Friday 5 June 2015

Kesan buruk jika Najib hadir dialog Nothing 2 Hide



  1. Mungkin imej Perdana Menteri akan tercalar jika hadir pada dialog "Nothing 2 Hide" yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamed.
  2. Mungkin juga kewibawaan Perdana Menteri akan tergugat pada sesi dialog yang disifatkan sebagai pertembungan antara dua jaguh.
  3. Ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah berdialog dalam gelanggang interaktif. Kebetulan juga tahap pidatonya sejauh ini masih lemah.
  4. Berdepan dengan ratusan pemimpin NGO di PWTC tidak boleh dipandang `enteng’. Pun begitu Najib sudah bersedia untuk berdialog kerana baginya `he has nothing to hide’ terutama dalam isu 1MDB.
  5. Najib mahu menjelaskan sekali lagi kepada rakyat bahawa 1MDB dilaksanakan mengikut prinsip dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.
  6. Najib sudahpun mengosongkan jadualnya untuk pagi Jumaat dan ratusan pemimin NGO pula sudah menyusun pelbagai soalan yang mahu diajukan kepada Perdana Menteri.
  7. Tup tup di saat-saat akhir Mahathir mahu menyertai dialog itu. Hal ini menyebabkan Najib terkedu dan serba salah.
  8. Serba salah bukan kerana takutkan Mahathir, tetapi risau kesan buruk yang akan berlaku jika dialog itu panas dan tidak terkawal.
  9. Bayangkan reaksi umum yang fanatik jika berlaku perselisihan pendapat antara Najib dan Mahathir secara terbuka.
  10. Pastinya Najib akan menanggung malu dan kewibawaannya sebagai pemimpin nombor satu negara akan tergugat.
  11. Tambahan pula media dan bloggers sudah `siaga’ untuk mengganyang setiap inci perkataan kedua-dua jaguh politik itu untuk kepentingan media masing-masing.
  12. Media pembangkang sememangnya `kelaparan’ pada pagi Jumaat dan berharap Najib dan Mahathir bertempur di gelanggang PWTC.
  13. Jutaan manusia menunggu dengan penuh perasaan di laman Twitter, Facebook dan Youtube untuk mengetahui setiap inci dialog Mahathir dan Najib.
  14. Selepas mengambil kira kesan buruk yang bakal ditanggung oleh Perdana Menteri, para penasihat termasuk agensi Lim Kok Wing telah menghalang Najib daripada masuk gelanggang interaktif yang berbahaya itu.
  15. Untuk tidak memalukan Najib, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah membuat kenyataan pendek bahawa PDRM mendapati penganjur gagal menepati Standard Operating Procedure (SOP).
  16. Untuk tidak menghampakan selautan manusia yang membanjiri PWTC sejak awal pagi, penganjur telah meneruskan dialog dengan menjemput Mahathir memberi sepatah dua kata.
  17. Beberapa minit kemudian, polis naik ke pentas dan meminta Mahathir berhenti berucap kerana majlis itu tidak diluluskan oleh PDRM.
  18. Menjawab soalan media selepas turun dari pentas, Mahathir berkata, “Saya diminta pihak polis berhenti berucap kerana saya dikatakan terlalu membuat bising dalam program hari ini."
  19. Beliau juga tidak mengetahui bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah mengeluarkan arahan supaya membatalkan program tersebut.
  20. "Saya tak tahu arahan dia, saya tak dengar, apa yang saya tahu polis datang kepada saya, minta saya berhenti (bercakap)," katanya.
  21. Forum anjuran Sukaguam itu dibatalkan di saat akhir selepas Ketua Polis Negara menerusi akaun Twitternya hari ini meminta ia ditangguhkan atas faktor keselamatan.
  22. Walaupun Sukaguam cuba berunding dengan pihak polis, namun forum yang lebih berkisar kepada penjelasan isu 1MDB itu terpaksa ditunda ke tarikh lain.
  23. Mengulas lanjut, Mahathir berkata kehadirannya adalah untuk mendengar penjelasan Najib berhubung persoalan 1MDB.
  24. "Sebab itu saya datang dan minta izin supaya saya diberi peluang sama dengan Najib. Kalau dia dapat satu jam, saya juga minta satu jam.
  25. “Kalau dia nak jawab soalan, saya juga nak jawab soalan, tapi malangnya Najib tak dapat datang kerana polis membatalkan perjumpaan ini," ujarnya.
  26. Jelas Mahathir, meskipun beliau dihalang meneruskan ucapan, namun beliau meminta polis membenarkannya bertemu dengan pihak media.
  27. "Saya patuh kepada undang-undang, tetapi saya minta izin supaya saya dapat bercakap dengan media sahaja," jelasnya.
  28. Ketika ditanya tentang kelantangan beliau telah menakutkan Najib untuk muncul pada program tersebut, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan jika Najib boleh beri penjelasan.
  29. "Saya tak boleh mencederakan sesiapa, kenapa perlu orang (Najib) nak takut dengan saya, kamu (media) pun tak takut pada saya," ujarnya.
  30. Bagaimanapun Mahathir hanya beranggapan ketidakhadiran Najib itu kerana beliau sibuk dengan urusan rasmi kerajaan.
  31. "Kita pun tak tahu (kenapa Najib tak hadir), saya fikir dia sibuk, dia mesti ada tugas rasmi yang lebih mustahak berbanding jumpa dengan rakyat," katanya lagi.
  32. Pada sidang akhbar yang sama, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menuduh Perdana Menteri sebagai penakut.
  33. “Kalau hendak kata Mahathir pembelit, kaki pembohong, Mahathir berani datang ke dialog ini. Dia berani hendak berhadapan dengan semua orang. Tetapi Najib tidak berani datang, bagi saya dia penakut...  tiada alasan lain,” katanya.