Saturday 18 April 2015

Hadi nafi pakat dengan Khalid untuk ambilalih Selangor


  • Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan kononnya terdapat satu komplot rahsia untuk mengangkat semula Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
  • Menjawab laporan bahawa kedua-dua mereka membincangkan langkah itu semasa mesyuarat di Jakarta baru-baru ini, Hadi bagaimanapun berkata isu itu tidak pernah timbul.
  • "Pertemuan dengan Khalid turut dihadiri beberapa pemimpin Islam terkemuka dan ahli akademik dari rantau ini.
  • "Kami berbincang tentang perpaduan umat kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di Timur Tengah mempengaruhi Asia Tenggara.
  • "Walaupun bebeza pandangan dengan kerajaan, kami masih menyokong demokrasi berparlimen di negara ini dan tidak mahu 'penyakit' dari Timur Tengah merebak ke rantau ini," katanya kepada pemberita selepas menutup Kongres Profesional Muslim Malaysia.
  • Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan bahawa Hadi, yang menyokong Khalid sepanjang krisis Menteri Besar Selangor pada tahun lepas berminat untuk mengembalikan kedudukan pemimpin yang dipecat daripada PKR itu ke jawatannya sebelum ini.
  • Menurut sumber, perjumpaan antara Khalid dan Abdul Hadi telah diadakan di Jakarta bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
  • “Apa yang boleh saya katakan pada ketika ini, Tan Sri (Khalid) memang ada mengadakan perjumpaan bersama Hadi di Jakarta. Namun untuk pengesahan ada baiknya ia disahkan oleh Tan Sri sendiri apabila dia pulang nanti” katanya.
  • Menurutnya dalam perbincangan itu ada lima Adun PKR Selangor yang akan mengumumkan untuk ‘melompat’ sekaligus menyatakan sokongan terhadap Khalid.
  • “Dengan sokongan Pas dan Umno ditambah dengan beberapa orang Adun dari PKR itu, Khalid dijangka bakal memperolehi mojoriti mudah. Usul mengenainya akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam masa yang terdekat bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk” kata sumber itu lagi.
  • Pas sebelum ini berhadapan dengan isu besar iaitu perbalahan dengan DAP yang disokong oleh PKR dan kewujudan kumpulan dalam Pas yang cende­rung menyebelahi kedua-dua parti tersebut.
  • Dalam masa yang sama, Hadi dilihat hanya disokong oleh kumpulan pro ulama bagi mempertahankan dasar perjuangan parti itu.
  • Keadaan kucar-kacir dalam Pas semakin ketara apabila secara tiba-tiba terbentuknya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang bergerak atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan alasan mahu mengukuhkan kerjasama antara Pas dengan PKR dan DAP.
  • Namun begitu ramai pemerhati politik melihat, kewujudan Pasma tidak menguntungkan Pas sebaliknya menambahkan lagi kekalutan dalam parti tersebut atau dalam bahasa mudah, Pas dilihat berpecah-belah.

KWSP jangan memandai-mandai


  1. TANPA angin, tanpa ribut secara tiba-tiba Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menyatakan KWSP sedang mengkaji untuk menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya kepada 60 tahun.
  2. Agak melucukan apabila KWSP berhujah ia berdasarkan kaji selidik bebas pakar ekonomi dan penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
  3. Soal kaji selidik berdasarkan apa? Siapa yang diselidik? Apa asas kukuh yang digunakan untuk ‘menghalalkan’ KWSP hendak memandai-mandai menentukan bila orang ramai boleh mengeluarkan wang mereka?
  4. KWSP hanya ‘tukang simpan’ bukan ‘tukang rancang’ apatah lagi ‘tukang kawal’, oleh itu tidak payahlah hendak cari pasal mahu mengawal bila orang ramai boleh mengeluar­kan wang mereka. Rakyat sudah menghormati peraturan had umur yang ditetapkan sebelum ini iaitu 55 tahun. Semua orang setuju tidak ada masalah. Tetapi kenapa mahu dilanjutkan kepada 60 tahun pula?
  5. Malah kita juga menghormati pelbagai peraturan ketat yang dikenakan oleh KWSP bagi memastikan pencarum tidak kehabisan simpanan sebelum bersara. Itu langkah yang tepat. Terima kasih atas keprihatinan tersebut.
  6. Setelah semua itu dipatuhi, KWSP mahu melanjutkan pula had umur pengeluaran. Persoalannya pernahkah KWSP membuat kajian berapa ramai yang sepatutnya bersara pada usia 55 tahun tidak sempat menikmati hasil simpanan mereka? Pernahkah KWSP selidik berapa ramaikah yang papa kedana selepas mengeluarkan kesemua simpanan mereka? Pernahkan KWSP tanya penyimpan had umur berapa sebenarnya yang mereka mahu wang boleh dikeluarkan?
  7. Oleh itu KWSP sepatutnya tidak perlu membuang masa untuk mengemukakan cadangan yang ditolak oleh rakyat. Yang simpan wang di KWSP adalah rakyat, wang yang KWSP simpan ialah wang rakyat, jadi apabila rakyat menolak cadangan untuk melanjutkan had umur pengeluaran maka terima sahajalah. Tidak usahlah nak bersusah payah mahu meng­adakan rundingan awam dengan pencarum.
  8. Isyarat sudah jelas iaitu rakyat menolak cadangan KWSP. Justeru kenapa KWSP ‘masih degil’ mahu berusaha juga supaya impian mereka menjadi kenyataan? Bagaimana dengan impian pencarum-pencarum yang merancang pelbagai perkara apabila genap usia 55 tahun?
  9. Dalam situasi ekonomi sekarang KWSP sepatutnya ‘berjiwa pri­hatin’ dengan mencari jalan bagaimana hendak mengurangkan beban pencarum-pencarum. Bukannya menyebabkan pencarum tidur tak lena. Buatlah kajian cara mana boleh bantu pencarum untuk membelanjakan sedikit wang simpanan mereka dalam KWSP. Contohnya mungkin boleh dipertimbangkan agar pencarum dibenarkan mengeluarkan dividen mereka dalam KWSP.
  10. Begitu juga pencarum-pencarum yang melabur melalui unit amanah dengan menggunakan simpanan KWSP, mungkin mereka boleh dibenarkan mengeluarkan sejumlah wang hasil pelaburan itu. Mungkin KWSP tersenyum dengan cadangan ini. Tetapi kalau KWSP begitu rajin buat kaji selidik untuk terus ‘memerap’ wang pencarum sehingga umur 60 tahun, kenapa tidak boleh mendapat pandangan pakar ekonomi berhubung perkara itu?
  11. KWSP perlu memahami ketika ini sentimen rakyat khususnya mereka yang menjadi pencarum tidak menyebelahi KWSP. Rak­yat tertanya-tanya kenapakah secara tiba-tiba KWSP muncul dengan idea yang meresahkan itu. Pelbagai tafsiran negatif dibuat dalam laman-laman sosial termasuk menyalahkan kerajaan.
  12. Tidak pasal-pasal hanya kerana cadangan KWSP yang belum tentu dilaksanakan, kerajaan pula yang dipersalahkan. Oleh itu KWSP perlu melupakan sahaja cadangan itu. Janganlah meletakkan rakyat resah gelisah terutamanya mereka yang akan mencapai usia 55 tahun. – Oleh Zulkifli Bakar