Sunday 24 May 2015

Hikayat 1MDB versi The Untold Story


  1. Pelbagai versi cerita 1MDB bertebaran di seluruh negara. Rata-rata mengatakan ia merupakan pelaburan yang tidak cermat dan gelojoh.
  2. Perdana Menteri menjadi bungkem (tak terkata apa2) apabila menyaksikan pertanyaan awam bertali arus setiap hari dan dalam pada itu pembangkang kian galak menyerang dan melondehkan kepimpinan negara.
  3. Isu 1MDB sepatutnya boleh dijelaskan dengan cekap sehingga rakyat tak akan terkata apa-apa. Menagih masa untuk membuktikan 1MDB berada di landasan yang betul ternyata tidak cerdik.
  4. Rakyat mahu jawapan yang lebih meyakinkan. Menjelaskan sambil bermain tarik tali berkaitan istilah wang tunai dan aset tunai dalam bank di Singapura juga tidak berapa cerdik.
  5. Mengapa tidak berterus terang mengatakan 1MDB mahu menyelamatkan harta negara digerogoti (digigit rakus) setiap tahun oleh beberapa pemain industri pengeluar tenaga bebas atau IPP (independence power producer)?
  6. Jika alasan itu diketengahkan sedari awal, rakyat tak sebegitu marah dan menjadi `sawan’ dengan isu 1MDB.
  7. Mengapa perlu tunggu seorang manusia kerdil yang tidak berpangkat menteri mendendangkan The Untold Story mengenai 1MDb kepada media sosial.
  8. Seorang manusia yang mahu dikenali sebagai Eol Zari bercerita mengenai isu itu pada 18 Mei lalu dan mendapat reaksi dari pelbagai pihak sekaligus menjadi viral. Tulisan beliau boleh dilihat di pautan ini: https://goo.gl/jhhvvr
  9. Berikut adalah sedutan sebahagian ceritanya. - Pada tahun 1990-an, Malaysia telah memperkenal konsep Loji Tenaga Bebas (IPP) untuk penjanaan elektrik. Inisiatif ini adalah perlaksanaan di bawah bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamed.
  10. Peneraju utama yang memiliki IPP ialah Tan Sri Syed Mokhtar, kumpulan YTL, Genting dan Tan Sri Ananda Krishna. Sime Darby juga salah satu pemegang IPP tetapi tidak diberikan perhatian penuh memandangkan syarikat ini adalah sebauh syarikat yang berkaitan kerajaan (Government Link Company).
  11. Peneraju-peneraju ini mendapat perjanjian menarik dan ia berpihak kepada satu pihak. Bekas pengerusi TNB, Allahyarham Tan Sri Ani Arope, seorang lelaki yang berintegriti enggan menandatangani perjanjian dan secara sukarela meletak jawatan sebagai tanda protes.
  12. Parti-parti pembangkang mengambil peluang menghentam kerajaan kerana memberikan satu perjanjian bersifat berat sebelah. Mereka tegas menyatakan bahawa ia adalah “perjanjian kroni ” dan mempersoalkan keperluan tindakan kerajaan untuk memberikan subsidi yang besar kepada IPP.
  13. Malah pada Mei tahun 2011, salah seorang ahli pembangkang menganggap IPP ini sebagai “sebuah kilang dadah utama” yang memerlukan subsidi yang besar daripada Kerajaan dianggarkan RM19 bilion setahun.
  14. Bagi menangani masalah ini, sebuah syarikat, My Power telah ditubuhkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Najib untuk memulakan rundingan semula dengan IPP bagi mendapatkan perjanjian yang seimbang.
  15. Selepas itu, 1MDB membeli IPP dari Ananda pada Mac 2012 dan diikuti oleh pembelian Genting pada bulan Ogos 2012. Selepas itu, pada bulan Oktober 2012, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan keputusan mengenai perjanjian konsesi dengan IPP.
  16. Seperti yang digariskan dalam perjanjian ini, tidak ada lanjutan konsesi bagi IPP yang dimiliki oleh Ananda dan juga konsesi baru bagi tiga IPP lain. Hanya konsesi baru yang akan diberikan kepada 1MDB dan TNB.
  17. Susunan baru ini akan memastikan bahawa syarikat-syarikat swasta tidak akan mendapat perolehan berlebihan atas perbelanjaan subsidi Kerajaan.
  18. Disebabkan kesilapan yang dilakukan sejak tahun 1990-an, kerugian dialami oleh Petronas dan TNB dianggarkan sebanyak RM100 billion kerana perjanjian yang lemah ini sejak 20 tahun.
  19. Sebenarnya, penghargaan harus diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Suruhanjata Tenaga dan 1MDB kerana telah menyelamatkan negara ini dari subsidi berlebihan yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang melakukan perjanjian tersebut.
  20. Hakikatnya, kadar tarif bagi pengguna di Semenanjung Malaysia perlu ditambah pada Julai 2014 dan Januari 2015 di bawah Fuel Cost PASS Through (FCPT).
  21. Tetapi ia tidak pernah meningkat kerana perjanjian baru yang disemak semula telah bertambah baik dan seimbang kepada TNB iaitu pembeli akhir. Sebaliknya, tarif elektrik dikurangkan daripada Mac 2015 disebabkan oleh pengurangan harga arang batu dan pengurangan tarif IPP ini.
  22. Di bawah perjanjian baru ini, TNB mula mencatatkan keuntungan yang besar daripada tahun 2013, 2014 dan suku pertama 2015. Ia mencatat keuntungan sebanyak RM2.3 bilion dalam tempoh 3 bulan pertama tahun 2015.
  23. Oleh itu, penstrukturan semula ini memberi faedah-faedah yang sangat baik antaranya, TNB mendapat keuntungan yang lebih tinggi; pengguna mendapat faedah daripada tarif yang lebih rendah disebabkan oleh pengurangan harga minyak; PETRONAS tidak perlu menanggung subsidi yang tinggi di mana manfaat hanya diperolehi oleh syarikat-syarikat swasta.
  24. Yang rugi adalah pemilik asal IPP. Dan ini mungkin menjadi sebab mengapa mereka yang juga dari pemimpin tertinggi UMNO tidak gembira dengan 1MDB dan Najib.
  25. Mengenai isu Tun Razak Exchange (TRX) dan pembelian tanah oleh Tabung Haji adalah tidak penting berbanding dengan jumlah yang dijimatkan oleh semakan semula perjanjian itu yang dimulakan oleh pimpinan Kerajaan sekarang.
  26. Terdapat juga dakwaan pembangkang mengenai dana yang disalah guna oleh 1MDB, peranan yang dimainkan oleh Jholow, kehilangan hasil daripada pelaburan Petro Saudi dan terkini isu kontroversi mengenai penjualan sebidang tanah kira-kira 1.5 ekar bernilai RM188 juta kepada anak syarikat Tabung Haji.
  27. Isu ini mula ditimbulkan pada penghujung tahun lepas apabila 1MDB dilihat sudah tidak mampu meningkatkan dana untuk membayar ansuran pinjaman mereka.
  28. Isu ini semakin menjadi isu panas dengan maklumat yang telah diputar belit bagi memperlihatkan 1MDB telah kerugian RM42 bilion yang mana ia bukan fakta sebenar.
  29. Sebenarnya, 1MDB tidak mengalami kerugiaan sebanyak RM42 bilion seperti yang didakwa. Apa yang berlaku ialah mereka mengalami kerugian kerana perlu mencari dana untuk membayar ansuran pinjaman. Buat sementara waktu, pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung ansuran pinjaman dan perbelanjaan pengurusan.
  30. Namun jika diberi masa mereka akan berupaya memulihkan keadaan. Malangnya, dengan segala publisiti buruk yang dicipta, 1MDB mungkin berhadapan dengan masalah tambahan kerana terdapat khabar angin Deutsche BANK mahukan pembayaran awal dilakukan jika 1MDB tidak mendapat jaminan cagaran tambahan.
  31. Justeru jika mahu 1MDB berjaya, kita perlu untuk mengelak dari membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara yang dijangka selesai pada akhir bulan Jun 2015.
  32. Tokoh-tokoh lain termasuk peguam terkemuka dan bekas menteri, Zaid Ibrahim mengulas bahawa sebagai Pengerusi 1MDB, Najib perlu mengharungi cabaran ini dengan memberikan maklum balas terhadap dakwaan tersebut.
  33. Begitu juga dengan Pengerusi CIMB iaitu adik Najib memberitahu kepada Pengerusi Lembaga Pengarah dan ahli-ahli 1MDB untuk melakukan perkara yang sama ketika mesyuarat majlis makan tengah hari diadakan.
  34. Penghargaan yang harus diberikan kerajaan yang diterajui oleh Najib kerana telah menyelamatkan negara ini dalam berhadapan usaha pembangkang untuk merosak dan menutup 1MDB.
  35. Namun satu perkara yang pasti, agenda utama pembangkang adalah untuk mencari kesalahan dan membesarkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan mahu pun GLC untuk mendapat kelebihan termasuklah meraih undi kepada pihak mereka.