupi.
  • SYABAS telah menjalankan tugasnya seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi. Namun dalam keadaan tertentu, ia  tidak dapat mengelak daripada menghadapi masalah yang mengakibatkan syarikat itu tidak dapat menjalankan tugas dengan berkesan.
  • Ini berlaku apabila ada pihak lain tidak menjalankan tanggungjawabnya.  Misalnya jika berlaku pencemaran sungai akibat tumpahan minyak dan loji loji rawatan terpaksa berhenti operasinya, SYABAS tidak dapat menyalurkan air kepada pengguna.
  • Namun sebagai memenuhi tanggungjawabnya SYABAS terpaksa membekalkan air menerusi lori tangki bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. Namun demikian bukan tugas SYABAS untuk membersihkan sungai dari tumpahan minyak atau memastikan sungai tidak tercemar.
  • Ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri Selangor.  Oleh itu adalah tidak adil meletakkan kesalahan ini kepada SYABAS jika dalam isu gangguan bekalan air ini jika ia berpunca daripada kegagalan Kerajaan Negeri menjalankan tanggungjawabnya.
  • Semasa krisis air berlaku,  Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan oleh SYABAS pada 29 Desimber 2012. Pelan ERP ini yang beroperasi 24  jam adalah sekretariat memantau dan mengurus bekalan bantuan air kepada pengguna yang tidak menerima bekalan air.
  • Sebanyak 86 lori tangki dengan 2,891 penghantaran telah dilakukan dan 287 tangki statik dibekalkan di kawasan terbabit.
  • Kerajaan Negeri Selangor perlu memikirkan soal kesejahteraan, kebajikan rakyat dan meluluskan program yang dicadangkan oleh SYABAS.
  • Sikap menyalahkan SYABAS tanpa menghulur bantuan sewajarnya sebagai kerajaan adalah umpama 'baling batu sembunyi tangan'.  Tindakan kerajaan negeri Selangor menghalang program menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan menjalankan projek baru sistem agihan bekalan air menerusi pembekuan modal adalah tidak wajar.
  • Selain itu, kerajaan Selangor juga menghalang kenaikan tarif tetapi pada masa yang sama melemparkan tuduhan SYABAS tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menaik taraf sistem bekalan air sedangkan apa yang berlaku ialah Kerajaan Negeri sendiri menghalang program naik taraf dan menangguhkan kenaikan tarif.
  • Di samping itu, kerajaan negeri Selangor hanya berminat menuding jari dan menyalahkan SYABAS tanpa tindakan menyelesaikan isu itu.
  • SYABAS telah pun memajukan cadangan dan mendapatkan kelulusan untuk membuat satu paip pintasan (bypass) untuk membawa air ke kawasan yang terganggu bekalannya di Kuala Lumpur. Kerja pintasan ini telah dilaksanakan mengikut kaedah ‘fast track’ dan telah siap dan mula beroperasi.
  • Seterusnya, bekalan air telah mula disalurkan melalui pintasan tersebut ke kawasan-kawasan AU3 dan kawasan di Kuala Lumpur yang terjejas. Setakat hari ini, semua kawasan di Gombak telah menerima bekalan air, sementara di kawasan lain 95% kawasan telah menerima bekalan.
  • Pintasan ini sebenarnya tidak perlu dibuat jika projek Langat 2 dilaksana mengikut jadual ataupun rumah pam tambahan yang Kerajaan Negeri sendiri setuju untuk bangunkan pada bulan Mac 2012 dilaksanakan dengan lebih cepat dan bukan pada peringkat rekabentuk sahaja selepas sembilan (9) bulan berlalu
  • Sebagai langkah sederhana sementara menunggu rumah pam tambahan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, SYABAS juga bercadang untuk melakukan kerja menaiktaraf (upgrading) di rumah pam sedia ada di Wangsa Maju ini.
  • Kertas cadangan untuk kerja ini telah pun dihantar kepada pihak SPAN untuk kelulusan. SYABAS juga berharap Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan menambah kapasiti bekalan air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini.
  • SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sendiri. – Daripada R. V. Subramaniam.