Thursday 19 December 2013

Tolonglah... jangan naikkan harga tol



Kadar tol akan naik?
  • The Star melaporkan, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata, walaupun kerajaan belum mengumumkan kenaikan kadar tol, mereka harus memenuhi janji pada PRU-13 yang lalu.
  • "Perkara penting di sini adalah manifesto kita menyatakan bahawa kadar tol akan dikurangkan secara berperingkat dan oleh itu, BNBBC berharap tidak akan ada sebarang kenaikan," kata Shahrir.
  • Manifesto itu turut menyatakan antara perkara lain yang ditekankan Barisan Nasional (BN) adalah untuk mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat-peringkat' dalam tempoh lima tahun akan datang.
  • Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu berkata, tiada sebarang rancangan oleh BNBBC untuk membantah kenaikan tersebut kerana kerajaan masih belum mengesahkan mengenai perkara itu.
  • "Isu itu masih dibincangkan oleh kerajaan, pemimpin-pemimpin BN yang terdiri daripada Ahli Parlimen di pelbagai kawasan tidak mempunyai pendapat yang sama mengenai perkara ini kerana tidak semua di kalangan kami mempunyai tol di kawasan masing-masing," katanya.
  • Walaupun pemimpin-pemimpin BN dari Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang mengenai kenaikan kadar tol itu kerana kawasan mereka tidak terlibat, Ahli Parlimen lain, terutamanya mereka yang tinggal di Lembah Klang dan beberapa bandar utama amat bimbang mengenai perkara ini.
  • Shahrir berkata, pemimpin-pemimpin BN yang menentang kenaikan kadar tol terkesan mengenai isu ini kerana pengurangan kadar tol, terkandung dalam manifesto parti itu ketika menarik pengundi.
  • "Namun, kita juga menyedari bahawa tidak menaikkan kadar tol akan bermaksud, mungkin ada kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan," katanya.
  • Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semula kerajaan BN agar mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol.
  • Menurutnya, ia adalah kerana BN pada PRU13 lalu telah berjanji secara spesifik melalui akujanji pilihan raya bahawa akan mengurangkan tol secara berperingkat.
  • "Dalam konteks tol, di bawah tajuk 'Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar', untuk 'mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat. Saya menaruh keyakinan bahawa Perdana Menteri akan melihat perkara ini dengan lebih komprehensif. Apabila Perdana Menteri umum 'kos sara hidup' sebagai agenda utama akujanji, ianya pasti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya, semalam.
  • Selangorkini melaporkan, Kerajaan Negeri Selangor sudah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki pegangan minoriti saham dalam beberapa syarikat konsesi tol menentang kenaikan kadar tol tahun depan.
  • Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melalui anak syarikat itu, kerajaan negeri memiliki tidak lebih 30 peratus saham dalam setiap syarikat.
  • Beliau juga telah mengarahkan Ahli Lembaga Pengarah yang mewakili PKNS membuat beberapa cadangan supaya kenaikan kadar tol tidak berlaku demi kepentingan rakyat.
  • “Kita berharap perkara ini dapat dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah. Kita rasa pulangan diperoleh PKNS melalui pelaburan dalam syarikat konsesi adalah baik. Maka tidak perlu dinaikkan kadar tol walaupun (dalam) perjanjian syarikat itu termaktub boleh menaikkannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat  Kerajaan Negeri, di sini, semalam.
  • Beliau diminta mengulas kenyataan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersetuju mengeluarkan arahan kepada wakil kerajaan dalam syarikat konsesi untuk tidak menyokong kenaikan kadar tol.
  • Abdul Khalid berkata, beliau difahamkan PKNS menerima pulangan keuntungan 35 peratus melalui pelaburan di dalam syarikat konsesi.
  • “Majoriti pemegang saham mungkin memikirkan mengenai soal aliran wang tetapi kerajaan negeri ada tanggungjawab dengan rakyat dan kita minta PKNS suarakan pandangan jangan kenakan kadar tinggi kepada rakyat.
  • Khalid  bagaimanapun mengaku keputusan terakhir akan dibuat lembaga pengarah lebuh raya berkenaan dan bukan keputusan kerajaan negeri.
  • Harakah melaporkan, jika kerajaan boleh mengambilalih pengendalian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), mengapa kerajaan tidak boleh mengambilalih syarikat-syarikat konsesi tol, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.
  • "Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar serius mahu membantu rakyat daripada tekanan kenaikan tol, mengapa tidak ambilalih pengendalian tol dari syarikat-syarikat yang diberikan konsesi seperti yang dilakukan ke atas pengendalian AES?
  • "Jika kerajaan ambil alih, tidak timbul lagi soal perjanjian atau apa sahaja yang menjadi alasan kerajaan untuk membenarkan kenaikan tol," kata beliau.
  • Bagi Mahfuz, badan-badan kerajaan seperti  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham utama hampir kesemua syarikat konsesi tol.
  • "Dengan pegangan sedemikian besar, kerajaan boleh mencari jalan untuk mengelakkan kenaikan tol. Perjanjian itu bukannya al-Quran sehingga tidak boleh disemak semula kewajarannya," kata beliau.
  • Mahfuz juga menolak alasan kononnya tindakan menghalang kenaikan tol akan mengurangkan jumlah dividen yang bakal diterima pencarum KWSP yang mempunyai pegangan besar dalam syarikat-syarikat tol
  • "Alasan itu tidak boleh digunakan untuk mewajarkan tekanan syarikat-syarikat konsesi tol ke atas rakyat. Bukan semua rakyat menjadi pencarum KWSP. Malah bagi rakyat yang menjadi pencarum KWSP pun, tol yang mereka bayar jauh lebih banyak dari dividen yang mereka terima," kata beliau.
  • Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini berkata pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi, sedangkan bagi kerajaan kenaikan tol pada tahun hadapan adalah munasabah.

Anak muda perlu kenal dan peduli dengan Yassin Salleh

Yassin Salleh dibadai derita
 
  • Penyair, dramatis, pengarah filem Yassin Salleh mungkin percaya dia memang dilahirkan untuk menderita. Hidupnya tidak pernah senang. Selama 30 tahun dia menjaga isterinya yang sakit. Kini setelah kematian isterinya, dia pula menghidap strok dan anak perempuannya pula sakit.
  • Ramai yang mengenal Yassin sebagai pengarah filem Dia Ibuku, filem yang memecahkan rekod kerana pencalonan paling banyak bagi sesebuah filem (17). Filem itu menang 10 anugerah dalam Festival Filem Malaysia 1981, rekod yang belum pernah dipecahkan dalam sejarah filem tanah air.
  • Tetapi Yassin mahu diingat sebagai penyair. Wajarlah dia menjadi Bapa Puisi Siber Malaysia. Teknologi SMS membawakan rahmat kepada orang-orang sepertinya. Yassin di antara penyair awal yang menerima teknologi baharu ini. Dia menggunakan SMS sebagai wahana berkarya. Dia mengaku sukar untuk mendapat tempat di media arus perdana.
  • Dia menulis puisi melalui internet – menghantarnya melalui e-mel dan selalunya melalui SMS. Ruang itu tanpa batas. Tiada siapa yang memilikinya. Itu alam bebas lepas, tanpa undang-undang dan peraturan, ruang koboi yang terbuka luas. Itu ruang baharu sastera yang tidak bertepi.
  • Yassin menghantar mungkin ribuan sajak melalui e-mel. Dan dengan apliksai baharu seperti Facebook, beliau mengambil kesempatan dalam ruang sosial networking itu untuk berkarya, bebas dan tanpa sekatan. Tanpa editor. Tanpa perlu menunggu lama untuk melihat karyanya disiarkan.
  • Yassin berkomunikasi terus dengan pembacanya. Dia menggunakan Facebook untuk berkarya, mencari teman dan menggoda kekasih. Dia menggunakan SMS untuk berpuisi. Dia menghantar puisi melalui e-mel. Yassin penyair media sosial nombor wahid.
  • Yassin berpuisi tentang dirinya. Tentang alamnya. Tentang kehidupannya. Tentang isterinya, Mummy yang pergi. Tentang anak-anaknya. Dia menghantar entah ribuan puisi SMS. Dan selalunya saya dan teman-temannya menerima puisi SMS jam 3.00 pagi kerana Yassin burung hantu yang berkarya sewaktu manusia lain tidur.
  • SMS memberikan rupa baru pada puisi. Ringkas, padat, cepat. Brevity ialah kuncinya. Sajak pendek bukan baharu. Sitor Situmorang mencipta sejarah sebagai penulis puisi paling pendek dalam sejarah manusia. Judulnya Malam Lebaran. Puisinya, Bulan di Atas Kuburan.
  • Yassin mengambil semangat Sitor Situmorang untuk berkarya. Sajak SMSnya ringkas, padat dan tepat. Dia menghabiskan pre-paid untuk itu. Dia menghantar puisi SMS pada siapa sahaja. Bukan satu, banyak – kepada teman, kekasih, siapa sahaja.
  • Yassin penggoda siber yang hebat. Facebooknya penuh dengan pengagum, peminat dan pencintanya. Dia menulis puisi untuk kekasih. Setiap orang kekasihnya. Setiap kekasih diulit oleh Yassin dengan cara yang berbeza. Itulah keistimewaan seniman penggoda yang bernama Yassin.
  • Saya mendapat ribuan sajak Salleh melalui e-mel dan SMS. Malah, apabila saya menulis tentang beliau dalam kolum saya di New Straits Times (‘No Room for the Grand Old Man of Cinema?’, 6 Mac 2010), saya memulakan dengan menyebutkan tentang puisi sibernya. Rencana itu merupakan tribute atau penghormatan saya pada beliau – sebagai penyair, penulis, pembikin filem dan lebih penting lagi, sebagai kawan.
  • Saya percaya Yassin tidak pernah dinilai secara adil dan saksama. Bukanlah maknanya Yassin mahu pengiktirafan daripada sarjana dan pengkaji, Yassin tidak perlukan semua itu, tetapi dunia keilmuan dan kesarjanaan sepatutnya berlaku lebih adil pada Yassin.
  • Dalam rencana itu saya menyebutkan bagaimana nampaknya dunia filem semasa tidak punya tempat untuk Yassin, si Grand Old Man of Cinema. Tulis saya, “…Yassin will go indie if he has to….He has gone indie with his cyber-poems, why not films?”
  • Saya cadangkan pada beliau, bukukan sajak-sajak sibernya. Pilih 300 yang terbaik – atau yang paling dekat dengannya – dan mencari penerbit. Maka lahirlah buku Simfoni Sepi. Asalnya Nyanyi Sunyi Simfoni Sepi. Tapi Nyanyi Sunyi itu judul puisi sasterawan Indonesia tersohor, Amir Hamzah. Saya cadangkan lupakan saja Nyanyi Sunyi. Gunakan Simfoni Sepi. Lagi pula banyak sajak ini ditulis selepas pemergian Mummy. Banyak sajaknya tentang kerinduan Yassin terhadap Mummy.
  • Saya percaya puisi-puisi siber Yassin ini ada tempatnya di persada sastera tanah air yang selalunya meminggirkan sasterawan seperti beliau. Mungkin dalam mencari Yassin sebenar, puisi-puisi dalam koleksi ini akan sedikit sebanyak membantu. Mungkin akan terungkai siapa Yassin Salleh yang sebenar – keluarbiasaan, keunikan, kegilaan – enigma seorang seniman yang benar-benar mengabdi dirinya pada kesenimanannya. Atau sekurang-kurangnya memahami makna kesusahan yang deritai. – Dato Johan Jaafar

Semua `panas baran' bila kadar tol naik

TOL SESAK
  • MAHU atau tidak, kita harus mengakui perkara yang membabitkan hal-hal kenaikan harga barangan atau perkhidmatan sememangnya cukup sensitif di hati rakyat. Senang cakap, rakyat cukup pantang mendengar harga barangan naik.
  • Sebabnya, begitu ramai pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini. Mereka inilah yang terpaksa menanggung bebannya apabila berlakunya sebarang kenaikan barangan keperluan mahupun perkhidmatan.
  • Kita baru hendak mengejar status negara berpendapatan tinggi, belum pun sampai lagi ke tahap itu, tetapi itulah yang ketaranya ketika ini banyak harga barangan atau perkhidmatan mahu naik.
  • Jadi apabila dikatakan kadar tol di beberapa lebuh raya utama negara akan dinaikkan, ia sudah pasti membangkitkan lagi rasa marah dan tidak puas hati orang ramai. Setelah menghadapi kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik naik tahun depan dan barang-barang keperluan lain yang turut dinaikkan peniaga, sudah tentu cadangan kenaikan ini bagaikan menyimbah minyak ke dalam api.
  • Mana tidaknya, ini bermakna kos sara hidup akan terus meningkat dan meningkat lagi tetapi pada masa yang sama pendapatan bulanan banyak itulah juga.
  • Rasa tidak puas hati dan marah ini, boleh ditinjau di mana-mana malah dalam laman-laman sosial juga. Seharusnya, pendapat dan suara-suara mereka inilah yang perlu diambil kira dan dinilai apabila membuat sebarang keputusan.
  • Ramai yang mempersoalkan tidak untungkah lagi syarikat-syarikat pengendali lebuh raya ini mengutip tol setiap hari dan kenapa perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat pengendali tidak boleh disemak semula demi kepentingan rakyat.
  • Sesuatu yang perlu diketahui dan diakui, rakyat tidak teruja atau mahu mendengar berapa juta atau bilionkah yang diperuntukkan untuk mana-mana projek bertahap mega. Yang mereka tahu dan mahu, apakah pulangannya kepada rakyat, dan apa yang kerajaan boleh lakukan untuk mengurangkan bebanan mereka.
  • Ini kerana rumah perlu dibayar ansuran bulanan, atau sewaan, duit perbelanjaan untuk makan, persekolahan anak-anak, kenderaan perlu diisi petrol, bil-bil asas, kos rawatan penyakit dan macam-macam lagi.
  • Paling tidak rasional, mengapa perlu membayar tol di lebuh raya-lebuh raya yang sentiasa sesak. Ada kawasan-kawasan yang tidak sepatutnya diletakkan plaza tol pun kerana ia hanya menyesakkan lagi laluan terutama di waktu puncak, masa pergi dan pulang bekerja. Bukankah sepatutnya, caj tol itu dikutip untuk melancarkan lagi perjalanan, bukan menyesakkan lagi jalan.
  • Aku bayar RM1.10 untuk sia-sia saja. Pagi ke, petang ke macam inilah sesaknya. Ini bukan aku nak minta duit tahu, nak kasi duit pun terpaksa beratur panjang," bebel seorang teman kepada saya ketika saya menumpang kenderaannya untuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, baru-baru ini. Marah betul dia dalam mengharungi ribuan kenderaan yang merangkak-rangkak menuju ke tol.
  • Tentunya, ramai melalui perkara yang sama yang membuatkan kita sering terlewat ke tempat kerja, menghadiri majlis-majlis dan mesyuarat-mesyuarat penting dan macam-macam urusan harian yang sepatutnya boleh dibereskan awal, akhir menjadi lewat pula.
  • Sepatutnya, perkara-perkara seperti ini perlu dipertimbangkan. Kenaikan kadar tol berbaloikah untuk rakyat jika terpaksa mengharungi arus kenderaan yang panjang dan banyak masa serta tenaga, dihabiskan di jalan raya saja.
  • Kita mahukan rakyat hidup berkualiti. Tetapi kualiti apa sangat yang dapat dinikmati sekiranya, selepas solat subuh terus menghidupkan enjin kenderaan pergi ke tempat kerja dengan lebih awal kerana bimbang akan kesesakan jalan raya, begitu juga pada waktu pulang kerja, keluar awal pun sampai ke rumah lewat juga. Anak-anak sudah tertidur menanti ibu bapa pulang.
  • Dan janganlah memberi alasan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif mengelak tol. Penggunaan lebuh raya kini adalah satu kemestian bukan lagi ada jalan alternatif boleh mengelak tol. Jika ada pun berbatu-batu jauhnya.
  • Tidak logik kerja di Kuala Lumpur, duduk di Shah Alam terpaksa mencari jalan jauh, berpusing-pusing untuk ke tempat kerja bagi mengelakkan tol. Berilah penjelasan yang lebih rasional daripada meminta orang ramai mengelak menggunakan atau membeli itu dan ini apabila harga sesuatu perkhidmatan atau barangan itu naik.
  • Apabila terus-terusan memberikan alasan yang serupa setiap kali harga barangan atau perkhidmatan naik, ia akan memberi persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan. Sedangkan banyak usaha yang telah dibuat untuk manfaat rakyat, tenggelam begitu saja, akibat salah beri penjelasan.
  • Bagaimanapun saya tetap percaya, sudah tentunya kerajaan mempunyai formula terbaik untuk mengurangkan bebanan rakyat. Asas kepada formula itu sudah tentulah dengan mendengar keluh kesah rakyat. -- Oleh Fauziah Arof

Isi kandungan HUDUD BRUNEI

Sultan Brunai melaksanakan perundangan Hudud baru-baru ini.

  • Berikut adalah ringkasan Hukum Hudud yang dilaksanakan di Brunei. (Dipetik dari http://miazarraannur.blogspot.com)
  • LELAKI BERLAGAK MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA
  • Mana2 lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana2 perempuan yg memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana2 tempat awam tanpa alasan yg munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali.
  • Mana2 lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana2 perempuan yg memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana2 tempat awam untuk tujuan yg tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
  • TIDAK MEMBAYAR ZAKAT ATAU FITRAH
  • Mana2 orang Islam yang telah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau keduanya sekali.
  • KHALWAT
  • Mana-mana orang Islam yg melakukan khalwat adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Mana-mana orang bukan Islam yg melakukan khalwat dengan orang Islam adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Dalam bab ini, KHALWAT bermakna (a) bersekediaman, bersekedudukan, berkurung; atau (b) Mengasingkan diri dalam keadaan berhampiran yg mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan maksiat.
  • TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT
  • Mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syar’ie atau tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.
  • TIDAK MENGHORMATI BULAN RAMADHAN.
  • Mana-mana orang yang memakan atau meminum atau menghisap apa jua tembakau ditempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Mana-mana orang yg menjual atau menghidang ada jua makanan atau tembakau untuk dimakan,diminum atau dihisap dengan serta merta di tempat itu juga, di tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya sekali.
  • Ceraian (2) hendaklah tidak dikenakan kepada mana-mana pengamal perubatan atau mana-mana orang lain yang menghidang apa jua makanan, minuman atau ubat kepada mana-mana pesakit semasa waktu-waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan yang tanpanya pesakit itu terjejas.
  • Jika mana-mana orang yg gagal mematuhi ceraian (2) dalam kedudukannya sebagai pekerja kepada orang lain, majikannya hendaklah dianggap telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan telah menyebabkan kesalahan itu dilakukan oleh sebab subahat itu melainkan dia dapat membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa kebenaran, kuasa, pengetahuan atau keizinannya dan dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah daripada perbuatan itu dilakukan.
  • HUKUMAN ZINA
  • Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara’ setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd seperti berikut:
  • (a) jika dia muhshan, direjam sehingga mati dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam; atau
  • (b) jika dia ghairu muhshan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.
  • Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan dengan keterangan selain yang diperuntukan di bawah ceraian (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan:
  • (a) jika dia muhshan, disebat tidak melebihi 30 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 7 tahun; atau
  • (b) jika dia ghairu muhshan, disebat tidak melebihi 15 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.
  • Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seorang Islam dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak- kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan di bawah ceraian (1).
  • Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seseorang Islam dan dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah ceraian (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan, dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan dibawah ceraian (2).
  • HUKUMAN ZINA JIKA PESALAH BUKAN MUKALLAF ATAU BELUM MENCAPAI UMUR BALIGH.
  • Jika mana-mana orang yang bukan mukallaf atau belum mencapai umur baligh melakukan zina dan:
  • (a) dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara’ setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 30 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3tahun; atau
  • (b) dibuktikan dengan keterangan selain daripada yg diperuntukan dibawah perenggan (a) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 15 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.
  • Nilai minimum barang curi untuk kena hukum hudud ialah 1 dinar (4.25g emas)
  • Jika didapati bersalah (dengan cara pengakuan sendiri atau saksi2 yang sah) maka kesalahan pertama potong tangan kanan hingga pergelangan tangan / kesalahan kedua potong kaki kiri hingga lutut / kesalahan ketiga dan seterusnya penjara tidak lebih 15 tahun / Kalau bersalah bukan cara di atas, kena penjara dan denda.
  • Pengecualian: Pesalah 15 tahun ke bawah atau tidak siuman / owner memang tak jaga keselamatan brg / pencuri bayar sikit, lepas tu lari / bende curi senang dapat dan mudah hancur (cth: buah2) / bende curi tiada nilai disisi syarak (arak, alat musik) / mencuri dari penghutang yang tak nak bayar hutang pencuri / keadaan memaksa: bencana alam, perang / isteri curi dari suami atau sebaliknya (kecurian dalam keluarga sendiri)

MODEL TERBARU PROTON DICEMUH, JURUTERA TAMPIL BERI PENJELASAN

Norzafry adalah seorang jurutera muslim berjiwa besar, merupakan graduan kejuruteraan di sebuah universiti di Australia. Kini berkhidmat di salah sebuah syarikat besar di Arab Saudi. Pernah menjadi Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) bagi tahun 2011/2012.
  • APABILA Proton mengumumkan model terbaru Perdana, ramai yang respon dengan negatif terhadap rupa bentuk model tersebut yang mirip Honda Accord.
  • Seperti biasa, cemuhan demi cemuhan dilemparkan kepada Proton di atas pengeluaran model ini. Saya suka untuk memberi pandangan berdasarkan beberapa fakta berikut:
  • Saya kurang senang mendengar kritikan serta cemuhan terhadap Proton ini, tatkala pada masa yang sama apabila Kia mengeluarkan model seakan Audi, ramai yang memuji, juga tatkala Honda mengeluarkan model Accord 2011 yang seakan Audi, ramai juga yang memuji dan membelinya.
  • Bahkan Mazda 6 tahun 2013 juga mirip Lexus, tiada pula yang mencemuh. Mentaliti sebegini wujud sifat dualisma, di mana berlakunya tindakan pilih kasih dalam kritikan.
  • Proton Suprima S adalah satu contoh model yang direka sendiri. Tidak meniru hasil orang lain. Namun bagaimanakah prestasi jualannya? Tidak memberangsangkan. Pengkritik tetap membandingkan Proton dengan Honda, Kia Rio dan seumpamanya. Tapi apabila model yang dikeluarkan mirip Honda, mereka mengutuk pula. Perkara ini saya membuatkan saya tidak faham.
  • Ramai pengkritik tidak memahami hakikat industri automotif yang ‘super-kompetetif’. Kilang Mitsubishi di Australia pada tahun 2006 pernah ditutup selama empat minggu kerana tiada permintaan. Majikan lama saya, Ford Australia di Geelong baru-baru ini telah mengisytiharkan mereka akan menutup kilang mereka mulai tahun 2016 kerana mengalami kerugian yang cukup besar, di mana mereka telah mengumpul kerugian sebanyak AUD$600 juta sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ford telah bertapak di Australia selama 90 tahun, jadi bagaimanakah pula agaknya Proton yang hanya 1/3 usia berbanding Ford Australia berdepan dengan cabaran ini?
  • “Rebranding” atau penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang aib dalam industri automotif. Pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors (GM), telah melakukan strategi ini terhadap puluhan model kenderaan mereka. Cuba bandingkan Chevrolet Tahoe dengan Cadillac Escalade, dan Chevrolet Lumina dengan Holden Redline, kita akan nampak jelas bahawa perbezaannya hanya pada lambang jenama dan hiasan dalaman. Benar, jenama-jenama ini di bawah satu syarikat yang sama iaitu GM, namun dari sudut strategi, tidak ada bezanya antara kedua ini.
  • Bahkan kritikan yang sama tidak pula diberikan kepada Perodua di atas strategi mereka “rebadging” model Myvi dan Daihatsu/Toyota, hanya kerana mereka ada kerjasama rasmi dengan Toyota. Model Perdana yang baru ada kerjasama dengan Honda bahkan Saga yang pertama dahulu pun ada kerjasama dengan Mitsubishi. Kritikan yang “pilih kasih” menyebabkan Proton menjadi ibarat “punching bag”. Buat apa pun dikira salah.
  • Mungkin yang terbaik ialah tutup sahaja Proton, agar tidak ada lagi “punching bag” tempat melepas geram dan kemarahan. Mungkin yang terbaik ialah rakyat Malaysia hidup seperti negara Timur Tengah yang hanya menjadi pelanggan kepada jenama-jenama kereta terbaik dunia. Tak payah susah-susah buat kereta sendiri.
  • Namun saya rasa seandainya Proton ditutup, akan wujud laungan kemarahan yang baru iaitu “Mengapa Malaysia tidak ada kereta sendiri?”
  • Akhir kata, saya mengharapkan satu perubahan dalam mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Buat pengetahuan semua, saya sendiri tidak pernah membeli Proton, tetapi saya mengambil sikap berpada-pada dalam kritikan dengan mengetahui besarnya cabaran syarikat kecil Proton dalam persaingan industri automotif dunia. Dengan cabaran masa kini, Proton tak “bungkus” pun dah kira mujur.
  • Ya betul, jika anda tidak menyukai Proton atau merasakan Proton tidak sesuai dengan gaya hidup anda, tak perlulah membelinya. Tindakan anda tidak membeli Proton telah pun memberi mesej jelas “Saya tak suka Proton”. Namun, yang saya kecewa ialah sikap sesetengah insan yang sudahlah tidak membeli Proton, malah melemparkan cemuhan dan kebencian yang amat kepada Proton, sehinggakan orang yang asalnya ingin membeli Proton pun tak jadi membelinya. Ini ibarat mencurah cuka ke dalam luka. – Hj Norzafry B Norhalim, Mantan Presiden PEMBINA.