Saturday 4 April 2015

JJ maut selepas hadir perkahwinan anak PM

Serpihan helikopter terhempas di Sungai Lalang Semenyih
  • Tan Sri Jamaluddin Jarjis adalah antara enam terkorban selepas helikopter mereka naiki terhempas di Semenyih, petang tadi, manakala Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan semua mayat sudah ditemui.
  • Beberapa media perdana melaporkan, selain Jamaluddin terdapat lima lagi penumpang antaranya ahli perniagaan Datuk Robert Tan dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.
  • Turut terbunuh juruterbang helikopter Kapten Cliff Fournier, pemilik Chempaka Aviation, Ajdiana Baiziera dan pengawal peribadi, yang dikenal pasti sebagai Raskan.
  • Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Jamaludin terbunuh dalam nahas udara itu.
  • Sumber mengatakan helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB), dikatakan terbakar sebelum terhempas.
  • Semua mangsa nahas itu dikatakan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di Pekan, Pahang. Helikopter itu dikatakan terbang ke Subang dari Kuantan.
  • Manakala jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang tadi.
  • Berikutan itu, sebanyak tiga pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kajang, Bangi dan Semenyih diarah ke lokasi kejadian.
  • Sementara itu jurucakap pasukan penyelamat JPAM berkata, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang. Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu. - Laporan Crime Team

Rukun Negara pupus jika Pakatan Rakyat memerintah


  • Jika Pakatan Rakyat memerintah, yang hampir pasti menghadapi perubahan, jika tidak kepupusan, ialah Rukun Negara. Ini kerana belum pun berkuasa barisan pembangkang itu sudahpun mempamerkan sikap tidak hormat pada lima prinsip asas membina bangsa Malaysia yang  bersatu.
  • Dalam kemaruk untuk menegur, mengkritik dan menyerang kerajaan Barisan Nasional hari ini, secara wewenang dan atas pertimbangan politik semata-mata pembangkang nampaknya kerap bertindak menggugat prinsip-prinsip luhur rukun itu.
  • Perlakuan dan tindakan yang bertentangan dengan semangat Rukun Negara itu dipamerkan dengan galak tidak kira di dalam persidangan Dewan Rakyat dan dewan-dewan undangan negeri mahupun di khalayak ramai.
  • Malah kegiatan melepaskan dendam politik  yang terbuku di hati tanpa tapisan nilai-nilai murni yang dimaktubkan Rukun Negara ala Pakatan Rakyat ini semakin meluas dihamburkan dalam medan media sosial.
  • Rukun Negara yang seharusnya menjadi pengikat rasa muhibbah di kalangan rakyat dan merentasi perbezaan budaya, agama dan bangsa mutakhir seolah-olah diinjak oleh kegilaan berpolitik.
  • Mukadimah Rukun Negara disusun begitu sopan dan rapi dan bermula dengan pernyataan “Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita:

  1. Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
  2. Memelihara satu cara hidup demokratik;
  3. Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  4. Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
  5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
“Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN;
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA;
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN;
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG;
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN
  • Rukun yang mula-mula tumpas pada kegelojohan berpolitik oleh pembangkang ini ialah prinsip kesopanan dan kesusilaan. Malah turut tercemar ialah Rukun Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
  • Gejala ini dapat disaksikan pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Perak Selasa lalu. Wakil-wakil rakyat pembangkang sengaja memakai serba hitam untuk menzahirkan protes politik mereka.
  • Mereka marah terhadap cara kerajaan Barisan Nasional mengurus negara. Radang tercetus kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara dan kegagalan mereka menghalang penguatkuasaan sistem percukaian GST.
  • Pembangkang dalam Dewan Undangan Perak juga sengaja melanggar istiadat Dewan dengan berpakaian serba hitam kerana memprotes penahanan dua Adun Perak yang terbabit dalam tunjuk perasaan #Kitalawan di Kuala Lumpur.
  • Mereka juga membantah keputusan mahkamah yang memenjarakan ahli-ahli PAS yang cuba menghalang upacara angkat sumpah Dr Zambry Kadir sebagai menteri besar Perak pada 2009.
  • Bagaimanapun yang jelas tercela ialah Sultan Nazrin Muizuddin Shah. Ini adalah pertama kali baginda menyarung persalinan diraja untuk memuliakan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri.
  • Sultan Nazrin memang masyhur sebagai seorang cendekiawan berhemah dan sopan berinteraksi dengan rakyat. Bagaimanapun secara langsung atau tidak, kedudukan baginda sebagai Sultan Perak dicela oleh wakil-wakil rakyat pembangkang dengan “berkabung” dalam majlis baginda.
  • Sewajarnya apa jua perbezaan pandangan di antara ahli-ahli politik seharusnya diselesaikan di kalangan mereka secara beradab dan bukan cuba mencuri publisiti politik dalam istiadat yang membabitkan Sultan.
  • Dengan sengaja melanggar etika dan protokol di raja, ahli-ahli pembangkang itu mengguris kemuliaan Sultan dan menyinggung Rukun Negara yang dilakar dan dipersetujui sebagai salah satu sendi penting pembentukan bangsa Malaysia.
  • Lantaran taksub pada tuntutan politik mereka, soal kesopanan dan susila sebagai pemimpin langsung dilempar ke sisi. Tindakan itu menunjukkan tiada sekelumitpun rasa hormat pada institusi Raja yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.
  • Natijahnya, Sultan Perak yang jelas tersinggung, terus meninggalkan dewan sebaik sahaja selesai menyampaikan titah baginda tanpa menghadiri majlis bergambar dengan wakil-wakil rakyat dan menyertai santapan di raja.
  • Negara Malaysia berdiri di atas tonggak tiga institusi utama – eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini membentuk, memperkasa dan langsung mendaulatkan undang-undang negara.
  • Bagaimanapun dirangsang persepsi negatif terhadap wibawa dan integriti badan kehakiman yang dirasuk oleh kepentingan politik meluap-luap, ada pemimpin pembangkang tergamak membawa usul supaya Dewan Rakyat mencela badan kehakiman secara rasmi.
  • Sesungguhnya ini adalah pemikiran dan amalan politik yang biadap. Sekaligus ia meremeh dan menghina sistem kenegaraan Malaysia. Lantas tidak hairanlah jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, Rukun Negara yang dilembagakan sebagai pengikat muhibah di antara rakyat akan terlerai.
  • Tanpa rasa hormat dan pemikiran santun mengatur pembentukan bangsa Malaysia berpekerti tinggi seperti yang dipandu oleh Rukun Negara tidak mustahil Malaysia porak peranda dan liar kerana pemikiran biadap Pakatan Rakyat. – Oleh: Lokman Ramlee


Harga gas masak naik, banyak lagi `on standby’

  • Khabarnya harga gas memasak telah dinaikkan gara-gara GST walaupun ia disahkan bebas cukai. Banyak lagi barangan keperluan harian `on standby’ untuk dinaikkan oleh peniaga nakal menerusi pakatan licik dan terancang.
  • KPDNKK pasti dapat mengesan kegiatan itu kerana banyak aduan sudah dibuat terutama di selatan Semenanjung. Laman Twitter dan FB juga sudah dimaklumkan, hanya menunggu pihak berkuasa memburu peniaga terbabit.
  • Entah bila golongan peniaga nakal ini akan dikenakan tindakan tak tahulah kerana 25,000 aduan diterima KPDNKK pada hari pertama pun belum banyak yang sempat ditinjau. Mungkin aduan awam pada hari kedua, ketiga dan seterusnya belum sempat dibuka untuk semakan.
  • Jelasnya kebanyakan peniaga dilihat tidak peduli dengan GST. Bertindak seperti pasaran saham dan komoditi, mereka akan menaikkan harga berdasarkan pengumuman kerajaan, perubahan situasi ekonomi, mata wang dan spekulasi.
  • Berbeza dengan bursa yang sentiasa mengalami turun naik harga, masyarakat peniaga mengamalkan dasar TIDAK BOLEH TURUN harga. Contohnya, pada tarikh kenaikan harga petrol, peniaga sudah siap menampal stiker harga baru barangan masing-masing.
  • Namun apabila harga petrol turun mengikut pasaran global, selepas didesak kerajaan dan persatuan pengguna lebih dua bulan, tak sampai LIMA PERATUS daripada hampir SATU JUTA peniaga bertindak menurunkan harga barangan dan perkhidmatan masing-masing.
  • Kini GST muncul dengan penuh bergaya pada 1 April 2015. Pada hari pertama saja lebih 25,000 aduan telah dibuat dan kelambatan menyelesaikannya telah mengakibatkan Timbalan Perdana Menteri menegur KPDNKK supaya mempercepatkannya.
  • Maka KPDNKK dan Jabatan Kastam Diraja mula mencari helah untuk melepaskan diri daripada dibelasah orang ramai sambil memberi jaminan awam bahawa kekusutan GST akan diatasi dalam tempoh enam bulan.
  • Aduhai, luluh hati rakyat apabila mendengar alasan menyiksakan itu tapi rakyat tetap rasional dan tabah meranduk kehidupan yang serba sulit dan maha kelam kabut.
  • Peniaga ketawa besar dengan suasana kelam kabut sebegini. Lagi banyak mereka menekan harga. Ada yang mendakwa harga barangan tinggi sedikit kerana GST sudah diserapkan di dalamnya.
  • Ada peniaga yang tidak daftar dengan Jabatan Kastam tetapi mahu kenakan GST juga. Ada juga peniaga yang mencatat GST dengan tulisan tangan pada resit yang dibeli di supermarket kerana kedainya tak ada komputer.
  • Kalangan syarikat Telco pula mula `temberang’ dengan berkata harga akan kekal tinggi tetapi mereka akan memberi tambahan masa berbual, sms dan sebagainya yang sekadar dengan GST.
  • Terbaru, harga gas masak pun dinaikkan di beberapa kawasan di seluruh Malaysia. Peniaga tidak peduli amaran KPDNKK dan aduan pengguna. Mereka kata kedai mereka kena bayar GST dan untuk itu harga gas masak mesti naik juga.
  • Tinjauan persatuan pengguna mendapati, gas memasak dinaikkan kepada RM29 hingga RM31 berbanding harga sebelum ini iaitu RM26.60 satu tong.
  • Peniaga kedai runcit lagi caca marba. Semua harga di dalam kedai mereka dinaikkan tanpa diketahui pengguna kerana urusan jual beli tidak mengunakan resit. Pengguna juga tidak larat bertanya harga bawang, sayur, tempe, ikan, pecal dan lain-lain setiap kali mereka membeli di kedai berkenaan atau setiap kali pekedai membuat timbangan.
  • Akhirnya pengguna melenting dan menyalahkan kerajaan kerana melaksanakan dasar baru yang menyusahkan mereka, hingga ada yang sanggup memangkah parti DAP pada PRU14 semata-mata kerana GST.


Rundingan air Selangor dijangka gagal hingga 2020


  • Benarkah rundingan air Selangor sengaja digagalkan hingga 2020 bagi membolehkan Pakatan Rakyat (PR) mengambil semula 31 loji rawatan air (LRA) yang diswastakan, termasuk 29 loji milik Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) tanpa perlu membayar satu sen pun.
  • Ini kerana hampir semua LRA kendalian PNSB akan tamat tempoh pada 2020. Syarikat milik Tan Sri Rozali Ismail itu memegang lima konsesi air dengan kerajaan Selangor, mengurus dan mengendalikan 29 LRA dengan kapasiti penghasilan air bersih sebanyak 1,930 juta liter sehari.
  • Penganalisa ekonomi melihat jika perjanjian air yang dimeterai pada September 2014 ditunaikan, kerajaan Selangor terpaksa berbelanja RM9.65 bilion ringgit untuk membayar imbuhan kepada PNSB, Splash dan Konsortium Abbas.
  • Lalu bagaimanakah cara untuk tidak membayar satu sen pun kepada mereka? Beberapa penganalisa ekonomi berpendapat MB Selangor, Mohamed Azmin Ali dikatakan sengaja menangguh perlaksanaan perjanjian itu dengan memberi tujuh alasan teknikal yang telah disepakati oleh pemimpin tertinggi PR.
  • Ini penting kerana jika perjanjian itu tertangguh sehingga 2020, hampir semua loji rawatan air di seluruh Selangor dapat diambil balik secara PERCUMA kerana loji-loji itu sudah tamat tempoh konsesi. Mudahkan?
  • Dalam situasi lain, jika rundingan itu terus ditangguh seberapa lama yang boleh, nilai belian pasti menurun dari semasa ke semasa.
  • Sebaik saja Azmin menjadi MB, dia telah menggunakan kuasanya untuk membatalkan perjanjian itu. Tak sampai 24 jam kemudian dia memperbetulkan kenyataan dengan memberitahu bahawa kerajaan negeri akan meneruskan rundingan.
  • Namun keadaan semakin terbelit, dan menyedari kekusutan itu Sultan Selangor bertitah agar isu penstrukturan air MESTI segera dimuktamadkan.
  • Namun Azmin tetap berdegil dan rundingan baru selalu ditangguh dengan pelbagai alasan termasuk beliau sibuk berbahas di sidang DUN.
  • Pada masa yang sama jentera dan tentera berbayar PR berhujah dengan melontar pelbagai alasan di dalam media sosial bagi menutup keseriusan krisis air di Selangor akibat kecuaian pemimpin mereka melewatkan usaha penambahbaikan kemudahan perbekalan air.
  • Maka orang ramai semakin percaya bahawa kerajaan PR mahu menghalau semua syarikat konsesi air di Selangor tanpa mahu membayar satu sen pun kepada mereka? Kesannya, krisis air meruncing dan rakyat tersiksa dengan peperangan korporat di Selangor.
  • Krisis air Selangor bukan isu baru. Ramalan mengenai krisis air sudah dibuat sejak 2006 lagi dan ketika itu BN telah mengadakan pelan penyelesaian menyeluruh mengelakkan krisis ini.
  • Apabila PR mentadbir kerajaan negeri pada 2008 mereka mengetahui bahawa industri air di Lembah Klang dalam proses penstrukturan semula.
  • Dua agenda penting dalam penyelesaian ini ialah bekalan air mentah dari Pahang dan penstrukturan semula industri air di Lembah Klang di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
  • Ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mahu melaksanakan segera kerana beliau mahu menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik.
  • Lalu kerajaan PR Selangor memutuskan tidak memberi kebenaran merancang dan membina Loji Langat 2. Loji itu penting dalam memastikan kemapanan industri air di Selangor. Air mentah yang disalurkan dari Pahang akan diproses di loji ini. Tanpa loji ini, bekalan air mentah dari Pahang tidak berguna. Malangnya, Khalid tidak peduli semua itu.
  • Beliau telah melengahkan projek ini bagi meningkatkan kos pengurusan air dan memburukkan BN. Khalid secara terbuka beberapa kali menolak kajian yang menyatakan bahawa Lembah Klang akan berhadapan krisis air pada 2014. Beliau mengatakan Loji ini bukan keperluan segera. Paling awal krisis air akan berlaku ialah pada 2019.
  • Jadi apa yang Pakatan dakwa sebagai bencana alam kemarau yang menyebabkan krisis air ini hanyalah satu tindakan menyalahkan takdir bagi menyembunyikan kesalahan mereka.
  • Agenda kedua ialah penstrukturan semula industri Air Selangor melalui penggabungan syarikat-syarikat yang terbabit dalam industri ini. Khalid melenga-lengahkan kerana mahu menggunakan perjanjian air yang lama antara Syabas dan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mendapat keuntungan politik.
  • Khalid tahu bahawa melengahkan isu penggabungan ini akan membolehkan Syabas melaksanakan perjanjian kenaikan tarif air. Ini akan membolehkan beliau menyalahkan Syabas dan BN sebagai penindas rakyat yang mahu menaikkan tarif air, manakala beliau akan menjadi hero sebagai orang yang menghalang kenaikan tarif.
  • Lantaran tindakan tidak cermat Khalid itu akhirnya krisis air menjadi kenyataan. Selangor terpaksa mencatu air, manakala kerajaan Persekutuan terpaksa membantu rakyat Selangor dengan membelanja berjuta ringgit membuat pembenihan awan.
  • Menyedari kemarahan rakyat akan memuncak, Khalid bersetuju dengan pembinaan loji langat 2 dengan syarat kerajaan Persekutuan menyuntik RM2 bilion dalam menampung kos penstrukturan semula “pemain industri air Selangor”.
  • Kerajaan Persekutuan sedar masalah krisis air ini perlu diselesaikan kerana ia boleh menjejas ekonomi negara. Banyak industri akan terhenti jika krisis bekalan air berterusan dari semasa ke semasa tanpa penyelesaian yang tuntas.
  • Malangnya kerajaan PR Selangor enggan membantu menyelesaikan krisis itu sebaliknya sibuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan Persekutuan yang kononya hampir bengkrap, mahu merampas tanah kerajaan negeri.
  • Sambil itu Azmin `melalut’ dengan mendakwa disebabkan hutang 1MDB yang kononnya mencecah RM45 bilion, Putrajaya kini tidak ada wang untuk menyelesaikan perjanjian dan mahu aset tanah Selangor dijadikan sumber kewangan mereka.
  • Nasib baik, BN Permatang sempat menjelaskan kepada rakyat bahawa Azmin menganggap Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan LRA Semenyih adalah milik Selangor walhal kedua-duanya terletak di atas tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  • LRA Bukit Nanas dan LRA Semenyih itu hak Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Mengikut undang-undang siapa punya tanah maka aset yang ada padanya adalah miliknya. Sebab itu diminta dua aset ini dikeluarkan daripada senarai aset yang dikatakan hak kerajaan Selangor.
  • Apapun alasan Azmin, pemerhati ekonomi melihat penangguhan perjanjian air Selangor 2014 itu dikatakan ada kaitan dengan elemen `sabotaj’ yang sengaja dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.