Thursday 28 March 2013

GOM Resources, Medcoenergi meterai MoA bagi kerjasama minyak dan gas


Naib Pengerusi GOM Resources, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah
Written By Lani Said

  • KUALA LUMPUR: PT Medco Energi Internasional Tbk (MedcoEnergi), syarikat senaraian awam Indonesia, melancarkan penerokaan pertamanya ke Malaysia dengan permeterian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan GOM Resources Sdn Bhd.
  • Pengerusi eksekutif GOM Resources Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata perkongsian baharu itu akan menyediakan saluran bagi kerjasama teknikal dalam teknologi terkini untuk menyediakan penyelesaian bagi cabaran dalam eksplorasi antara kedua-dua syarikat.Beliau juga berharap perkongsian itu akan membolehkan perkongsian kepakaran dan sumber bagi mengukuhkan kapasiti tenaga. 
  •  "Tujuan MoA ini adalah untuk membolehkan GOM membida projek pembangunan lapangan yang dibuka semula dan projek kontrak perkhidmatan risiko di Malaysia serta eksplorasi dan pengeluaran di peringkat serantau," katanya dalam ucapan beliau sebelum majlis permeterian MoA di sini, hari ini.
  • Beliau berkata GOM mahu memanfaatkan keupayaan ini dengan mewujudkan sinergi dengan MedcoEnergi. "Saya yakin perkongsian ini adalah perkongsian sama-sama menang yang akan membawa kami kepada pencapaian lebih besar dalam sektor minyak dan gas Malaysia dan di tempat lain," katanya.
  • Sementara itu, Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MedcoEnergi Lukman Mahfoedz berkata permeterian MoA itu menunjukkan usaha berterusan syarikat bagi mencari peluang untuk berkembang dalam sektor eksplorasi dan pengeluaran.
  • "Kami menilai GOM Resources sebagai rakan kongsi strategik tempatan dalam penerokaan baharu ini dan GOM Resources akan membawa sumbangan ketara kepada konsortium," katanya.
  • Kedua-dua syarikat bersetuju untuk melaksanakan bersama penilaian dan kaji selidik data teknikal bagi menilai daya maju peluang yang telah dikenal pasti.
  • MoA itu dijangka mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia, dan termasuk membangunkan pengetahuan perkongsian dan usaha kerjasama antara GOM Resources dan MedcoEnergi.
  • GOM Resources, penyedia perkhidmatan bagi perkhidmatan pembinaan luar pantai dalam industri minyak dan gas Malaysia, merupakan anak syarikat milik penuh Puncak Oil and Gas Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Puncak Niaga Holdings Bhd.
  • MedcoEnergi ialah syarikat tenaga bersepadu yang menumpukan kepada eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi petroleum di Indonesia, Oman, Libya, Yaman dan AS.

Monday 18 March 2013

100,000 ahli GWGF sedia gempur pembangkang di Felda



Tan Sri Rozali Ismail melancarkan program Gerak Gempur GWGF bagi mempertahankan 317 gugusan Felda di seluruh negara daripada serangan pembangkang pada PRU13
  • BERA, PAHANG: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) akan menggerakkan lebih 100,000 ahlinya ke 317 tanah rancangan FELDA di seluruh negara tidak lama lagi bagi membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaannya.
  • Pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan 14 pemimpin gabungannya dan bersedia pada bila-bila masa untuk `menggempur’ pembangkang menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.
  • GWGF memilih Felda sebagai medan tempurnya buat kali pertama, sesuai dengan ikrar ketika diterima secara rasmi menjadi sekutu BN beberapa tahun lalu dan berjanji untuk memastikan semua warga Felda di 317 tanah rancangan akan menyokong calon BN serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • “Darah yang mengalir ini adalah darah ibu bapa kami yang dipilih menjadi peneroka tanah pertanian Felda sejak Allahyarham Tun Razak membuka ladang secara besar-besaran pada tahun 70an.
  • “Sebagai tanya syukur kepada jasa Allahyarham dan anaknya yang kini menerajui kepimpinan negara, GWGF bersedia untuk memberi sokongan padu kepada semua wakil BN dicalonkan pada PRU13 nanti.
  • “Kita akan gerakkan lebih 100,000 ahli untuk berkempen di seluruh tanah rancangan Felda bagi memastikan kemenangan BN yang diterajui oleh UMNO,” tegas Tan Sri Rozali ketika berucap di majlis pelancaran projek menaik taraf bekalan air Pahang di Felda Purun baru-baru ini.
  • Perasmiannya disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir Timbalan Pengerusi GWGF Dato Abdullah Abu Bakar dan Setiausahanya Kamarulzaman Mohamed.
  • Tan Sri Rozali yang juga anak Felda Gedangsa di Selangor berkata, sesuai dengan tema projek gerak gempur GWGF “Bersatu Kita Untukmu FELDA”, pihaknya sedang menyusun strategi kempen membantu BN dan akan menggempur pembangkang tidak lama lagi.
  • GWGF disertai Persatuan Peneroka Felda, Persatuan Penerokawati Felda, Dewan Perniagaan Generasi Felda, Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Felda, Persatuan Anak Peneroka Luar Negara, Persatuan Sukan Bermotor GWGF, Yayasan Pembangunan Generasi Felda, Pertubuhan Kontraktor Generasi Felda, Pertubuhan Generasi Felda Universiti, Pertubuhan Silat Generasi Felda, Pertubuhan Imam Muda Felda, Kelab Storm Riders dan  Persatuan Peguam Generasi Felda.
  • Menurutnya, GWGF tidak akan mengizinkan pembangkang meracuni minda peneroka dan generasi baru Felda semata-mata kerana agensi itu mengalami masalah dalaman yang kecil.
  • “Jika ada sedikit masalah dalaman Felda, mengapa sampai nak ubah kerajaan sedia ada?. Apakah janji pembangkang untuk masyarakat Felda boleh diyakini? Ini soal anak cucu bangsa Melayu yang mewarisi pertanian di negara ini,” katanya.
  • Tan Sri Rozali membawa kemelut di Felda Selangor sebagai contoh untuk perhatian rakyat Malaysia: “Sebelum ini GWGF pernah mencadangkan satu projek perumahan untuk generasi baru Felda di Selangor. Projek itu dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri beberapa tahun lalu.
  • “Malangnya kerajaan pembangkang Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu meluluskan tanah untuk projek perumahan itu sehingga sekarang ini, mengakibatkan ramai generasi baru Felda di Selangor tidak menikmati kemudahan itu,” katanya.
  • Katanya, projek di Selangor itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan untuk membangunkan perumahan bagi anak-anak peneroka Felda di seluruh negara dengan belanja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2 billion.
  • Tan Sri Rozali berkata, situasi pembangunan di Selangor jauh lebih buruk berbanding Pahang kerana pemimpin Pakatan Rakyat tidak serius melaksanakan pembangunan, sebaliknya cukup sibuk mewujudkan perbalahan dan perselisihan di kalangan rakyat.
  • Untuk itu, beliau menyeru seluruh warga peneroka, kakitangan dan generasi baru Felda di seluruh negara agar bersatu padu menyokong BN dan Perdana Menteri pada PRU13 dan pilihan raya seterusnya.
  • Dalam perkembangan yang sama, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera memberitahu pemberita bahawa Pakatan Rakyat semakin goyah di seluruh negara menjelang PRU 13 kerana mereka tidak mempunyai prinsip perjuangan yang sama.
  • Menurutnya, media sudah melaporkan pertelagahan serius di antara pemimpin PAS, DAP dan PKR di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Perak dan Kedah sebagai tanda kemusnahan persepakatan itu tidak lama lagi.
  • Katanya, sejak pembangkang bersepakat dalam pilihan raya umum, mereka tidak pernah mahu menggunakan satu lambang, malahan gabungan itu juga tidak pernah didaftarkan. Ini kerana mereka mempunyai matlamat berbeza dan berniat mahu menang pilihan raya saja.

GWGF agih projek kepada peneroka dan generasi baru Felda


Tan Sri Rozali Ismail mengagihkan projek GWGF kepada peneroka dan generasi baru Felda Pahang
Tan Sri Rozali Ismail
  • BERA, PAHANG: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) mengagihkan semua projek menaik taraf bekalan air Pahang kepada kontraktor tempatan yang membabitkan keluarga peneroka dan generasi baru Felda.
  • Selepas NGO itu diberi kepercayaan penuh daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar GWGF menyempurnakan projek bernilai RM400 juta bagi menggantikan paip lama di Felda negeri itu, pertubuhan berkenaan melihat projek mega itu perlu dikongsi kepada semua anak peneroka Pahang.
  • Ini kerana anak peneroka Felda hari ini mampu mengendalikan pelbagai kegiatan bukan berasaskan pertanian, sebaliknya berkelayakan melaksanakan projek menaik taraf bekalan air menerusi pengantian paip lama di kawasan Felda masing-masing.
  • Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata pihaknya sudah melantik ramai kontraktor di kalangan anak peneroka Felda yang berkemahiran bagi menjalankan kerja-kerja yang ditetapkan.
  • “InsyaAllah dengan kesungguhan dan komitment yang ditunjukkan oleh semua kontraktor yang dipilih, kita akan dapat menyiapkan kerja mengantikan paip lama di seluruh Felda di Pahang dalam tempoh enam bulan.
  • “Proses menaik taraf bekalan air di Felda negeri ini dijangka mengambil masa yang singkat dan diharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama,” katanya di pelancaran projek menaik taraf bekalan air Pahang di Felda Purun, baru-baru ini.
  • Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob. Turut  hadir ialah Timbalan Pengerusi GWGF Dato Abdullah Abu Bakar dan Setiausahanya Kamarulzaman Mohammed.
  • Tan Sri Rozali menjelaskan, dengan siapnya projek itu, masyarakat Felda dan luar bandar di Pahang tidak perlu bimbang dengan tekanan air yang rendah dan gangguan bekalan kerana semua paip lama yang berusia lebih 45 tahun itu akan digantikan dalam tempoh enam bulan.
  • Bagaimanapun beliau berharap semua ketua kampung, ketua blok dan jawatankuasa masing-masing perlu memberi kerjasama sepenuhnya terhadap projek ini agar ia dapat disempurnakan mengikut jadual yang ditetapkan.
  • “Janganlah ada ketua kampung atau pemimpin setempat cuba menyekat projek pembangunan itu kerana terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang selama ini menyemai kebencian terhadap kerajaan,” katanya.
  • Beliau juga berkata, rakyat Pahang dan warga Felda seluruh negara wajar berterima kasih dan terus menyokong Perdana Menteri kerana beliau meneruskan perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam membaiki taraf hidup warga peneroka Felda.
  • “Saya juga anak peneroka Felda, dilahir dan dibesarkan di Felda Gedangsa, Selangor. Saya rasa pelik ada orang sebut ramai peneroka Felda tidak mahu sokong Perdana Menteri.
  • “Saya tahu dan merasai bagaimana Felda berusaha menjaga kepentingan semua peneroka dan generasinya.
  • “Malah, ke mana saja saya melawat Felda di seluruh negara, saya dapati semua warga peneroka memberi sokongan padu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri yang dikasihi,” jelas Tan Sri Rozali.
  • Bagi memastikan ukhwah di kalangan warga peneroka terus kukuh, beliau menyeru masyarakat Felda supaya sentiasa bersepakat dalam satu pasukan dan meneruskan agenda perjuangan ibu bapa yang bergelar peneroka.
  • Sementara itu pada sidang akhbar yang diadakan selepas majlis itu, Tan Sri Rozali menjelaskan pada keseluruhan projek menaik taraf bekalan air yang bernilai RM400 juta itu, ia diagihkan kepada tiga zon melibatkan Jerantut, Temerloh dan Raub (Zon 1); Bera dan Jengka (Zon 2); manakala Kuantan, Pekan dan Rompin berada dalam kelompok Zon 3.
  • Di Bera, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 13 pekej projek meliputi Felda Bukit Kepayang, Bukit Mendi, Mayam, Rentam, Sebertak, Tementi, Triang 1 dan 3, Tembangau 1, Mengkuang, Bukit Puchong dan Felda Purun. Di Jengka pula ia melibatkan Felda 1 hinga 25, Ulu Jempol dan Kampung Awah.
  • Projek ini meliputi kerja menggantikan paip lama yang berusia lebih 40 tahun di kawasan sejauh 450km. Tindakan segera Perdana Menteri dalam menyalurkan peruntukan ini membuktikan bahawa segala kesulitan penduduk luar bandar terutama di Felda mendapat perhatian serius daripada kerajaan pusat.
  • Ini juga bukti kerajaan BN tidak pernah berbohong dalam membela rakyat malahan segala janji telah ditunaikan biarpun ia dilakukan secara berperingkat-peringkat.
  • Selain itu, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat serta menghulurkan pelbagai bantuan termasuk prasarana demi kesejahteraan rakyat.

Monday 11 March 2013