Thursday 17 January 2013

Peneroka tertanya-tanya mengapa Datuk Sabri Ahmad mahu `keluar padang’ cepat sangat ketika FGV sedang bergelombang.




FGVH dipersoalkan

  • KUALA LUMPUR: Perlantikan Dr Mohammed Emir Mavani Abdullah sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) baru-baru ini menjadi tanda tanya peneroka dan warga FELDA.
  • Apakah masa depan mereka akan lebih baik menerusi FGV atau mereka akan berdepan dengan pelbagai kejutan termasuk kejatuhan saham.
  • Jelasnya Mohammed Emir bakal menggantikan CEO dan presiden kumpulan itu, Datuk Sabri Ahmad yang akan menamatkan kontraknya pada 15 Julai depan.
  • FGV menerusi pengumuman Bursa Malaysia baru-baru ini menjelaskan, pelantikan Mohammed Emir bertujuan melicinkan proses pertukaran tampuk pengurusan syarikat itu.
  • Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Penasihat Menteri Kewangan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Nuclear Power Corporation dan Malaysia Petroleum Resource Corporation.
  • Umumnya perlantikan itu menandakan era kepimpinan Sabri dalam FGV pasti tamat dan tidak mungkin kontraknya disambung kerana penggantinya sudahpun masuk pejabat dan sedang menyusun pelbagai rancangan baru.
  • Peneroka dan warga FELDA di 317 rancangan seluruh negara kini tertanya-tanya mengapa Mohammed Emir masuk FGV sebegitu cepat seolah-olah Sabri sudah tidak sabar-sabar mahu keluar dari kumpulan petani sawit dan getah.
  • Pelbagai persolan kini berada di benak minda peneroka. Saban hari peneroka berbincang mengenainya samada di kedai kopi, pejabat, kebun sawit, surau, masjid mahupun berborak di depan rumah waktu petang.
  • Mereka bertanya apakah Sabri undur diri kerana gagal mencapai matlamat FGV untuk menerajui industri pertanian terkemuka di dunia?
  • Atau beliau mahu keluar padang selepas bosnya, Tan Sri Mohd Isa Samad tamat kontrak sebagai pengerusi FELDA pada 31 Disember lalu dan kemudiannya mahkamah membatalkan keahliannya sebagai ahli Koperasi Permodalan FELDA (KPF).
  • Dalam sembang kedai kopi, peneroka lebih tertarik hubungan istimewa di antara Sabri dan Mohd Isa yang berjuang sepanjang dua tahun lalu untuk memastikan Pengerusi FELDA terus bertahan dalam agensi pertanian itu selama mungkin dalam apa bentuk dan keadaan.
  • Memang benar penyenaraian saham FGV membawa banyak manfaat kepada warga FELDA, orang Melayu, negara dan juga memacu ekonomi Malaysia ke hadapan.
  • FELDA yang diwujudkan di bawah perhatian dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kini sedang menempuh era pembangunan berteknologi tinggi dan FGV diharapkan menjadi tunjang tranformasi agar Wawasan 2020 menjadi realiti dengan menjaga kepentingan bangsa Melayu secara strategik dan menyeluruh.
  • Sebelum FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, Sabri berjanji pihaknya akan menentukan masa depan lebih baik kepada warga FELDA. Malangnya hingga kini saham FGVH masih berada di paras rendah dan tidak meyakinkan.
  • Pada masa sama belum ada satupun pelaburan FGV di luar negara yang berjaya mengembalikan semula modal dan selanjutnya mencatat keuntungan.
  • Jika perkara ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang usaha, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi negatif sehingga memburukkan nama baiknya sendiri sebagai CEO syarikat bertaraf global.
  • Hal ini menjadi lebih rumit ekoran terdapat laporan beliau sudah mempunyai rekod buruk sebagai CEO Golden Plantation Bhd di atas skandal kerugian sebanyak RM120 juta. Beliau didapati bersalah oleh Sime Darby melalui siasatan forensik audit KPMG dan didapati terlibat dalam skandal Golden Jomalina Food Industries.
  • Selama beliau menggalas tanggungjawab sebagai ketua di FGV, tiada perubahan menarik ditunjukkan kepada masyarakat FELDA. Oleh itu, beliau boleh dikatakan gagal meyakinkan masyarakat FELDA terhadap FGV. Tanggungjawab beliau terhadap peneroka masih belum tertunai.
  • Tahun 2013 sudah bermula dan Sabri  berjanji mahu untuk memperluaskan bank tanah FELDA, meningkatkan produktiviti dan meningkatkan kualiti aset melalui program pembangunan lapan tahun, bermula tahun ini.
  • Dalam perancangan itu, FGV mahu mengembangkan perniagaan dan aktiviti perladangan kelapa sawit ke barat Afrika dan ASEAN. Pihaknya menyasarkan perolehan FGV berkembang lapan kali ganda sepanjang tempoh pembangunan tersebut.
  • Semoga rancangan beliau untuk menjadikan FGV lebih dinamik pada tahun 2020 dapat diteruskan oleh Mohammed Emir dengan cemerlang.
  • Selepas Sabri meninggalkan ‘luka’ di hati peneroka FELDA, apakah CEO baru boleh melonjakkan harga saham FGV serta membawa pulangan modal kepada masyarakat FELDA? Sama-sama kita tunggu dan lihat.