Monday 13 April 2015

Kerana tuntut hak guru KAFA bakal dihukum


  1. Nasib ribuan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) semakin `simpang perenang' apabila usaha merayu janji kenaikan gaji terkandas di pintu utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor minggu lalu.
  2. Sebaliknya wakil mereka, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham dirundung malang apabila beliau bakal dikenakan hukuman kerana kononnya cuba menuntut hak rakan seperjuangan dengan membelakangkan JAIS.
  3. Kini guru berusia 24 tahun itu berdepan dengan tindakan disiplin daripada JAIS kerana dikatakan menceroboh DUN Selangor, cuba melakukan keganasan (cuba mengasari pengawal) dan mungkin beberapa perbuatan lain yang di luar dugaan guru malang itu.
  4. Memetik laporan Antara Pos hari ini, Pengarah JAIS dikatakan telah meminta guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Kapar itu memberi penjelasan berhubung tindakannya tersebut dalam tempoh dua minggu.
  5. Berdasarkan jawapan kepada surat yang dihantar oleh JAIS itu, pihaknya akan meneliti bentuk tindakan selanjutnya terhadap Ekhsan Bukharee.
  6. Minggu lalu kecoh apabila Ekhsan 'menyerang' DUN Selangor dan mahu berjumpa Menteri Besar dan Exco negeri itu untuk menuntut janji kenaikan elaun yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.
  7. Beliau mendakwa selama tiga tahun, kerajaan negeri Selangor mempermainkan perasaan guru-guru KAFA kononnya untuk menaikkan elaun mereka daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.
  8. Sejak itu tiada sebarang respon dari kerajaan negeri mahupun exco yang berkaitan. Malah JAIS juga tidak mengatur pertemuan dengan guru berkenaan sebaliknya tergesa-gesa memberi surat tujuk sebab.
  9. Biarpun itu merupakan prosedur JAIS tetapi alangkah baik jika guru itu dipanggil bersemuka dengan beberapa pihak berkaitan bagi merungkai masalah yang dibawanya itu, bukannya berdolak dalik soal kebenaran isi kandungan memorandumnya.
  10. Terdahulu kerajaan negeri berkata dakwaan guru itu bahawa bilangan KAFA terbabit dengan isu janji kenaikan gaji adalah tidak sampai 7,000 tetapi guru berkenaan mendakwa ia membabitkan 10,000 guru.
  11. Soalnya bukan ketepatan bilangan guru yang dipersoalkan tetapi janji kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu tidak ditunaikan. Dan memorandum itu mahu mengingatkan kerajaan negeri soal janji.
  12. Malangnya janji itu bukan saja tidak ditepati, guru yang hendak menyampaikan memorandum itu juga dihalang bertemu MB atau wakilnya. Kini guru berkenaan berdepan pula dengan tindakan disiplin. Peliknya.

Cantik bicara Tun hingga tiada yang berani mendiamkannya


  1. Bicara dan tulisan Tun Mahathir Mohamad semakin lama semakin pedas. Orang ramai mula bertanya, siapa yang berani diamkan beliau. Setakat ini tiada.
  2. Yang ada pada paparan media perdana sekadar menyindir Tun Mahathir agar ikhlas memberi laluan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir negara dengan lebih tenang.
  3. Kesantunan pemimpin Melayu amat dipuji kerana masing-masing masih mempunyai roh Umno dan kemelayuan yang sangat tinggi serta cukup sopan menjaga tatasusila Islam, tradisi parti dan bangsa.
  4. Sudah tentu kelantangan bekas Perdana Menteri itu sejak kebelakangan ini membuatkan ramai manusia gelisah dan masing-masing berdoa mengharapkan agar ribut dalam Umno itu segera berakhir.
  5. Rupanya ribut bertukar menjadi taufan. Bicara Tun semakin pedas walaupun  suaranya tidak pernah tinggi. Nada dan intonasi ayatnya sentiasa rendah dan lembut tetapi isi kandungannya sangat tajam.
  6. Selepas Najib membalas kritikan di TV3, kalangan pemimpn dan ketua bahagian Umno mula tampil ke gelanggang media perdana bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebagai bukti bahawa Najib masih lagi dikagumi.
  7. Sekonyong-konyong Tun membalas semula dengan lembut bahawa semua Ketua Umno Bahagian bersikap setia kepada Najib hanya semata-mata kerana duit.
  8. Tun berkata kesetiaan ahli Umno pada zaman beliau adalah pada perjuangan parti, tetapi kini semua hanya semata-mata kerana duit.
  9. UMNO sekarang semua tentang duit. Ketua-ketua UMNO bahagian setia sebab mereka dapat sesuatu, dapat kontrak. Yang dapat jawatan-jawatan tu semua dapat duit, kata Tun Mahathir.
  10. Mungkin untuk memastikan kesahihan kenyataan Tun itu, media perlu menembual kalangan veteran yang masih hidup seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam dan ramai lagi.
  11. Bicara dan tulisan Tun sentiasa bertali arus. Dan terkini dalam blognya beliau tidak bimbang dengan sokongan Umno terhadap Najib kerana Tun menyampaikan apa yang perlu untuk kepentingan parti dan rakyat.
  12. Berikut entri beliau yang terbaru: Akibat pendedahan berkenaan kes Altantuya dan 1MDB, Najib menerima sokongan padu daripada Ketua Bahagian UMNO, BN, MIC, para senator dan semua jenis kumpulan. Inilah yang dilaporkan oleh media arus perdana.
  13. Saya tak minta sesiapa untuk menyokong saya. Tapi saya ingin bertanya kepada penyokong Najib untuk membuat pengakuan bahawa mereka menyokong 1MDB, 1MDB meminjam RM 42 billion dan ketidakmampuan Najib untuk menjawab di manakan wang tersebut ketika ditanya.
  14. Adakah anda juga bersetuju untuk menyimpan berbillion Ringgit di Pulau Cayman? Adakah anda menyokong wang tersebut dibawa pulang tetapi disimpan di Swiss Bank Singapura? Adakah anda juga menyokong kenyataan bahawa wang tersebut tidak boleh dibawa balik ke Malaysia kerana Bank Negara akan menyoal banyak perkara?
  15. Adakah anda menyokong pembelian tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur dengan harga jauh di bawah harga pasaran sementara membeli loji penjana kuasa daripada sektor swasta dengan harga yang jauh tinggi berbanding harga pasaran?
  16. Sekarang ada cadangan pula untuk menjual tanah ini kepada syarikat kerajaan pada kadar inflasi untuk membayar kembali billionan Ringgit yang dipinjam 1MDB.
  17. Sekiranya penjualan ini adalah bertujuan untuk membayar kembali hutang 1MDB, ini bermakna 1MDB yang meminjam 42 billion tidak mampu membayar hutang daripada pelaburan yang menyaksikan kerugian.
  18. Apa telah terjadi sebenarnya kepada 42 billion yang telah dipinjam? Kenapa perlu 1MDB meminjam lagi 2 billion untuk membayar faedah? Kenapa perlu kerajaan menggunakan wang kerajaan sebanyak 1 billion untuk membayar hutang 1MDB?
  19. Pinjaman ini menunjukkan 1MDB kini mempunyai hutang sebanyak 42 + 3 = 45 billion.
  20. Penyokong Najib juga perlu menyokong Jho Low, kawan kepada Najib seperti mana Daim yang merupakan kawan saya, yang menguruskan wang 1MDB. Mereka perlu berkawan dengan Jho Low untuk memberi kepercayaan penuh kepadanya.
  21. Saya tanya Najib soalan-soalan mudah, tetapi daripada menjawab soalan-soalan tersebut, Najib meminta bantuan penyokong-penyokongnya. Saya ingin bertanya kepada penyokong Najib sama ada sokongan mereka bermakna mereka setuju dengan kehilangan RM 42 billion, dan tiada keperluan untuk menjelaskan di mana wang itu ada sebenarnya. Kalau anda setuju, pergi beritahu Daim, Tengku Razaleigh, Shahrir Samad dan Khairy Jamaluddin untuk diam.