Tuesday 9 December 2014

Mimpi PAS lahirkan negara Islam bersama DAP

  • PAS mungkin dalam keadaan keliru. Apakah suatu hari nanti ia akan dipersalahkan oleh orang Melayu dan umat Islam Malaysia kerana terlalu “memberi muka” kepada desakan dan tuntutan Pakatan Rakyat hingga merugikan Islam dan Melayu?
  • Mungkinkah kini ada dalam kalangan pemimpin PAS yang berasa bahawa Dokumen Buku Jingga yang ditandatangani bersama PKR dan DAP sebenarnya  adalah antara sebab kemerosotan wibawa Melayu dan Islam?
  • Yang nyata sejak akhir-akhir ini ialah sikap dan tindakan politik DAP yang kelihatan semakin kurang toleran dengan konsep perjuangan politik PAS mahu menjadikan Malaysia negara berbilang kaum dan agama di bawah payung Islam.
  • Tidakkah ini mungkin mencetuskan dilema dalam pimpinan PAS bahawa sikap kritis Pakatan Rakyat terhadap dasar-dasar dan pendirian Umno-BN sebenarnya menyasarkan penghakisan kedudukan istimewa Islam menurut Perlembagaan Negara?
  • Atau, dengan lain perkataan apakah tidak mungkin lebih lama PAS bersekongkol dalam Pakatan Rakyat lebih cepat proses melarutkan citra Islam di Malaysia akan berlaku?
  • Sanggupkah PAS berhadapan dengan senario dikutuk oleh generasi Islam akan datang kerana menjadi talibarut gerakan yang bertanggungjawab melemahkan jatidiri umat Islam?
  • Persoalan-persoalan ini memang seharusnya diwacanakan oleh pemimpin PAS kerana trend mutakhir ini menunjukkan bahawa kesan sikap yang agak lunak dengan PKR dan DAP ini menjadikan PAS seolah-olah kelihatan lebih “liberal” atau “terlalu terbuka”.
  • Kepekaan PAS terhadap isu-isu yang lazimnya sensitif bagi umat seperti isu transgender, pakaian “jilboob” dan memegang dan membelai anjing nampaknya semakin tumpul.
  • Mungkin ada di kalangan pemimpin PAS yang menganggap isu-isu berkenaan remeh. Namun dipandang dari perspektif lain, PAS nampaknya semakin lemah imannya untuk membetulkan imej negara dan umat Islam yang diidamkannya.
  • Bukankah sejak mengambil alih pemerintahan Kelantan pada 1990 PAS sudah berusaha untuk melembagakan hukum syarak dalam undang-undang tubuh kerajaan bagi merintis jalan ke arah pemerintahan Islam?
  • Sebab itu, soal pakaian, kelakuan di khalayak termasuk dalam akitiviti sukan, hiburan, bermuamalah dan malah kuliah agama dilakukan dengan peraturan yang dibentengi dengan undang-undang di Kelantan.
  • DAP mula persoal mengenai Islam
  • Justeru apabila DAP menunjukkan sikap yang agak curiga dan bengis terhadap impian PAS membina masyarakat Islam di Malaysia, PAS dibimbangi akan terperangkap dalam bidalan “yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran”.
  • Melihat daripada strategi politik DAP khususnya, perkara asas dan gaya hidup umat Islam di negara ini nampaknya mula dipersoalkan.
  • Contoh mutakhir sekali ialah cabaran yang dilontarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada dua mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Razak.
  • Kit Siang mahu ketiga-tiga mereka menjelaskan bagaimana kepentingan umat Islam dan Melayu kini dikatakan terancam seperti yang sering didakwa oleh Umno dan NGO yang menyokongnya.
  • Veteran DAP itu menganggap dakwaan Melayu dan Islam terancam ini adalah satu “penipuan besar” yang boleh menjadi racun kepada usaha untuk membangunkan bangsa Malaysia yang bersatu.
  • Katanya, sebelum dan semasa Perhimpunan Agung Umno lalu, retorik dan politik menakut-nakuti, menyebarkan kebencian dan penipuan marak dengan kenyataan-kenyataan rasis, ekstremis, provokatif dan tidak berasas.
  • “Oleh itu saya cabar ketiga-tiga mereka – Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, untuk menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu, bagaimana kedudukan Melayu dan Islam boleh terancam setelah 57 tahun di bawah pimpinan kerajaan Umno,” tegasnya.
  • Diteropong dari satu sisi, sebenarnya kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia sejak 1957 bergerak di landasan yang stabil dan rukun. Bagaimanapun kemunculan politik Pakatan Rakyat yang berhempas pulas mahu mencemar dan menjadikan jelek pencapaian Umno-BN, mulai 2008, adalah puncanya.
  • Di sinilah pendirian yang bening dan tuntas PAS perlu diketahui umum. Bersetujukah PAS dengan sergahan Kit Siang itu? Wajarkah, dalam penilaian PAS bahawa kedudukan Islam dan Melayu terancam disebabkan oleh pemerintahan Umno?
  • Tidak terfikirkah PAS bahawa ini hanya satu muslihat politik DAP dan PKR untuk melonggokkan tohmahan bahawa Umno menggunakan isu Islam dan Melayu terancam sebagai modal politik?
  • Tidakkah ada kemungkinan bahawa secara langusung atau tidak bahawa PAS yang menjadi biang kempen ini?
  • PKR, DAP mahu burukkan Umno
  • Menyedari bahawa ilusi PAS bahawa ia lebih Islami daripada Umno dan ramai juga pemimpinnya mabuk dengan ego bahawa mereka lebih faham Islam daripada Umno, PKR dan DAP menggunakan logik Kit Siang ini untuk memburukkan Umno.
  • Walhal dalam Islam nilai iman seseorang atau organisasi itu ialah pada soal penghayatan Islam dan mengamalkan tuntutan serta menjauhi larangan Islam bagi menjadi muslim sebenar.
  • Tidakkah pemimpin-pemimpin PAS berasa yang memarakkan persepsi atau realiti bahawa kedudukan Melayu-Islam kini terancam sebenarnya digalakkan oleh PAS sendiri yang didorong oleh rasa benci dan irihati terhadap Umno?
  • Bolehkah PAS nafikan bahawa sebelum ia berasa mendapat kekuatan baru untuk menumbangkan Umno dengan bekerjasama dengan PKR dan DAP, Umno telah lama menghidupkan tuntutan bernegara Islam di Malaysia dan menyemarakkan syiar Islam yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara?
  • Namun kebelakangan ini setelah merasakan nikmat berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor, PKR dan DAP menjadi semakin galak untuk mempersoalkan dan meremehkan kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia.
  • Natijahnya, ada banyak golongan, NGO serta pergerakan Islam yang mula sangsi dan risau akan kerukunan dan masa depan Islam dan umat Islam di Malaysia. Kini Kit Siang dengan angkuhnya mahu Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib menjelaskan apakah punca “kerisauan dan rasa terancam ini”.
  • Soalnya PAS di mana? Jika bukan PAS yang menyokong dan mengabsahkan tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pemimpin PKR dan DAP yang berpemikiran liberal yang mahu kedudukan istimewa Islam dan Melayu dikaji semula, siapa lagi?
  • Nampaknya PAS kini semakin keliru apa sebenarnya yang hendak dicapai dalam perjuangan politiknya. Jika ia mahu menjadikan Islam sebagai wahana pembangunan negara Islam di Malaysia bersama Pakatan Rakyat maka PAS perlu meneliti kemungkinan tidakkah dalam kesibukannya berpolitik PAS sebenarnya membeli saham projek meruntuhkan jatidiri Islam yang sudahpun tertegak di Malaysia? – Lokman Ramlee


Mampukah STAGG dirasuah taukeh judi, seks dan gangster?

  • PELANCARAN Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin memenuhi janji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memerangi ketiga-tiga jenayah itu habis-habisan.
  • Melalui penubuhan pasukan itu juga, beliau sudah memberi jaminan polis akan memburu dalang atau jerung di sebalik kegiatan perjudian, maksiat dan gengsterisme tersebut.
  • Inilah yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai setelah sekian lama mereka menyaksikan dalam operasi yang dijalankan oleh polis hanya pengunjung atau pendatang asing tanpa izin (PATI) sahaja ditahan.
  • Memburu ‘jerung’ yang mendalangi ketiga-tiga kegiatan jenayah itu seharusnya menjadi salah satu matlamat utama STAGG bagi mengelakkan serbuan demi serbuan yang dilakukan oleh PDRM dianggap hanya satu sandiwara sahaja.
  • Hal ini memandangkan sehingga ke hari ini, belum ada seorang pun ‘dalang’ atau ‘taiko’ ditahan. Malah penulis difahamkan faktor utama kelompok itu tidak dapat diberkas kerana mereka menjalankan operasi menggunakan khidmat runner malah runner itu sendiri kononnya tidak mengetahui siapa yang mengupahnya.
  • Dari satu sudut, hebat sungguh sindiket kerana berjaya memperdayakan agensi penguat kuasa termasuklah PDRM sehinggakan dalang utama masih belum dapat diberkas biarpun hampir 10,000 serbuan dilakukan. Dengan adanya STAGG, adalah diharapkan ‘jerung-jerung’ itu akan dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
  • Kini PDRM tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada Cawa­ngan D7 untuk menyerbu premis-premis yang menjadi pusat perjudian haram dan maksiat. Bagaimanapun apa yang perlu dipastikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah mereka yang menganggotai STAGG haruslah benar-benar mempunyai integriti yang tinggi.
  • Tidak kira sama ada ia pegawai mahupun anggota polis, orang awam atau sesiapa sahaja, kemasukan mereka ke dalam STAGG harus diiringi dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai integriti yang dihormati dan bukannya ibarat “pi mai pi mai tang tu jugak”.
  • Apa yang perlu difahami tubuhlah sebanyak mana pun pasukan khas bagi menghapuskan sesuatu jenayah tetapi ia tidak akan bermakna kalau mereka yang diberikan amanah tersebut tidak bersungguh-sungguh menjalankan amanah berkenaan.
  • STAGG mempunyai tanggungjawab berat untuk memenuhi impian rakyat yang mahu menyaksikan bukan hanya `bilis’ sahaja yang disumbatkan ke dalam trak-trak apabila serbuan dilakukan tetapi juga ‘jerung-jerung’ yang selama ini sering terlepas atau dilepaskan.
  • Ini memandangkan sebarang operasi pembanterasan apa juga jenayah termasuk mesin judi haram tidak akan ke mana selagi ‘jerung-jerung’ ini masih bebas. Sesuatu kegiatan haram itu bergantung kepada sumber kewangan, selagi ‘talian hayat’ ini tidak diputuskan, selagi itulah ia akan kembali beroperasi.
  • Sebab itulah, walaupun dari satu segi pujian harus diberikan atas kegigihan PDRM membanteras mesin judi haram berikutan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tetapi pada masa sama kita terpaksa mengakui tiada apa yang harus dibanggakan kalau mahu bergantung kepada statistik serbuan dan jumlah komputer yang dirampas mahupun warga asing yang ditahan.
  • Hal ini kerana akar kepada permasalahan yang memungkinkan sesuatu jenayah itu kembali beroperasi tidak dihapuskan. Oleh itu STAGG janganlah sekadar me­numpu perhatian terhadap serbuan sahaja sebaliknya mengikut jejak Pasukan Khas Taktikal Dan Risikan Narkotik (STING) yang cukup berjaya melumpuhkan sindiket dadah apabila memastikan ‘si jerung’ turut ditangkap.
  • Tetapi dalam kes mesin judi haram dan maksiat ia mungkin agak rumit apabila ‘jerung-jerung’ ini mempunyai ‘perkongsian bijak’ dengan sesetengah anggota agensi penguat kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.
  • Bagaimanapun dengan adanya STAGG diharapkan virus rasuah yang menjadi penghalang membanteras kegiatan mesin judi haram dan maksiat akan dapat dihapuskan. Pada masa yang sama PDRM juga harus bertindak tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral tersebut.
  • Malah pengurusan PDRM perlu mempunyai keberanian untuk me­nukar atau mengambil tindakan tegas ke atas pegawai kanan pasukan itu yang dipercayai terlibat atau bersekongkol dengan sindiket.
  • Penubuhan STAGG memenuhi janji Ahmad Zahid sebelum ini bahawa pasukan itu akan menjadi barisan paling ke hadapan membanteras mesin judi haram dan maksiat serta gengsterisme.
  • Apa yang paling penting, rakyat mahu melihat berapa ramaikah ‘jerung-jerung’ yang akan berjaya dijaring oleh PDRM melalui STAGG, berapa ramai ‘taiko-taiko’ diberkas serta berapa nilai akaun mereka dibekukan. - ZULKIFLEE BAKAR


Akta Hasutan banteras pelampau internet

  • MALAYSIA sebagai sebuah negara majmuk memerlukan pendekatan agar persefahaman antara kaum dapat dipelihara, persamaan yang ada disuburkan dan perbezaan yang wujud disantuni dengan toleransi.
  • Pendekatan ini penting dipelihara bagi mengelakkan konflik dan salah faham terjadi. Perbezaan dalam agama dan budaya mempunyai sensitiviti sekiranya tidak dikendalikan secara berhemah dan bijaksana.
  • Kecenderungan ke arah ektremisme dan pelampau tetap ada dalam kalangan setiap bangsa. Ia kini ditambah dengan kebebasan menggunakan internet dan alat komunikasi dan telekomunikasi yang pelbagai untuk menaikkan sentimen perkauman dan agama tanpa pertimbangan mengenai akibat buruk yang boleh terjadi.
  • Mengambil pendekatan atas nama hak asasi manusia untuk menampilkan sikap pelampau boleh menjejas hubungan antara kaum dan agama. Kebebasan pada hakikatnya tidak mutlak. Dalam masyarakat majmuk perlu ada batas kebebasan supaya keamanan dapat dijaga dan persefahaman boleh terjadi.
  • Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kalau terjadi konflik perkauman akibat sensitiviti agama kesannya adalah parah dan membangunkan semula persefahaman tidaklah mudah.
  • Justeru pengekalan Akta Hasutan 1948 dengan pindaan adalah sesuatu yang perlu bagi Malaysia kerana terdapat banyak percubaan akhir-akhir ini oleh segelintir pihak menyalahgunakan kebebasan media elektronik dan maya untuk menyinggung dan menghina orang lain tanpa pertimbangan yang ia boleh merosakkan hubungan antara kaum dan agama.
  • Mengikut Islam faktor pencegahan dalam bentuk hukuman dilihat penting di samping faktor pendidikan. Maqasid syariah memberi asas supaya faktor agama, nyawa dan keturunan, akal dan harta wajib dipelihara supaya ianya membawa kesejahteraan dalam kehidupan bernegara.
  • Islam sebagai agama damai dan sejahtera tidak meng­izinkan pendekatan ekstrem dan melampau kerana ia mudah mencetuskan perbalahan. Risalah Islam mendidik pemeluknya supaya menampilkan watak sederhana dan bijaksana dan menghormati agama-agama lain.
  • Tanpa Akta Hasutan, seseorang individu, kumpulan malah parti politik bebas membuat tuduhan yang bersifat menghasut dan menghina sehingga menyebabkan konflik terjadi dan jika berlaku, usaha membendung menjadi terlalu payah.
  • Apabila Perdana Menteri menegaskan Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan pindaan, ada yang menentang terutama pembangkang. Di Malaysia, pembangkang tidak dinafikan kebebasan menyuarakan sesuatu pandangan dan kritik baik di dalam mahupun di luar Parlimen. Tabloid pembangkang seperti Roket, Suara Keadilan dan Harakah bebas melakukan kritikan dalam pelbagai isu.
  • Tetapi negara ini seperti negara lain juga mempunyai undang-undang. Fakta harus betul, analisis harus tepat. Pendekatan sensasi untuk menaikkan emosi dan sensiti­viti rakyat bukan caranya untuk mengekalkan kerukunan hubungan. Pembangkang selalunya cenderung membina persepsi buruk supaya jiwa kepembangkangan dapat dikekalkan dalam kalangan pengikutnya. Tetapi kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan memelihara persefahaman.
  • Bermain dengan isu perkauman dan sensitiviti agama ibarat bermain dengan api yang boleh membakar. Di Malaysia, ia mesti dihindarkan dengan tegas kerana bila nyalaan api terjadi, memadamkannya tidak mudah. Ia boleh memusnahkan masyarakat dan negara.
  • Peristiwa 13 Mei 1969 terlalu pahit untuk dikenang. Ia terjadi kerana ada pihak yang ghairah dengan kuasa politik melakukan penghinaan kepada pihak lain sehingga hilang kawalan dan menyebabkan ketegangan dan konflik.
  • Akta Hasutan 1948 dengan pindaan diharapkan dapat mengawal keadaan kerana Malaysia harus tegas dengan usaha adu domba yang bertujuan mewujudkan konflik kerana harga keamanan dan ke­sejahteraan adalah terlalu mahal untuk digadaikan begitu saja. – Jendela Tok Ki


Bukan mudah putuskan rantaian rasuah

  • SEPERTI sambutan hari-hari lain yang dirai secara khusus, Hari Antirasuah Antarabangsa muncul dalam kalendar kita. Kali ini tahun ke-11 Hari Antirasuah Antarabangsa disambut di kebanyakan negara. Usia sambutan hari yang bermakna ini sesuatu yang masih ‘muda’ berbanding jenayah rasuah yang telah lama berakar umbi. Selain itu, berbanding hari-hari yang lain ia tidak begitu popular.
  • Penasihat Antirasuah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik UNODC, M. Shervin Majlessi semasa Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) baru-baru ini berkata; “Usaha meme­rangi rasuah masih baru, tetapi ia berada dalam landasan yang dinamik de­ngan pelbagai pihak sudah bersedia berkongsi pengalaman dan amalan-amalan baik. Ini termasuk Malaysia yang diiktiraf UNODC.”
  • Pada 31 Oktober 2003, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC). Perhimpunan Agung juga mengiktiraf 9 Disember setiap tahun sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran menjauhi rasuah dan juga peranan konvensyen tersebut dalam memerangi dan mencegah jenayah tersebut.
  • Sambutan tahun ini bertemakan Mematahkan Rantaian Rasuah. Tema tahun lalu berbunyi Rasuah Sifar: Pembangunan 100%. Meng­halusi tema tahun ini, usaha me­merangi rasuah memerlukan sokongan semua. Jika kita bersatu, kita boleh melakukan perubahan iaitu mewujudkan persekitaran yang bebas jenayah rasuah. Bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
  • Rasuah tidak boleh diatasi hanya dengan membawa pesalah ke muka pengadilan. Sebaliknya, usaha ini memerlukan kempen jangka panjang dan menyeluruh - mendidik dari peringkat awal lagi.
  • Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang menjadi tunjang kepada perjalanan SPRM menetapkan matlamat berikut:
  • Pertama, menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbir­an sektor awam dan swasta de­ngan menubuhkan suatu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab; dan
  • Kedua, mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta dan komuniti.
  • Kedua-dua objektif utama ini menggambarkan SPRM mempunyai tanggungjawab khusus untuk membawa bersama anggota masyarakat - tidak kira status sosioekonomi untuk berganding bahu memerangi rasuah. Malah, objektif itu juga menunjukkan langkah itu dimulakan dengan memberi nasihat dan didikan kepada setiap anggota masyarakat negara ini.
  • Kira-kira lima bulan selepas dilantik sebagai anggota Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kwan mengumumkan SPRM akan membentuk pakatan antirasuah dengan sektor awam dan pelbagai pihak dalam usaha membendung rasuah dan ketirisan kewangan. Tegas beliau selaku mantan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), membanteras rasuah bukan semata-mata tanggungjawab SPRM atau kerajaan, tetapi perlu dipikul bersama semua pihak yang berkepentingan.
  • Melalui gabungan antirasuah, kerajaan berharap dapat membawa semua pihak menzahirkan komitmen menegakkan urus tadbir yang baik dan pada masa sama menghindari jenayah rasuah. Jelasnya perlu ada satu gerakan integriti di setiap peringkat jika mahu menghapuskan jenayah rasuah.
  • Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada 5 Oktober lalu, saya menyebut bahawa “dalam memastikan pencegahan rasuah berlaku, ia memerlukan satu tindakan dan kesepaduan daripada pelbagai pihak secara holistik. Tidak boleh secara silo dan bertindak bersendirian.”
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berpandangan bahawa sementara SPRM, yang ditubuhkan pada Januari 2009, mula memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan dalam usaha mencegah rasuah, termasuk peningkatan kadar sabitan daripada 54 peratus pada 2009 kepada 84 peratus pada 2013, usaha melawan rasuah bukan tugas SPRM semata-mata. Dalam buku berjudul The Enhancement of Integrity and Anti-Corruption Measures, Abu Kassim menekankan bahawa rasuah harus diperangi dari semua sudut terma­suk menerusi pendekatan moral, psikologi dan rohani.
  • Memetik tulisan Datuk Ruhanie Ahmad; “Persekitaran takutkan rasuah akan wujud jika semua rakyat di sesebuah negara komited untuk membanteras rasuah.” Me­nurut beliau, jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal antirasuah.
  • Pejabat Program Pembangunan PBB (UNDP) antara agensi antarabangsa yang aktif dalam mengge­rakkan kempen pencegahan rasuah tahunan. Agensi ini berpandangan rasuah merupakan masalah global kerana jenayah ini wujud di negara yang kaya dan juga negara yang miskin. Ia menyumbang kepada ketidakstabilan dan kemiskinan, malah faktor penyebab sesebuah negara rapuh dan gagal diurus dengan baik.
  • Perkara sama ditekankan dengan panjang lebar oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan ulang tahun kelahiran SPRM (yang sebelum 1 Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) pada 1 Oktober lalu.
  • Baginda menyenaraikan lebih 10 negara yang dihimpit rasuah di mana sebahagiannya adalah negara maju dan mengamalkan demokrasi. Baginda dalam titah­nya juga menggariskan peranan pelbagai pihak dalam menangani masalah rasuah dengan tegas dan efektif. Antaranya tanggungjawab setiap pemimpin menunaikan janji yang dilafazkan semasa mengangkat sumpah jawatan iaitu menghapuskan rasuah habis-habisan dan tidak mengumpul kekayaan peribadi; peranan agensi-agensi yang ditubuhkan, undang-undang dan agensi penguat kuasa serta setiap warga kerja sama ada awam atau swasta dalam memerangi rasuah. Baginda turut mengingatkan rakyat agar membuang sifat ta­mak dan haloba.
  • Titah baginda, usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek iaitu langkah punitif yang tegas dan tidak selektif dan langkah preventif untuk mengukuh­kan integriti.
  • Baginda juga menggariskan pemimpin perlu ada daya tahan daripada melakukan rasuah; hakim dan institusi penghakiman harus tegas dan adil tanpa memberi sebarang keistimewaan atau penge­cualian kepada sesiapa; insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu selanjutnya menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai jihad.
  • Dalam hal ini, kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, media dan rakyat wajar bergabung tenaga untuk meme­rangi jenayah rasuah dan bebas daripadanya.
  • Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) juga berada di barisan hadapan dalam usaha ini dengan memastikan UNCAC dipatuhi oleh negara-negara anggota penerima konvensyen itu.
  •  
  • Kempen antarabangsa tahun lalu memberi tumpuan kepada isu pokok bagaimana rasu­ah menghalang pendekatan dan strategi yang dipersetujui di pering­kat antarabangsa – rasuah melemahkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, membawa kepada pelanggaran hak asasi manusia, memesongkan pasaran, menghakis kualiti hidup dan membenarkan jenayah terancang dan ancaman lain terhadap keselamatan manusia.
  • Justeru, UNDP berharap anggota masyarakat akan bersama-sama dengan UNDP dan UNODC untuk memerangi rasuah dengan: Menyelenggara aktiviti-aktiviti yang kreatif dalam komuniti sempena sambutan 9 Disember setiap tahun; Memanfaatkan program Call to Action Matrix; Menggunakan logo Pencegahan Rasuah pada penerbitan dan dalam program dan acara yang diadakan; Menghantar mesej membenci rasuah kepada rangkaian kenalan mengenai kempen UNDP ini dan; Tweeting tentang Hari Antirasuah Antarabangsa bagi membolehkan dunia tahu apa yang anda lakukan untuk mengatasi jenayah rasuah.
  • Strategi yang diusahakan oleh UNDP dan UNODC adalah sebahagian usaha yang diambil untuk menawan hati masyarakat pelbagai peringkat dan menjana sokongan ke arah misi menghapuskan rasuah.
  • Justeru, apa yang anda boleh lakukan? Ataupun apa yang kita boleh lakukan? Menjawab soalan ini orang sering berfikir bahawa ra­suah “hanya satu cara hidup” tetapi setiap masyarakat, sektor dan individu akan mendapat manfaat daripada mengatakan “Tidak” kepada jenayah ini.
  • Rasuah bukan isu di negara-negara membangun sahaja. Sebalik­nya ia memberi kesan kepada setiap anggota masyarakat tanpa mengira status sosioekonomi. Justeru, siapa yang patut diamanahkan untuk melawan ‘malapetaka’ ini?
  • Pertubuhan Sedunia Ahli-ahli Parlimen Bagi Menentang Rasuah menekankan bahawa perjuangan menentang rasuah tidak terhad kepada kerajaan sebaliknya, harus melibatkan semua lapisan masyarakat.
  • Dalam nada sama, isu-isu antirasuah tidak harus menjadi hak prerogatif sebahagian kecil birokrat dan ahli politik. Sebaliknya patut menjadi renungan kritikal masyarakat. Penyertaan pihak berkepentingan terutama Parlimen, akan menyumbang secara positif kepada prestasi serta meningkatkan kredibiliti kepada masyarakat umum.
  • SPRM yang dianggotai lebih 2,000 tenaga kerja mengambil pelbagai langkah dan usaha selaras dengan visi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas rasuah dan menjadikan agensi ini bertaraf dunia.
  • Tahun ini, buat julung kali SPRM mengadakan Hari Terbuka di ibu negara. Selain itu, pejabat-pejabat negeri juga menganjurkan program masing-masing sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa.
  • Dalam satu tinjauan kendalian SPRM menerusi portal rasminya mendapati 96 peratus responden menunjukkan kesediaan menjadi sukarelawan pencegahan rasuah jika diberi peluang.
  • Sekiranya slogan ‘Anda Boleh Melakukan Perubahan’ menjadi amalan setiap rakyat, sudah pasti kita boleh menghapuskan sebahagian besar kes rasuah. Ini boleh menjadi kenyataan jika amalan tidak meminta dan tidak memberi rasuah dijadikan pegangan tegas dalam kehidupan.
  • Memandangkan rasuah adalah barah bagi segala kerosakan, tugas memeranginya harus dijayakan tanpa henti. Untuk itu, ia harus bermula dari dalam diri kita sendiri - menghapuskan rantai jenayah rasuah. - SPRM.