Monday 3 March 2014

Perebutan kerusi MB Selangor - Episode 5

 
  1. PADA mulanya segala sandiwara politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampak sempurna dalam usaha menamatkan perbalahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
  2. Justeru perancangan politik ini disusun iaitu Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang. Kerusi itu akan ditandingi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila Penasihat PKR tersebut menang dalam pilihan raya kecil yang sengaja dirancang itu, beliau akan menggantikan Abdul Khalid.
  3. Anwar yang dianggap ahli politik paling strategik di negara ini melantik Abdul Khalid sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR bagi DUN Kajang. Malah Anwar sudah terbayang-bayang laluan beliau untuk menjadi Menteri Besar tidak akan menjadi masalah kerana Abdul Khalid akur dengan segala perancangan termasuklah meletakkan jawatan.
  4. Azmin pula banyak mendiamkan diri sama ada merajuk atau mungkin merasakan perancangan politik yang dilakukan oleh Anwar akan berjalan lancar.
  5. Namun bagaikan air yang tenang jangan disangka tiada buaya, diam-diam ubi berisi, itulah yang dilakukan oleh Abdul Khalid. Bermula dengan tersebarnya berita beliau menolak untuk menandatangani surat peletakan jawatan bertarikh 23 Mac hinggalah keputusan untuk mencabar Azmin dalam pemilihan PKR April nanti, ia membuktikan Abdul Khalid tidak mahu menjadi pak angguk kepada semua perancangan politik Anwar.
  6. Tindak balas yang dilakukan oleh Abdul Khalid itu dikatakan mengejutkan banyak pihak dalam PKR, malah beberapa Ahli Parlimen parti tersebut yang sebelum ini lantang mengkritik Menteri Besar Selangor itu mulai bimbang dengan situasi tersebut.
  7. Ia memandangkan sebelum ini di dalam PKR belum ada sesiapa yang dilihat berani untuk menyanggah perancangan politik Anwar, tetapi apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid cukup luar biasa dan tidak diduga sama sekali.
  8. Bukan kata pemimpin-pemimpin PKR lain, malah Anwar sendiri terkejut dengan tindak balas politik Abdul Khalid, ini memandangkan sebelum ini Abdul Khalid dilihat seolah-olah akur dengan perancangan politik Anwar.
  9. Dan paling mengejut apabila beliau menandatangani memorandum persefahaman dengan Kerajaan pusat berhubung loji air Langat 2," kata sumber parti itu kepada penulis ketika dihubungi kelmarin.
  10. Berdasarkan tindak tanduk yang dilakukan oleh Abdul Khalid, beliau seolah-olah mahu memberi isyarat kepada Anwar siapa paling berkuasa di Selangor dan beliau sama sekali tidak akan beralah dalam perbalahan politik dengan Azmin.
  11. Walaupun Abdul Khalid tahu apa yang dilakukan meletakkan kedudukan politik beliau dalam bahaya tetapi Abdul Khalid juga memahami beliau mempunyai kekuatan untuk tidak tunduk dengan apa sahaja kata Anwar.
  12. Abdul Khalid bukannya mengingkari arahan parti atau menentang parti tetapi beliau melakukan apa yang dirasakan betul. Ramai percaya beliau juga tidak bersetuju dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang kerana tiada sebab ia diadakan.
  13. PRK itu wujud hanya semata-mata perancangan Anwar untuk menjadi Menteri Besar dan secara halus mahu menyingkirkan Abdul Khalid yang berbalah dengan orang kesayangannya, Azmin.
  14. Kini saham Abdul Khalid dikatakan meningkat bukan sahaja di Selangor tetapi juga seluruh negara. Ahli-ahli PKR yang semakin bosan dengan percaturan politik yang segala-galanya ditentukan oleh penghuni Bukit Segambut menganggap Abdul Khalid membawa cahaya baru kepada parti tersebut.
  15. Sekurang-kurangnya mereka melihat ada dalam kalangan pemimpin PKR yang berani untuk menggugat percaturan politik Anwar seperti mana dilakukan oleh Abdul Khalid.
  16. Selama ini mereka hanya menonton bagaimana pemimpin-pemimpin PKR lebih banyak menjadi pengampu dan pembodek untuk Anwar. Apa sahaja tindak tanduk dan perancangan Anwar akan disokong, tetapi kali ini Abdul Khalid melakukan tindakan sebaliknya.
  17. Keberanian Abdul Khalid itu kerana merasakan tiada apa yang perlu beliau takutkan termasuklah dalam mencabar orang kesayangan Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Mei ini.
  18. Abdul Khalid tahu sama ada sebagai Ahli Parlimen, ADUN mahupun Menteri Besar tidak ada apa-apa kepincangan yang beliau lakukan sehingga ia boleh menjadi peluru kepada musuh politiknya sama ada di dalam atau di luar parti.
  19. Sebab itulah Abdul Khalid yakin beliau mampu mengatasi Azmin dan menegaskan selain menerima sokongan menggalakkan daripada rakan-rakannya dalam PKR, beliau turut menjangkakan kedudukannya lebih selesa berbanding Azmin kerana mempunyai kelebihan dari segi pengalaman serta prestasi dalam pelbagai bidang.
  20. "Semua pendekar masuk gelanggang, kalau rasa tidak menang, tak masuk. Saya ada kelebihan dari segi track record dalam semua bidang, saya juga jujur dan sangat berdedikasi. Yang lebih penting ialah saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak ada agenda peribadi."
  21. Itulah kata-kata yang menunjukkan keyakinan Abdul Khalid untuk terus mengharungi cabaran politik dalam PKR biar pun perlu melawan arus dengan perancangan politik Anwar.
  22. Dan Abdul Khalid juga memberi isyarat bahawa selain akan cuba menamatkan penguasaan Azmin di kerusi nombor dua PKR, beliau juga akan terus kekal menerajui Selangor, biarpun ketika ini bossnya Anwar ke hulu ke hilir, siang dan malam, subuh dan senja, malam dan dinihari di Kajang untuk menang kerusi DUN tersebut bagi membolehkan beliau menjadi Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid.
  23. Apakah mungkin Anwar akan membatalkan hasratnya untuk bertanding kerusi itu pada saat-saat akhir apabila melihat tindak balas politik Abdul Khalid?
  24. Sukar untuk diramalkan kerana dalam PKR segalanya berkemungkinan tetapi apa yang pasti Abdul Khalid sudah menegaskan, ‘‘Mereka menyatakan bahawa perlu seorang Menteri Besar yang bukan hanya mentadbir negeri tetapi juga berkhidmat kepada parti. Maka atas sebab itu, saya membuat pengumuman awal (tanding Timbalan Presiden)."
  25. Namun apa yang lebih menarik Abdul Khalid dilihat membawa angin perubahan dalam corak politik PKR, ia berani menyatakan yang benar biar pun pahit dan berani melakukan tindakan yang betul biar pun ada risiko politiknya.
  26. Walaupun Abdul Khalid bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan PKR di Kajang tetapi ia tidak bermakna beliau akan mengikut perancangan politik Anwar.
  27. Difahamkan, Abdul Khalid mendapat sokongan padu ramai pemimpin PKR termasuk di peringkat akar umbi. Mereka juga sependapat sesuatu perlu dilakukan bagi membawa perubahan politik dalam PKR.
  28. Tindakan Abdul Khalid biar pun bukanlah dirancang tetapi beliau melakukan tindakan yang betul dan selari dengan harapan pemimpin serta ahli PKR bagi tujuan tersebut.
  29. Tetapi jika semua ini hanyalah sekadar sandiwara PKR, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana itulah PKR - yang dulu, kini dan selamanya penuh drama politiknya – Zulkiflee Bakar