Saturday 27 June 2015

Akibat marah Palanivel masuk DAP?


  1. Perdana Menteri Datuk Seri Najib akhirnya membuat pengumuman bahawa beliau akur dengan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melucutkan keahlian Datuk Seri G. Palanivel daripada parti MIC.
  2. Pengumuman itu pastinya amat mengecewakan veteran MIC itu dan pengikut tegar MIC, lalu beliau dikatakan mahu membawa seberapa ramai ahli parti masyarakat India Malaysia agar menyertai DAP dalam tempoh terdekat.
  3. Palanivel dikatakan membuat kenyataan ringkas dalam Facebook yang mengatakan telah berbincang dengan Prof Dr Ramasamy dari DAP dan parti itu bersetuju menerima presiden MIC yang tersingkir itu dan pengikutnya.
  4. Sambil itu Palanivel dikatakan telah memberi tempoh 24 jam kepada ROS untuk menarik balik keputusan sebelum beliau menyertai DAP.
  5. Penulis menerima kenyataan pendek Palanivel itu daripada seorang sahabat yang merupakan seorang pengamal undang-undang. Katanya beliau kutip daripada laman Facebook presiden MIC yang tersingkir.
  6. Jika benar Palanivel membuat kenyataan dangkal sebegitu, beliau perlulah berfikir secara lebih rasional. MIC bukanlah miliknya, ia milik masyarakat India yang bermastautin di Malaysia sejak merdeka.
  7. Jika perundangan ROS menetapkan keahliannya dilucutkan, beliau perlu menerima dengan hati yang terbuka kerana Perdana Menteri sudah menjawab pertanyaannya secara terbuka juga.
  8. Perdana Menteri berkata, sebagai ketua kerajaan, beliau tidak mempunyai pilihan selain perlu akur kepada keputusan ROS kerana perkara tersebut telah melalui proses mahkamah.
  9. Najib telah melihat surat ROS berhubung ketetapan yang dibuat terhadap parti MIC. Keputusan yang dibuat telah disahkan Mahkamah Tinggi.
  10. “Saya tidak ada pilihan melainkan menerima pilihan yang ditafsirkan oleh ROS,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
  11. MIC bergolak apabila ROS mengumumkan Palanivel bukan lagi ahli parti itu berdasarkan Perkara 91 Perlembagaan MIC.
  12. Menurut surat ROS, Palanivel hilang keahlian secara persendirian (Ipso Facto) berdasarkan perkara tersebut yang menyatakan hal berkaitan parti tidak boleh dirujuk ke mahkamah tanpa persetujuan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.
  13. Dalam pada itu, ROS juga mengarahkan CWC 2009 MIC menjalankan pemilihan semula parti bermula Julai hingga Oktober ini.