Friday 28 December 2012

Tan Sri Rozali ketuai misi kemanusiaan - Kor Pengendali Air 60 RAJD dan SYABAS salur bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur

Kor Pakar Pengendali Air 60 RAJD siap sedia membantu mangsa banjir
Tan Sri Rozali memunggah bekalan air mineral untuk keperluan mangsa banjir di Pantai Timur

  • KUALA LUMPUR: Pakar Pengendali Air dari 60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sekali lagi berganding bahu menjalankan misi kemanusiaan di pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.
  • Berikutan keadaan banjir yang dilaporkan semakin buruk di selatan Semenanjung, kira-kira 600 anggota RAJD di seluruh negara telah diarah berjaga-jaga dan bersedia untuk dikerahkan ke kawasan bencana di negeri masing-masing pada bula-bila masa.
  • Misi bantuan kemanusiaan dan menyalurkan bekalan air bersih kepada mangsa bencana banjir di Pantai Timur itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif SYABAS merangkap Kolonel (Kehormat) 60 RAJD di markas skuadron Selangor, Sungai Besi petang semalam.
  • Beliau berkata, matlamat utama misi bantuan itu adalah untuk menyahut seruan Kementerian Pertahanan Malaysia yang telah mengarahkan semua agensi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anggotanya untuk bersiap sedia digerakkan dan menyampaikan bantuan yang diperlukan.
  • Bagi merealisasikan matlamat itu, Tan Sri Rozali menjelaskan bahawa SYABAS dan 60 RAJD sentiasa siaga menggerakkan pasuka masng-masing dengan mengorak langkah menghantar 25 anggota pada peringkat permulaan. Anak beliau, Azlan Shah juga turut menyertai misi bantuan kemanusiaan dan bekalan air di Pantai Timur.
  • Katanya, penambahan anggota bantuan kemanusiaan akan dibuat oleh negeri-negeri lain jika keadaan banjir berterusan dan bertambah buruk.
  • Selain menyediakan bantuan kemanusiaan, SYABAS dan 60 RAJD turut membantu memberi bekalan air bersih kepada mangsa di kawasan yang terlibat.
  • Selain daripada itu sebanyak empat lori tangki air dan enam lori bagi mengangkut 6,000 botol minuman mineral secara berperingkat dan diletakkan dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.
  • Pasukan 60 RAJD juga siap sedia dengan `tangki air statik’ untuk dihantar ke kawasan bencana jika keadaan banjir berterusan.
  • Setakat ini SYABAS telah menghulurkan bantuan yang sama semasa kejadian banjir yang melanda Labis Johor dan Melaka pada 2011, Kedah dan Perlis pada 2010, Rompin pada 2007dan Tangkak, Johor pada 2006.
  • Bantuan yang bakal disalurkan ini adalah bagi memastikan semua mangsa banjir yang terlibat mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian, terutamanya untuk minum dan memasak semasa di pusat pemindahan.
  • SYABAS juga memaklumkan bahawa bantuan sumbangan yang bakal dihantar itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial SYABAS dan RAJD sebagai tanda keperhatinan dan bersama-sama turun  padang dengan masyarakat bagi membantu penduduk yang mengalami bencana.
  • Di RANTAU PANJANG, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akan diberi bantuan sebanyak RM500 bagi meringankan beban mereka.
  • Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan disalurkan sebaik sahaja mereka pulang ke rumah masing-masing dan arahan telah diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempercepatkan pemberian bantuan tersebut.
  • Selain itu katanya, mangsa banjir di negeri ini juga akan dipertimbangkan diberi bantuan lain di bawah tabung wang ihsan yang boleh digunakan untuk membaiki rumah, membeli pakaian dan makanan.
  • Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menasihatkan mangsa-mangsa banjir di negeri ini mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan sekiranya diminta berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian lebih buruk.
  • Beliau berkata, arahan tersebut bagi menjamin keselamatan mereka selain membolehkan pelbagai bantuan termasuk penjagaan kesihatan diberikan secara teratur di pusat-pusat berkenaan.
  • Malah katanya, penduduk yang masih enggan berpindah sepatutnya mengutamakan nyawa dan tidak bimbang berhubung keselamatan harta benda berikutan jaminan telah diberikan pihak keselamatan yang akan melakukan pemantauan berkala bagi mengelak kegiatan jenayah.
  • Azlan Shah Rozali turut serta dalam misi kemanusiaan
  • Dalam pada itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) yang bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Monday 17 December 2012

DAP mahu MELAYU ISLAM hidupMEREMPAT!!!


PM Jepun akui kalah pilihan raya dan akan letak jawatan




PM Jepun akui kalah pilihan raya dan akan letak jawatan
TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda semalam mengaku kalah dalam pilihan raya Parlimen negara ini dan akan meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokratik Jepun (DPJ).
"Saya akan meletak jawatan sebagai ketua DPJ kerana saya memandang serius keputusan (pilihan raya) ini.
"Oleh itu, saya mahu memohon maaf kerana saya gagal mendapatkan keputusan sebagaimana yang diharapkan," katanya pada sidang media.
Kenyataan Noda dibuat selepas stesen penyiaran NHK melaporkan, Parti Liberal Demokratik (LDP) memenangi antara 255 kerusi Parlimen dengan 95 kerusi masih tidak diketahui manakala DPJ hanya memenangi 39.
-Utusan

Friday 14 December 2012

Tabung Budi belanja RM300,000 bantu rakyat Selangor


Tabung Budi bantu rakyat Selangor
  • SABAK BERNAM: `Tabung Budi’ Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) membelanjakan hampir RM300,000 bagi membantu menyalurkan air kepada golongan kurang berkemampuan.
  • Pengurus Tabung Budi Peka Hashimah Che Mat Din berkata sebanyak RM297,021 dibelanjakan dari dana yang diterima tabung berkenaan bagi membiayai pembayaran tunggakan bil air, caj penyambungan, kos membaik pulih sistem perpaipan dalaman kepada penerima yang layak.
  • "Kos berkenaan turut meliputi pemasangan sistem bekalan air kepada penerima yang tidak mempunyai akuan bil air termasuk wang cagaran dan caj pemasangan," katanya.
  • Beliau berkata kos berkenaan dibelanjakan sejak 2010 untuk menyambung bekalan air kepada 370 keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai tunggakan bil sehingga menyebabkan bekalan air mereka dipotong.
  • Hashimah berkata Tabung Budi Peka akan menanggung bayaran bil selama enam bulan dan memantau penggunaan air penerima tabung itu bagi memastikan mereka tidak membazir atau menyalah guna kemudahan berkenaan.
  • Sehingga kini, Tabung Budi Peka mempunyai dana terkumpul hampir RM312,000 yang diterima daripada anggota Peka, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga, anggota korporat dan individu, katanya.
  • Beliau berkata orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghantar e-mel keshimapr@syabas.com.my.
  • "Bantuan tabung ini akan diteruskan selagi menerima dana dan kita mengalu-alukan semua pihak untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan," katanya.
  • Sementara itu, seramai tiga keluarga di Sabak Bernam menerima bantuan dari tabung berkenaan hari ini  iaitu Wasilah Sahari dari Parit Baru, Nor Asmah Ahmad Keliwan dari Sungai Air Tawar dan Suhaimi Abbas dari Bagan Terap, Sungai Besar.
  • Wasilah, 33, yang sarat mengandung, melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima terutamanya menjelang kelahiran anak ketiganya pada bila-bila masa.
  • "Syukur dan terima kasih banyak-banyak, saya risau memikirkan perlu berpantang tanpa bekalan air, tetapi hari ini segalanya telah selesai," katanya yang bergantung kepada air hujan selepas bekalan air di rumahnya dipotong sejak dua bulan lepas. -- BERNAMA

Punca peniaga Melayu gagal

 
 

PUTRAJAYA 28 Nov. - Kelemahan dalam pengurusan tunai merupakan penghalang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang perniagaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
Beliau berkata, usahawan bumiputera harus lebih mahir dalam pengurusan kewangan termasuk menggunakan sumber yang ada secara bijak untuk memajukan perniagaan masing-masing.
 
''Jika usahawan bumiputera mendapat pinjaman RM1 juta untuk tujuan perniagaan, mereka akan belanja separuh daripadanya untuk membeli kereta mewah atau barangan lain.
 
''Pinjaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam perniagaan tetapi mereka juga perlu membayar faedah atas dana yang diperoleh," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bicara tengah hari sempena Perhimpunan Usahawan Bumiputera Industri Perkayuan di Pusat Maritim Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim.
 
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera juga didapati gagal menguasai beberapa perniagaan francais di negara ini kerana tidak menguruskan aliran tunai dengan berkesan.
''Peniaga Melayu berkenaan gagal kerana selepas mereka mendapat keuntungan, hasil itu tidak dilabur untuk beli stok atau memajukan perniagaan tetapi digunakan untuk tujuan lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan bumiputera melakukan usahasama dengan syarikat lain bagi menimba pengalaman dan ilmu yang diperlukan untuk memajukan diri.
 
''Selain perlu bekerja dengan rajin, usahawan bumiputera juga harus bekerja secara bijak dan untuk tujuan itu, kita perlu menimba ilmu melalui pelbagai kaedah termasuk membaca buku.
''Seterusnya kita mesti mengenal pasti apa yang kita mahu. Kita boleh mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selepas itu baru fikirkan cara untuk memajukannya," katanya.
 
Dr. Mahathir turut menggesa usahawan bumiputera supaya meneroka peluang dalam bidang yang berlainan bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan.
 
''Jangan nampak orang lain berjaya dengan jual nasi lemak, semua orang pun pergi jual makanan yang sama dan akhirnya gagal," katanya.
 
Sumber
Utusan


 

Air, satu sumber yang perlu bagi kehidupan


Air Nadi Kehidupan.
KUALA LUMPUR - Dalam filem 'Sahara', yang berkisar mengenai Perang Dunia Kedua, sepasukan tentera Jerman menyerang sekumpulan kecil tentera Perikatan yang sedang berkubu di sebuah ‘wadi’ terletak di Gurun Sahara.

‘Wadi’, dalam Bahasa Arab bermaksud ‘lembah’. Ia juga merujuk kepada sebuah anak sungai atau dasar sungai yang kering dan biasanya digenangi air terutama selepas hujan lebat.

Namun kesudahan cerita itu, tentera Jerman yang begitu ramai menyerah kalah kepada tentera Perikatan semata-mata kerana inginkan air dari perigi yang berada di wadi itu.

Sementara itu dalam filem James Bond bertajuk 'Quantum of Solace', ceritanya adalah mengenai rancangan pihak tertentu mengugut bagi mendapatkan wang dari kerajaan sebuah negara Amerika Selatan dengan memotong bekalan air ke negara itu.

Adakah konflik mengenai bekalan air seperti yang digambarkan dalam filem-filem di atas boleh menjadi satu realiti satu hari nanti?

Ini menunjukkan betapa pentingnya sumber bekalan air sebagai satu dari keperluan asas manusia.


Kurang bekalan air

Menurut pensyarah sebuah universiti di sini, G. Desmond, bekalan air berada dalam kedudukan ‘tidak stabil’ di beberapa kawasan di negara ini terutama Lembah Klang.

“Di kawasan seperti Lembah Klang,, pembangunan dan perkembangan penduduk berlaku dengan rancaknya dan pada masa kini pun kita agak kerap mengalami masalah kekurangan bekalan air yang boleh menjadi runcing pada dekad akan datang," kata beliau.

Menurut Desmond, jumlah penduduk dunia berkembang dengan pesat seiring dengan permintaan untuk bekalan air turut meningkat dan berkembang dengan lebih pantas.

"Pada lima dekad yang lepas, jumlah populasi manusia meningkat hampir dua kali ganda daripada 3.9 bilion ke 6.5 bilion tetapi keperluan air meningkat tiga kali ganda, melebihi dengan ketara peningkatan jumlah penduduk.

"Jumlah penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.0 bilion menjelang tahun 2050 dan keperluan bekalan air menjelang tahun itu adalah dijangka tersangat tinggi,” katanya kepada penulis di sini baru-baru ini.

Kata Desmond, pola pengguna utama air di negara ini adalah sektor pertanian, perbandaran dan perindustrian.

"Bagaimanapun hari ini penggunaan air di sektor pertanian di negara ini telah berkurangan jika dibandingkan dengan penggunaan sektor perbandaran dan perindustrian yang semakin meningkat dengan rancaknya dari hari ke hari," jelas beliau.


Keperluan asas manusia

Menurut Desmond, air adalah satu komoditi dan yang paling penting ia satu keperluan asasi manusia.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, keperluan air dunia meningkat dua kali ganda lebih cepat dari peningkatan penduduk dan menjelang tahun 2025, dianggarkan 1.8 bilion penduduk akan mengalami ‘kekurangan air yang meruncing' manakala dua pertiga dari bumi ini akan mengalami 'stres' yang timbul daripada masalah ini.

Menjelang tahun 2050, dianggarkan 45 peratus penduduk dunia tinggal di negara yang mengalami kekurangan air secara kronik.

Menuru Desmond lagi, manusia menggunakan air bagi pelbagai urusan seperti untuk minum dan membersih.

"Air digunakan bagi penyejukkan, ia diguna juga bagi tujuan rekreasi seperti wujudnya taman tema air. Air diperlukan di kedai makan dan restoran, kilang dan pada upacara tertentu majlis keagamaan.


Kemungkinan krisis air

Awal tahun ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau Syabas memberi amaran bahawa Lembah Klang akan mengalami masalah bekalan air yang serius jika pihak yang berwajib gagal melaksanakan tiga projek bekalan air menjelang tahun 2014.

Projek itu ialah loji Rawatan Air Sungai Langat 2 , Terowong Air Mentah Pahang-Selangor dan Empangan Salak Tinggi. Projek-projek tersebut dibelenggu oleh masalah yang timbul antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri terutama tentang kos pengambilalihan tanah dan harga air.

Menurut Syabas, projek-projek itu perlu disegerakan bagi memenuhi peningkatan permintaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang berkembang sebanyak 3.5 peratus setahun.

Ketika ini kapasiti pengeluaran air bersih di loji rawatan yang ada tidak mencukupi berikutan peningkatan dalam permintaan di mana paras maksimum sudah tidak dapat dipertingkatkan lagi.

Menurut Syabas permintaan terhadap bekalan air dijangka meningkat kepada 4,354 juta liter sehari akhir tahun ini dibandingkan dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 4,326 juta liter sehari.

Masalah bekalan air terputus seperti yang berlaku pada 5 Jan lalu di empat kawasan di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat boleh berlaku lagi pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Persatuan Air Malaysia (MWA) turut membangkitkan isu yang sama dengan menyebut bahawa tanpa tindakan yang konkrit, penduduk di Lembah Klang akan mengalami masalah bekalan air yang serius pada tahun-tahun akan datang.- Bernama