Sunday 26 July 2015

Padahnya berbai'ah mentalakkan isteri



  • SEJAK kebelakangan ini isu sumpah bai’ah yang mentalakkan isteri kembali menjadi buah mulut di kalangan umat Islam di Malaysia.
  • Ramai yang menyokong dan ramai juga mencemuh. Kalangan cendikiawan dan professional Islam saling berbalas fakta dan fitnah mengenai bai’ah. Pelbagai hadis diketengah dan tidak kurang juga menggunakan hukum logik sebagai  sandaran hujah.
  • Lebih menyedihkan lagi apabila kalangan mufti juga turut bertelagah pandangan dan fatwa. Ada yang mengatakan bai’ah Pas mentalakkan isteri sebagai sah dan ada pula yang mengatakan tidak sah.
  • Lalu umat Islam yang mengikuti siatuasi itu semakin terkeliru dan dikelirukan dengan pelbagai hujah yang semakin berbelit dan mengelirukan.
  • Di laman sosial, fitnah semakin berganda viralnya. Semua hujah para ilmuan Islam ditokok tambah dengan fitnah sehingga ada yang tidak segan-segan berusaha memesongkan akidah sesame umat Islam semata-mata mahu menjadi juara `spin’ dalam isu bai’ah mentalakkan isteri dengan talak tiga.
  • Lalu isu bai’ah menjadi bahan bualan yang semakin berbelit dan berselirat. Lihatlah bagaimana para ilmuan Islam berbicara mengenainya.
Pandangan Mufti Perlis
  • Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau sedih dengan tindakan Pas menjadikan sumpah talak isteri sebagai cagaran sekali gus tidak mengharmonikan masyarakat dan mampu meruntuhkan rumah tangga.
  • Katanya, politik begitu berada di tahap negatif apabila agama dijadikan alat menguatkan parti. Beliau juga bersetuju bahawa bai’ah mentalakkan isteri itu tidak sah.
  • "Seperti pendapat Ibnu Taimiyah menyatakan jika seseorang menyebut sesuatu akibat contoh 'jika saya ambil duit awak lagi, maka awak tertalak' kerana tujuannya tidak mahu hidup dengan isteri, oleh itu talaknya berlaku.
  • “Tetapi jika dia tidak bermaksud talak dan sekadar mahu takutkan diri dia sahaja supaya tidak melakukan perkara itu maka Ibnu Taimiyah berpendapat talak tidak terjadi dan individu itu perlu  membayar kifarah sumpah itu dengan berpuasa tiga hari serta bertaubat,” katanya.
  • Mohd Asri menjelaskan sumpah bai’ah dilafazkan ahli Pas dengan tertalaknya isteri dengan talak tiga jika keluar parti atau melompat ke parti lain tidak wajar berlaku kerana mempertaruhkan isteri demi kepentingan politik.
Pandangan Mufti Pulau Pinang
  • Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sumpah bai’ah talak tiga oleh semua wakil rakyat Pas sama sekali tidak sah.
  • "Janganlah memandang ringan dan memudah-mudahkan terhadap lafaz talak semata-mata untuk mencapai kepentingan diri atau kumpulan sendiri, sedangkan talak atau perceraian antara pasangan suami isteri adalah perkara yang paling dibenci Allah.
  • “Talak tidak sah kecuali dengan niat dan keazaman yang ikhlas oleh si suami untuk menceraikan isterinya, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain seperti untuk mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu atau untuk mengukuhkan tekadnya bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.
  • "Saya nasihatkan kepada setiap orang yang telah melafazkan sumpah tersebut supaya menebus sumpah itu dengan cara memberi makanan atau pakaian kepada 10 orang fakir miskin atau, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa selama tiga hari sebagaimana yang diperintahkan di dalam al-Qur'an, surah al-Maidah 89.
  • "Difahamkan daripada ayat ini bahawa sumpah yang dipaksa ke atas seseorang melafazkannya boleh dikategorikan sebagai sumpah yang lagha atau tidak dilakukan dengan niat yang sebenar," ujarnya.
Pandangan bekas Timbalan Presiden Pas
  • Mohamad Sabu menyatakan pendiriannya sama dengan  Mufti Pulau Pinang berhubung isu bai'ah. Beliau bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung isu itu tempoh hari.
  • “Isu ini saya tidak mahu mengulas lanjut. Saya berpegang kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang tempoh hari. Apa yang dikeluarkan mufti (negeri), itulah yang saya pegang,” katanya.
  • Pandangan Pas Terengganu
  • Pas Terengganu hanya melafazkan bai’ah atau sumpah taat setia terhadap perjuangan parti tanpa sebarang penambahan lafaz taklik talak tiga sebagaimana yang dikatakan berlaku di negeri lain.
  • Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat yang juga Adun Paka berkata, bai’ah dilakukan oleh semua calon Pas Terengganu sama ada menang atau kalah pada pilihan raya lalu.
  • “Kita berbai’ah di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas pelantikan calon di Rusila, Marang. Semua berbai'ah sama ada menang atau tidak, tapi kita tak ada tambahan lafaz cerai talak tiga seperti negeri lain.
  • “Bai’ah yang kita lafaz antaranya tak boleh khianat, tak boleh lari daripada perjuangan sama ada menang atau kalah,” katanya ketika mengulas isu bai’ah dalam Pas yang dikatakan mengandungi lafaz taklik talak tiga jika mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat meninggalkan parti.
  • Satiful berkata, pihaknya tidak mengetahui alasan negeri lain seperti Kelantan dan Selangor menambah lafaz taklik tersebut namun bersetuju dengan pandangan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Mohamad bahawa talak dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar sah dan hakiki serta tidak boleh dielakkan sekalipun dengan kafarah atau bayar denda sumpah.
Pandangan Mursidul Am Pas
  • Datuk Dr Haron Din berkata wakil rakyat PAS yang mendukung perjuangan Gerakan Harapan Baru (GHB) haram menikmati gaji dan elaun mereka kerana kerusi yang dimenangi adalah berdasarkan tiket parti Islam itu.
  • Ini kerana semua wakil rakyat dan calon yang dipilih bertanding dalam pilihan raya sudah berikrar untuk setia dalam perjuangan dan tidak khianat kepada parti.
  • "Saya menasihatkan pihak yang berbaiah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak baiah itu kerana mereka berbaiah dengan Allah.
  • "Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan Allah. Lebih-lebih lagi dalam baiah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran baiah," katanya.
Pandangan  Timbalan Mursyidul Am Pas
  • Datuk Ahmad Yakob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan sekiranya meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.
  • Menurutnya, akuan sumpah itu diguna pakai sejak  2004 lagi kepada mana-mana wakil rakyat Pas Kelantan yang mahu meninggalkan parti tersebut.
Pandangan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan
  • Datuk Daud Muhammad berkata mana-mana individu yang melafazkan sumpah dan melanggar sumpah, dengan menyertai parti lain, perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrarkan itu adalah sah.
  • Talak yang dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar adalah sah dan hakiki. Mana-mana individu tidak boleh sewenang-wenang mempermainkan lafaz talak atau cerai atas apa alasan sekalipun.
  • Tegas Daud, taklik talak dengan bersumpah itu tidak boleh dielakkan dengan kafarah atau bayar denda sumpah.
  • Beliau menasihatkan individu yang terlibat melafaz bai'ah talak tiga dan bertindak keluar parti untuk menyertai parti lain, merujuk pengesahan cerai di Mahkamah Syariah. Jika tidak dirujuk ke Mahkamah Syariah, mereka boleh dianggap bersekedudukan secara haram.
Pandangan Majlis Syura Pas
  • Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengingatkan Adun dan Ahli Parlimen daripada parti itu, agar tidak melanggar bai’ah yang pernah dibuat mereka semasa bersama Pas.
  • Muhammad Zawawi berkata, apabila wakil rakyat melafazkan bai’ah mereka berjanji dengan nama ALLAH. Justeru katanya, jika pelanggaran dibuat maka padah yang diterima amat besar.
  • “Kepada sesiapa yang hendak bertanding atas nama Pas dia mesti berjanji di hadapan saf kepimpinan.
  • “….Mereka berbai’ah  janji dengan ALLAH jadi jangan sesekali mereka ini langgar bai’ah (perjanjian) ini kerana besar padahnya, dalam sejarah Islam ini tiada siapa yang selamat (orang yang melanggar bai’ah ini ).
  • "Dia kena ingat, dia berbai’ah berjanji itu terikat hukum dengan ALLAH kalau dia mengkhianati apa semua sekali dia akan dilaknat oleh ALLAH, malaikat sekalian… orang beriman,” katanya.
  • Muhammad Zawawi berkata, mana-mana wakil rakyat Pas yang mendukung perjuangan parti lain adalah haram bagi mereka menikmati gaji dan elaun mereka kerana kerusi yang dimenangi adalah berdasarkan tiket Pas.
  • Ini kerana katanya, semua wakil rakyat dan calon yang dipilih bertanding dalam pilihan raya sudah berikrar untuk setia dalam perjuangan dan tidak khianat kepada parti.
  • “Hasil kewangan yang mereka peroleh daripada tiket Pas adalah haram bagi dia, dan ahli Pas tidak akan reda sama sekali dia makan walau lima sen daripada harta yang dia peroleh dari atas nama Pas,” katanya.
Pandangan penganalisa politik
  • Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sudah tiba masanya mufti menetapkan satu garis panduan berkaitan bai’ah supaya tidak mencampur aduk politik dengan peribadi.
  • “Saya tidak nafikan dalam Islam ada menyatakan tentang sumpah setia tetapi mengenai bai’ah talak tiga yang mencagarkan keluarga sebagai syarat, saya tidak pernah dengar,” katanya.
  • Jelasnya, kedudukan organisasi keluarga lebih tinggi jika dibandingkan dengan parti politik. “Parti politik bukan sebuah organisasi yang suci dan terhindar daripada dosa. Perkahwinan itu diibaratkan sebagai membina sebuah masjid dan ia sepatutnya dipelihara.
  • "Perceraian adalah yang dibenarkan dalam Islam tetapi dibenci oleh ALLAH, ia tidak wajar dimasukkan dalam kesetiaan politik” katanya.
  • Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai bai’ah talak tiga kerana ia seolah-olah mencagarkan masa hadapan institusi keluarga.
Pandangan pakar perundangan
  • Dekan Pembangunan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohammad Fuad Othman berkata, bai’ah yang diguna pakai Pas merupakan mekanisme mengelakkan wakil rakyatnya lompat parti.
  • “Saya pasti setiap wakil rakyat yang melafazkan bai’ah merelakan hati mereka dan ikhlas untuk setia dengan parti.
  • “Tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang adalah syarat-syarat dalam bai’ah itu sendiri terlalu berat untuk diterima,” katanya.
  • Tegasnya, Pas perlu adil terhadap wakil rakyat dan ahlinya bebas bersuara serta berpolitik. “Bila meletakkan syarat yang berat had kepada wakil rakyat, bermakna mereka dalam keadaan tidak bebas.
  • “Begitu juga dengan pendekatan kesederhanaan dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Di mana kita letakkan hak kebebasan?" soalnya.