Thursday 2 January 2014

Blogger jangan jadi ejen sebar fitnah

 
  • BLOGGER muncul tanpa dilantik mahupun ditauliah. Hanya sekelumit memiliki ilmu kewartawanan. Yang pasti, kebanyakan blogger tidak kenal asas 5W1H, apatah lagi mengerti etika dan perundangan yang bersangkutan.
  • Mereka hadir apabila dunia siber sudah tidak bersempadan. Mereka menulis apabila emosi dahaga. Mereka mengkritik apabila perasaan terbuai dan meluap-luap. Mereka berteriak apabila kantung kempis dan kelaparan. Mereka senyum dan memuji apabila perut sedikit kenyang.
  • Ditanya mengenai etika penulisan, mereka berkata “Peduli apa dengan etika. Ia beri kami makanan kah?. Komputer ini, laptop ini, smartfon ini kami yang beli dan bayar sewa. Oleh itu kami boleh tulis apa saja yang kami suka. Peduli apa samada orang suka atau sebaliknya melainakan mereka memberi kami wang, makanan dan minuman.
  • Akibat daripada tiada etika kewartawanan, maka ramai blogger di dunia termasuk di Malaysia suka menulis mengikut emosi dan kebiasaannya bentuk tulisan boleh dikategorikan sebagai `sempang perenang’. Mereka sudah tidak kenal yang mana fakta dan yang mana fitnah. Yang mana libel dan yang mana slander. Yang mana benar dan yang mana palsu. Yang penting mereka menulis dan mereka puashati.
  • Kesan besar daripada kedaifan blogger dalam ilmu penulisan dan kewartawanan, maka wujudlah serangan semantic yang serius dan boleh mengamcam kestabilan Negara, masyarakat dan komuniti setempat.
  • Penulis tempatan, NOR FAIZ MUHAMMAD NOOR membuat analisa teknikal, pada tahun 2000, Bruce Schneier, seorang pakar dalam bidang keselamatan komputer telah meramalkan bahawa serangan semantik akan menjadi lebih serius dan sukar untuk ditangani berbanding dengan serangan berbentuk fizikal dan sintetik.
  • Serangan semantik merupakan satu serangan yang dilakukan dengan memanipulasi sesebuah kandungan dan mengubah maksud asal sesuatu maklumat. Sasaran serangan semantik ialah manusia. Antara contoh serangan semantik ialah penyebaran kandungan palsu, khabar angin dan fitnah.
  • Kemunculan media sosial membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi penjenayah dan pengganas melancarkan serangan siber.
  • Berbanding dengan media konvensional, media sosial meningkatkan lagi keupayaan serangan semantik melalui kelebihannya yang mudah untuk digunakan, kos yang murah, interaksi dan capaian kepada komuniti yang lebih besar pada satu-satu masa dalam waktu yang singkat.
  • Infrastruktur maklumat kritikal negara (CNII) merupakan sebarang aset, sistem dan fungsi yang amat penting kepada negara yang mana ketidakupayaan atau kemusnahannya akan memberikan kesan yang amat buruk kepada negara dari segi ekonomi, imej, keselamatan dan pertahanan, keupayaan kerajaan untuk berfungsi, kesihatan dan keselamatan awam.
  • Agensi-agensi kerajaan dan swasta yang dikategorikan dalam CNII terdiri daripada sektor kesihatan, air, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan, kerajaan, pertanian serta perkhidmatan kecemasan.
  • Kebelakangan ini, bentuk serangan semantik seperti semakin berleluasa di media sosial. Kes-kes penghinaan agama, institusi beraja dan hasutan berbaur perkauman melalui media sosial telah dilaporkan dan ada yang dibawa ke muka pengadilan.
  • Sehingga Jun 2013 sahaja, sebanyak 29 kes membabitkan penghinaan terhadap Islam dan institusi raja melalui media sosial telah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
  • Antara agensi yang dikategorikan dalam CNII seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kerja Raya juga tidak ketinggalan menjadi mangsa serangan semantik di media sosial.
  • Melihat pada trend serangan semantik, hampir kesemuanya dilihat mempunyai motif yang sama iaitu menjatuhkan kredibiliti kerajaan dan membangkitkan rasa marah rakyat. Sebagai contoh, penyebaran khabar angin mengenai 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh telah mengakibatkan proses pilihan raya terganggu. Antara kesan penyebaran tersebut adalah penahanan dan serangan terhadap pengundi yang disyaki pengundi hantu oleh pihak pembangkang, selain serangan ke atas warga asing serta membangkitkan kemarahan orang awam.
  • Kerajaan perlu mengambil serius kaedah serangan semantik melalui media sosial dengan pemantauan yang berterusan selain penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Revolusi Arab Spring yang didukung oleh media sosial tidak seharusnya dilupakan. Twitter, Facebook dan Youtube pada waktu itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk membangkitkan semangat orang awam menumbangkan kerajaan sedia ada. Malah, media tersebut juga digunakan untuk mengorganisasikan tunjuk perasaan serta membentuk persepsi masyarakat terhadap mereka.
  • Antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur maklumat kritikal negara bagi menangani ancaman siber adalah dengan mewujudkan Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP). Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini dilihat lebih memfokuskan kepada serangan berbentuk fizikal dan sintetik berbanding dengan bentuk serangan semantik.
  • Satu kerangka perlu diwujudkan segera agar serangan berbentuk semantik ini dipantau secara berterusan bagi membolehkan tindakan yang pantas diambil. Ini adalah penting bagi mengelakkan kesan serangan tersebut merebak dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mampu membentuk persepsi negatif yang kekal pada mereka.
  • Kebanyakan fitnah dan khabar angin mengenai sesuatu isu yang tersebar di media sosial biasanya tidak diberikan maklum balas yang pantas oleh pihak yang menjadi mangsa serangan dan kebiasaannya mengambil masa sehingga beberapa hari untuk menjawab isu tersebut.
  • Ini memberikan ruang dan peluang kepada penyerang menyebarkan dan memainkan isu-isu tersebut berulang-ulang kali tanpa ada sebarang penafian yang boleh meneutralkan fitnah dan khabar angin yang dimainkan.
  • Ungkapan Adolf Hitler bahawa sesebuah fakta yang salah sekiranya diulang berulang kali, ia akan dipercayai. Jadi perkara ini seharusnya diambil iktibar. Maklumat yang salah tidak seharusnya dibiarkan tersebar sewenang-wenangnya sehingga mampu mengganggu gugat kestabilan ekonomi, politik dan sosial negara.

Cina kian sepakat, Melayu terus hilang jati diri

  • Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang tetamu yang baharu sebulan menerima status kerakyatan Malaysia dan melepaskan kewarganegaraan Singapura sebaik beliau bersara daripada perkhidmatan awam negara itu walaupun anaknya terus kekal menjadi rakyat Singapura.
  • Beliau merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga diterima menjadi rakyat Malaysia selepas lebih 50 tahun menjadi rakyat Singapura dan mencurah bakti sebagai seorang pendidik di negara pulau itu. Secara sinis dan sebagai manifestasi kesetiaannya kepada negara baharunya, beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau kini menyokong pasukan Harimau Muda berbanding Young Lions dalam Sukan SEA yang lalu.
  • "Suara yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus saja dilabelkan sebagai perkauman sempit, manakala yang berkaitan dengan hak kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi manusia”
  • Selain mengagumi kemakmuran yang ada dalam negara kita ini, beliau amat berbangga dengan pencapaian negara kita, tetapi melahirkan kebimbangan jika orang Melayu Malaysia terus duduk dalam zon selesa dan hanya mampu menjadi penonton dalam kepesatan pembangunan negara.
  • Kebimbangan yang disuarakan oleh seorang yang pernah menjadi rakyat Singapura terhadap masa depan orang Melayu Malaysia ini sangat berasas dan tidak mustahil nasib Melayu Singapura yang semakin terpinggir akan turut berlaku kepada orang Melayu di negara kita.
  • Kedudukan agama Islam dipersoal. Sejak kebelakangan ini, orang Melayu dan umat Islam kelihatan agak lemas menangani asakan tanpa henti daripada pelbagai disiplin kehidupan. Kelihatan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan sudah mula dipersoalkan mereka yang menuntut kesamarataan agama.
  • Saki-baki hak keistimewaan orang Melayu yang tinggal pula mahu digantikan dengan hak kesamarataan atas alasan keadilan, begitu juga dalam soal pembinaan rumah ibadat. Malah, kalimah Allah yang digunakan secara eksklusif oleh orang Islam di negara ini pun hendak digunakan oleh agama lain.
  • Senario seumpama ini jelas menekan orang Melayu. Suara yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus saja dilabelkan sebagai perkauman sempit, manakala yang berkaitan dengan hak kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi manusia.
  • Terkadang menjadi suatu yang dianggap berdosa hinggakan seseorang boleh kehilangan pangkat dan jawatannya hanya kerana mengingatkan khalayaknya akan sejarah penubuhan negara ini.
  • Sedangkan kita tahu sementara orang Melayu terus mendapat nikmat dalam bumi ini, kaum lain pun turut sama menuai hasil tanpa perlu berasa takut atau dianaktirikan. Tentu saja kita boleh meneliti statistik penganugerahan status warga negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak merdeka yang jelas menunjukkan betapa ramai kaum bukan Melayu menikmati anugerah ini.
  • Melayu kian hilang jati diri. Tahun demi tahun, orang Melayu kian hilang jati diri yang menjadi asas keutuhan sesuatu kaum. Tentunya orang Melayu tidak boleh hanya menyalahkan orang lain semata-mata. Orang Melayu perlu segera dikejutkan dan keluar dari zon selesa di tanah air sendiri. Satu masalah lazim yang ada bagi penduduk asal sesebuah negara adalah kegagalan mereka untuk keluar daripada kepompong keselesaan hingga mengakibatkan mereka menjadi lemah.
  • Apabila kita meneliti satu demi satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa tidak ada satu pun dalam peruntukan tersebut merujuk kepada terma Ketuanan Melayu. Apa yang dimaktubkan adalah hak keistimewaan orang Melayu. Sedikit hak keistimewaan yang ada ini sebenarnya sudah mencukupi untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan sebuah bangsa Melayu yang hebat.
  • Sebaliknya, hak keistimewaan ini tidak boleh lagi menjadi gula-gula bagi memapah bangsa Melayu kerana perlindungan melalui penguatkuasaan perundangan tidak akan selamanya boleh menjadikan bangsa Melayu menjadi bangsa yang kuat. Malah, ia boleh mengakibatkan orang Melayu dilihat sebagai kaum majoriti dengan suara minoriti.
  • Dalam banyak keadaan, penguasaan ekonomi dan kuasa wang boleh saja meruntuhkan tembok dan pagar yang dibina bagi melindungi orang Melayu apatah lagi kita hidup dalam zaman yang mana kuasa wang diletakkan sebagai keutamaan paling tinggi dalam kehidupan kita.
  • Tetamu itu seterusnya mengingatkan saya bahawa mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Perkara 152 dalam Perlembagaan Republik Singapura menyatakan bahawa hak istimewa orang Melayu yang dirujuk oleh Perlembagaan itu sebagai ‘penduduk asal negara Singapura’ hendaklah dijamin oleh pemerintah negara republik itu.
  • Pemerintah Singapura mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memastikan bahawa orang Melayu sebagai penduduk asal Singapura dapat mempertahan dan meningkatkan kedudukan politik, ekonomi, pelajaran, agama Islam dan sosio budaya kaum Melayu. Sambil mengakui bahawa ia mungkin tidaklah begitu ketara, namun orang Melayu Singapura sehingga kini masih mendapat keistimewaan dalam hal bayaran pelajaran dan beberapa keistimewaan lain.
  • Melayu kena berusaha untuk bersaing. Sama ada orang Melayu Singapura benar-benar mendapat keistimewaan itu bukanlah persoalan utama, tetapi apa yang penting adalah melalui Perlembagaan itu, sebuah negara yang diperintah oleh pemerintah majoriti kaum Tionghua masih mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal negara berkenaan. Untuk itu, dokumen perundangan tertinggi negara itu memperuntukkan bahawa keistimewaan kepada penduduk asal hendaklah dikekalkan.
  • Bagaimanapun, masa depan orang Melayu Singapura sama juga dengan orang Melayu di Malaysia, bukan lagi ditentukan oleh perlindungan Perlembagaan, tetapi lebih utama adalah cara bagaimana mereka mampu bersaing menjadi individu yang cemerlang dengan bangsa lain.
  • Segmentasi bangsa masih diperlukan dalam negara kita bagi menentukan status maju mundurnya ekonomi, sosial dan pendidikan warga negaranya. Semua orang yang menerima hidayah Allah boleh memeluk agama Islam, tetapi tidak ada orang yang boleh menjadi Melayu atau Cina atau kaum apa sekalipun. Kita memang ditakdirkan untuk lahir sebagai seorang Melayu.
  • Pengakuan sesuatu bangsa itu sepatutnya tidaklah menjadi halangan untuk kita saling mengenali dan berbaik-baik sesama kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara merdeka, kerajaan perlu mengambil berat agenda pembangunan semua kaum yang ada dalam negara kita.
  • Pada masa sama, potensi yang ada pada setiap warga negara perlu terus diasah tanpa membezakan warna kulit bagi memastikan potensi yang ada dapat membantu menaikkan martabat negara kita. Begitupun, ini bukan pula bermakna bahawa peruntukan yang menjadi teras dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi penting.
  • Masalahnya, ialah apabila ada segelintir rakyat yang menjuarai hak sama rata dengan semua kaum sedangkan peruntukan yang khusus berkaitan Melayu dan status Agama Islam seolah-olah dikesampingkan pula. Masanya sudah tiba untuk kita lebih menitikberatkan pemahaman setiap warga negara akan teras pembinaan negara ini.
  • 2013 melabuhkan tirainya, 2014 menjelma dengan harapan orang Melayu akan bangkit daripada kealpaan lalu bingkas memperkukuhkan penyatuan dalam talian agama Islam tanpa mengira fahaman politik bagi menjadi tiang seri negara ini. – Oleh: Ikbal Salam

Demi agama teruskan usaha mengatur muzakarah

 
  • Kelmarin seorang lelaki lingkungan usia 50-an datang menyapa penulis di sebuah majlis anjuran YADIM. Bersungguh-sungguh beliau berhujah mahukan UMNO dan PAS duduk semeja berbincang mengenai masa depan Islam di negara ini. Kata beliau: “Tolonglah usahakan agar tahun 2014 sebagai tahun penyatuan antara UMNO dan PAS.”
  • Mungkin kata-kata ini tampak bagaikan fata morgana yang jauh daripada realiti. Namun, bagi penulis bukan sangat isu penyatuan UMNO-PAS sebagai dua parti terbesar mewakili bangsa teras negara iaitu Melayu-Islam yang didambakan tetapi sekurang-kurangnya kesediaan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk duduk bermuzakarah.
  • Ramai yang salah tanggap apabila isu muzakarah ini dicetuskan. Berkali-kali penulis menyatakan bahawa muzakarah bukan bermatlamat untuk meleburkan identiti mana-mana parti. Muzakarah juga tidak perlu sehingga menjurus kepada matlamat penyatuan parti.
  • Sebaliknya, muzakarah yang dihajati ialah agar kedua-dua parti politik ini dapat duduk bersemuka dan berbincang mengenai agenda yang menjadi asas kepentingan bersama iaitu Islam, Melayu dan negara.
  • Cari titik persamaan. Seharusnya muzakarah memfokuskan kepada usaha mencari titik-titik kesamaan, sekali gus mencanai formula kerjasama atas perkara yang disepakati. Inilah bezanya muzakarah dengan mujadalah. Mujadalah adalah istilah Arab yang bermaksud saling berdebat untuk menzahirkan kekuatan sendiri dengan menelanjangkan kelemahan pihak bertentangan.
  • Sedangkan muzakarah berasal daripada kata dasar bahasa Arab iaitu zakara atau yuzakiru dengan makna yang cukup kudus dan luhur. Muzakarah lebih bersifat perbincangan dan saling memperingati ke arah kebaikan. Malah ia terkait dengan perkataan ‘zikr’ yang mengikat perbincangan itu atas landasan mengingati dan mentaati Allah SWT.
  • Ternyata jika kita berfikir secara objektif dan mencari titik persamaan antara kedua-dua parti yang mewakili kelompok terbesar rakyat Malaysia iaitu Melayu-Islam, pasti kita dapati terlalu banyak persamaan antara kedua-duanya.
  • Pertama, UMNO dan PAS menyatakan memperjuangkan Islam. Perlembagaan serta pernyataan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti jelas menzahirkan iltizam memperjuangkan Islam. Bahkan tidak pernah berlaku di negara Islam lain dua parti politik berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang lebih berupaya melaksanakan Islam.
  • Kedua, akidah yang dipegang kedua-dua parti juga adalah sama iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Syafie. Baik UMNO mahupun PAS, solat dengan cara yang sama dan tiada beza pegangan fekah masing-masing. Kalaupun ada seorang dua pimpinan atau pengikut yang terjebak dengan ajaran sesat seperti syiah atau penyakit liberalisme dalam agama, tidaklah sesekali mewakili dan menggambarkan pendirian organisasi.
  • Ketiga, kedua-dua parti menjunjung dan menghormati Perlembagaan. UMNO dan PAS memperakui Perlembagaan Persekutuan sebagai sistem undang-undang tertinggi negara. Tidak timbul lagi isu dan tohmahan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara sekular sebagai mana momokan segelintir pemimpin dan pengikut PAS dulu hingga ada yang tergamak mengkafirkan UMNO kerana kononnya mengekalkan perlembagaan penjajah.
  • Keempat, kedua-dua parti juga memperakui identiti kemajmukan negara yang memerlukan pertimbangan dan kerjasama politik antara pelbagai parti yang mewakili kepentingan kaum masing-masing. Malah PAS yang pernah menyesatkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir, khususnya MCA dan MIC, kini sudah terbuka melalui kerjasama politik dengan DAP dan PKR.
  • Kelima, UMNO juga tidak boleh lagi berhujah menggunakan alasan bahawa PAS tidak pandai mentadbir kerana tiada pengalaman. Hakikatnya, PAS berpengalaman memerintah Kelantan melebihi 23 tahun dan pernah mentadbir Kedah dan Terengganu.
  • Banyak persamaan diperjuangkan. Banyak lagi jika hendak digariskan satu persatu persamaan antara UMNO dan PAS selain daripada lima yang disebutkan di atas. Ternyata tidak banyak perbezaan antara UMNO dan PAS jika hendak dibandingkan dengan persamaan yang semakin menyerlah kini.
  • Justeru, apa salahnya UMNO dan PAS memfokuskan kepada titik persamaan dalam usaha memulakan muzakarah. Hakikatnya, majoriti rakyat sudah mulai cemuh dengan pertelingkahan politik yang kadangkala begitu sengit dan tegang hingga melangkaui sempadan akhlak dan nilai keagamaan.
  • Kena ada batas dan sempadannya dalam berpolitik dan berparti. Apa yang penting kedua-dua parti harus bersedia bermuafakat memperjuangkan agenda Islam dan membanteras sebarang bentuk anasir yang kini semakin berani mempertikai dan memperlekeh kedudukan Islam dan Bumiputera sebagai mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. -- Tulisan: Dr Asyraf Wajdi Dusuki