Sunday 14 September 2014

Negara bakal huru hara tanpa Akta Hasutan 1948

Usaha menghapuskan Akta Hasutan bakal mengundang huru hara di Malaysia
  • Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) diadakan untuk mengekang perbuatan menghasut yang terlampau sehingga terjadinya pertumpahan darah pada 13 Mei pada tahun 1969.
  • Sesungguhnya ia menunjukkan bahawa negara berbilang kaum seperti Malaysia sangat menghargai kepelbagaian dan memutuskan untuk tidak lagi berkompromi dan mengambil mudah akan hal-hal berkaitan dengan sensitiviti kaum. Setiap kaum tentunya mempunyai sensitiviti yang pelbagai. Kaum Melayu merujuk kepada Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.
  • Menyedari akan hal itu, kerajaan Malaysia dalam usaha mengekang kejadian yang serupa berulang, meminda Akta Hasutan 1948 mengikut ramuan dan acuan tempatan dengan memasukkan elemen-elemen yang sangat penting kepada negara supaya ianya dapat menegah sesiapa saja yang cenderung untuk menghasut daripada menyentuh perkara-perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi, dalam bentuk apa sekalipun, seperti Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.
  • Bertitik tolak daripada tragedi berdarah 13 Mei, kebebasan bersuara, dalam negara ini tidak lagi memberikan lesen untuk sesiapa pun untuk mengkritik apa saja. Apatah lagi untuk mengkritik, waima berdiskusi sekalipun tentang kedudukan, keperluan atau relevansi perkara-perkara sensitif tersebut.
  • Seseorang yang bergelar akademik tentulah sepatutnya lebih arif akan hal ini. Namun entah apalah bala, entah siapalah yang kurang pahala, masih terdapat lagi segelintir yang bebal, atau mungkin juga seronok dipuji rakan-rakan, ‘berani’ (bodoh dan tidak bertanggugjawab sebenarnya!) untuk mengungkit akan perkara-perkara tersebut.
  • Apatah lagi jika seseorang itu seorang Melayu, yang berani mempersoalkan Perkara 153, tentulah akan mendapat sokongan dan dokongan segelintir mereka yang berkepentingan, terutamanya mereka-mereka yang sememangnya secara terang-terangan atau tersembunyi, anti dan benci akan Perkara 153, perlembagaan Persekutuan.
  • Ingin ditekankan di sini, seorang Melayu pun sebenarnya tidak mempunyai lesen bebas untuk mempersoalkan perkara-perkara di atas. Mungkin perbuatan tersebut akan kelihatan sangat ke depan, namun,suka atau tidak, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara, wajib dihormati. Golongan anti Perlembagaan Persekutuan wajar ambil perhatian tentang perkara ini.
  • Tentunya seorang pensyarah undang-undang akan lebih sedar dengan hal ini? Atau mungkinkah kerana seronok dengan pujian yang melambung atau mungkin juga kerana selesa dengan imbuhan yang menggunung, seorang Melayu, seperti sesetengah yang boleh kita lihat, sudah mula lupa daratan dan memilih untuk tidak menjunjung langit di bumi yang dipijak.
  • Apatah lagi apabila perasaan bongkak melulu mula timbul dengan kesenangan materi yang diperoleh, leka dengan keselesaan hidup diri dan keluarga, lalu persetankan mereka-mereka yang masih memerlukan ‘tongkat’ untuk bertaut hidup.
  • Amatlah memalukan untuk seseorang ahli akademik atau sesiapa sekalipun yang mencari makan sebagai kolumnis atau apa sekalipun, dan didakwa disebabkan oleh kerja penulisannya dan lain-lain kerja, yang tidak pernah pula mahu menghormati peraturan dan undang-undang sedia ada, cuba menipu khalayak-khalayak yang cintakan keamanan atau sekumpulan pelajar-pelajar naif (atau mungkin juga lemah berbahasa Inggeris) untuk melobi supaya perbicaraan yang sedang berjalan dihentikan oleh pihak-pihak tertentu.
  • Apa jua alasan, apa juga pertimbangan, makhamah harus dibiarkan bebas untuk menjalankan amanahnya tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak sekalipun. Bukankah itu yang selama ini kita mahu? Sebuah Institusi Kehakiman yang bebas daripada cengkaman Esekutif. Bebas juga daripada campur tangan politik.
  • Jadi kenapakah ada diantara kita kini, cuba melobi supaya Perdana Menteri menghentikan kes-kes pendakwaan yang sedang mengambil tempat? Kangaroo Court apakah yang sedang kita bina untuk Malaysia sekarang?
  • Apa mungkinkah Majlis Peguam mempunyai alasan yang kukuh selain daripada sentimen melulu tidak berasas bahawa ‘kawan-kawan’ seperjuangan mereka patut dibebaskan daripada segala pertuduhan?
  • Kenapakah ketika Ustaz Abdullah Zaik didakwa menghasut tempoh hari, Majlis Peguam, Aliran dan Gerakan tidak menyatakan bantahan secara terbuka seperti yang berlaku kini?
  • Kenapakah tidak berlaku sebarang hartal untuk menunjukkan solidariti kepada beliau? Kenapakah tidak ada EGM oleh Majlis Peguam?
  • Kenapakah tidak ada tandatangan petisyen sokongan oleh Aliran? Kenapakah pula tidak ada bantahan daripada parti Gerakan?
  • Adakah hanya seorang Abdullah Zaik yang wajar didakwa menghasut dan yang lain, tidak? Jika tidak, adakah Pejabat Peguam Negara akan mengkaji semula dakwaan yang dikenakan ke atas Presiden ISMA itu, bersama-sama dengan yang lain seperti yang diumumkan semalam?
  • Atau adakah keinsanan Abdullah Zaik itu lebih rendah daripada seorang Azmi Shahrom, contohnya, maka ada yang wajar diteruskan pendakwaan dan ada yang tidak?
  • Bukankah Abdullah Zaik juga bercakap daripada segi akademik yang masih boleh dibangkang atau dipersetujui dengan hujah berserta dengan dalil dan fakta?
  • Benar ‘How can we legislate thought?’. Jadi kenapakah lesen akademik hanya menjadi hak ekslusif seseorang dan tidak yang lain? Liberalisme bentuk apakah ini yang sedang kita perkenalkan kepada rakyat Malaysia?
  • Tentunya sebuah liberalisme pura-pura yang penuh dengan kebatilan yang cuba menipu mereka-mereka yang kurang cerdik atau rendah diri dan kendiri. Ianya hanyalah sebuah hipokrasi basi yang sudah berkali-kali diulang-tayang dan penonton-penonton seperti kami sudah mula jemu!
  • Jika tidak kenapa perlu ada ‘double standard’? Jika tidak kenapakah rakyat Malaysia harus berpandangan terbuka, liberal dengan perbincangan akademik Azmi Shahrom, contohnya dan tidak boleh berliberal dengan perbincangan akademik Abdullah Zaik?
  • Kita semua nampaknya semakin mengenali bahawasanya ‘moderates’ bukanlah benar-benar moderates atau terdiri daripada mereka-mereka yang selalu bersederhana dengan pandangan dan perbuatan mereka.
  • Bagaimanapun atau dengan apa namapun, mereka cuba memberikan penjenamaan dan pakej baru penampilan mereka. Mereka sebenarnya beraliran liberal. Namun dengan hipokrasi yang ditunjukkan oleh puak-puak liberal seminggu dua ini, dengan dwi-standard yang mereka cuba laungkan kini, kita mungkin juga akan mula nampak, bahawa, mereka-mereka itu tidaklah seliberal mana, sebenarnya!
  • Jika tidak sanggup mempertahankan perjuangan ‘sampai ke pangkal lengan’. Tidak sanggup untuk ‘genggam bara sampai jadi abu’ dan berdiri tegak atas nama perjuangan mereka. Maka sedarlah kita bahawa mereka-mereka ini bukanlah para pejuang yang sering digambarkan sebagai kelompok yang paling terkedepan dengan perjuangan mereka.
  • Mereka-mereka ini yang tidak sanggup untuk bertanggungjawab malah mula merengek apabila didakwa dan cuba pula melobi untuk dilepaskan dengan demo, hartal dan sebagainya, tidak lebih daripada sekumpulan konservatif yang sudah penat mencuba-cuba memakai topeng liberal. Menjadi liberal rupanya tidaklah seseronok yang disangka.
  • Tidak lagi seronok kerana realitinya, dunia, dan undang-undang khasnya, tidak berpusing mengikut kehendak dan telunjuk mereka sebenarnya.
  • Mereka perlu sedar bahawa, modus operandi menghasut yang selama ini mereka pakai dalam usaha mereka untuk mengisi secupak-dua tembolok masing-masing, patut dihentikan segera. Adalah menjadi harapan kita semua, supaya mereka-mereka ini sedar bahawasanya senjata yang sering digunakan mereka bisa memakan diri. Mereka tidak kebal dan tidak selama-lamanya kebal undang-undang!
  • Dan tentunya kita tidak boleh bersetuju dengan pandangan sesetengah daripada mereka yang suka mengatakan bahawa Wawasan 2020 tidak boleh dicapai hanya kerana negara masih mempunyai undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Apa kena mengena, akta tersebut dengan keboleh-langsungan produktiviti negara?
  • Namun apa yang pasti, sesebuah negara yang aman, seperti Malaysia, dan tidak seperti Thailand, atau Mesir, contohnya, tentunya akan dapat merancakkan lagi kegiatan ekonominya untuk terus berdaya saing. Tanpa gangguan yang akan merencatkan perjalanan ekonominya.
  • Mungkin juga Singapura, jiran kita yang mempunyai kepelbagain kaum yang tinggi sama seperti kita, boleh dijadikan contoh. Singapura maju dan menjadi tumpuan jutawan dan selebriti dunia, seperti Eduardo Saverin dan Gong Li, sekadar menyebut dua nama, bukan kerana nyanyian ‘Majulah Singapura’ yang menjadi mantra setiap rakyatnya. Ianya bukan juga dicapai dengan termansuhnya akta hasutan legasi penjajah seperti telahan ramai ‘cendiakawan-cendiakawan’ Malaysia.
  • Hakikatnya Singapura menawarkan kualiti hidup yang tinggi dengan prasarana moden dunia pertama dan dibantu pula dengan pelaksanaan undang-undang yang cekap dan berkesan.
  • Pendekatan ‘no nonsense’ yang diamalkan Singapura nampkanya berjaya mengekang kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti rusuhan daripada berlaku, seperti yang dapat kita lihat baru-baru ini, di Bangkok dan juga seperti yang kita semua pernah alami, di Kuala Lumpur itu sendiri beberapa tahun yang lalu.
  • Dan bukankah keamanan dan keharmonian hiduplah yang kita semua mahu? Malah Singapura, selain daripada lokasinya yang strategik, menjadi tumpuan ramai pemastautin tetap ‘high nett worth’, kata Kishore Mahbubani, Dekan dan Profesor di Lee Kuan Yew, School of Public Policy, adalah kerana keberadaan undang-undangnya yang walaupun dilihat ketat, namun menjadi sandaran dan keyakinan kepada mereka-mereka yang sangat cintakan keamanan dan keharmonian hidup.
  • Adakah kita, rakyat Malaysia, juga mencintakan keamanan dan keharmonian hidup seperti rakyat Singapura?
  • Dan kepada mereka-mereka yang masih berpendapat bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) sebagai sesuatu yang kuno dan tidak sesuai dengan tahun 2014, kita ingin bertanyakan adakah mereka juga mempunyai pandangan yang sama terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukkan Malaysia?
  • Apa perlukah kita memansuhkan juga undang-undang tertinggi negara hanya kerana sesetengah daripada kita menganggapnya sebagai entiti kuno dan merupakan legasi penjajah British yang akan menghalang kita semua daripada mencapai Wawasan 2020? Mungkin kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Hapus Akta Hasutan boleh bagi pencerahan? – Oleh: Megat Rizal M.H


Kenaikan harga rumah di Malaysia semakin menggila

  • RAMAI berpendapat, rumah dibina terlalu mahal harganya sehingga mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.
  • Tidak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya banyak faktor penyebab kepada kenaikan harga rumah. Justeru Sinar Harian, mengupas punca harga rumah menjadi mahal dan mengapa ia berlaku?
  • Adakah penyelesaian bagi mengatasi kenaikan harga rumah terutama menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan, memandangkan terdapat khabar mengatakan pemaju bakal menaikkan lagi harga rumah tahun depan.
  • Permintaan tinggi di bandar, pemaju lebih minat bina rumah RM1 juta. Berdasarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), permintaan tinggi terutama di kawasan bandar adalah pendorong utama kenaikan harga rumah.
  • Kira-kira 70 peratus penduduk tertumpu di bandar-bandar utama yang merupakan pusat tumpuan aktiviti ekonomi. Bilangan penduduk  pula bertambah disebabkan migrasi untuk mendapatkan pekerjaan.
  • "Pembangunan kawasan bandar utama menjadi padat.  Permintaan terhadap tempat kediaman pula melebihi penawaran. Berikutan penawaran yang terhad dan persaingan mendapatkan kediaman yang diingini, menjadi faktor yang mendorong harga meningkat secara tidak langsung.
  • "Oleh kerana harga tanah sudah meningkat, trend harga rumah juga turut meningkat. Disebabkan berlakunya kekurangan dalam penawaran tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan kediaman," kata jabatan tersebut.
  • Menurut laporan JPPH, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda  pada suku pertama 2014 dalam unit baharu dilancarkan pada harga dalam lingkungan RM500,000 sehingga RM1 Juta.
  • Berdasarkan rekod terdapat pertambahan daripada 264 unit pada suku keempat 2013 kepada 684 unit pada suku pertama 2014.
  • “Ini menunjukkan pemaju lebih cenderung membina rumah-rumah berharga tinggi, iaitu RM500,000 ke atas. Manakala di Selangor menunjukkan penurunan sebanyak 28.3 peratus pada suku pertama 2014 berbanding suku keempat 2013.
  • “Bagaimanapun, Johor menunjukkan peningkatan drastik di mana pada suku keempat 2013 terdapat hanya 16 unit baharu dilancarkan meningkat kepada 396 unit pada suku pertama 2014.
  • “Di Kuala Lumpur dengan keadaan populasi yang padat masih terdapat permintaan dari kalangan pembeli tempatan yang mampu untuk memiliki harta harga yang sedemikian,” kata jabatan itu.
  • Menurut JPPH, Johor Bahru menunjukkan peningkatan drastik dalam permintaan melebihi RM1 juta kerana dipengaruhi pembeli warga asing di Iskandar Malaysia.
  • Sementara itu, Pengurus  PropertyGuru Malaysia, Gerard Kho berpendapat, pemaju lebih gemar membina rumah berharga lebih RM1 juta seperti kondominium, adalah kerana keluasan tanah yang tidak sesuai untuk pembinaan rumah teres. Jadi kondominium adalah pilihan tepat.
  • "Tambahan pula, masyarakat di kawasan bandar mungkin lebih suka memilih kediaman seperti kondominium disebabkan pilihan gaya hidup dan perkhidmatan yang ditawarkan kawasan kediaman seperti faktor keselamatan yang lebih terjamin.
  • "Kedudukan kediaman dengan tempat kerja yang mungkin mengambil masa perjalanan kurang 15 minit juga menjadi faktor utama pembeli gemar memiliki kondominium," katanya.
  • Dalam pada itu, laporan sama turut menyaksikan pengurangan bilangan rumah baharu dilancarkan ke dalam pasaran sebanyak 38.8 peratus daripada 10,831 unit yang direkodkan pada suku sebelumnya kepada 6,631 unit.
  • Mengikut jenis harta tanah, pangsapuri khidmat terus menguasai pasaran perumahan baharu dengan 2,441 unit dilancarkan daripada keseluruhan jumlah dalam negara, diikuti teres 2,399 unit. Teres setingkat pula membentuk 1,053 unit, manakala teres 2-3 tingkat membentuk 1,346 unit. Unit berkelompok dan rumah berkembar 2-3 tingkat, masing-masing membentuk 626 unit dan 439 unit.
  • Mengikut negeri, Kuala Lumpur,  Selangor dan Johor memiliki bilangan unit rumah baharu dilancar tertinggi pada tempoh kajian yang menyumbang 63.2 peratus (4,191 unit) syer pasaran negara.
  • Kuala Lumpur menawarkan 1,844 unit rumah baru manakala Selangor dan Johor, masing-masing menawarkan 1,207 unit dan 1,140 unit.
  • Harga tanah pengaruhi harga rumah. Tidak dinafikan nilai harga tanah merupakan faktor utama yang mendorong penentuan sesebuah harga kediaman.
  • Ia melibatkan kos tanah, binaan, prasarana seperti sistem perparitan, jalan masuk dan penyediaan tapak. Selain itu, fi ikhtisas melibatkan khidmat profesional seperti arkitek, juruukur dan jurutera dalam sesuatu pembinaan dan sumbangan kepada pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom dan Syarikat Air turut mempengaruhi harga kediaman.
  • Gerard berkata, harga rumah ditentukan mengikut harga pasaran semasa, walaupun pemaju membeli tanah dua atau tiga tahun lebih awal sebelum kawasan tersebut dibangunkan.
  • "Tanah tersebut kemudian digunakan untuk pembangunan kawasan kediaman. Tanah dan bangunan yang sudah dibina merupakan kos yang akan dicaj oleh pemaju. Ia termasuk caj yang perlu dibayar pemaju ke atas kos bahan binaan.
  • "Setiap tahun kos bahan binaan dan tenaga buruh terus meningkat. Ia juga penyumbang kepada kenaikan harga rumah. Sudah pasti pemaju juga mahu mengaut keuntungan dan meletakkan margin pada jumlah tertentu. Semua faktor ini merujuk kepada penentuan harga rumah," katanya.
  • Mengambil contoh kawasan perumahan di Lembah Klang. Gerard berkata, nilai hartanah sememangnya tinggi. Apatah lagi pembeli selalunya akan mencari kediaman sekitar lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari tempat kerja.
  • "Ini juga menyumbang kepada faktor penentuan harga rumah yang mahal di Lembah Klang, Walaupun terdapat pemaju membina perumahan luar dari lingkungan ini, mereka (pemaju) tetap akan kembali melaksanakan projek-projek perumahan di kawasan Lembah Klang kerana permintaan yang tinggi, kerana itu harga rumah di Lembah Klang terus meningkat," katanya.
  • Menurut Gerard, spekulator juga turut memainkan peranan dalam penentuan harga rumah. "Sebagai contoh, pemilik yang membeli kediaman di projek perumahan fasa pertama (RM300,000) sudah tentu akan melihat harga yang berbeza dengan rumah yang dibina di fasa kedua. Pastinya harga rumah di fasa kedua lebih tinggi berbanding fasa pertama. Boleh jadi ia akan mencecah sehingga RM500,000 sebagai contoh.
  • "Ketika ini, pemilik kediaman di fasa pertama mengambil kesempatan dengan menjual rumah mengikut harga rumah yang dibina di fasa kedua. Bahkan mereka boleh menjual lebih dari harga pasaran. Walaupun pemilik dan bakal pembeli masih boleh berunding tentang harga, tetapi pemilik asal akan dapat mengaut keuntungan hasil daripada jualan rumah. Golongan seperti ini juga penyumbang kepada kenaikan harga rumah," katanya.
  • Bagi Gerard, harga rumah hanya boleh dikawal mengikut keperluan dan permintaan. Jika permintaan tinggi maka harga rumah turut meningkat.
  • Harga bahan mentah naik 10 peratus, kenaikan paling tinggi. Berkuat kuasa 1 Mei tahun ini, semua harga bagi bahan binaan utama meningkat sehingga 10 peratus.
  • Kos pembikinan, pengangkutan, kenaikan bahan api dan bermacammacam kenaikan kos berkaitan semuanya menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan ini. Kenaikan pula berlaku saban tahun. Adakala dua kali dalam tempoh 12 bulan, dan ia berlaku tanpa notis.
  • Pembekal pula tiada pilihan selain menaikkan harga bahan binaan kerana mereka juga perlu menanggung kos terbabit.
  • Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas 'F' Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, kenaikan itu difahamkan adalah yang tertinggi sejak 2007.
  • "Bahan binaan utama termasuk besi, simen, pasir dan batu konkrit. Kenaikan melibatkan semua projek-projek di seluruh negara, namun bagi projek perumahan di kawasan pedalaman atau luar bandar, kosnya lebih tinggi berbanding di kawasan Bandar kerana kos pengangkutan dan penghantaran yang perlu ditanggung pembekal.
  • "Pada 2008, harga simen ketika itu RM8.50 satu beg. Kemudian naik sehingga 100 peratus dan mencecah RM16. Harga simen pula saban tahun meningkat. Harga besi kini RM2,000 tapi pernah mencecah sehingga RM4,000 pada 2008," katanya.
  • Katanya kenaikan yang mendadak ini turut menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat kontraktor dan pemaju yang terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek kerana melebihi bajet diluluskan.
  • Rumah teres RM1 juta menjelang 2020? Dari jangkaan dalam prospek jangka panjang, harta tanah kediaman akan terus meningkat pada masa akan datang.
  • Menurut JPPH, adalah tidak menghairankan menjelang 2020 rumah teres akan mencecah RM1 juta. Bahkan di lokasi panas, rumah sedemikian telah pun mencapai harga RM1 juta.
  • "Seiring dengan perkembangan masa dan senario serantau, rumah–rumah kediaman akan meningkat dari segi harga disebabkan harga bahan binaan yang meningkat dan kekurangan penawaran tanah di bandar utama seperti Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan sekitarnya.
  • "Kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan dan prospek harta tanah berkenaan akan terus meningkat seiring dengan langkah kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.
  • Katanya, isu kenaikan harga rumah dilihat sebagai senario yang lumrah dan berlaku di mana-mana negara sedang membangun. Di Malaysia, seperti dalam rekod-rekod yang lalu, kadar kenaikan harga rumah akan berbeza mengikut lokasi dan kawasan ‘panas’ yang menjadi pilihan pembeli dan pelabur.
  • Sektor harta tanah merupakan sektor penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Kenaikan harga pada kadar yang biasa adalah sihat kerana ia membantu pertumbuhan industri harta tanah. Apa yang perlu dibendung adalah kenaikan harga yang mendadak.
  • GST tidak jejas harga rumah. Pengenalan GST akan menyebabkan kesan ‘one-off’ sekali sahaja ke atas kenaikan harga rumah di pasaran.
  • Menurut JPPH, walaupun sektor kediaman tidak dikenakan GST, namun sektor-sektor lain yang menyumbang kepada kediaman dikenakan GST seperti bahan binaan, Fi profesional dan lain-lain.
  • "Ini akan memberi sedikit impak kepada harga rumah di masa hadapan. Pelaksanaan GST dijangkakan akan mempengaruhi harga rumah disebabkan GST akan dikenakan ke atas bahan binaan dan industri pembinaan walaupun pembelian rumah kediaman dikecualikan dari GST.
  • Sementara itu, rata-rata pemaju melahirkan rasa kebimbangan terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April depan yang dikatakan bakal meningkatkan lagi harga rumah.
  • Bagi Tukiman yang sudah menghadiri beberapa sesi taklimat mengenai GST bersama Kastam. GST tidak menaikkan harga rumah.
  • "Ketika ini, setiap barangan dikenakan cukai berbeza. Tetapi sebaik GST dilaksanakan kesemua cukai tersebut menjadi satu. Bahkan setiap pembekal, pengedar dan peruncit boleh mendapat rebat. Ini bermakna, tiada sebab mengapa cukai tersebut perlu dipindahkan kepada pembeli.
  • "Bagaimanapun cukai tersebut tidak tertakluk kepada projek perumahan individu atau persendirian. Di mana pemilik rumah harus membayar GST kepada pemaju," katanya yang menyokong penuh pelaksanaan GST. – Sinar Harian


Kian sukar memiliki rumah di bandar

  • Kira-kira 25 tahun lalu, dengan pendapatan tetap RM800 hingga RM1,200 sebulan sudah mampu memiliki rumah teres tiga bilik berharga RM55,000.
  • Sekarang kakitangan lepasan universiti dengan pendapatan tetap RM2,500 hingga RM2,800 pun belum mampu membeli sebuah rumah.
  • Harga rumah sekarang amat mahal. Sudah tiada harga rumah murah seperti RM25,000 hingga RM42,000 lagi. Tidak ada lagi rumah teres dua tingkat yang berharga RM80,000 hingga RM125,000. Rumah-rumah yang tidak banyak berbeza dengan reka bentuk 25 tahun lalu itu sekarang tidak ada yang berharga bawah RM500,000.
  • Di kawasan pinggir Kuala Lumpur pun harga rumah dua tingkat melambung hingga RM600,000. Kalau yang dibina tiga tingkat pula berharga RM800,000 hingga RM2 juta.
  • Apa yang menghairankan ialah walau bagaimana tinggi harganya, ia dilaporkan habis dibeli. Entahlah betul dibeli orang atau hanya mainan spekulasi pemaju dan agensi hartanah. Jadi berebut-rebutlah orang ramai mencari projek rumah baharu sekarang sebab takut harganya akan melambung tinggi lagi.
  • Cuba lihat bila rumah siap untuk diduduki, naiklah kain rentang yang mengiklankan rumah untuk dijual. Bukan satu tapi banyak yang diuruskan oleh agensi hartanah.
  • Sejak tahun 2007, aliran kenaikan harga rumah bagaikan tak terkawal. Dahulu bila Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan untuk menaikkan harga rumah murah dalam kawasan projek mereka, kerajaan akan cuba menghalangnya.
  • Tetapi kini tak siapa yang menghalang, dibiarkan sahaja pasaran yang menentukan harganya. Inilah harga yang kita lihat sekarang hingga orang Melayu tidak mampu lagi membeli rumah di kawasan bandar. Projek perumahan rakyat miskin atau rumah murah sudah lama tidak kelihatan.
  • Baru-baru ini saya bertemu seorang usahawan hartanah, beliau mengatakan orang Melayu tak berani berhutang dan pinjam wang untuk beli rumah atau ruang niaga. Hal ini berbeza dengan kaum bukan Melayu yang berani melabur beli hartanah.
  • Sambil ketawa beliau mengatakan kalau bukan Melayu itu tak bayar hutang, dia masih boleh lari ke Hong Kong atau Taiwan. Tapi kalau orang Melayu tak bayar hutang, mahu lari ke mana?
  • Baru-baru ini REHDA menjangka harga rumah akan naik antara tiga hingga empat peratus berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April 2015.
  • Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, kenaikan tersebut berlaku selaras dengan peningkatan kos membina rumah sebanyak kira-kira 20 peratus yang kini ditanggung oleh pemaju berikutan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir, simen, konkrit, premium tanah dan sebagainya.
  • Bayangkan kalau harga rumah sekarang paling murah pun RM500,000, bila naik tiga peratus bermakna kos rumah itu boleh naik RM15,000 lagi. Lagi mahal harga rumah itu maka bertambah mahal kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli.
  • Dalam hal ini, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertanggungjawab menguatkuasakan GST tahun depan menyangkal dakwaan REHDA. Namun hakikatnya kenaikan tetap berlaku walaupun kecil iaitu sekitar satu hingga dua peratus bergantung kepada kedudukan perumahan itu sendiri.
  • Saya membayangkan bagaimana anak-anak Melayu dan bumiputera hendak memiliki rumah sendiri jika begini trend harga rumah.
  • Harga rumah lama di Lembah Klang sekarang, kalau 25 tahun lalu berharga RM42,000 kini harganya meningkat daripada RM75,000 hingga RM115,000. Rumah teres tiga bilik yang dibeli 30 tahun lalu pada harga RM28,000 kini mencecah lebih RM260,000.
  • Apakah anak-anak muda hanya layak untuk membeli rumah lama sahaja? Setakat ini kita hanya mendengar banyak keluhan pembeli, tapi langkah-langkah memudahkan untuk memiliki rumah belum menyeluruh.
  • Pembeli tidak boleh hanya mengharap Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) kerana mereka yang layak pun begitu ramai. Kalau golongan berpendapatan rendah dibela untuk membeli rumah, bagaimana golongan berpendapatan sederhana?
  • Selama berlaku harga rumah mendadak tinggi, hanya digembar-gemburkan kos itu dan ini naik. Rakyat pun ingin tahu, tak mungkin harga simen satu kampit melambung sampai RM200. Begitu juga harga bahan-bahan binaan lain.
  • Setakat ini rakyat belum diberitahu secara jelas - fakta dan faktor - yang menyebabkan harga rumah melambung. Perkara yang sering dihebahkan ialah faktor spekulasi harga hartanah. – Oleh: Azman Anuar.


Bicara Tun Mahathir soal minda Melayu

  • SETIAP kali berkesempatan mewawancara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau tidak pernah berhenti daripada membicarakan tentang nasib dan masa depan orang Melayu.
  • Jelas bagi beliau walaupun sering sahaja mengkritik pedas tentang sikap dan mentaliti orang Melayu, namun itu semua hanyalah ingatan dan nasihat ikhlas beliau yang tetap berusaha mahu melihat bangsa yang disayanginya itu maju dan berkemampuan seperti bangsa-bangsa hebat lain.
  • Dr. Mahathir tetap menekankan supaya orang Melayu lebih rajin, ikhlas dan menguasai bahasa Inggeris supaya nasib mereka lebih terbela bukan sahaja di bumi sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.
  • SOAL: Semasa Tun hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri, antara faktornya kerana Tun gagal mengubah sikap dan budaya orang Melayu. Setelah 11 tahun berlalu, bagaimana Tun melihat minda orang Melayu sekarang?
  • MAHATHIR: Saya bukan letak jawatan pasal saya gagal untuk mengubah minda orang Melayu tetapi sebab sudah terlalu lama. Sebenarnya banyak lagi kerja hendak kena buat tetapi kalau kita duduk terlalu lama, orang naik bosan.
  • Ada orang bercakap bila lagi orang tua ini hendak pergi. Sebab itu saya letak jawatan. Kalau saya boleh, saya masih hendak berusaha tukar minda orang Melayu kerana bagi saya - berjaya atau tidak seseorang atau sesuatu bangsa atau negara, bergantung kepada nilai hidup yang dia pegang dan dia amal.
  • Bukan pegang, amal sama. Antara terima dengan amal, berlainan. Kita terima, kita tahu ini baik, ini tidak baik. Kadang-kadang kita larang yang ini jangan buat, kita buat juga. Tidak apa, orang tidak tahu. Itu yang jadi masalah.
  • Saya punya fokus satu sahaja. Yang pertama, rajin. Rajin bekerja dan dalam apa kerja pun kita buat, mesti rajin. Sebab itu, saya cuba tunjuk masa saya jadi Perdana Menteri, 'Kepimpinan Melalui Teladan.' Kalau pemimpin malas, jangan harap orang yang di belakang dia hendak jadi rajin.
  • Sebab itu, saya kerja lebih daripada orang lain. Ini sudah pencen 11 tahun. Saya mula kerja bila orang lain pencen, umur 56. Orang lain (umur) 56 berhenti kerja. Saya umur 56 mula kerja (jadi Perdana Menteri).
  • Lepas itu, hendak kena tunjuk kepada orang pula, kena kerja, mesti kerja kuat. Siang malam saya kerja. Saya sebagai Perdana Menteri, tidak ada 'time' (waktu kerja) pukul 8 (pagi) sampai 5 (petang) atau pukul 9 (pagi) sampai 4 (petang). Tidak ada. Bagi saya, sepanjang masa, saya Perdana Menteri. Keluarga pun tidak ada (masa).
  • Sebab itu saya, kadang-kadang orang tanya, macam mana baharu balik dari luar negeri, tiba-tiba kerja. Pergi luar negeri, hari ini saya sampai, hari itu juga saya kerja atau esok saya kerja. Dahulu kalau pergi luar negeri, balik kena cuti dua minggu. Itu membazir. Sebab itu saya hendak tunjuk, tidak mati dengan kerja kuat. Mati kerana lain, bukan kerana kerja kuat.
  • SOAL: Melihat kepada suasana sekarang, adakah Tun melihat orang Melayu masih belum rajin?
  • MAHATHIR: Belum rajin. Umpamanya tidak rajin belajar. Kalau kita pergi universiti, 70 peratus perempuan. Budak-budak jantan (lelaki), apa dia buat? Jadi mat rempit. Itu saya kata tidak rajin. Bila pergi universiti pula, tidak belajar betul-betul. Tidak baca buku, baca setakat disuruh sahaja.
  • Cuti sekolah pun macam itu. Masa zaman dahulu, bila naik 'standard' (kelas), dapat buku teks baharu, saya habiskan buku teks itu tidak sampai sebulan. Ini baca setakat itu sahaja. Sepatutnya, kalau kita hendak dapat pengetahuan, kita tidak boleh baca buku teks sahaja. Kena baca macam-macam buku. Saya baca berpuluh buku terutama dalam bahasa Inggeris.
  • Saya malu, budak-budak Cina belajar tiga bahasa tetapi cakap bahasa Inggeris lebih fasih daripada budak-budak Melayu. Kita belajar dua bahasa sahaja, Melayu dengan Inggeris tetapi orang-orang Melayu cakap cukuplah apa hendak belajar Inggeris lagi.
  • Cara hendak belajar Inggeris dengan membaca. Saya bukan tahu sangat grammar (tatabahasa) ini semua. Saya baca banyak. Jadi, bila saya tulis sesuatu, saya berasa tidak kena pasal sudah baca buku bahasa Inggeris. Kalau kita baca buku banyak, rajin dan kalau boleh, kita kena sebut apa yang kita baca.
  • Bukan baca sahaja. Insya-Allah kita akan menguasai bahasa Inggeris dengan mudah. Kita seronok pula sebab kita baca buku cerita. Dalam bahasa Inggeris, banyak buku cerita. Kadang-kadang kita pegang itu, kita mula baca, hendak berhenti tidak boleh pasal seronok. Dia pandai atur. Dari bab ini kepada bab ini, ada sesuatu yang kita tertanya-tanya apa jadi. Kalau tidak baca lagi, tidak dapat jawapan.
  • Apabila saya kena kendali krisis kewangan hari itu (1998), saya tidak tahu pasal perbankan. Saya kena belajar pasal perbankan, kena baca buku pasal perbankan. Kalau kita rajin baca dan kalau kita boleh baca, orang Kedah kata derah-derah (nada kuat), mereka boleh acquire (dapat).
  • Mungkin sebutan kita tidak kena tetapi sekarang ini kita boleh tengok televisyen dan dengar. Kalau kita ambil cakera padat yang ajar bahasa, kita boleh tahu macam mana hendak sebut sesuatu perkataan. Orang putih ini tidak pandai eja. Dia eja lagu lain tetapi sebut lagu lain, tidak sebagaimana kita. Kalau kita tidak dengar mereka bercakap, kita tidak tahu cakap.
  • SOAL: Tun berusaha laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi sudah pun dimansuhkan. Sekarang pula, kerajaan menetapkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mesti lulus Bahasa Inggeris dan pelajar universiti mesti lulus Bahasa Inggeris sebelum tamat pengajian. Macam mana Tun melihat perubahan dasar untuk mengukuhkan bahasa Inggeris?
  • MAHATHIR: Kita pisahkan, satu penguasaan bahasa, satu penguasaan ilmu. Kita pergi ke sekolah, bukan hendak belajar bahasa sahaja. Baik bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kita hendak dapat ilmu.
  • Ilmu yang kita dapat itu, yang datang kepada kita, kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Dalam primary level, adalah dalam bahasa Melayu tetapi dalam bidang sains dan matematik, ini jenis ilmu yang bergerak. Ia bukan statik. Ilmu lain statik macam Geografi dan Sejarah.
  • Macam sejarah, kalau tahun ini ada peperangan, dia tidak boleh tukar tahun lain. Geografi pula, kalau negeri itu sempadan ia macam itu, tidak tukar. Tetapi sains, tiap-tiap hari ada orang buat penyelidikan dan dia keluar keputusan penyelidikan.
  • Kalau cari dalam buku tidak ada, kena baca. Jadi, kalau kita tidak tahu bahasa Inggeris macam mana kerana semua kertas penyelidikan datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, tidak datang dalam bahasa Melayu. Sebab itu, saya perkenal pembelajaran Bahasa Inggeris dalam dua subjek. Yang lain semua tidak ada dalam bahasa Melayu sebab tidak berubah. Sekarang kegunaan matematik begitu terkehadapan.
  • Kalau hendak hantar seseorang ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kena tahu matematik sebab tapak pelancaran ini bergerak. Sebab itu, matematik amat penting, sains amat penting dan ini adalah ilmu yang bertambah setiap hari. Penggunaan kalkulator umpamanya, kita dahulu tulis dalam banyak huruf.
  • Kita punya Jawi 36 dan rumi kurang sedikit tetapi kita guna nombor binari yang boleh eja sebarang. Kita kena belajar pasal ini. Kalau tidak macam mana, dalam kalkulator kita, kita tekan-tekan nombor, ia keluar nombor. Ia pakai nombor binari. Bila kita tekan, kuncinya cuma ya atau tidak sahaja, 'zero and one' (0 dan 1) tetapi dengan 0 dan 1, kita boleh eja lebih banyak benda daripada menggunakan abjad.
  • Kita guna abjad, kita tidak boleh eja semua. Umpamanya, cakera padat video (VCD) kamu. Kamu dengar suara dengan gambar itu sempurna sebab setiap satu benda, setiap satu warna, ia ada kodnya, hanya 1010110. Ini nombor binari. Kita tidak faham benda ini.
  • Dalam dunia yang guna nombor binari yang boleh hasilkan komputer dan telefon. Telefon merupakan satu benda yang hebat. Dahulu kita ada stesen penyiaran. Buat rumah besar dan macam-macam kita pasang, hendak buat penyiaran dan kita ada radio hendak dengar.
  • Sekarang dalam poket kamu, ada stesen penyiaran dan stesen penerima. Ini hasil daripada nombor binari dan sains. Kita tidak jadi orang putih kalau guna bahasa Inggeris. Saya jadi orang Melayu, lebih Melayu daripada kebanyakan orang Melayu lain.
  • Mengenai mesti lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, kena belajar kalau tidak, kita tidak lulus, apa guna kita belajar. Kena ada sukatannya. Kalau kita duduk darjah satu dengan darjah lain, tentulah ada sukatan. Kalau tidak ada sukatan, macam mana kita hendak tahu.
  • Kita juga harus ingat, hari ini bahasa dunia ialah bahasa Inggeris. Kita perlu tahu bahasa kita tetapi kita perlu tahu bahasa Inggeris. Dalam dunia sekarang, manusia mesti ada dua bahasa iaitu bahasa ibunda dan bahasa ilmu. Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu. Bila dia (kerajaan) kata kena lulus Bahasa Inggeris, saya sokong.
  • Baru-baru ini, ada 300 pemohon minta kerja di Cyberjaya. Dia ditanya dalam bahasa Inggeris tetapi minta tanya "boleh tak tanya dalam bahasa Melayu." Jadi gagallah dia, sebab orang itu hendak guna bahasa Inggeris tetapi kamu tidak faham bahasa Inggeris.
  • Jadi dalam 300 orang, cuma tiga orang dapat kerja. Tetapi daripada 300 orang ini, apabila diberi kursus dalam bahasa Inggeris sehingga dia boleh tulis dan bercakap, dapat kerja. Hakikatnya ialah bahasa Inggeris ialah bahasa untuk kita dapat kerja dan pendapatan bagi kita.
  • Bukan bermakna bahawa kalau kita guna bahasa Melayu, kita tidak Melayu, kita masih Melayu. Saya masih Melayu walaupun saya boleh guna bahasa Inggeris, saya ingat baik juga, bolehlah hendak bercakap dengan siapa pun dan buat ucapan pun boleh tetapi saya tidak jadi orang putih.
  • Ini bila cakap sahaja, kata kita semua hendak bahasa Melayu. Saya ingat rugi dan bangsa kita boleh jadi bangsa yang hanya boleh bercakap tetapi bodoh. Kalau macam itu tidak apalah, tetapi semasa saya jadi Perdana Menteri, saya tidak mahu orang Melayu jadi bodoh.
  • SOAL: Tun ada kata kaum Melayu masih kurang integriti dan bersifat malas, adakah begitu teruk pada pandangan Tun sendiri atau sudah banyak berubah berbanding dahulu?
  • MAHATHIR: Kalau banding dengan orang yang lebih malas, diri kita tidak teruklah. Tetapi kita kena banding diri kita dan mesti kena bersaing dengan orang, orang lain kerja kuat tetapi kita tidak kerja kuat. Kalau kita banding dengan orang malas, kita rajin tetapi kalau kita banding dengan orang lebih rajin, kita malas.
  • Kita sekarang berlumba. Kalau kita datang daripada belakang dengan sama kelajuan dengan orang di depan, kita tidak boleh catch up (kejar). Kalau kita lebih perlahan, kita semakin lama semakin jauh. Jadi, kita kena lebih cepat daripada orang yang di hadapan kita. Kalau tidak, sampai bila kita tidak dapat kejar.
  • Kita kena kerja lebih tekun, lebih kuat dan lebih rajin. Macam saya perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pasal saya perhati orang Jepun rajin bekerja. Kalau kena masuk kerja pukul 8 pagi, dia datang pukul 7.30 pagi. Masa kita perkenalkan etika kerja Jepun dalam Proton, pekerja datang awal, runding sesama mereka tentang apa sasaran hari ini dan apabila masuk waktu kerja, dia masuk kerja.
  • Masa saya makan tempura, saya perhati orang Jepun tidak pernah duduk diam. Dia basuh yang ini dan gilap yang itu. Hendak kata dia duduk melanguk, tidak ada. Tetapi kita, tidak ada apa kerja, hisap rokok dahululah. Orang yang bekerja ada sahaja kerja. Kalau berjalan pun, dia berjalan cepat. Dia tidak ada berjalan mundar-mandir.
  • SOAL: Generasi sekarang dibekal dengan kemudahan teknologi yang menyebabkan orang menjadi lebih malas. Adakah orang Melayu boleh bersaing?
  • MAHATHIR: Teknologi tidak menjadikan kita malas. Teknologi hanya memudahkan proses. Kalau mudah, kita boleh buat lebih kerja berbanding tidak ada teknologi. Kalau hendak kabad (karbaid) pokok, tidak ada tangga susah sedikitlah.
  • Kalau ada, boleh naik lima pokok sehari atau lebih banyak lagi. Itu teknologi bukan mengurangkan beban kerja tetapi meningkatkan beban kerja pasal teknologi mempermudahkan proses. Ini kita tidak faham.
  • Tengok sekarang orang guna telefon, dahulu hendak telefon hendak cari rumah dan dail. Kita boleh telefon sehari 10 kali mungkin. Sekarang kita boleh telefon sehari 100 kali. Ini teknologi. Bukan bermakna kita jadi lebih malas tetapi kita lebih produktif kerana ada teknologi.
  • Kamu tidak harus jadi lebih malas tetapi harus jadi lebih produktif. Kalau hendak kejar ilmu sekarang, dalam telefon pintar ada ilmu. Semua ada. Tinggal lagi kena tekan. Kalau malas hendak tekan yang itu, kamu tidak dapat ilmu. Ini orang Melayu belum faham. Bukan bermakna dengan ada teknologi, kerja kita jadi ringan, sebaliknya dengan kerja kita ringan, kita boleh buat lebih kerja.
  • SOAL: Jadi Tun yakin teknologi ini akan membantu orang Melayu jadi lebih berjaya?
  • MAHATHIR: Dia mesti rajin. Kena rajin belajar macam mana hendak guna teknologi. Dia boleh buat kerja lebih banyak daripada dahulu. Dahulu kalau hendak bercakap dengan satu orang, kena naik motokar pergi jumpa orang itu. Sekarang sudah tidak ada, cakap sahaja.
  • Kamu boleh kendalikan satu syarikat tanpa perlu keluar rumah. Bukan bermakna kita malas duduk di rumah tetapi kita buat kerja di rumah. Kita kena rajin guna masa untuk produktiviti pengeluaran yang lebih banyak kerana kemudahan.
  • Kedua, berkenaan kejujuran, ikhlas dan amanah. Sekarang ini saya ada kedai roti. Saya hendak kata terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina atau Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit, dia lupa, dia tak jujur. Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu.
  • Saya kena buang banyak orang Melayu kerana sikap ini. Orang Cina tidak begini. Kita orang Islam. Kita tahu apa makna amanah, apa makna ikhlas. Kalau kita janji buat kerja betul, kita kena buat. Ada seorang kita lantik jadi pengurus, dia cuba kongsi dengan pekerja-pekerja, kalau buat macam ini (menipu), kita boleh sapu duit.
  • Pekerja beritahu kita, kita buang dia. Ada juga jadi pengurus, duit dapat, tidak masuk dalam bank, sapu. Ada yang bila jual barang, dia jual barang terima duit tetapi dia rekod jualan itu batal, duit dia ambil. Ini berlaku. Tidak ada amanah.
  • Kalau kita ada amanah, apabila kita hendak hutang duit, orang akan beri sebab orang tahu kita akan bayar. Berapa banyak orang Melayu bila hutang, tidak bayar. Dapat biasiswa, tidak bayar balik. Bukan tidak ada duit, tetapi tidak bayar.
  • Kita kena amanah. Apabila kita amanah, kita hutang kita bayar, orang punya duit kita urus dengan baik, kita tidak curi, orang Melayu akan jadi cukup berjaya. Kita mesti amanah supaya apabila orang beri kontrak kepada kita. Kita hendak beri kontrak, kita beri kepada Cina sebab kita tahu dia buat elok.
  • Ini kelemahan kita, tidak amanah. Saya tidak pernah hendak tipu diri. Kalau malas, saya kata malas. Kalau orang tidak suka, tidak sukalah. Sepanjang saya jadi Presiden UMNO, saya berleter sepanjang masa.
  • SOAL: Macam mana dengan penglibatan orang Melayu Islam dalam aktiviti jihad. Sekarang mereka sudah berani pergi ke negara lain untuk berperang dengan orang Islam sendiri. Apa pandangan Tun?
  • MAHATHIR: Ia bermula dengan ajaran Islam yang salah. Apa kita belajar dalam bidang agama? Macam mana hendak sembahyang, puasa, zakat, buat kerja haji. Yang ini kita kata wajib. Tetapi Islam adalah ad-din, cara hidup.
  • Dalam cara hidup itu ada banyak perkara yang dilarang dan banyak perkara disuruh. Yang ini tidak ajar. Umpamanya dalam al-Quran disebut, orang Islam tidak boleh bunuh orang terutamanya orang Islam lain.
  • Kita tidak boleh persoal keislaman atau taraf keislaman orang semata-mata kerana dia berbeza sedikit daripada kita. Ya, kita tidak suka orang Syiah datang sini. Kita tidak ada masalah. Alhamdulillah, kita semua orang Melayu, Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Imam Syafie. Imam Syafie cukup ketat.
  • Kita tidak tolak Maliki, Hambali dan Hanafi tetapi kita tolak Syiah. Kita tidak bersetuju dengan dia, kita tidak mahu dia datang sini tetapi kita tidak boleh kata dia ini kafir. Ini sudah sampai kepada satu tahap, orang Syiah ini kafir, kita bunuh dia. Itu salah. Dia mengucap dua kalimah syahadah, dia sembahyang, dia terima nabi, dia terima Allah SWT. Sebab itu saya kata sebabnya orang ini pergi berjihad kerana tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Sebaliknya, mereka ajar supaya orang Islam bermusuh dengan orang Islam.
  • Orang ini kata, Oh! Jihad. Bunuh orang Islam jihad. Kamu berdosa dan kamu akan pergi ke neraka pasal kamu bunuh orang Islam. Kamu tengok macam mana mereka bunuh. Letak berderet, tembak dengan pistol. Adilkah? Tidak ada bicara dan tidak ada apa. Islam mengutamakan keadilan.
  • Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Berkali-kali disebut dalam al-Quran. Adilkah dengan tidak ada bicara, kamu bunuh dia kononnya dia bukan Islam. Tetapi orang Syiah yang dibunuh ini semua sembahyang dan orang Syiah pula bunuh orang Sunni.
  • Di mana dalam al-Quran, disuruh Syiah dengan Sunni ini berperang. Dalam al-Quran, ada satu Islam sahaja. Kita yang buat tiga Islam, empat Islam. Sekarang ini, ada 1,000 Islam. Islam `Ayah Pin' pun ada. Benda ini semua tidak betul.