Thursday 27 March 2014

122 gambar ditemui tapi belum sah MH370

  1. Biarpun sudah ada gambar satelit yang menemui 122 objek di Lautan Hindi, setakat ini masih belum ada pengesahan ia merupakan bangkai pesawat MH370. Seperti biasa PWTC dihujani pelbagai pertanyaan pelik-pelik, namun MH370 belum disahkan berpusara di koridor selatan Lautan Hindi.
  2. Terbaru, imej satelit Airbus Defence and Space yang diteliti Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA) menemui 122 objek berpotensi serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.
  3. Objek-objek yang bertebaran di kawasan seluas 400 km persegi itu terletak 2,557 km dari Perth, Australia. Objek-objek itu didapati bersinar, berbentuk keras dan objek paling panjang berukuran 23 meter.
  4. Kerajaan segera menyalurkan maklumat satelit itu kepada pusat koordinasi operasi di Perth, Australia dan ini merupakan petunjuk terbaharu. Dengan ini, Malaysia sudah mempunyai empat petunjuk imej satelit termasuk daripada Australia, China dan Perancis untuk mengesan serpihan pesawat. Namun setakat ini kerajaan tidak boleh memaklumkan sama ada objek yang berpotensi itu adalah dari MH370.
  5. Bagi operasi pencarian, Australia terus kekal mengetuai pencarian di selatan Lautan Hindi. Operasi dipecahkan kepada dua sektor iaitu timur dan barat dengan melibatkan penyertaan pelbagai aset udara dan marin.
  6. Pencarian udara di sektor timur akan melibatkan satu pesawat P3 Orion Australia, tiga pesawat sivil Australia, satu pesawat Ilyushin IL-76 China dan satu pesawat P3 Orion Australia.
  7. Pencarian di sektor barat pula melibatkan satu pesawat Amerika Syarikat (AS) P8 Poseidon, satu pesawat Korea Selatan P3 Orion, satu pesawat Jepun P3 Orion, dua pesawat Australia P3 Orion dan satu pesawat sivil Australia. Kapal Australia HMAS Success telah dihantar ke sektor barat manakala kapal China, Xue Long dihantar ke sektor Timur.
  8. Sementara itu, sebuah kumpulan kerja antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji lebih lanjut data daripada satelit Inmarsat dan menentukan lokasi terakhir pesawat MH370. Kumpulan itu terdiri daripada Inmarsat, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), Jabatan Penerbangan Awam China (CAAC), agensi AAID dari China, National Transport Safety Board (NTSB) AS, Federal Aviation Administration (FAA) AS, Boeing, Rolls Royce dan agensi- agensi Malaysia berkaitan.