Monday 9 February 2015

Drama airmata Anwar diteruskan

  • Bermula dengan serangan ke atas Hadi Awang kerana sehingga setakat ini, Hadi Awang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau perintah kepada ahli-ahli PAS untuk bersolidariti dengan Anwar Ibrahim, sekaligus mengurangkan kebarangkalian yang demonstrasi besar-besaran seperti yang berlaku pada penghujung 1990-an dahulu akan berulang.
  • Semalam juga, satu pertemuan membabitkan Majlis Presiden Pakatan Rakyat, TERPAKSA DIBUAT di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut dengan harapan, Hadi Awang akan malu alah dan menurut kehendak Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng / Lim Kit Siang, tetapi yang lebih memalukan PKR dan DAP ialah apabila sekumpulan ahli-ahli PAS yang setia menjunjung perjuangan sebenar parti itu, membuat tunjuk perasaan di hadapan Ibu Pejabat PAS Pusat menuntut Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai meletak jawatan kerana menjadi ANJING DAN BARUA PKR serta DAP yang telah memecah belahkan PAS semata-mata terliur dengan tawaran kemewahan.
  • Hadi Awang sendiri tidak menunggu lama. Dia hadir sekadar untuk memenuhi protokol dan prosedur, apatah lagi dibuat di dalam 'rumahnya' sendiri. Selesai bermesyuarat, Hadi Awang bergegas meninggalkan bangunan Ibu Pejabat PAS Pusat tanpa mahu bersama-sama Lim Guan Eng/Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim memperkatakan tentang kesimpulan yang telah mereka buat.
  • Tindakan Hadi Awang itu ternyata menutup mulut Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim yang hampir menyatakan Presiden PAS bersetuju agar ahli-ahli PAS bergabung dan berdemonstrasi untuk menyokong Anwar Ibrahim dalam keputusan akhir Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
  • Dari awal lagi, Anwar Ibrahim sangat sedar, perjalanannya kali ini lebih berduri tanpa sokongan daripada PAS. Dia telah menggerakkan orang-orangnya dalam PAS untuk tujuan itu, namun keadaan menjadi semakin buruk apabila belang PASMA dan GIK terdedah kepada umum sekaligus mengesahkan khabar-khabar angin selama ini bahawa PAS sememangnya cuba dipecahbelahkan oleh orang-orang Anwar Ibrahim dari dalam.
  • Gerakan menggulingkan Hadi Awang dan mengangkat Mat Sabu sebagai Presiden PAS yang baru juga, semakin bocor. Printscreen perbualan beberapa orang upahan Hatta Ramli yang merancang penggulingan itu, kini sedang tersebar luas.
  • Siri ceramah umum yang melibatkan Anwar Ibrahim juga kurang mendapat sambutan sekalipun semalam (8 Februari) di Muar, ceramah tersebut dianggap yang paling 'berjaya' menarik kehadiran pendengar mencecah 1500 orang sekalipun pada masa yang sama, konco-konco Anwar Ibrahim cuba membesar-besarkan angka berkenaan menjadi 10,000 orang. 80% kehadiran adalah yang sudah tua-tua. Hanya 20% sahaja yang berusia muda.
  • Beberapa ceramah membela Anwar Ibrahim sebelum ini, hanya mencatatkan kehadiran sangat rendah.
  • Sekaligus memberitahu bahawa, tanpa PAS, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng tidak akan ke mana-mana. Sudah terbukti bahawa selama ini, PKR dan DAP yang kerap mendabik dada kekuatan mereka, sebenarnya sangat bergantung kepada PAS.
  • Justeru tidak hairanlah sehinggakan A.Samad Said yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam PAS, PKR atau DAP, sekadar menjadi balaci Ambiga Sreevanasan, turut melalak meminta dan mendesak agar Hadi Awang meletak jawatan kerana dia melihat tanpa penyertaan PAS, gerakan menyokong Anwar Ibrahim yang meramaikan jalanraya dengan demonstrasi bodoh hanyalah sebilangan budak-budak muda yang tidak tahu arah tujuan hidup mereka.... sama seperti dia juga!
  • Dengan persediaan bas-bas percuma yang akan mengangkut para pendemonstrasi ke Putrajaya esok, PKR dan Anwar Ibrahim terus gelisah kerana sambutan tidaklah terlalu hebat sebagaimana yang diharap-harapkan. -- theflyingkick


Harga rumah menggila akibat spekulasi GST

  • Meneliti iklan di dada akhbar tempatan dan nasional, pemaju perumahan bagai terus optimis bahawa permintaan terhadap rumah kediaman tidak akan reda selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Mereka merebut peluang daripada keghairahan pembeli untuk terus membeli rumah.
  • Sejak tiga empat tahun ini, harga rumah sudah menggila, di luar daripada imaginasi dan jangkaan banyak pihak, sebahagiannya kerana spekulasi dan strategi pemaju menetapkan harga minimum sesama sendiri bagi meraih keuntungan tinggi.
  • Di sebalik kontroversi harga makanan dan barangan keperluan harian tidak turun meskipun harga minyak sudah menjunam, kini pembeli dan pelabur dalam sektor hartanah berteka-teki, adakah harga rumah akan naik selepas pelaksanaan GST?
  • Bakal pembeli, khususnya golongan muda keliru dengan pelbagai kenyataan pihak terbabit. Ada kementerian menjangkakan bahawa harga rumah akan naik sekitar tiga atau empat peratus, tetapi dinafikan kementerian lain, yang mendakwa hanya naik dua peratus. Kenyataan sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak.
  • Spekulasi bahawa harga rumah akan naik mendadak, menyebabkan ada pemaju menasihati pembeli supaya membeli sekarang sebelum pelaksanaan GST pada 1 April depan ketika membuat promosi dan pemasaran. Pembeli yang tidak waspada, terperangkap dengan helah demikian.
  • Sesetengah pemaju perumahan cuba menangguk di air keruh, dengan menyebarkan berita yang tidak sahih sehingga mengelirukan dan memperdayakan bakal pembeli. Bakal pembeli perlu berhati-hati membuat keputusan dan tidak mudah terpedaya dengan strategi sesetengah pemaju yang ingin melariskan jualan unit rumah yang dibina.
  • Sebab peningkatan permintaan yang mendadak bagi rumah sebelum pelaksanaan GST, berpotensi menyebabkan harga rumah terus naik, sedangkan impak GST ke atas harga rumah tidaklah berlaku mendadak seperti yang diwar-warkan sesetengah pihak.
  • Untuk itu, penting bagi pembeli dan orang ramai mengetahui bagaimana GST berfungsi dan kesannya terhadap harga rumah. Hakikatnya, rumah dikecualikan daripada GST, namun input bahan dan perkhidmatan untuk pembinaan tertakluk kepada GST sebanyak enam peratus, manakala tanah untuk perumahan dan kos pembiayaan dikecualikan daripada cukai. Malah, sesetengah bahan seperti perkakasan sanitari dan jubin yang kini dikenakan cukai jualan 10 peratus, akan dikenakan cukai 6 peratus selepas GST.
  • Kita perlu belajar daripada fenomena yang berlaku di Australia pada tahun 2000 ketika GST diperkenalkan apabila pembeli dan pemaju bergegas membeli dan menyiapkan projek mereka kerana bimbang kos akan naik selepas pelaksanaan GST.
  • Namun, disebabkan peningkatan permintaan yang mendadak itu, pemaju akhirnya membayar harga lebih tinggi untuk bahan dan perkhidmatan. Seterusnya, kos berkenaan disalurkan kepada pembeli. Sekitar setengah tahun selepas GST dilaksanakan, harga hartanah turun.
  • Meskipun pemaju tidak boleh mengenakan GST kepada pembeli rumah kediaman, mereka boleh memindahkan kos cukai tersebut ke dalam harga jualannya secara tersirat. Dijangkakan kenaikan harga untuk hartanah kediaman baharu akan lebih rendah berbanding hartanah komersial baharu.
  • Hakikatnya, kerajaan menjangkakan harga rumah bakal meningkat tiga peratus selepas pelaksanaan GST, bukan naik mendadak seperti yang dikatakan.
  • Kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menunjukkan impak kenaikan sebanyak tiga peratus berasaskan perincian bahan binaan dan sebagainya. Pemaju perumahan tidak boleh mengambil kesempatan dengan menaikkan harga rumah sesuka hati, melebihi peratusan yang ditetapkan.
  • Jika perkara ini berlaku, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas bagi melindungi pembeli. Seperti dalam kes harga makanan dan barangan keperluan harian sekarang, kita bimbang sesetengah pemaju menaikkan harga rumah sesuka hati di tengah-tengah keghairahan pembeli.
  • Bagi rakyat, mereka tidak boleh menunggu kerana berdasarkan rekod, harga rumah tidak akan turun malah sentiasa meningkat. Sementelah, apabila pemaju bersekongkol sesama mereka dengan menetapkan harga rumah minimum bagi memastikan harga rumah terus tinggi.
  • Kerajaan perlu terus berusaha untuk memastikan segala projek perumahan yang dirancang di bawah pelbagai skim dapat dilaksanakan dan seterusnya memastikan bahawa pemaju dikenakan tindakan yang sesuai, jika mereka mengaut keuntungan yang keterlaluan. -- Oleh Jeniri Amir, Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak


Kebebasan bersuara perlu ada batas

  • Terpanggil saya untuk mengulas mengenai isu penghinaan yang dilakukan masyarakat tidak kira bangsa dan agama terhadap pemimpin negara yang begitu ketara baru-baru ini. Melihat pada sejarah, sejak Malaysia merdeka dari tahun 1957, semua bangsa di negara ini duduk bersama dan kenal akan budaya dan agama setiap kaum yang mengamalkannya dan cuba bertoleransi berteraskan kata kunci perpaduan.
  • Namun dewasa ini, generasi baharu seolah-olah ingin melupakan apa yang diperjuangkan datuk nenek kita hanya kerana terpengaruh dengan ideologi kebebasan bersuara.
  • Bertitik tolak dari sinilah ramai yang tidak memahami 'gist' perlembagaan telah mencetuskan kontroversi di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram mahupun YouTube. Hakikatnya apa yang mereka mahu lakukan sekadar meraih populariti dan mendapatkan perhatian dan dengan itu menjana kewangan.
  • Sebagai contoh peraih populariti menggunakan akaun YouTube, Twitter dan Facebook pasti mengharapkan dengan mencetuskan kontroversi mereka akan dapat beratus ribu 'subscriber' ataupun 'like'. Dari situ mereka boleh jana ribuan ringgit di samping pengikut setia.
  • Kebebasan bersuara ialah kebebasan menyatakan pandangan mahupun fikrah tanpa batas atau penapisan mengenai apa yang ingin diperkatakan. Semua masyarakat mempunyai hak kebebasan bersuara tanpa mengira kaum atau pangkat dan sebagainya. Kebebasan bersuara adalah hak untuk seseorang menyampaikan apa yang difikirkan, apa jua pandangannya mengenai sesuatu dan idea mengenai sesuatu sama ada melalui lisan, tulisan, slogan, lakonan ataupun ekspresi.
  • Ironinya, hak kebebasan bersuara tidak pernah bersifat mutlak di mana-mana negara sekalipun hatta di Amerika Syarikat dan lazimnya hak ini dihadkan. Namun, hak kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi manusia dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR). ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai 'hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan dan semua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat'. Di Malaysia, perkara 10(1)(a) dari Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa 'tiap-tiap warga negara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara'.
  • Malangnya ramai pendukung kebebasan bersuara ini gagal memahami impak yang berlaku dalam meraikan kelonggaran diberikan. Lihat sahaja akhir-akhir ini, apabila kebebasan bersuara disalahgunakan. Maka berlakulah keretakan perkauman apabila ada beberapa individu peraih populariti yang khilaf. Mereka ini amat mementingkan diri tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat menyebabkan keretakan perpaduan.
  • Lembaran sejarah membuktikan, kebebasan bersuara tidak rasional serta bersifat melulu juga menimbulkan pergaduhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 iaitu peristiwa ketidakpuasan kaum terhadap kaum lain di Malaysia. Kebebasan penggunaan perkataan berunsur tidak sopan dan lucah jelas boleh menimbulkan pergaduhan dan huru-hara di negara kita.
  • Tidakkah kita belajar apa-apa daripada sejarah? Dalam sistem pemerintahan kita hari ini, yang mengamalkan kaedah demokrasi raja berperlembagaan, institusi raja adalah lambang kenegaraan yang sangat penting. Penghinaan kepada institusi raja mahupun pemimpin negara boleh dianggap penghinaan juga kepada negara.
  • Akhir-akhir ini penghinaan terhadap agama Islam, Raja-Raja Melayu, pemimpin negara dan kaum terus berleluasa. Penghinaan itu termasuk memaki serta menggunakan kata-kata lucah terhadap Raja-Raja Melayu, menyunting gambar pemimpin dengan gambar lucah serta menghina menteri. Bukit Aman sudah menerima lebih 500 laporan polis sejak tahun 2011 membabitkan isu penghinaan terbabit.
  • Kronologi penghinaan institusi Diraja lima tahun kebelakangan ini bermula dengan isu penghinaan Aduka Taruna terhadap Almarhum Sultan Johor, penyamaran seorang remaja mengaku anak angkat Tengku Mahkota Pahang, paparan wajah Sultan Johor di kain rentang sebuah parti politik, penggunaan nama seorang Ketua Menteri dalam khutbah Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, penyamaran seorang lelaki sebagai Tengku Mahkota Johor dalam laman FaceBook, dan penghinaan seorang wanita terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika Baginda berucap di laman sosial ternama.
  • Sebelum ini seorang didapati bersalah menghina Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Lelaki ini menunjukkan isyarat lucah dan kononnya, secara kebetulan kereta Permaisuri Agong lalu di kawasan itu.
  • Dalam insiden terbaharu, negara digemparkan dengan tindakan Vincent Leong, pelukis tempatan yang mempamerkan sisi belakang Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri pada pameran seni yang diadakan di Dart Stage, Singapura yang dilakukan bertunjangkan seni.
  • Benih-benih penghinaan kepada negara dan pemimpin negara melalui media sosial boleh menghakis keyakinan dan kecintaan rakyat kepada negara dan menghancurkan landasan yang dibina dalam 57 tahun kemerdekaan. Hanya mereka yang dungu sahaja tidak tahu apakah kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan negara. Seharusnya mereka yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong ditarik balik kerakyatan sebagai pengajaran kepada orang lain.
  • Bekas Pengerusi SUHAKAM iaitu Tun Musa Hitam (2001) berpendapat bahawa tidak wujud apa yang dikenali sebagai kebebasan media yang mutlak. Beliau menyetujui kebebasan media harus diikat dengan tanggungjawab dalam menyampaikan laporan dan penghasilannya. Jika media serta pengamalnya saling melagakan masyarakat yang berbilang kaum, maka penduduk berada dalam keadaan tidak aman serta rakyat menjadi keliru dan hidup dalam penuh kebencian. Adakah maruah negara, bangsa dan agama satu benda yang remeh yang boleh dipermainkan oleh siapa sahaja untuk mencakna kebebasan bersuara? Adakah ini yang kita mahukan, kebebasan tanpa batasan?
  • Keterbukaan melampau yang cuba ditonjolkan sesetengah masyarakat seolah-olah bertujuan 'menghasut' rakyat agar membenci segala-galanya berkenaan Malaysia, orang Melayu, agama Islam dan Perlembagaan negara. Dengan itu, mereka akan dapat laluan mudah untuk mencorak negara mengikut acuan mereka sendiri dengan memadamkan sejarah yang menjadi bukti "Ketuanan Melayu".
  • Mereka ini cuba dan terus cuba menggunakan bermacam-macam cara untuk memastikan matlamat keji mereka akan tercapai. Negara maju yang mengamalkan sistem beraja dan kebebasan bersuara seperti Belanda juga mempunyai kanun keseksaan dikenali sebagai Crimen laesae-Majestatis yang boleh mendakwa mana-mana individu yang menghina ratu atau pasangannya.
  • Sebagai contoh, pada tahun 2007, seorang lelaki bernama Regilio Amelo dikenakan denda STG400 kerana menghina Ratu Beatrix dengan berkata 'I hate your Queen, she is a whore'. Pada tahun sama, seorang wanita muda yang juga seorang wartawan ditangkap hanya kerana memakai sehelai t-shirt yang tertulis 'Beatrix is a whore'.
  • Begitu juga dengan negara jiran kita Thailand, pada tahun 2011 seorang pemandu teksi bernama Ampon dihukum 20 tahun penjara atas kesalahan menghantar teks SMS yang berunsur penghinaan kepada Raja Thai. Sebelum ini, beberapa warga asing turut dihukum atas kesalahan sama, tetapi mereka kemudian segera diberi pengampunan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
  • Saya sama sekali tidak bersetuju dengan perlakuan yang tidak melambangkan ketamadunan manusia seperti penghinaan dengan menggunakan bahasa menjijikkan kepada Raja-Raja Melayu dan pemimpin. Tanpa mengira ideologi politik, ini adalah sifat yang memalukan dan tiada langsung melambangkan sikap rakyat Malaysia apatah lagi bangsa Melayu yang bersopan santun.
  • Pada masa sama, penghinaan berkenaan juga menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia memahami apatah lagi untuk menghormati Raja-Raja Melayu dan institusinya. Penghinaan sedemikian jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan berlakunya keresahan dalam masyarakat. Kita harus menjunjung tinggi institusi raja sebagaimana kita seharusnya menjunjung tinggi Perlembagaan negara. Ingat, sesiapa yang sabit dengan kesalahan melawan Yang di-Pertuan Agong, hukumannya mati! Bagi saya, isu ini adalah isu kebangsaan bukan politik. Mereka yang terbabit perlu dikenakan tindakan yang maksimum agar dapat menjadi iktibar pada yang lain. -- Oleh Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri.


Harga barang tak turun gara-gara peniaga tamak

  • Keengganan untuk mengurangkan harga produk dan perkhidmatan selepas pengurangan harga bahan api berkemungkinan menjadi penghalang kepada Malaysia untuk mencapai harga pasaran bagi sumber tenaga.
  • Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah memantau perkembangan mengenai harga tenaga dan kesannya kepada ekonomi Malaysia secara berterusan. Pencatutan (profiteering) adalah penyakit kronik yang boleh diperhatikan dalam semakan harga bahan api yang terbaharu.
  • Mari kita mengkaji isu ini dengan lebih lanjut. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi untuk petrol dan diesel pada bulan Oktober 2014, banyak peniaga mengadu. Ada yang mengatakan mereka akan tutup kedai jika tidak menyalurkan kos tambahan kepada produk dan perkhidmatan manakala segelintir lagi mengatakan bahawa mereka akan 'mati' disebabkan oleh peningkatan harga yang mendadak.
  • Harga tertinggi RON95 (petrol) adalah RM2.30 seliter dan diesel adalah RM2.23 seliter antara bulan Oktober 2014 dan Disember 2014. Kini, selepas tiga kali harga bahan api disemak semula pada bulan Disember 2014, Januari 2015 dan Februari 2015, harga RON95 dan diesel adalah RM1.70 seliter. Ini bersamaan dengan pengurangan 26.09 peratus dalam harga RON95 dan 23.77 peratus dalam harga diesel.
  • Keluar kenyataan berbeza - Hairannya, golongan yang mengadu bahawa mereka tidak tahan dengan peningkatan dan akan 'mati' kini keluar dan mengatakan bahawa harga bahan api adalah komponen 'sangat kecil' dalam perbelanjaan operasi. Ada pihak menuding jari kepada yang lain dan yang lainnya adalah sejarah. Pokoknya, penurunan dalam perbelanjaan operasi bermakna kadar atau 'margin' keuntungan yang lebih tinggi, itulah matematik yang mudah. Wang mempunyai caranya sendiri untuk menggoda kebanyakan perniagaan supaya tidak menurunkan harga!
  • Jika kita mengambil komponen harga bahan api sekata dalam kos operasi perniagaan sebagai 5 peratus, 10 peratus, 15 peratus, 20 peratus, 25 peratus, 30 peratus, 35 peratus dan 40 peratus. Kemudiannya, kita proratakan pengurangan sebanyak 20 peratus dalam kesan kos bahan api secara keseluruhan, komponen kos bahan api akan menurun menjadi, 4 peratus, 8 peratus, 12 peratus danalam kos operasi mereka.
  • Sebagai contoh, persatuan pengusaha bas dan teksi menyebut bahawa komponen bahan api mereka adalah antara 30 peratus hingga 40 peratus apabila kerajaan menaikkan harga bahan api pada bulan Oktober 2014. Kini, ia sepatutnya antara 24 peratus hingga 32 peratus atau lebih rendah. Tetapi, mereka maklumkan bahawa kos lain telah meningkat, jadi mereka mengekalkan caj perkhidmatan seperti sedia kala. Bolehkah mereka senaraikan komponen kos yang meningkat dan apakah peratusan peningkatan bagi setiap komponen ini?
  • Harga jualan dikawal - AWER ingin berkongsi pengalaman kami dalam mengkaji produk elektrik dan elektronik yang cekap tenaga. Kami dapati ada unsur kartel dan pencatutan dalam barangan elektrik dan elektronik semasa proses perundingan dengan pihak berkepentingan. Peruncit (termasuk pasar raya besar) tidak dibenarkan untuk menjual produk di bawah harga tetap. Jika mana-mana peruncit mengurangkan harga jualan di bawah harga tetap, peruncit ini tidak akan dibekalkan model produk tersebut sebagai hukuman.
  • Peruncit hanya dibenarkan untuk menjual produk di atas harga yang ditetapkan sebanyak yang mereka suka. Malangnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang telah dibekalkan salinan laporan kami gagal mengambil tindakan sehingga kini. (MyCC adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).
  • Sebagai pengguna, jika kita menyemak harga barang yang dijual di pasar raya besar dan peruncit, kita akan melihat bahawa harga diskaun sebenarnya tidak jatuh di bawah paras tertentu. Baru-baru ini, lapan pek mi segera dijual dengan harga RM4.88 sebagai harga terendah di beberapa pasar raya besar. Senarai ini berterusan untuk sabun pencuci, barangan rumah, makanan, minuman dan sebagainya. Jika kerajaan serius dalam menangani isu ini, mereka boleh dapatkan maklumat daripada peruncit yang dipaksa menjual pada harga tetap dan bergerak ke atas rantai bekalan untuk menangkap 'jerung-jerung' ini.
  • Terdapat banyak 'jerung' untuk ditangkap bagi pelbagai produk. Bolehkah MyCC melakukan ini? Dalam satu kajian yang berkaitan dengan Lampu Kalimantang Mampat (compact fluorescent lights - CFL), kami telah menjalankan kajian pasaran dan menggunakan kaedah 'menamakan dan memalukan' (name and shame). Ada kumpulan syarikat yang berjanji kepada agensi kerajaan (semasa mesyuarat) apabila mentol pijar (mentol filamen) yang tidak cekap tenaga dihentikan penggunaannya secara berperingkat, syarikat ini bersedia membekalkan CFL pada 'tag' harga lebih rendah.
  • Tetapi, selepas pengumuman mentol pijar akan dihentikan penggunaannya, harga CFL naik dan tidak pernah turun sehingga mereka pada dasarnya dinamakan dan dimalukan dalam laporan kami yang diterbit pada tahun 2012. Oleh itu, kami gesa pengguna menggunakan media sosial untuk menamakan dan memalukan barangan dan perkhidmatan yang tidak menawarkan harga berpatutan. Begitu juga, mengenali perniagaan yang baik dan menggalakkan kepada rakan anda.
  • Beri pengajaran sepatutnya - Jangan lupa restoran francais termasuk restoran makanan segera yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengekalkan kos rendah berikutan pembelian pukal. Mereka telah meningkatkan harga dan mengurangkan saiz makanan ditawarkan dengan ketara sejak beberapa tahun ini. Sektor perniagaan ini memerlukan pengajaran yang lebih pedih daripada rakyat Malaysia juga. Pada masa sama, gerai makanan juga mesti diingati oleh pengguna!
  • Umumnya, rakyat Malaysia bersikap memaafkan dan tidak menuntut untuk barang dan perkhidmatan setanding kadar yang mereka bayar. Jika kita terus tidak menuntut dan menghukum peniaga yang menipu, peniaga terbabit akan mencari jalan untuk memerah lebih banyak daripada kita. Gunakan media sosial untuk mewujudkan gelombang menamakan dan memalukan. Jangan lupa, anda adalah bos. Jika anda (secara kolektif) tidak membeli, mereka terpaksa menutup kedai akhirnya. Pastikan momentum ini dikekalkan, sebagai pengajaran!
  • AWER juga kerap dengar alasan bahawa 'biar pasaran menentukan.' Apa yang akan berlaku apabila sumber tenaga yang digunakan untuk sektor pengangkutan, sektor tenaga dan perindustrian akhirnya mencapai harga pasaran? Adakah peniaga akan mengikut trend dengan harga pasaran atau mereka hanya akan meningkatkan harga dan enggan untuk kurangkan harga apabila harga pasaran sebenarnya adalah rendah?
  • Laksanakanlah penguatkuasaan di bawah undang-undang yang sedia ada. Pencatutan dan kartel tidak dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia. Ia begitu jelas dan mudah. Saya ingin petik kata-kata Profesor Albert Einstein: "Hanya dua perkara yang tak terhingga (infinite), alam semesta dan kebodohan manusia." Cuma, beliau lupa bahawa ketamakan manusia juga tiada hadnya!


Hatta `dalang' komplot guling Hadi

  • PAS berdepan ancaman komplot terancang yang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin kanannya dengan matlamat untuk menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepemimpinan ulama.
  • Ketua Dewan Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim mendakwa, komplot jahat yang digerakkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli itu bertujuan menyusun dan merancang untuk menguasai PAS Pusat.
  • Menurut beliau, kumpulan tersebut dipercayai melakukan kerja-kerja khianat di luar batasan Islam seperti menanam kebencian dalam kalangan ahli-ahli Pas dan masyarakat terhadap Abdul Hadi serta kepemimpinan ulama.
  • “Mereka juga memfitnah pemimpin-pemimpin yang dilihat bersama dengan Presiden dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali serta ahli keluarga Abdul Hadi.
  • “Kumpulan berkenaan turut menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) serta menyusun strategi untuk memecah­belahkan kesatuan dalam kalangan ahli Pas serta melakukan perancangan bagi menjatuhkan Abdul Hadi dan kepemimpinan ulama,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Pejabat Agung Pas.
  • Fadhli seterusnya menyerahkan memorandum mendesak pemimpin-pemimpin terbabit untuk meletakkan semua jawatan dalam parti kepada wakil Pas Pusat.
  • Beliau turut mengedarkan bukti-bukti bagi menyokong dakwaannya itu termasuk salinan akuan berkanun dan cetakan skrin perbincangan kumpulan yang terlibat dalam komplot itu menerusi aplikasi WhatsApp.
  • Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik mengetuai bacaan doa selepas sidang akhbar bagi memohon kepada Allah SWT supaya melindungi parti itu serta Abdul Hadi dan golongan ulama daripada ancaman komplot dan pengkhianatan sama ada dari dalam atau luar Pas.
  • Lebih 300 ahli Pas yang menyokong kepemimpinan Abdul Hadi dan golongan ulama berhimpun di lokasi tersebut sambil me­maparkan sepanduk untuk mendesak pemimpin-pemimpin parti yang didakwa terlibat dalam komplot supaya meletakkan jawatan.
  • Fadhli yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang menambah, dalang-dalang komplot berkenaan didakwa mensabotaj setiap keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi dan Majlis Syura Ulama Pas yang dilihat tidak selari dengan kehendak pihak tertentu dalam pakatan pembangkang.
  • Yang lebih membimbangkan, kata beliau, keputusan-keputusan yang dibuat Pas didalangi oleh anasir-anasir luar melalui komplot jahat yang digerakkan kumpulan terbabit.
  • “Kebimbangan ini adalah berdasarkan kepada bukti yang kami peroleh bahawa komplot ini menguasai lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat,” ujarnya.
  • Fadhli mendakwa, mereka berupaya mensabotaj dan mencaturkan keputusan parti sehingga menjadikan Abdul Hadi kelihatan seperti boneka.
  • “Sehubungan itu, kami mendesak mereka yang terlibat dengan komplot jahat ini meletakkan semua jawatan dalam parti,” katanya.
  • Beliau menambah, lebih banyak pendedahan akan dibuat sekiranya pemimpin-pemimpin Pas terbabit tidak meletak jawatan.
  • Sementara itu, Mohd. Hatta berkata, tuduhan Fadhli adalah tidak berasas dan beliau tidak berminat untuk memperbesarkannya kerana perkara sedemikian dianggap lumrah dalam parti.
  • “Saya sudah tengok memorandum itu, yang gambar perbualan tersebut saya tengok bukan cetakan skrin tetapi gambar yang dirakam (snapshot),” jelasnya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.


DAP enggan bincang hudud, Hadi tak minat sertai sidang akhbar

  • PAS dan DAP masih tidak bersepakat tentang isu pelaksanaan hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu duduk semeja dalam mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang.
  • Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS mulai pukul 2 petang hingga 3.15 petang itu dikatakan berlangsung dalam suasana panas berikutan pendirian berbeza antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin kanan DAP.
  • Difahamkan, Abdul Hadi tetap bertegas dengan pendiriannya mahu melaksanakan hudud di Kelantan namun pada masa sama membantah hasrat DAP untuk memperkenalkan semula pilihan raya PBT di Pulau Pinang.
  • Lebih memeranjatkan apabila Ahli Parlimen Marang itu terus beredar tanpa menyertai pemimpin-pemimpin kanan pakatan pembangkang yang lain termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat tersebut.
  • Sidang akhbar itu turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.
  • Sikap Abdul Hadi itu menimbulkan tanda tanya dan seolah-olah menggambarkan konflik yang melanda PAS serta DAP yang saling membantah dalam isu hudud dan pilihan raya PBT masih belum reda.
  • Ekoran kegagalan kedua-dua parti itu mencapai persetujuan, pakatan pembangkang terpaksa menganjurkan mesyuarat khas yang dijangka berlangsung bulan depan untuk membincangkan isu hudud dan pilihan raya PBT.
  • Anwar ketika mengetuai sidang akhbar itu berkata, mesyuarat khas tersebut bertujuan mencari jalan penyelesaian dalam dua isu membabitkan agenda perjuangan PAS dan DAP.
  • “Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 serta pilihan raya PBT,” jelasnya.
  • Beliau turut mengesahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini bagi memberi penerangan tentang enakmen tersebut.
  • Walau bagaimanapun, Anwar tidak memberi penjelasan yang memuaskan ketika ditanya mengapa Abdul Hadi tidak menghadiri sidang akhbar itu.
  • “Dia sampaikan salam. Sebenarnya dia tangguhkan program, dia patut tinggalkan majlis awal tetapi dia kekal sampai akhir mesyuarat,” jelasnya.