Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan |
- Kemungkinan berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam sering dijadikan alasan untuk pihak berkuasa agama menegah atau melarang sesuatu perkara yang berkaitan amalan harian.
- Biarpun niat pihak berkuasa agama itu baik dan murni apabila mengeluarkan sesuatu hukum, alasan mudah seperti itu menimbulkan persepsi negatif terhadap umat Islam, seolah-olah mereka golongan yang mudah keliru. Ironinya, umat Islam kini lebih keliru dengan beberapa fatwa yang dikeluarkan sejak kebelakangan ini seperti pengharaman menghisap shisha kerana memudaratkan kesihatan.
- Tidak semua negeri mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu atau menguatkuasakan fatwa yang sudah diwartakan. Begitu juga apabila majlis fatwa sesuatu negeri membuat keputusan, ia tidak diikuti atau diwartakan negeri lain. Ini menjadikan sesuatu itu haram di negeri tertentu, tetapi tidak haram di negeri lain.
- Tambahan pula, alasan memudaratkan kesihatan untuk mengharamkan sesuatu perkara itu terlalu umum. Terlalu banyak dalam kehidupan seharian kita, termasuk makanan harian, adalah sesuatu yang boleh memudaratkan kesihatan.
- Justeru, apabila sesuatu fatwa berhubung perkara yang kabur dan tidak disepakati masyarakat dan dunia Islam dikeluarkan, penerimaannya adalah pelbagai – ada pihak yang menerimanya dan ada pula yang mempersoalkannya. Inilah akibatnya apabila sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu tidak jelas.
- Ditambah dengan kelonggaran penyelarasan atau penyeragaman perundangan syariah di antara negeri, penguatkuasaan sesuatu fatwa itu menjadi sukar atau tidak mungkin langsung.
- Ketika mengalu-alukan kesediaan Majlis Fatwa Kebangsaan menyeragamkan pelaksanaan hukum dan fatwa secara holistik di seluruh negara bagi memudahkan penguatkuasaan, kita berharap pihak terbabit dapat menilai semula keputusan sebelum ini yang agak kabur atau terlalu umum.
- Tidak salah untuk menilai semula keputusan yang lemah atau boleh diperdebatkan dengan hujah kerana matlamat fatwa adalah untuk melindungi kemaslahatan dan akidah umat Islam.
- Sikap suka menghukum insan lain perlu digantikan dengan sifat membimbing atau mendidik ummah. Memang mudah untuk mengharamkan sesuatu yang harus atau makruh, tetapi tindakan itu hanya akan menimbulkan masalah lain.
- Natijahnya, sesuatu keputusan atau tindakan itu mestilah berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan. Sudah tentu kita tidak mahu Islam dilihat sebagai agama yang jumud manakala umatnya sebagai golongan manusia yang keliru dan mudah dikelirukan kerana ini menunjukkan kita gagal berperanan sebagai golongan beriman. -- BH
No comments:
Post a Comment