Tuesday 9 June 2015

Najib pula tuduh Mahathir cetus masalah besar negara


  1. Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad terus berbalas hujah mengenai siapa yang lebih banyak mencetus masalah besar negara.
  2. Terbaru Perdana Menteri berkata, dakwaan mengatakan beliau menimbulkan masalah lebih besar terhadap negara sebenarnya berpunca daripada perbuatan Mahathir sendiri.
  3. "Masalah yang dirujuk oleh Tun sebahagian besarnya berpunca daripada perbuatannya sendiri akibat daripada 'serangan' dilakukannya dan tindakannya melaungkan pembohongan dan fitnah oleh pembangkang."
  4. Perdana menteri menjawab demikian dalam ruangan soalan yang sering ditanya di dalam blog najibrazak.com.
  5. Najib berkata dakwaan berkenaan telah disebar luas menerusi Internet, dan ini merupakan sesuatu yang Dr Mahathir tidak perlu hadapi semasa beliau menjadi perdana menteri.
  6. Beliau berkata apa yang jelas Dr Mahathir telah menggunakan pendemokrasian maklumat dalam sosial media iaitu semua maklumat, walaupun sekelumitpun tidak benar, dianggap sebagai benar.
  7. "Hanya kerana satu pembohongan telah disebarkan beribu­ribu kali, ia tidak akan menjadikan ia sebagai benar. Dengan serangan hebat seumpama itu dibuat secara dalam talian, adalah tidak menghairankan bahawa Tun fikir wujud 'masalah' lebih besar hari ini," kata Najib.
  8. Najib mengambil peluang untuk menjawab kritikan dilemparkan terhadapnya dan pentadbiran beliau, kontroversi 1Malaysia Development Berhad, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pembelian jet rasmi dan kebimbangan terhadap keselamatan di Sabah.
  9. Mengakui bahawa pentadbiran beliau, sama seperti mana­mana pentadbiran lain, tidak terlepas daripada berdepan cabaran, Najib berkata rekod kerajaan sejak enam tahun lepas menunjukkan kerajaan menjadikan keadaan lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.
  10. "Dan kami akan terus mengotakan janji kami untuk melakukan transformasi terhadap ekonomi, kerajaan dan negara apabila kita mencapai Wawasan 2020," katanya sambil menggesa rakyat Malaysia untuk terus yakin dan bersama­sama berusaha untuk mencapainya daripada berbalah sesama sendiri.
  11. Najib juga mengingatkan anggota UMNO dan Barisan Nasional serta semua rakyat Malaysia untuk tidak terus percaya bulat­bulat setiap kali Dr Mahathir melakukan 'serangan'.
  12. Meminta mereka untuk berfikir sejenak dan menganalisis faktanya apabila itu berlaku, perdana menteri berkata apa yang ditonjolkan oleh Dr Mahathir merupakan tuduhan dan masalah kerana beliau tahu bagaimana "untuk mempengaruhi minda rakyat terhadap kerajaan sekarang dan saya".
  13. Najib berkata Dr Mahathir telah melakukan banyak perkara baik dan hebat semasa menjadi perdana menteri tetapi beliau tidak lagi menerajui pentadbiran.
  14. "Malah sekiranya saya berundur, Tun akan terus campur tangan dalam pentadbiran negara. Beliau boleh kata yang beliau hanya melaksanakan hak demokrasi sebagai sebagai seorang warganegara, tetapi inilah sifat Tun Mahathir," kata Najib.
  15. Beliau berkata rakyat cenderung untuk percaya apa sahaja yang dikatakan oleh Dr Mahathir walaupun ia tidak betul sepenuhnya, dan ia mempunyai kesan amat besar terhadap persepsi orang ramai kerana beliau bukan sekadar orang biasa.
  16. "Terdapat sebab kenapa kebanyakan bekas ketua kerajaan di seluruh dunia tidak campur tangan dalam kerja pentadbiran semasa kerana apa sahaja yang mereka katakan boleh dengan mudah menjejaskan sistem itu," katanya. - BERNAMA

Muhyiddin bakal disingkir pada rombakan kabinet


  1. Pergolakan UMNO semakin panas apabila ura-ura mengatakan rombakan kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat dengan penyingkiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  2. Lawatan Presiden UMNO ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bersama dua Naib Presidennya telah menimbulkan spekulasi bahawa kepulangan mereka akan disusuli dengan rombakan kabinet.
  3. Naib Presiden yang mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  4. Ramai berkata amat janggal bagi Perdana Menteri membawa dua orang Naib Presiden UMNO untuk mengiringinya menunaikan umrah, kecuali ada perbincangan yang perlu disepakati di tanah suci itu.
  5. Oleh kerana bangsa Melayu begitu suka bergosip, maka pemergian beberapa pemimpin negara ke tanah suci Mekah dikatakan ada hubung kait dengan suasana politik yang sedang melanda negara.
  6. Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal yang diketahui mempunyai pendirian berbeza dengan Najib sejak kebelakangan ini terutama berhubung isu 1MDB, tidak ikut serta atau barangkali juga tidak dipelawa menunaikan umrah. Difahamkan beliau berada di Russia atas urusan rasmi kementeriannya.
  7. Dengan Najib membawa Zahid dan Hishamuddin ke Mekah, cakap-cakap paling sensasi ialah kemungkinan Muhyiddin akan digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
  8. Ini kerana kedudukannya dalam kabinet dianggap sebagai ancaman serta "duri dalam daging" kepada masa depan Perdana Menteri.
  9. Najib dikatakan sudah tidak tahan dengan karenah Muhyiddin yang kononnya tidak cukup setia terutama sejak isu 1MDB meletus.
  10. Tempat Muhyiddin akan diambil alih oleh Zahid manakala Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib akan diberi portfolio Kementerian Kewangan sebagai persediaan menjadi  calon Perdana Menteri masa depan.
  11. Shafie pula akan dipindahkan di kementerian lain yang kurang penting bagi mengekang pengaruh serta pergerakannya daripada terus memberi kesan negatif kepada Najib.
  12. Sebuah agensi kerajaan yang berkaitan dengan perang saraf dikatakan telah menemui Najib beberapa minggu lalu dan mengemukakan cadangan yang antaranya mencadangkan penyingkiran Muhyiddin.
  13. Agensi itu mencadangkan Najib menamatkan `masa bertahan’ dan memulakan `serangan’ jika mahu terus kekal memimpin parti dan negara.
  14. Selain itu, beberapa menteri juga difahamkan bakal digugurkan dalam rombakan yang akan dilakukan.
  15. Ini kerana Najib menyedari mereka hanya "bermain selamat" dan tidak membantunya menghadapi serangan, baik daripada Tun Mahathir atau pembangkang.
  16. Bagi mengisi kekosongan kabinet, Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad akan diserapkan semula kerana beliau sejak kebelakangan ini paling lantang mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir.
  17. Najib dikatakan berpuas hati dengan pendekatan Ahli Parlimen Johor Bahru itu ketika membalas serangan Tun Mahathir.
  18. Nama lain yang disebut akan kembali ke dalam kabinet ialah Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh.
  19. Ini kerana Najib ingin memanfaatkan keberanian dan kepetahan bekas menteri itu sebagai perisai barunya.
  20. Dalam menghadapi kritikan Tun Mahathir yang dijangka lebih panas selepas ini, Najib tiada pilihan selain melantik Timbalan Perdana Menteri baru, menyusun semula kabinet dan meletakkan pemimpin senior yang berani seperti Shahrir dan Annuar untuk membenteng kedudukannya.
  21. Ini sekaligus menunjukkan bahawa pahlawan Bugis itu (Najib) sudah sedia berentap sehingga "bumi berkeping dua" sebagaimana madah yang selalu diucapkannya sebelum ini.
  22. Persoalannya jika Muhyiddin disingkirkan, apakah beliau akan berdiam diri dan reda dengan apa yang berlaku, atau bangkit menentang Najib dalam bentuk dan gaya yang sukar dibaca umum.


Selangor menuju kerajaan campuran baru




  1. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kini berada di ambang kehancuran akibat tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.
  2. Hal ini diakui ramai pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang sambil terpening-pening mencari formula menyelesaikan masalah itu.
  3. Walaupun PAS belum memuktamadkan penceraian PAS-DAP, mustahil kedua-dua parti itu berkerja seperti biasa di Selangor.
  4. Hubungan rapuh PR Selangor diburukkan lagi dengan ancaman PAS mahu menggunakan “lutut” dan “siku” bagi mengajar DAP.
  5. Bagaimana kerajaan negeri boleh berfungsi jika exco PAS-DAP enggan bekerjasama. Sudah pasti mesyuarat exco negeri akan huru hara apabila exco dari kedua parti itu saling tidak bertegur sapa.
  6. Bukan saja mesyuarat exco terkesan dengan permusuhan itu, malahan ia merebak di semua peringkat kerajaan Selangor.
  7. Ahli majlis tempatan PAS-DAP saling tidak mengendahkan komen, cadangan dan saranan ketika menjalankan tugas mereka di peringkat kerajaan tempatan.
  8. Lalu DAP dan PKR sedang membuat penyusunan semula politik bagi membolehkan kerajaan PR terus berkuasa di Selangor.
  9. Kegagalan mencari gabungan yang menerima polisi bersama PR ternyata membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Selangor.
  10. Tidak mustahil kerajaan PR Selangor bakal hancur dan satu pilihan raya negeri terpaksa diadakan.
  11. Situasi yang mendorong ke arah pilihan raya negeri Selangor pernah terbayang sebelum ini apabila PAS tidak bersetuju Dr Wan Azizah Ismail diangkat sebagai MB Selangor.
  12. PAS menggunakan haknya agar Abdul Khalid terus menjadi MB Selangor tetapi Anwar Ibrahim berkeras bahawa jawatan MB adalah milik PKR walaupun kerusi DUN parti itu di Selangor kurang berbanding PAS.
  13. Lalu DAP dan PKR memberi tekanan paling hebat ke atas PAS sehingga parti Islam itu terpaksa tunduk dengan kehendak rakan sekongkolnya walaupun di hati PAS tetap tidak bersetuju.
  14. Akhirnya PR terselamat daripada kemusnahan apabila Mohamed Azmin Ali dipilih menjadi MB Selangor dan padahnya kersi exco PAS dikurangkan kepada tiga.
  15. Kini gelombang kemusnahan PR muncul sekali lagi. Sekali lagi PAS dipersalahkan kerana memutuskan hubungan dengan DAP.
  16. Saban hari penulis upahan PKR dan DAP melemparkan rencana kutukan ke atas PAS dengan menuduh parti Islam itu bersifat angkuh memutuskan hubungan dengan DAP tanpa melihat kesan ke atas kerajaan PR Selangor.
  17. Walhal apa yang berlaku ialah DAP sendiri begitu sombong menelanjangkan PAS sejak dua tahun lalu dengan pelbagai tuduhan tidak masuk akal.
  18. Barangkali blogger prepaid DAP dan PKR terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa DAP sendiri yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS.
  19. Memutuskan hubungan dengan Presiden PAS samalah dengan memutuskan hubungan dengan parti secara keseluruhan.
  20. Padahnya kerajaan PR Selangor huru hara di peringkat paling kritikal. Kit Siang dan anaknya Guan Eng sudah membayangkan Selangor akan jatuh ke tangan UMNO melalui kerjasama dengan PAS.
  21. Sambil memperkukuh tembok Cina Pulau Pinang, kedua beranak itu mengupah beberapa blogger Melayu paling kontroversi supaya menjenamakan kepimpinan PAS sebagai angkuh, sombong dan keras kepala. Sebutlah apa saja, spinlah apa saja, blogger pro DAP dan PKR pasti dibayar upah lumayan macam upah yang diterima Mat Sabu.
  22. Kini blogger Melayu pro DAP dan PKR sudah mula mencanai politik di Selangor. Mereka mendakwa DAP ada kekuatan tenaga dan modal untuk berdepan dengan PAS yang serba miskin.
  23. Kekuatan DAP sebanyak 15 kerusi DUN di Selangor sudah cukup untuk parti itu memboneka PKR.
  24. PAS juga ada 15 kerusi DUN Selangor tetapi dikatakan lemah kerana dua wakil PAS (Saari Sungip dan Hasnol)  dipecat atau digantung keahliannya.
  25. PAS kini pada dasarnya ada 13 kerusi sahaja dan tidak cukup bagi PAS membentuk kerajaan negeri bersama UMNO.
  26. Jika UMNO-PAS bergabung, mereka baru ada 26 kerusi termasuk calon bebas Khalid Ibrahim. Dengan sombong PKR dan DAP mendakwa mereka ada kelebihan lima kerusi untuk membentuk kerajaan. Mereka ada 30 kerusi iaitu PKR (13), DAP (15) dan dua kerusi wakil PAS yang dipecat.
  27. Walaupun kerajaan campuran DAP-PKR mempunyai kelebihan lima kerusi, ia tidak menstabilkan kerajaan yang ada.
  28. Untuk itu satu pilihan raya baru perlu diadakan bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan bentuk kerajaan Selangor yang baru.
  29. Janji Dr Wan Azizah mahu mendamaikan PAS dan DAP langsung tak bermakna apabila Guan Eng memberi amaran berupa nasihat kepada Presiden PKR supaya jangan jadi orang tengah.
  30. Sayugia dimaklumkan bahawa kebanyakan blogger upahan DAP dan PKR mencanai politik Selangor berdasarkan mesyuarat kedai kopi.
  31. Mereka terlupa UMNO dan PAS boleh mewujudkan kerajaan campuran bersama Mohamed Azmin Ali (bernaung di dalam kem Tun Mahathir Mohamed) dan rakan-rakannya DEMI MELAYU dan ISLAM.
  32. Bolehkah blogger Melayu pro DAP seperti Mohd Sayuti Omar dan rakan-rakannya mencanai situasi politik sebegini?