Saturday 16 May 2015

Parlimen Malaysia bergegar, speaker nafi letak jawatan


  1. PARLIMEN Malaysia bergegar apabila Tan Sri Pandikar Amin Mulia dikatakan telah meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
  2. Ironinya pekara itu didedahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed dalam program Bicara Negara yang diadakan di Ipoh, Perak petang tadi.
  3. "Dia (Pandikar) datang bertemu saya. Dia beritahu dia tidak mahu meneruskan lagi, sekarang tugas beliau disandang oleh timbalannya," kata Dr Mahathir. Dewan Rakyat akan bersidang untuk sesi kedua tahun ini pada Isnin.
  4. Dr Mahathir tidak mendedahkan kenapa Pandikar mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai yang Dipertua Dewan Rakyat.
  5. Beliau mengumumkan pekara berkenaan selepas ditanya adakah kemungkinan untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi undi tidak percaya di Parlimen.
  6. Dr Mahathir berkata perkara tersebut sukar kerana UMNO tidak mempunyai bilangan kerusi yang cukup dan memerlukan sokongan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain.
  7. Bagaimanapun, Ronald Kiandee, Timbalan Speaker Dewan Parlimen menafikan kenyataan Dr Mahathir, sambil menyifatkannya sebagai satu spekulasi liar.
  8. Ronald Kiandee turut menolak dakwaan bahawa Pandikar Amin telah meletak jawatan sejurus selepas sesi Parlimen tamat pada 9 April lalu. Malah Ronald Kiandee turut menyatakan dalam pertemuannya dengan Pandikar beberapa hari lepas, Speaker Dewan Rakyat itu tidak menyatakan apa-apa.
  9. Menurutnya lagi, walaupun semasa sesi yang lepas, Pandikar Amin tidak muncul tetapi dia sebenarnya bercuti secara rasmi. Pun begitu, pada penghujung sesi, Pandikar muncul dan menjalankan tugasnya seperti biasa.
  10. Malah pada minggu lepas, Pandikar Amin telah mempengerusikan mesyuarat persediaan untuk Persidangan Speaker-Speaker Komanwel yang akan diadakan pada Januari tahun hadapan di Kota Kinabalu.
  11. Kali terakhir, Pandikar Amin Mulia dilihat di khalayak ramai ialah ketika Perdana Menteri melancarkan projek rumah rakyat Ahad lalu di Kota Belud yang merupakan kampung halamannya.
  12. Menjelang malam, Pandikar Amin barulah muncul dengan kenyataan akhbar menafikan perletakkan jawatannya dan akan bertugas seperti biasa. Bagaimanapun beliau tidak mengulas mengenai pertemuannya dengan Dr Mahathir.
  13. Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan jelajah Malaysia untuk mendapatkan sokongan awam.
  14. Di Johor, Perdana Menteri menyifatkan sokongan padu diberikan Umno negeri itu terhadapnya dilihat sebagai peringatan untuk beliau terus menyelesaikan isu rakyat dan negara secara berhemah dan bijaksana.
  15. Najib, yang juga Presiden Umno berkata, beliau melihat sokongan diberikan Umno Johor bukan sokongan yang berbentuk membawa rebah tetapi memberi keyakinan kepada pucuk kepimpinan.
  16. "Kadang-kadang ada sokongan yang merebahkan tetapi sokongan orang Johor memberikan peringatan kepada saya mengenai maklum balas isu yang perlu diselesaikan.
  17. "Orang Johor kata cuba selesaikan (isu) dalam jangka masa terdekat supaya sokongan rakyat bertambah dan Insya-Allah, kita akan menang sekali (PRU14 nanti)," katanya.
  18. Sebelum ini, Najib menjelajah Sabah dan menerima sokongan berdasarkan permuafakatan anggota parti dan kesetiaan kepada kepimpinan tertinggi parti.
  19. Perdana Menteri turut memberi jaminan yang beliau sebagai pemimpin yang bertindak sebagai 'nakhoda bahtera' negara, tidak akan bertukar haluan meskipun dilanda 'taufan'.
  20. Beliau dijadualkan melawat beberapa negeri lagi untuk memastikan UMNO dan rakyat menyokong kepimpinannya biarpun dikekang hebat oleh Dr Mahathir.
  21. Malangnya `perselisihan faham’ antara kem Najib dan Mahathir telah memberi kemenangan sementara kepada pembangkang khususnya DAP dan PKR.
  22. Malahan Nurul Izzah Anuar sendiri pernah berkata beliau tidak perlu bersusah payah menyerang Umno BN dan boleh berehat seketika sambil makan bertih jagung kerana Dr Mahathir sudah melakukan semua untuk pembangkang.
  23. DAP juga terlompat-lompat gembira apabila melihat perang besar di kalangan pemimpin Melayu. Najib berperang dengan Mahathir. Hadi Awang berperang dengan PasMa. Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir buka parti baru bagi melebar jurang perpecahan Melayu.
  24. Sedangkan MCA dan Gerakan tidak langsung menjentik DAP dalam apa jua hal kecuali menyindir sikit-sikit dalam isu tertentu. Perpaduan Cina DAP, MCA, Gerakan kelihatan semakin kukuh sejak kebelakangan ini sebagai landasan menuju kemenangan Cina pada PRU14.
  25. Apakah teori RAHMAN akan berakhir di sini dan PRU14 akan dirampas oleh dinasti pembangkang? Benarkah Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Najib? Setiap saat berlangsung pastinya menjanjikan debaran.