Monday 15 December 2014

DAP tolak hudud bukti parti Cina tidak demokratik

  • DAP dan PAS `berbalas pantun’ dalam hal perlaksanaan hudud di Kelantan. Atas nama demokrasi kerajaan PAS dan majoriti rakyat di negeri itu mahu perundangan Islam dibentangkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk diluluskan dan dilaksanakan.
  • Malangnya DAP menolak demokrasi kerajaan dan rakyat Kelantan sebaliknya mahu PAS menerima demokrasi DAP yang sudah banyak berbelanja kepada PAS dan sekongkol yang lain dalam kempen beberapa PRU yang lalu.
  • Lalu PAS kembali membidas DAP sambil menyarankan parti itu keluar dari pakatan pembangkang sekiranya ia tidak selesa dengan perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud.
  • Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP dialu-alukan untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya ia tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
  • "Kita (PAS) tak akan keluar dari pakatan pembangkang. Kalau dia (DAP) tak selesa dan rasa tak boleh menang dengan pakatan pembangkang, mereka boleh keluar bila-bila masa.
  • "Tak jadi masalah kepada kita dan kita tak akan tukar perjuangan kita (laksanakan hudud), kita tak akan korbankan perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya," katanya.
  • Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang mahu pakatan pembangkang jelaskan pendirian bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-14.
  • Mohd Amar berkata DAP perlu menghormati perjuangan Pas yang selama ini ingin melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
  • "Resolusi yang dibuat itu untuk DAP dan bukan untuk Pas, kita ada perjuangan kita sendiri dan mereka tidak boleh paksa kita. Ia (resolusi) adalah untuk anggota dan pemimpin mereka, DAP perlu hormat rakyat Kelantan dan perjuangan Pas kerana isu hudud ini dah wujud sebelum pakatan pembangkang wujud," katanya.
  • Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud pada 29 Disember ini.
  • Dalam perkembangan yang sama, PAS mendesak semua pihak terutama DAP menghormati sistem demokrasi yang ada di negara ini dalam semua pelaksanaan.
  • Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua pihak boleh bersuara dalam mengetengahkan pendapat.
  • "Saya tidak boleh meminta Pakatan Rakyat untuk ganggu negara demokrasi, begitu juga saya tidak boleh meminta DAP untuk ganggu konsep demokrasi.
  • "Begitu juga pelaksanaan hudud ia sekarang sedang melalui proses demokrasi dan biarlah ia melalui segala proses-proses tersebut sebelum keputusan akhir dibuat," katanya.
  • Beliau yang turut menyokong PAS melaksanakan hudud kerana perancangannya melalui proses demokrasi dan bukan paksaan.
  • "Kita tidak boleh nak halang Kelantan melaksanakan hudud, sebab di Kelantan itu sendiri kelulusan dilakukan di peringkat Dewan Undangan Negeri, ini demokrasi awal perjalanannya.
  • "Dan sekarang ia akan dicadangkan akan dibawa ke parlimen untuk proses demokrasi seterusnya, jadi setiap pihak perlu menghormatinya, di parlimen semua pihak boleh berbahas menentang atau menyokong," sambung beliau lagi.
  • Ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata PAS akan menerima apa-apa keputusan yang akan diputuskan di peringkat parlimen terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.
  • "Seperti juga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan‎ (GST) kita menentang tetapi ia melalui proses demokrasi di parlimen melalui suara ramai.
  • "Inilah yang akan dilalui hudud melalui proses yang sama dan tidak pernah ada istilah ingin menggunakan jalan belakang.
  • "Atas sebab-sebab itu kita mesti menghormati demokrasi kerana itu menjadi pegangan utama kita dalam negara ini," sambung beliau lagi.
  • Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada lawatan beliau di pejabat akhbar Sin Chew Jit Poh sebelum ini meminta agar semua pihak perlu memberi platform untuk PAS memberi penerangan jelas tentang hudud.
  • Katanya, pelbagai andaian dan tanggapan ini timbul apabila ada pihak yang tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai hudud khususnya kaum Cina.‎
  • "Perlu ada platform khusus untuk kita (PAS) memberi penjelasan tentang hudud yang sebenarnya. Selagi tidak ada platform ini menyebab apa sebenarnya dan cara pelaksanaan hudud itu tidak diterangkan dan disampaikan khususnya masyarakat Cina dalam negara ini," kata beliau.
  • Dalam pada itu, Mahfuz turut menolak tidak pernah ada perselisihan faham PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
  • Katanya, setiap apa yang berlaku itu sebenarnya menguatkan jalinan kerjasama dalam mendapat sokongan rakyat.‎
  • DAP pada Konvensyen Nasional di Subang Jaya semalam memberi amaran kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hukum hudud di negara ini jika gabungan parti pembangkang ingin merampas pentadbiran di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
  • Setiausana Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan kepimpinan Pakatan Rakyat agar menyatakan pendirian tegas dalam hal tersebut bagi memenuhi aspirasi pengundi khususnya dari Sabah dan Sarawak.
  • Pendirian DAP itu juga diperkukuhkan melalui satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya.
  • Guan Eng berkata, penolakan hukum hudud perlu dimuktamadkan kerana itu adalah aspirasi pengundi dalam memberi sokongan kepada pembangkang untuk merampas Putrajaya.
  • “Untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14, kita mesti ada pendirian tegas, kedudukan jelas bahawa pakatan pembangkang yang memerintah di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.
  • “Itu mesti jelas sama sekali, kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana bukan pengundi ekstrem,” katanya ketika ucapan perasmian di persidangan itu.
  • Yang turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun, Pas hanya diwakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.
  • Ketiadaan pemimpin kanan Pas dalam persidangan itu menimbulkan persoalan tentang hubungan kedua-dua parti yang semakin tegang dan telah berlarutan sejak enam bulan lalu berikutan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.
  • Baru-baru ini, pemimpin kedua-dua parti turut bertikam lidah apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang.
  • Sementara itu, dalam ucapannya, Guan Eng turut menyatakan kesetiaan DAP menunggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan hukuman penjara akibat kesalahan liwat.
  • “Di sini saya ingin memberi jaminan kepada Kak Wan (Wan Azizah), sekiranya Anwar masuk penjara, jangan bimbang kita akan tunggu sampai beliau keluar penjara,” katanya.
  • Sebelum ini, DAP telah menyatakan pendirian untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum.
  • Selain Guan Eng, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dalam ucapannya turut mempersoalkan beberapa pihak yang cuba memperkenalkan undang-undang bersifat keagamaan di negara ini.
  • Beliau yang tidak menjelaskan perkara itu secara khusus berkata, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, justeru sebarang dasar yang cuba mencabulinya tidak boleh dibiarkan.
  • Dalam pada itu, perwakilan dari Perak, Wong Kah Woh semasa perbahasan meminta mana-mana pemimpin pakatan pembangkang yang tidak bersetuju dengan keputusan dibuat gabungan itu supaya segera berundur.
  • “Ini penting, pemimpin daripada parti yang ingkar untuk ikut keputusan tersebut atau mahu vetokan keputusan, beliau tidak layak jadi pemimpin dan harus undur diri,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana parti.


Mustapha Maarof kembali ke rahmatullah

  • Hero legenda filem Melayu era Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia pada Isnin di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.
  • Allahyarham yang berusia 79 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.40 pagi akibat komplikasi masalah paru-paru.
  • Jenazah akan disempurnakan di Masjid Bandar Baru Sentul sekitar pukul 10.30 pagi dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang bersebelahan pusara isterinya, Roseyatimah.
  • Allahyarham sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.
  • Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL)  pada 25 November lalu kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan menjalani rawatan di Wangsa Maju.
  • Dilahirkan pada 1 Januari 1935, hero legenda ini cukup terkenal dengan lakonannya sebagai tunggak utama di dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Detik 12 Malam, Keris Sempena Riau, Sumpah Pontianak dan banyak lagi.
  • Allahyarham menjejakkan kaki ke Cathay Keris Film di Singapura sekitar tahun 1955 dan kerjaya seninya bermula dengan filem Pendekar Bujang Lapok.
  • Mustapha mula mencipta nama melalui filem Hang Tuah dan merupakan antara pelakon lelaki  kacak yang menjadi pujaan ramai ketika itu.
  • Antara yang terbaru, seniman lagenda ini telah membintangi filem 1957 Hati Malaya (2007) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada tahun (2009).
  • Berasal dari di Kuala Lumpur, Allahyarham Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azahari Maarof pernah menerima Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10 dan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.
  • Isterinya, Allahyarham Roseyatimah telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah pada 14 Disember 1987. Seniman negara ini meninggalkan tiga anak, menantu dan tujuh cucu.